Jun 22, 2009

Noraniza menangis teresak-esak ikuti bicara kes tuntutan harta

Noraniza Idris berbincang sesuatu dengan wakil peguamnya di luar mahkamah selepas kes itu didengar. - foto MSTAR

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah hari ini memutuskan menyambung semula prosiding perbicaraan kes tuntutan harta antara penyanyi terkenal Noraniza Idris, 41, dengan bekas suaminya, Mohamad Fauzi Ahmad Tajuddin atau Fareez ke tarikh esok.

Tidak dapat dipastikan anggaran tuntutan harta yang difailkan oleh penyanyi yang popular dengan genre 'Irama Malaysia' ini.

Difahamkan tuntutan harta dibuat ke atas rumah kediaman beralamat di Seksyen 6, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, sebuah rumah kedai/salun/butik tiga tingkat di Seksyen 1, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan barangan salun dan butik anggaran RM10 ribu.

Noraniza berkata dia hanya berserah kepada Fareez sama ada hendak melunaskan tuntutan itu atau tidak.

"Saya berhak buat semua ini demi menunaikan tanggungjawab saya sebagai ibu kepada anak-anak.

"Semuanya terpulang kepada Fareez sama ada dia hendak beri atau tidak apa yang saya tuntut..itu antara Fareez dengan Tuhan," luah Noraniza.

Mengimbas kembali saat dia bersama Fareez, Noraniza menangis apabila memberitahu dia dengan rela hati melalui kelahiran secara induksi (induced labour) untuk percepatkan proses lahir anak keduanya pada tahun 1991 disebabkan hendak bantu Fareez mencari duit untuk melangsaikan hutang ketika perbicaraan sedang berlangsung di dalam dewan mahkamah.

Noraniza berkata demikian ketika disoal oleh peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman yang mewakilinya.

Zuri: Apakah sumbangan puan terhadap harta yang dituntut secara langsung dan tidak langsung?

Noraniza: Saya memberi sumbangan besar dengan menguruskan penyelenggaraan, bayaran tunggakan dan menguruskan semua bil-bil.

Saya telah berusaha mencari sumber untuk membantu defendan (Fareez). Saya juga ingin nyatakan sepanjang saya berusaha mencari jalan penyelesaian untuk melangsaikan tunggakan, sememangnya tiada komitmen dari pihak defendan.

Saya terpaksa melakukan induksi untuk mempercepatkan proses kelahiran anak kedua saya. Tarikh kelahiran anak saya dijadualkan pada 25 September 1993, tetapi telah dipercepatkan ke 31 Ogos 1993.

Zuri: Apakah kaitannya dengan tuntutan harta ini?

Noraniza: Saya melakukan proses (induksi) ini adalah atas restu defendan dan kerana ingin membantu defendan mencari duit kerana saya tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada persembahan pentas yang dilakukan.

Saya juga dengan rela hati menyerahkan barang kemas saya untuk membayar tunggakan. Defendan juga pernah mengambil barang kemas tanpa pengetahuan saya.

Zuri: Mengikut pengetahuan puan, bagaimana keadaan rumah kediaman di Seksyen 6, Wangsa Maju, sekarang?

Noraniza: Mengikut apa yang saya tahu, rumah tersebut masih lagi dalam perhatian pihak bank untuk dilelong.

Zuri: Ada apa-apa yang puan ingin katakan lagi?

Noraniza: Saya memohon mahkamah yang mulia ini, saya telah banyak berkorban dan bantu defendan, malah saya telah sanggup menanggung beban hutang defendan. Jadi saya rasa saya berhak untuk menuntut harta sepencarian ini.

Selepas Hakim syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid memutuskan perbicaraan disambung esok, Fareez kelihatan keluar meninggalkan dewan dilihat keluar dalam keadaan yang agak marah.

Manakala Noraniza yang mesra dengan panggilan Kak Ani masih lagi dalam keadaan menangis.

Kak Ani enggan mengulas lanjut kerana ingin menjaga hati anak-anak dan tidak mahu menimbulkan konspirasi.

"Saya rasa lebih baik jika saya tidak menjawab apa-apa pertanyaan kerana saya ingin menjaga perasaan anak-anak saya dan tidak mahu timbulnya sebarang masalah kerana kes ini masih lagi belum selesai." terang Kak Ani.

Ketika diluar dewan, peguam syariee Noraniza, Zuri Zabuddin memberitahu yang Fareez ada menulis sepucuk surat yang bertarikh 13 April, 2006.

"Dalam surat tersebut, Fareez ada menyatakan 50% hasil jualan rumah kedai tiga tingkat akan diserahkan kepada Noraniza.

"Kedai itu telah dijual tanpa pengetahuan Noraniza dan dia hanya mendapat tahu berita tersebut melalui anak sulung mereka, Alif Haikal. Noraniza tidak menerima bahagiannya," kata Zuri.

"Kita hanya tunggu perbicaraan esok untuk mendengar keterangan dari pihak defendan. Selepas itu baru kita boleh teruskan dengan proses selanjutnya." katanya.

Pasangan Noraniza-Fareez bernikah pada 31 Mac 1988 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd. Alif Haikal, 20, dan Mohd. Alfeq Haikal, 16.

Bagaimanapun mereka disahkan bercerai pada 4 Mei 2006 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas berpuas hati dengan lafaz cerai luar mahkamah yang dibuat Fareez terhadap Noraniza pada 7 April 2006.

Perbicaraan akan bersambung esok pada pukul 11 pagi.

A.R Badul cerai Muna Liza dengan tebus talak RM1

A.R. Badul ketika ditemuramah wartawan selepas kes cerai selesai - foto mStar oleh Au Yeong How

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah hari ini mengesahkan penceraian pelakon dan pelawak, A.R. Badul, 60, dan isterinya, Muna Liza Basir, 34.

Badul melafaz cerai itu secara tebus talak sebanyak RM1 di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad.

(Proses 'tebus talak' atau 'khuluk' dalam Seksyen 49 memberi peluang kepada isteri untuk menebus talak diri mereka sekiranya suami tidak mentalakkan mereka dengan rela.

Oleh yang demikian, isteri boleh meletakkan perkara ini dalam perjanjian sebelum perkahwinan bahawa beliau boleh menebus diri mereka untuk bercerai sekiranya suami enggan menceraikan mereka. Isteri boleh menyatakan jumlah mengikut persetujuan dengan suami. Di Wilayah Persekutuan, tebus talak dengan membayar RM1 adalah dibenarkan.)

Muna Liza perlu membayar RM1 untuk mendapatkan penceraian 'tebus talak' tersebut. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan kelima Badul.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie berkahwin dengan Muna Liza pada 23 Jun 2001.

Perkahwinan selama lapan tahun itu telah dikurniakan seorang anak lelaki, berusia 5 tahun.

Badul ketika diminta perasaannya setelah selesai kes cerai di mahkamah berkata, "Saya sebenarnya tidak sanggup menceraikan isteri.

TEBUS TALAK....Setelah melalui proses 'tebus talak' dan membayar RM1, Muna Liza Basir kini sudah menjadi bekas isteri pengarah terkenal A.R Badul - foto mStar oleh Au Yeong How

"Lebih tiga bulan saya cuba berbaik-baik dengan isteri tetapi isteri tetap minta bercerai," kata pengarah veteran filem komedi ini.

Menurut Badul, penceraian tidak bermakna dia tidak menyayangi isterinya.

"Kasih sayang setinggi gunungpun boleh diruntuhkan oleh sebutir garam," kata Badul penuh falsafah.

Diminta terangkan apa yang dimaksudkan dnegan 'garam' itu, Badul berkata, "Ia merujuk kepada perselisihan faham yang kecil."

Walaupun kecundang lima kali dalam melayari alam rumahtangga, Badul tidak pernah berasa serik untuk berkahwin lagi.

"Kalau ada jodoh, saya sanggup berkahwin lagi," kata anak bintang lagenda A.R Tompel dan juga abang kepada pelakon/pengacara/penggiat teater Adlin Aman Ramlie.

Bagi Muna Liza pula, dia rasa lega sekarang dan tidak menyimpan dendam walau sekelumitpun.

Muna berkata, perhubungan dia dengan Badul masih berjalan dengan baik. Dia juga berharap Badul dapat memberinya peluang untuk bekerja di produksinya kerana dia tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan.

Ditanya kenapa dia tidak mahu berbaik dengan Badul sedangkan bekas suaminya tidak keberatan merujuk, Muna berkata, "Kami sudah tidak ada jodoh...."