SEDAR atau tidak, industri hiburan di Malaysia sejak setahun dua kebelakangan ini sebenarnya lebih meriah dengan cerita peribadi artis terutama mengenai kisah cinta, kahwin dan cerai. Paling menarik dan mengejutkan masyarakat ialah kisah artis bercerai berai. Mungkin ramai tidak sedar, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini saja ada lebih 10 kes perceraian membabitkan pasangan artis menjadi bahan berita dalam media massa.
Tak payahlah kita sebut kes cerai artis mana tetapi kalau imbas semula, memang tahun ini banyak kes cerai termasuk kes yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah, tuntutan fasakh, sebutan semula kes, perebutan hak penjagaan anak atau pengesahan lafaz cerai.
Kepada artis yang kini berhasrat berumah tangga atau mereka yang kini dalam percintaan dan merancang nak berkahwin, mereka seharusnya mengambil iktibar apa yang berlaku terhadap nasib rumah tangga rakan artis mereka. Memanglah soal jodoh pertemuan di tangan Tuhan tetapi perceraian adalah perkara halal yang dibenci Tuhan.
Persiapan untuk jadi suami atau isteri sebenarnya bukan mudah, ia bukan sekadar ukuran pada keupayaan fizikal, faktor ekonomi atau usia tetapi bersedia dari segi mental dan spiritual. Yang penting, persiapan ilmu untuk jadi suami atau isteri itu penting, tahu meletakkan kehendak dan kedudukan nafsu pada tempat yang betul, bijak kawal diri dan apabila memegang status sebagai ‘laki orang’ atau ‘bini orang’, hendaklah bawa tanggungjawab itu di mana-mana.
Memanglah kes perceraian di kalangan bukan artis juga banyak jumlahnya tetapi apabila pasangan artis bercerai, ia mendapat perhatian dan memberi tanggapan negatif mengenai dunia artis kita. Hinggakan pernah suatu ketika apabila saya berjumpa saudara mara di kampung, persoalan yang mereka bangkitkan kenapa artis Malaysia kerap sangat bercerai, dan lebih memalukan mereka bertanya kenapa artis kita mudah kahwin dan mudah pula bercerai, macam biskutlah!
Apabila keluar gosip bercinta, mereka sungguh-sungguh menafikan, kemudian apabila dah dekat nak kahwin baru mengaku bercinta kemudian buat majlis persandingan mewah macam anak raja dan ada VIP yang datang. Kemudian beberapa tahun kemudian, dah keluar pula cerita bercerai dalam media massa. Sebab itu peminat geleng kepala dan hairan, kenapa dunia rumah tangga artis kita sering berkocak dan tidak tenteram.
Artis mungkin anggap soal kahwin macam kerja main-main atau mereka ingat kahwin tu macam babak dalam filem saja!
Malah, pernah saya juga kawan apabila melihat gambar perkahwinan artis tersiar dalam akhbar, dia akan mengomel dan membuat jangkaan dengan berkata: “Kalau lihat pasangan macam ni, aku rasa mereka sempat kahwin dalam tiga tahun saja, ataupun tidak sampai.” Ada juga yang berkata: “Aku berani bertaruh mereka kahwin ni tak sampai lima tahun, tentu nanti bercerai...”
Inilah bahananya apabila artis kita semakin kerap bercerai hingga peminat pun dah jadikan ia macam bahan gurauan. Seolah-olah kes cerai artis bagaikan sudah sinonim dengan dunia hiburan di Malaysia bagi menambahkan lagi kemeriahan industri hiburan kerana kerjaya dan pencapaian artis Malaysia tidak juga seberapa mana.
Moral ceritanya, artis yang ada ramai peminat dan pengaruh dalam masyarakat haruslah bijak menangani kes rumah tangga mereka. Kalau ikut hati mati, ikut rasa binasa dan ikut nafsu jadi ‘hantu’ dibuatnya. Sesekali boleh juga artis ambil pesanan Nabil Raja Lawak: “Lu fikirlah sendiri...!”
Namun, ramai juga pasangan artis yang berjaya mempertahankan rumah tangga mereka dan bahagia bersama anak mereka yang ramai, malah bagi mereka yang dah veteran, sudah pun bercucu. Sama-samalah kita ambil iktibar apa yang berlaku di sekeliling kita untuk kebaikan diri dan keluarga sendiri.