Mar 21, 2010

Persandingan Zizan Sederhana Tapi Meriah

MAJLIS persandingan pasangan pengantin baru pelakon Zizan Nin, 37, dan Fazilah Hani Harun, 30, berlangsung secara sederhana namun meriah di Dewan Perdana Felda, di sini, malam tadi.

Pasangan mempelai yang tiba tepat pada pukul 9 malam disambut dengan paluan kompang dan persembahan pancaragam mengiringi pengantin sehingga menjejakkan kaki ke gerbang pelamin.

Majlis yang berkonsepkan perkahwinan dalam taman dengan menggunakan gabungan warna putih suci dan merah jambu dihiasi denganbunga-bungaan yang menceriakan lagi majlis.

Acara dimulakan dengan bacaan doa sebelum upacara merenjis dan menepung tawar mempelai menyusul. Ia didahului oleh ibu bapa saudara pengantin perempuan diikuti ibu bapanya dan bapa kepada pengantin lelaki.

Sepanjang majlis berlangsung, tetamu turut dihiburkan dengan nyanyian penyanyi undangan dan persembahan nyanyian buat julung kalinya daripada rakan baik Zizan, pelakon Tony Eusoff.

Kira-kira 1000 tetamu yang hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada saudara mara dan rakan taulan kedua-dua belah pihak pengantin.

Selain itu beberapa rakan artis seperti Aqasha, Tony Eusof, Korie serta rakan-rakan sekerja Fazilah dari stesen ntv7 turut memeriahkan majlis.

Pasangan Zizan dan Fazilah Hani selamat diijabkabulkan pada 19 Mac lalu di Masjid Negara, Kuala Lumpur dengan hanya sekali lafaz.

Mar 20, 2010

Zizan Sah Bergelar Suami Fazilah Hani

Zizan mengucup dahi isterinya selepas selamat diijabkabulkan. Foto The Star. Oleh MOHD SAHAR MISNI

KUALA LUMPUR: Setelah tiga bulan mengikat tali pertunangan pelakon Zizan Nin, 37, sah bergelar suami kepada pembaca berita ntv7, Fazilah Hani Harun, 30, tepat jam 9.40 malam tadi di Masjid Negara, di sini.

Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim berwalikan bapa pengantin perempuan Datuk Harun Hashim dengan mas kahwin sebanyak RM 651.

Dengan hanya sekali lafaz, Zizan yang kini memikul tanggungjawab sebagai suami menzahirkan rasa syukur kerana majlis yang dirancang sejak beberapa bulan lalu berjalan dengan lancar.

"Perasaan saya ketika ini macam tidak percaya sudah jadi suami orang. Perancangan selepas ini kami sekeluarga akan mengerjakan umrah pada 31 Mac selama 10 hari.

"Selepas itu saya akan balik menyambung tugas penggambaran drama di Korea selama dua minggu dan selepas itu baru kami pergi berbulan madu,"katanya.

Sementara itu, Fazilah Hani mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah sebentar tadi. Katanya, dia sangat gembira terharu dan menganggap sudah suratan dan jodohnya dengan pelakon itu.

"Bagi saya Zizan seorang lelaki yang baik, kelakar dan dia seorang yang pandai masak. Saya senang bersama dengannya.

"Kami harap hubungan ini sampai ke akhir hayat," jelasnya.

Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, Zizan memberitahu bahawa dia tidak merancang tetapi menyerahkan segalanya kepada Allah, namun dia berharap akan mendapat cahaya mata secepat yang mungkin bagi mewarnai kehidupan rumah tangganya.

Pada majlis itu, Hani menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM20,000 dan membalas kepada Zizan dengan sembilan dulang hantaran.

Antara barang hantaran yang diberi pihak Zizan kepada Hani terdiri dari Sirih junjung, kain telekung, beg tangan, Kasut, Mas kahwin bernilai RM 651, cek bernilai RM20,000, dan barangan mekap.

bergambar bersama keluarga kedua-dua belah pihak

Manakala Zizan pula menerima Al-Quran, Manisan, tali pinggang, set penjagaan kuilit, minyak wangi, kasut, kemeja, minyak wangi dan sirih junjung.

Pasangan pengantin ini akan diraikan dalam majlis resepsi pada malam esok di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.