Nov 24, 2009

Suami Ida Nerina mengaku lafaz cerai

zulsham@kosmo.com.my
SHA'ARIN (kiri) berjalan keluar bersama peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Selepas insiden terjatuh di kediamannya sehingga cedera tulang belakang, aktres Ida Nerina dan suaminya, Sha'arin Mohammed Razali kini dikatakan sudah bercerai dan tidak tinggal sebumbung sejak September lalu.

Sha'arin, 40, bekas ahli kumpulan Blackrose juga memberitahu dia telah meninggalkan heroin filem Anak dan Susuk itu yang kini tinggal bersama dengan pembantu rumah di rumah kelamin mereka di Kosmopolitan Damansara Perdana.

Pemuzik itu berkata demikian semasa sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan menerusi peguam syarie, Mahyuddin Md. Zahari di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Permohonan pengesahan lafaz cerai tersebut dibuat mengikut Seksyen 55(a) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Sha'arin selaku plaintif memfailkan permohonan tersebut pada 29 Oktober lalu terhadap Ida Nerina Hussein, 45, (defendan) kerana didakwa sudah melafazkan cerai pada Hari Raya Aidilfitri kedua pada September lalu.

Terdahulu, ketika ditanya Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamed Zin berhubung ketidakhadiran defendan, plaintif memaklumkan bahawa dia telah menghubungi Ida Nerina melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung perkara itu namun tidak dijawab.

Plaintif kemudian menjelaskan bahawa dia sudah tidak tinggal bersama dengan defendan sejak September lalu iaitu selepas dia melafazkan cerai terhadap Ida Nerina di rumah kelamin mereka di Kosmopolitan Damansara Perdana.

No comments: