Apr 11, 2009

Arni Nazira kini milik Hazrie


ARNI dan Wan Mohd. Hazrie ceria melambai kepada sanak saudara dan sahabat handai selepas pernikahan mereka di Kuala Terengganu, semalam.


KUALA TERENGGANU - Pelakon dan penyanyi, Arni Nazira Anuar, 31, menamatkan zaman jandanya semalam apabila sah menjadi isteri kepada Wan Mohd. Hazrie Wan Mokhtar, 32, yang merupakan seorang kontraktor.

Wan Mohd. Hazrie tenang melafazkan akad nikah dengan mas kahwin sebanyak RM100 di hadapan jurunikah Mukim Bukit Besar, Ahmad Awang di Masjid Abidin dekat sini.

Perkahwinan itu turut dihadiri dua anak perempuan Arni Nazira hasil perkahwinan terdahulu dengan penyanyi dan pelakon, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman iaitu Puteri Aleeya Antasha, 9, dan Puteri Aleefa Antasha, 7.

Kedua-dua mempelai yang berpakaian sedondon berwarna putih masing-masing menerima sembilan dulang hantaran.

Arni Nazira yang menerima wang hantaran RM7,777.77 bersyukur kerana majlisnya berjalan seperti dirancang sementara bagi Hazrie pula dia lega kerana kekasih zaman remajanya itu kini sudah bergelar isterinya.

"Bukan tidak pernah bercinta dengan orang lain selepas Arni berkahwin dulu tetapi saya tidak ditakdirkan untuk berkahwin dengan orang lain,'' katanya ketika ditemui selepas majlis akad nikah itu semalam.