May 14, 2009

'Kami berbeza, tapi serasi' - Ikhwan

Perbezaan di antara Ikhwan dan Wardina menjadikan hubungan mereka sentiasa ada warna, menjadi tangga-tangga yang tidak pernah putus untuk didaki bersama.


IKHWAN (kiri) mengakui isterinya seorang yang banyak cakap, sebaliknya dia pendiam. Namun, mereka bijak mencari titik keserasian.


LEBIH enam tahun lalu mereka adalah pasangan muda yang sama-sama berkongsi matlamat hidup. Restu ibu bapa dan akad yang menyatukan atas landasan suci bernama suami isteri ternyata menjelmakan sebuah kehidupan penuh makna.

Kalau dahulu janji mereka untuk hidup berdua, kini mereka sudah berlima, sama-sama berpayung atas limpahan rezeki Ilahi. Itulah tanda hikmah dan rahmat Yang Esa buat pasangan Wardina Saffiyyah, 30 dan suaminya, Ikhwan Johari, 34.

Akui Ikhwan, mengenali isterinya, Wardina dari bujang sehinggalah berkahwin dan beranak-pinak, mereka sebenarnya sama-sama mengenal dunia, menjadi dewasa dalam kehidupan dan menjadi matang bersama-sama.

Setelah bergelar suami dan ayah kepada tiga orang anak, Ikhwan banyak berubah. Antaranya, mengenepikan ego lelaki yang bersarang dalam diri.

"Kahwin itu matlamatnya untuk mendapatkan keredaan Allah. Jadi, jika berlaku sebarang masalah, tidak puas hati sampai ke tahap mana sekali pun, saya cuma ingatkan diri tentang matlamat asal kenapa saya berkahwin.

"Dalam hubungan kami, antara saya dan Wardina tiada sesiapa yang cepat meradang tetapi selalunya ada sahaja percanggahan idea," luah Ikhwan menceritakan secubit asam garam hubungannya bersama isteri.

Mengenali wanita bernama Wardina, wanita itu memang petah berkata-kata. Lihat sahaja betapa arifnya Wardina menyusun patah bicaranya sewaktu menjadi hos atau perantara dalam mana-mana program TV. Dia juga pelakon dan pengacara yang punya gaya tersendiri. Tuturnya pantas, jelas dan berisi menterjemahkan apa yang tersimpan di mindanya.


IKHWAN (dua dari kanan) dan Wardina bahagia bersama tiga cahaya mata mereka Amna Nafisa (kanan), Azra Sareera (kiri) dan Imran Arrazi (depan).


Menyimpulkan apa yang cuba dikongsi bersama, Ikhwan selesa diajak berbual. Walhal secara peribadinya, dia bukanlah lelaki yang peramah. Si isteri jenis yang tidak pernah kering idea dan boleh bercakap tentang apa sahaja dalam apa jua keadaan manakala si suami pula, hanya bercakap secara minimum.

Mungkin juga sudah lumrah, lelaki yang agak pendiam sudahnya berjodoh dengan wanita yang peramah.

"Saya tak nafikan dia seorang yang banyak, banyak dan sangat banyak cakap," ujar Ikhwan tersenyum penuh makna.

Tambahnya : "Kalau ada sesuatu perkara yang perlu diputuskan, dia akan tampil dengan banyak hujah. Saya pula jenis yang akan bercakap apa yang perlu sahaja tetapi itu tidak bermakna saya diam kerana tidak tahu apa yang hendak diperkatakan, cuma tunggu masa yang sesuai."

Mungkin juga perbezaan itu menjadikan hubungan Ikhwan dan Wardina sentiasa ada warna, menjadi tangga-tangga yang tidak pernah putus untuk didaki bersama.

Wardina berdarah kacukan Australia-Acheh. Bapanya berbangsa Inggeris manakala ibunya, Melayu Acheh. Sementara Ikhwan mengakui jati dirinya sebagai Melayu tulen. Mungkin kerana dilahirkan dan meneruskan pengajian di United Kingdom membuka mindanya untuk layak bergelar Melayu urban.

"Perbezaan sosiobudaya, perkara itulah yang kami hadapi. Wardina lahir dalam keluarga kacukan dan menjadi tradisi mereka untuk berhak bercakap apa sahaja tanpa memendam perasaan. Saya tidak, lahir daripada keluarga Melayu total. Tapi mujurlah, dengan latar belakang yang saya ada, sedikit budaya Inggeris itu sudah masuk ke dalam diri. Kalau tidak, susah juga," katanya seraya tersenyum.


IMRAN ARRAZI permata bongsu Wardina dan Ikhwan yang baru sembuh daripada demam.





Bukan Intuisi Cinta namanya jika cerita sebelah pihak sahaja yang menjadi tatapan. Bukan berniat memperbesarkan konflik dalam rumah tangga, tetapi Wardina mengakui, apa yang indah dan senyuman di bibir bukan penentu sesebuah rumah tangga itu terhindar daripada permasalahan.

"Benar kami sangat berbeza, Ikhwan sukakan warna putih saya pula memilih hitam, dia pendiam dan saya tidak. Semua itu realiti hidup kami. Walaupun isu itu nampak kecil tapi ada masanya saya tertekan.

"Apa yang saya luahkan tidak mendatangkan sebarang reaksi tapi ada baiknya, jika kami sama-sama berlawan cakap, bergaduh besar pula. Alhamdulillah, sampai ke saat ini kami uruskan semua itu dengan baik. Di sebalik perbezaan sikap itulah kami menemui keserasian, itulah hikmahnya," getus Wardina optimis.

Meluahkan siapa Ikhwan di matanya, Wardina sebenarnya faham benar dengan didikan dan latar belakang Ikhwan yang jauh berbeza daripadanya.

"Dia bukan macam saya, dia tidak pernah kenal dunia yang saya lalui, dia pandai dan rajin belajar, jalan hidupnya lurus. Saya tidak, saya malas dan suka ke sana ke mari. Saya ada zaman remaja yang nakal dan Ikhwan sendiri terkejut dengan apa yang saya lalui," jelas Wardina menjadi wanita impian Ikhwan selepas bertukar imej sekitar tahun 2002.

Jelas Wardina, setiap pasangan pasti mengalami kesukaran. Demikianlah yang berlaku dengan hidup mereka. Nampak senang, ceria, bahagia dan gembira di dada akhbar dan majalah, tetapi isi seharian, banyak tangisan dan keperitan yang dilalui bersama.

"Kami pernah menangis dan hidup susah bersama. Saya bukannya kahwin dengan 'Datuk' atau 'Tan Sri' sebaliknya orang biasa. Setiap hari kena berusaha untuk mencari rezeki tapi saya terima itu semua dengan reda. Bagi saya kebahagiaan hakiki bukan terletak pada jenama beg tangan atau kereta mewah yang kami miliki. Saya tidak pernah menyesal menolak banyak lamaran orang kenamaan atau VIP kerana yang saya mahukan adalah seorang lelaki yang boleh menjadi kawan dan menyayangi saya setiap masa," luah Wardina sedikit beremosi.

Sebab itulah kata Wardina, dia tidak menyangka dipertemukan Tuhan dengan Ikhwan menerusi alam maya.

"Masa tengah popular dulu, jiwa saya resah dengan bermacam dugaan. Banyak juga 'Datuk' masuk melamar dan ada yang ajak saya kahwin, semuanya saya tolak. Saya cuma berdoa semoga Allah temukan lelaki yang terbaik untuk saya. Tiba-tiba tergerak untuk saya membalas e-mel Ikhwan," tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu ceria.

Kata Ikhwan pula, dia langsung bukan peminat dan tidak pernah meminati Wardina Saffiyyah yang ketika itu berada di puncak populariti.

"Masa itu saya baru balik dari UK dan ada perasaan untuk mencari teman hidup. Saya nampak gambar Wardina dalam majalah dan tertarik dengan imej dia. Dia bertudung dengan sempurna dan saya suka wanita begitu. Saya hantar e-mel dan e-mel saya berbalas pada hari yang sama ia dihantar. Sejak itulah kami mula berhubung," cerita Ikhwan serba sedikit.

Apakah kriteria Ikhwan yang menambat hatinya? "Dia bijak, lulusan luar negara. Itu yang saya harapkan, saya mahukan lelaki yang bijak."

Kata Wardina, dia amat bersyukur kerana Tuhan menyayangi dirinya dengan menganugerahkannya seorang lelaki yang baik dan sabar.

"Ikhwan seorang yang penyabar, dia sabar melayan sikap degil dan keras kepala saya selama ini. Saya akui, saya bukan wanita Melayu terakhir seperti yang menjadi impian suami saya," jelasnya sambil tertawa.

Dalam soal didikan anak-anak, Wardina dan Ikhwan sepakat dengan setiap pendirian dalam membentuk orientasi keluarga. Kata Wardina, dia tidak mahu anak-anak keliru seperti apa yang berlaku kepadanya dulu kerana ibu bapanya mempunyai cara pemikiran yang berbeza-beza.

Sebolehnya Wardina tidak mahu anak-anak melalui apa yang pernah dilaluinya dulu. Hanya dengan doa, usaha dan didikan agama dan sikap mencintai ilmu yang diterapkan sejak kecil, dia berharap anak-anaknya tidak lalai dengan hiburan dan arus pemodenan hari ini. Pesanan ibu, supaya jangan tunggu lama untuk mendoakan kesejahteraan hidup anak-anak menjadi ikutan Wardina setiap masa

No comments: