SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 25 Mac ini untuk penyanyi rock, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 50, memfailkan pembelaan terhadap tuntutan harta bernilai RM1.38 juta oleh bekas isterinya Datuk Sosilawati Lawiya.
Hakim Abu Zaky Mohamed menetapkan tarikh tersebut pagi ini yang turut dihadiri Nash bersama peguamnya Almi Embong manakala Sosilawati pula diwakili peguamnya Datuk Zaidi Zain.
Kedua-dua mereka berpakaian warna sedondon hitam tetapi dilihat tidak bertegur sapa antara satu sama lain.
Pada 12 Januari lalu, bekas pasangan suami isteri terbabit gagal mencapai kata sepakat berhubung tuntutan RM1.38 juta pada sesi sulh di mahkamah yang sama.
Sesi sulh (perbincangan secara baik) yang berlangsung selama kira-kira 20 minit itu menyaksikan kedua-dua pihak tidak bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik, sebaliknya mereka mahu meneruskan kes secara prosiding di mahkamah.
Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan kes bagi membolehkan Nash selaku defendan memfailkan pembelaan terhadap tuntutan yang difailkan oleh bekas isterinya itu.
Sosilawati selaku plaintif pada 20 November tahun lalu memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini supaya Nash mengembalikan modal dan wang yang kesemuanya dengan nilai tersebut.
Tuntutan tersebut melibatkan modal pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) yang kesemuanya berjumlah RM200,000 serta Public Mutual Berhad sebanyak RM500,000.
Nash juga dituntut mengembalikan wang berjumlah RM480,000 yang dikeluarkan oleh Sosilawati untuk menyelesaikan pinjaman bank dan bayaran berkaitan sebuah rumah di Seksyen 7 di sini.
Sosilawati turut memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah supaya harta yang membabitkan ASB, ASW 2020, Saham Public Mutual Berhad dan rumah di Seksyen 7 itu diisytiharkan sebagai harta sepencarian.
Sosilawati dan Nash berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor namun bercerai talak satu di depan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada 26 Mei tahun lalu.