Feb 18, 2010

Tuntutan RM1.38j: Nash Diarah Fail Pembelaan 25 Mac

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 25 Mac ini untuk penyanyi rock, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 50, memfailkan pembelaan terhadap tuntutan harta bernilai RM1.38 juta oleh bekas isterinya Datuk Sosilawati Lawiya.

Hakim Abu Zaky Mohamed menetapkan tarikh tersebut pagi ini yang turut dihadiri Nash bersama peguamnya Almi Embong manakala Sosilawati pula diwakili peguamnya Datuk Zaidi Zain.

Kedua-dua mereka berpakaian warna sedondon hitam tetapi dilihat tidak bertegur sapa antara satu sama lain.

Pada 12 Januari lalu, bekas pasangan suami isteri terbabit gagal mencapai kata sepakat berhubung tuntutan RM1.38 juta pada sesi sulh di mahkamah yang sama.

Sesi sulh (perbincangan secara baik) yang berlangsung selama kira-kira 20 minit itu menyaksikan kedua-dua pihak tidak bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik, sebaliknya mereka mahu meneruskan kes secara prosiding di mahkamah.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan kes bagi membolehkan Nash selaku defendan memfailkan pembelaan terhadap tuntutan yang difailkan oleh bekas isterinya itu.

Sosilawati selaku plaintif pada 20 November tahun lalu memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini supaya Nash mengembalikan modal dan wang yang kesemuanya dengan nilai tersebut.

Tuntutan tersebut melibatkan modal pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) yang kesemuanya berjumlah RM200,000 serta Public Mutual Berhad sebanyak RM500,000.

Nash juga dituntut mengembalikan wang berjumlah RM480,000 yang dikeluarkan oleh Sosilawati untuk menyelesaikan pinjaman bank dan bayaran berkaitan sebuah rumah di Seksyen 7 di sini.

Sosilawati turut memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah supaya harta yang membabitkan ASB, ASW 2020, Saham Public Mutual Berhad dan rumah di Seksyen 7 itu diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

Sosilawati dan Nash berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor namun bercerai talak satu di depan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada 26 Mei tahun lalu.

Feb 8, 2010

Memey: Keluarga Sudah Beri Restu, Cuma Tunggu Masa…

Hanya masa yang akan menyaksikan pasangan kontroversi, Memey dan Norman (kanan) disatukan.

BIARPUN belum mengakui secara rasmi yang mereka sedang bercinta, pasangan pelakon Memey Suhaiza dan Norman Hakim tidak menyembunyikan keintiman mereka.

Misalnya, gambar-gambar yang dirakamkan bersama seperti yang tersebar di Internet jelas menunjukkan pasangan ini sedang dilamun cinta.

Malah pasangan bahagia ini juga semakin berani muncul berdua-duaan di khalayak ramai.

Baru-baru ini, Memey dan Norman dilihat datang menaiki kereta yang sama ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi prosiding kes khalwat mereka.

Diusik kepada pasangan ini, Norman menjawab ini bukan pertama kali mereka menaiki sebuah kereta.

“Memang kami sudah banyak kali datang bersama,” ujar Norman sambil berlalu keluar dari mahkamah.

Dalam keadaan tergesa-gesa, Norman meminta izin untuk pulang kerana mahu menghantar anaknya ke sekolah pada pukul 1 petang itu.

Ramai yang tertanya-tanya bilakah pasangan kontroversi ini bakal menamatkan hubungan mereka ke jinjang pelamin.

Sementara itu, menurut peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan, tidak menjadi masalah untuk Norman dan Memey bernikah walaupun kes khalwat mereka masih berjalan.

Namun begitu, katanya lagi, tidak bermakna kes itu akan berakhir setelah mereka berkahwin kerana ia sudah didakwa di mahkamah.

Dalam nada gurau, di hadapan pasangan itu, Fakhrul berkata Memey dan Norman akan berkahwin selepas kes mereka selesai dan pastinya perkahwinan mereka akan menjadi wedding of the year.

Lantas, Norman menambah: “Buat apa wedding of the year, nanti perkahwinan itu tidak kekal lama… saya lebih suka melihat perkahwinan Norman KRU, dia hanya buat ringkas sahaja.”

Mendengar jawapan itu, adakah mereka sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga?

“Kami belum merancang untuk berkahwin. Itu hanya contoh sahaja,” jelas Norman sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Memey yang ditemui tidak menafikan perancangan untuk berkahwin memang sudah ada tetapi biar masa yang menentukan.

“Sekarang kami belum merancang untuk berkahwin tetapi kalau perancangan ke arah itu memang ada. Saya masih muda dan perlu stabilkan karier saya terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, keluarga masing-masing dah kenal antara satu sama lain dan memberi restu. Cuma tunggu masa sahaja dan semuanya berbalik kepada soal jodoh,” luahnya yang tidak kisah seandainya dia tidak bertemu jodoh dengan Norman.

Memey juga berkata sebab itu dia tidak mahu terlalu awal untuk membuat keputusan dan bercerita tentang perkahwinan.

Serina 'Bunting Pelamin', Chef Wan Teruja Dapat Gelaran 'Datuk' Lagi

AYAH mana yang tidak gembira bila mendengar berita yang anak perempuan kesayangannya hamil, hanya beberapa hari setelah dikurniakan gelaran 'Datuk'.

Tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail @ Chef Wan sukar hendak menggambarkan perasaannya dengan kata-kata setelah berita gembira itu disampaikan oleh Serina sebaik saja dia pulang dari berjumpa doktor petang tadi.

Chef Wan yang menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Serina sekitar jam 5 petang tadi hanya mampu memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana sememang itulah yang diinginkan olehnya.

Serina yang 'bunting pelamin' telah diijab kabulkan dengan Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010 di Masjid Wilayah Persekutuan. Pasangan yang sama cantik dan sama padan itu telah diraikan dalam enam resepsi.

Kemuncak segala majlis resepsi Serina Redzuawan dan suami tercinta berlangsung dengan penuh tradisi dalam satu majlis yang berkonsepkan persandingan dalam taman di mana Serina dan suami mengenakan pakaian rekaan Radzuan Radziwill berwarna lavender dan aktres rupawan itu didandan bak Puteri Rania, di The Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada 3 Januari.

"Saya tidak sangka Allah kabulkan permintaan saya secepat ini. Alhamdulillah saya begitu gembira sampai terbayang-bayang gambar sikenit tu," jelas Chef Wan yang kini berada di Macau.

Jelasnya lagi, "Sejurus selepas saya mendapat berita itu ketika saya sibuk di penggambaran St Paul Ruins, Macau, hati saya melonjak kegembiraan. Tuhan selalu memberi apa yang saya hendak.

"Saya memang suka kanak-kanak. Merekalah anugerah yang tidak ternilai oleh Allah. Anak-anak adalah amanah dan amanah itu mesti dijaga dengan baik. Terus saya terbayang, saya akan masak dengan tiga generasi Chef.

"Chef 3, si kecik ni yang akan melihat macam mana Tok Wan dia menceceh depan TV memasak. Alangkah bahagianya kalau perkara itu terjadi... insya Allah," kata chef berusia 53 tahun itu.

Chef Wan tidak lupa menitipkan pesan dan nasihat untuk Serina agar menjaga kandungan baik-baik.

"Saya pesan pada Serina agar jangan lasak-lasak dan cuba berehat, makan makanan yang berzat dan jangan tinggal sembahyang serta bersyukur pemberian yang terlalu istimewa ini.

"Saya juga akan mencarikan Serina buku parenting dr Spock tu supaya dia boleh membaca dan mengambil tips dari situ. Malah ketika bekas isteri saya mengandungkan Nazri (Chef Riz), itu pun bunting pelamin juga....," kata Chef Wan yang juga menghubungi menantu kesayangannya Salahauddin untuk mengucapkan tahniah.

Katanya lagi, "Saya juga menasihatkan Salahuddin agar jaga Serina baik-baik. Saya sudah terbayang wajah comel cucu saya. Saya juga sudah tawarkan diri pada Salahuddin untuk jadi babysitter bila dah ada baby nanti."

Dan memandangkan keadaan Serina yang kini berbadan dua, resepsi perkahwinan yang dirancang diadakan di Sg Koyan terpaksa dibatalkan dan kemungkinan diganti dengan acara majlis cukur jambul kata Chef Wan.

"Saya pernah bersenda dengan Serina dan Salahuddin tentang resepsi di Sg Koyan. Saya ckapa jangan lambat-lambat nanti bunting pelamin pula. Tak sangka masin pula cakap saya.

"Malah Salahuddin juga pernah melawak katanya dia akan beri saya hadiah 'Chef 3' selepas Chef Wan dan Chef Riz. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat segala limpah kurniaNya," kata Chef Wan separuh sebak. Sebelum mengakhiri perbualan, Chef Wan dengan nada riang berkata, "Siapa sangka ye, saya akan dapat dua title 'Datuk' tahun ini. Inilah keajaiban."