Oct 31, 2009

Akhil: Saya bersyukur Waheeda 'ibu segera' anak-anak saya

Akhil dan Waheeda tersenyum bahagia ketika majlis resepsi perkahwinan mereka di Dewan Guthrie, Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini. -foto The Star oleh RAJA FAISAL HISHAN

RIAK ceria kedua mempelai, penceramah bebas dan penyanyi Akhil Hayy dengan penyanyi dan pelakon Waheeda menggambarkan mereka sedang berbahagia melayari bahtera perkahwinan ini.

Pasangan yang dinikahkan pada 16 Ogos lalu ini nampak begitu mesra dan manja antara satu sama lain ketika majlis resepsi perkahwinan mereka yang berlangsung di Dewan Guthrie, Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini.

Walaupun perkahwinan mereka sebelum ini berlangsung penuh ‘kontroversi’, namun majlis itu tetap meriah dengan kehadiran lebih 2,000 tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.

Dengan konsep pelamin ‘stail Moroccan’ yang diilhamkan oleh kawan baik Waheeda iaitu Aim dari Magical Touch, pengantin perempuan bergaya dengan jubah hitam bersama tudung dan ‘veil’ kuning serta solekan nipis dengan sentuhannya sendiri manakala penganti lelaki segak dengan jubah seluar hitam.

Secara gurau bertanya di mana kopiah Akhil, dengan selamba dia menjawab ‘pakaian bukan melambangkan keimanan seseorang’.

Namun begitu baginya, ‘inilah sebenarnya perkahwinan sebab dulu saya dan bekas isteri hanya bernikah sahaja dan tiada majlis resepsi seperti ini’.

“Ikutkan kami hanya nak buat majlis nikah dan makan-makan tetapi atas permintaan kedua-dua belah keluarga, kami akhirnya bersetuju untuk melakukan majlis resepsiini.

“Kami bukannya bersanding tetapi lebih kepada mengeratkan silaturahim dan pelamin sekadar untuk bergambar,” tuturnya mengenai majlis yang turut dihadiri oleh penyanyi dan pelakon Mawi bersama isterinya, Ekin.

Secara spontan, Akhil mengusap lembut pipi Waheeda ketika temubual dilakukan dan isterinya itu hanya membalas dengan senyuman manja.

Tambah Akhil, “saya bersyukur sebab dia menjadi ‘ibu segera’ untuk anak-anak saya. Saya ambil dia sebagai amanah...

“Kami faham apa yang kami lalui sebelum ini dan bertuah juga kerana mempunyai keluarga yang turut memahami kami.

“Selepas berkahwin sekarang, saya tetap ‘maintain’ macam dulu dan mendambakan keluarga bahagia seperti orang lain..kita hanya merancang tetapi Allah yang menentukan.”

Waheeda pula menyimpulkan dirinya lebih ‘terkawal’ setelah berkahwin dengan Akhil.

“Kalau dulu, iman dan nafsu saya berbolak-balik tetapi sekarang banyak yang saya pelajari dari suami seperti tanggungjawab kepada Allah, suami dan keluarga,” beritahunya dalam nada gembira.

Akhil tidak berniat memisahkan anak-anak

Ketika majlis itu berlangsung, hanya dua anak Akhil dengan bekas isterinya, Maizawati Zainal yang berada bersamanya.

Jelas Akhil, memang Siti Nur Maisarah, 12 dan Mohd Syarif Idayatullah, 11, tinggal bersamanya dan Waheeda di Damansara.

Ditanya tidakkah tindakannya itu boleh membuatkan dua anaknya itu terpisah dengan dua beradik lain, Mohd Syatiri Idayatullah, 2, dan Mohd Syakir Idayatullah, 8, yang kini tinggal bersama Maiza.

Akhil sebelum itu memohon maaf terlebih dahulu kerana takut ada pihak lain yang terasa. Yang penting dia menjaga anak-anak yang berada di depan matanya dan biar Allah menentukan segalanya yang akan berlaku kemudian hari.

“Tiada bapa yang tidak ingat anak-anak.. perpisahan hanya berlaku antara ibu dan bapa, bukannya dengan anak-anak,” ujarnya ringkas.

Waheeda pula menambah, “Kami izinkan dua beradik itu untuk berhubung dengan adik-beradik yang lain kerana silaturahim itu penting.”

Penyanyi popular lagu ‘Wassini’ ini juga bersyukur kerana kedua anak Akhil menerima dirinya seadanya dan memanggilnya ‘mama’.

“Alhamdulillah, saya terharu dengan penerimaan mereka. Setelah menjadi ibu kepada dua anak ini, saya semakin sibuk mengendalikan makan minum dan aktiviti harian mereka sehingga langsung tidak terfikir untuk kembali ke bidang seni.

“Walaupun mereka bukan anak kandung saya, saya tetap memberikan kasih sayang yang sama rata.

“Letih macamana pun, saya terpaksa berkorban demi kebahagiaan anak-anak ini,” beritahunya disusuli dengan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu menjayakan majlis ini termasuk Nasyid. Com.

Majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan dilangsungkan di Gopeng, Perak pada 7 November ini.

Elly Mazlein sasar kahwin 2010

Elly Mazlein sedang popular menerusi drama ‘Sumpah Bunian’ ini. -Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

SAYA rasa nak tamatkan zaman bujang dalam setahun lebih lagi,” kata pelakon dan penyanyi Elly Mazlein yang digembar-gemburkan akan berkahwin dengan seorang pengarah berusia 34 tahun yang sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak.

Meminta penjelasan daripada pelakon yang wajahnya semakin banyak menghiasi kaca TV menerusi drama dan telefilem lakonannya, Elly enggan memberikan komen berhubung hal itu.

Katanya dengan penuh lemah-lembut, “bukannya saya tak nak beri kerjasama tetapi sebab ia berkait dengan peribadi saya.

“Kalau dah ada pengesahan, baru saya akan umumkan sebab saya takut kalau dah pukul canang nanti, kalau tak jadi siapa yang malu.

“Saya tahu ramai yang nak tahu sebab sudah ramai kawan-kawan sebaya dengan saya yang sudah berkahwin.”

Jelas pelakon drama yang sedang popular menerusi drama ‘Sumpah Bunian’ ini, sebagai seorang artis dia perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi apa yang berlaku kepadanya termasuk gosip.

Elly sedang mencari masa yang sesuai untuk membuat persiapan perkahwinan.

“Sebelum ini saya tak pernah kisah dengan setiap gosip yang dikeluarkan sebab saya anggap ia sebagai usikan para wartawan.

“Ada yang kata saya bercinta dengan VIP bergelar Datuk dan tidak kurang juga mengatakan saya sudah berkahwin dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di sebelah utara,” jelasnya lagi.

Bagaimanapun, Elly tidak menafikan yang dia sedang mencari masa yang sesuai untuk membuat persiapan perkahwinan.

“Tipu kalau saya tak terfikir untuk berkahwin tetapi sekarang saya nak cari duit dulu kerana apabila sudah bersuami nanti saya tidak mahu terlalu sibuk seperti sekarang.

“Sementara saya masih belum mempunyai komitmen lain, saya akan ambil apa-apa peluang kerja yang ada,” katanya yang mengakui rezeki lakonannya tidak putus-putus sejak membintangi drama ‘Bella’.

Selain berlakon banyak drama dan telefilem, pelakon berusia 28 tahun ini juga telah berlakon dalam tiga buah filem iaitu ‘Gerak Khas The Movie’, ‘Janji Diana’ dan ‘Tangkai Jering’.

Elly sedang menjalani penggambaran drama 44 episod ‘Na O Mei’ untuk slot Akasia di TV3.

Sekarang, Elly sedang menjalani pengambaran drama 44 episod ‘Na O Mei’ untuk slot Akasia di TV3.

Drama arahan Fairuz Loy ini akan selesai pengambarannya pada Januari depan. Dengan memegang watak Na O Mei, Elly berkata jalan ceritanya mengisahkan tentang kekeluargaan di mana seorang ibu berpisah dengan anak dan suaminya.

“Saya tertarik dengan watak dan cerita ‘Na O Mei’ serta suka bekerja dengan ramai pengarah. Selain itu, saya anggap tawaran ‘Na O Mei’ sebagai rezeki,” ujarnya yang masih lagi menyanyi tetapi tidak seaktif dahulu.

Jika tidak sibuk dengan lakonan dan mempunyai jemputan nyanyian, pasti Elly tidak akan menolaknya.

Mama pengkritik tetap lakonan

Secara jujurnya, Elly memberitahu yang dia jarang menonton hasil lakonannya di TV memandangkan dirinya selaku sibuk dengan lakonan.

Melainkan kalau sesi pengambaran dilakukan di rumah, dia akan cuba ‘curi-curi’ menontonnya. Jika tidak dia akan menonton di laman web YouTube sahaja kerana baginya ‘bagus juga menonton lakonan sendiri sebab dari situ kita dapat tahu kelemahan.’

Elly pernah berlakon dalam tiga buah filem iaitu ‘Gerak Khas The Movie’, ‘Janji Diana’ dan ‘Tangkai Jering’.

“Tetapi saya tak boleh nak kritik lakonan sendiri. Jadi, mama saya yang akan sentiasa menjadi pengkritik yang setia.

“Sebelum saya ceburi bidang lakonan ini, saya dan mama suka menonton drama Melayu bersama-sama dan selepas itu saling bertukar kritikan dan komen masing-masing,” beritahunya yang turut baru selesai pengambaran telefilem ‘Obsesi Trauma’ untuk RTM.

Apabila memegang watak utama sesebuah drama, Elly tidak akan mengambil banyak tawaran lakonan. Jadual kerjanya juga pasti akan padat dan dia hanya berpeluang mengambil cuti semasa Hari Raya.

Oct 26, 2009

'Tunggu saja undangan kahwin saya tahun depan' - Bienda

KISAH artis yang berkahwin diam-diam sudah begitu kerap didengari. Walaupun perkara itu pasti mengundang spekulasi banyak pihak, namun setiap satu kisah itu pastinya tersimpan sebab tertentu mengapa perkahwinan yang dibina itu tidak dihebahkan.

Terbaru, penyanyi dan pelakon Nor Razlinda Razli atau nama komersialnya, Bienda, pula dikatakan turut berbuat perkara yang sama.

Bienda yang pernah popular dengan lagu Penantian ini dikhabarkan sudah berkahwin secara senyap-senyap pada 10 Oktober lalu.

"Kawan-kawan ada menghubungi saya bertanyakan kesahihan ini apabila mereka terbaca gosip tentang perkara ini di akhbar. Saya malas untuk bercakap tentang perkara ini dan tidak mahu komen apa-apa. Masing-masing berhak cakap apa saja.

"Apa yang boleh saya katakan, tunggu sajalah undangan perkahwinan saya pada bulan Oktober tahun depan," - Bienda

Edit | Delete "Apa yang boleh saya katakan, tunggu sajalah undangan perkahwinan saya pada bulan Oktober tahun depan. Paling lewat pun, mungkin November. Cukuplah saya jelaskan macam itu saja dan terserahlah apa yang orang akan faham dengan penjelasan saya ini.

"Biarlah jika ada orang yang ingin terus bercakap. Sebelum ini pun, macam-macam yang saya dengar orang bercakap tentang saya. Tetapi cerita itu kemudiannya akan berlalu pergi.

"Cuma saya berharap, apa pun cerita yang timbul, janganlah sampai mengaibkan mana-mana pihak," tegas anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda ini.

Menurut gadis berusia 23 tahun itu, dia lebih senang mengambil sikap untuk tidak mempedulikan saja tentang kisah terbaru yang timbul ini kerana tidak mahu membesar-besarkan hal tersebut.

"Saya tidak tahu macam mana timbul cerita ini. Apa yang pasti, kawan saya memang ada yang berkahwin pada tarikh 10 Oktober lalu. Saya hanya akan berbincang dengan keluarga tentang perkahwinan pada awal tahun depan.

"Buat masa ini, saya terlalu sibuk dengan penggambaran drama dan biarlah saya fokus tentang karier dulu. Album terbaru saya juga baru saja dipasarkan tengah tahun lalu.

"Sebab itu saya tidak mahu kusutkan kepala dengan cerita-cerita seperti ini," kata Bienda yang sedang menantikan tayangan filem lakonannya, 4 Madu.

Ujar anak kedua daripada tiga beradik ini lagi, ketika ini dia sedang sibuk menjalani penggambaran drama Di Bawah Payung Siti Fatimah manakala drama lakonannya, Sumpah Bunian sedang ditayangkan di TV3.

Enggan lagi berbicara tentang subjek perkahwinan, kata Bienda, buat masa ini, biarlah dia merahsiakan dulu apa perancangannya kelak tentang majlis bersejarahnya yang bakal berlangsung tahun depan.

Walaupun sedar penjelasannya tentang perkhabaran yang mengatakan dia sudah berkahwin diam-diam itu pasti akan berlarutan lagi, namun tutur Bienda, dia tidak mampu berbuat apa-apa.

Gadis ini sudah cukup masak dengan cabaran dan liku-liku yang perlu dilaluinya sebagai artis apatah lagi pengalamannya di dalam bidang seni bukan baru setahun jagung.

Malah, Bienda juga kurang selesa untuk bercerita lanjut tentang lelaki yang berjaya mencuri hatinya itu.

"Biar sudah 'confirm' nanti, barulah saya gembira untuk bercerita banyak. Lagipun, saya ni perempuan, tak manislah kalau banyak bercakap tentang perkara ini.

"Apa yang boleh saya katakan, kami sudah dua tahun berkenalan dan dia hanyalah orang 'biasa' yang bekerja di sebuah stesen televisyen, tetapi bukan di RTM seperti yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini," ujarnya

Saerah: Saya bukan nak kahwin dengan Imran!

ADIK kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza ini tidak menyangka pengakuannya yang ingin mengakhiri zaman bujang pada Mei 2010 nampaknya tiba-tiba menjadi satu kisah 'panas'.

Ujar Siti Saerah, dia sendiri agak terkejut apabila ramai yang menganggap lelaki yang bakal menjadi suaminya itu nanti ialah penyanyi yang sering dikaitkan dengannya, Imran Ajmain.

"Apa yang digembar-gemburkan itu tidak benar. Bila saya cakap saya ingin berkahwin, bukan bermaksud saya akan berkahwin dengan Imran. Saya memang tidak ada yang istimewa lagi buat masa ini dan saya tidak tahu siapa jodoh saya.

"Kalau ditakdirkan dengan Imran, itu adalah jodoh. Tetapi tidaklah pula saya kata memang saya akan berkahwin dengannya. Kesian Imran, tak pasal-pasal dia dikaitkan dengan cerita saya ini.

Saerah tidak akan menolak ketentuan takdir andai kata benar jodohnya ialah dengan Imran

"Kami hanya kawan baik, tidak lebih daripada itu. Tidak pernah pun kami berfikir atau berbincang tentang masa depan kami bersama," kata Saerah ketika dihubungi.

Menurut gadis berusia 26 tahun ini, dia tidak menafikan Imran adalah artis lelaki yang paling rapat dengan dirinya ketika ini dan sering ada di sampingnya jika dia mempunyai masalah.

Namun untuk mengakui wujudnya rasa cinta itu, kata Saerah, buat masa ini masing-masing sebenarnya amat selesa berkawan baik saja.

"Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada kita kelak kerana soal jodoh ini amat sukar kita ramalkan. Cuma apa yang pasti, saya selesa berkawan dengan Imran dan senang berkongsi cerita dengannya.

"Bila saya rasa 'down', dia akan ada beri semangat. Tentang cerita yang mengatakan bapanya juga suka kalau saya berkahwin dengan Imran, itu saya tidak mahu komenlah.

"Saya memang pernah bertemu dengan ibubapanya ketika menghadiri pelancaran album Imran di Singapura pada bulan Julai lalu. Sekali itu saja dan saya tidak sempat pun berbual dengan mereka ketika itu," kata pelantun lagu Hero Wayang ini.

Ditanya adakah dia berasa tertekan untuk mencari lelaki yang sesuai menjadi suaminya sebelum tiba bulan Mei depan, tutur Saerah, perasaan itu tidak pula timbul dalam dirinya.

"Saya sudah berjanji dengan mak dan arwah abah untuk berkahwin apabila berusia 27 tahun. Dan bulan Mei itu saya pilih kerana hari lahir saya jatuh pada bulan itu.

"Saya sedar, perkahwinan bukanlah perkara main-main. Sejujurnya, saya juga sudah bersedia untuk ke arah itu (berkahwin), cuma tidak ada 'calon' saja.

"Setakat kawan lelaki lain, memanglah ramai. Apapun, saya tetap ingin mengotakan janji saya itu. Jika tidak bertemu yang sesuai, saya akan minta ibu dan abang saja yang carikan jodoh untuk saya.

"Saya percaya pilihan ibu. Naluri ibu lebih mengetahui mana yang terbaik untuk anaknya," kata Saerah.

M: Farah tak ada kena-mengena dalam perceraian saya

NAMA Farah Asyikin akhir-akhir ini cukup hangat diperkatakan. Semuanya gara-gara satu e-mail yang dihantar oleh seseorang kepada pihak-pihak tertentu termasuklah wartawan yang mendakwa penyanyi ini bercinta dengan suami orang dan mereka turut dikatakan bercuti bersama di Hong Kong, baru-baru ini

NAMA Farah Asyikin akhir-akhir ini cukup hangat diperkatakan. Semuanya gara-gara satu e-mail yang dihantar oleh seseorang kepada pihak-pihak tertentu termasuklah wartawan yang mendakwa penyanyi ini bercinta dengan suami orang dan mereka turut dikatakan bercuti bersama di Hong Kong, baru-baru ini.

Farah sendiri telah pun membuat penjelasan tentang perkara tersebut dan menegaskan bahawa lelaki yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah seorang duda yang mana mereka mula mengenali diri masing-masing selepas lelaki itu bercerai dengan bekas isterinya.

Jelas Farah lagi, percutiannya di Hong Kong tempoh hari juga tidak langsung ditemani sesiapa, namun tidak menafikan ada bertemu kekasihnya itu di Macau kerana dia bekerja di sana.

Penyanyi itu juga turut menjelaskan, dia terpaksa membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada hubungan yang baru terjalin serius kira-kira empat bulan itu kerana enggan meruncingkan lagi keadaan.

Simpati dengan nasib yang melanda Farah, lelaki tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai M tampil membuat penjelasan sebenar tentang kisah itu. Kata lelaki berusia 35 tahun ini, dia tidak sangka Farah terpaksa berdepan dengan perkara itu sedangkan ia tidak langsung berkaitan dengan penyanyi itu.

“ Farah tiada kena-mengena dalam perceraian saya. Malah, ingin saya tegaskan di sini, saya sudah lama bercerai dengan bekas isteri saya sebelum kenal rapat dengan Farah beberapa bulan kemudiannya.

“Kali pertama bertemunya tidak lama dulu, saya awal-awal lagi sudah beritahu Farah yang saya baru saja bercerai. Dan sebenarnya ketika ini, saya dan bekas isteri sedang dalam proses untuk tuntutan tertentu.

“Apa yang berlaku tidak langsung ada berkaitan dengan Farah. Dia tidak bersalah. Saya simpati pada Farah, dia tidak sepatutnya berdepan dengan semua ini. Keluarganya juga turut terkena tempias dengan cerita ini.

“Kami sebenarnya memang sedang di dalam proses mengenali diri masing-masing dengan lebih mendalam. Malah, saya juga pernah bertemu keluarganya untuk lebih kenali mereka dengan rapat.

“Tapi tak sangka pula begini jadinya. Entahlah, mungkin juga saya bertemu dengannya pada masa yang tidak sesuai. Dan sekarang ini, memang kami tidak lagi ada hubungan apa-apa,” kata M yang ketika ini berada di Macau.

Menurut lelaki yang berasal dari Singapura ini, dia dapat merasakan e-mail yang dihantar oleh ‘seseorang’ itu sebenarnya adalah daripada bekas isterinya sendiri.

“Saya percaya, dia (bekas isteri) yang lakukannya. Bukan ingin sengaja menuduh, tetapi daripada apa yang saya baca dalam e-mail tersebut, saya dapat rasakan itu memang dia yang lakukan. Tetapi saya tidak tahu apa niatnya.

“ Tentang dakwaan yang mengatakan saya bercuti dengan Farah di Hong Kong, sebenarnya, Farah memang ke sana seorang diri saja. Tetapi saya ada meminta dia membawa makanan dari Malaysia kerana di Macau tidak banyak makanan halal.

“Sebab itulah Farah datang bertemu saya untuk serahkan makanan tersebut, sebelum meneruskan percutiannya di Hong Kong dan China.

“Dan ketika dia datang bertemu saya, secara kebetulan pula bekas isteri menghubungi saya ketika itu. Dia sempat berbual dengan Farah di telefon dan pada waktu itu, perbualan antara mereka berjalan dengan baik.

“Itulah kali pertama mereka bercakap antara satu sama lain. Tetapi bila Farah pulang ke Malaysia, tiba-tiba datang e-mail seperti itu. Bila saya baca e-mail tersebut, ia memang ketara itu adalah daripadanya.

“Saya tahu Farah tertekan gara-gara hal ini. Disebabkan itu saya tidak menyalahkannya apabila dia nekad untuk mengundurkan diri daripada hubungan ini walaupun keputusan itu tidak begitu menggembirakan saya,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat di Macau yang berkaitan dengan industri hiburan.

Kata duda anak satu ini lagi, dia pernah cuba ingin berbincang tentang perkara ini dengan bekas isterinya, tetapi nampaknya perkara itu agak sukar dibuat pada masa ini.

“Saya pernah cuba menghubunginya, tetapi dia tidak jawab panggilan saya. Bila dia menghantar SMS pada saya untuk beritahu perkembangan terkini anak lelaki saya, dia seolah-olah seperti tidak tahu apa yang sedang berlaku ketika ini.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk pertahankan Farah. Kalau saya tidak bertanggungjawab, saya pasti akan buat tak tahu saja tentang perkara ini kerana lagipun, saya berada di Macau dan orang tidak kenal saya.

“Tetapi saya tidak mahu lepas tangan kerana Farah seorang perempuan yang baik. Dia pula adalah seorang artis, jadi bagaimana dia nak berdepan dengan masyarakat terhadap perkara yang tidak sepatutnya dikaitkan dengan dirinya?,” kata M yang bercerai dengan bekas isterinya setelah tujuh tahun berkahwin.

Ditanya sama ada hubungannya dan Farah masih mempunyai ‘masa depan’ untuk kembali bertaut semula, kata M, buat masa ini dia menyerahkan semuanya kepada takdir.

“Perasaan cinta itu memang masih ada. Bukan setiap hari kita dapat bertemu perempuan yang baik. Sebenarnya, saya ambil keputusan untuk menerima tawaran bekerja di Macau setelah bercerai dan sepatutnya saya mula bertugas di Macau pada bulan April.

“Tetapi disebabkan hal tertentu, ia ditangguhkan dan saya baru mula bertugas sejak Ogos lalu. Dan tidak pula saya sangka, ketika cuba lalui hidup baru, saya berkenalan pula dengan seorang perempuan yang baik seperti Farah.

“Cuma saya agak kesal begini jadinya terhadap hubungan kami. Ketika ini, memang dia tidak lagi menghubungi saya. Kalau ada pun, hanya kiriman e-mail artikel-artikel tentang hal ini yang dihantarkan olehnya kepada saya.

“Dari situlah saya tahu yang perkara ini hangat diperkatakan ketika ini,” ujarnya yang mula mengenali Farah menerusi laman web Facebook.