Jan 11, 2009

Status Aziz 8 Februari - Sanggup terima Nor Radhiah jika perkahwinan lalu sah


WAJAH Nor Radhiah di luar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menetapkan 8 Februari ini untuk menentukan status perkahwinan pengarah dan pelakon, Aziz M. Osman, 47 dan Nor Radhiah Ramli, 23.

Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua pihak mengemukakan afidavit tambahan di hadapan Ketua Hakim Syarie, Datuk Ismail Yahya yang dibicarakan secara tertutup.

Pasangan tersebut yang memakai pakaian sedondon berwarna kuning dilihat hadir ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dan dipanggil masuk ke bilik Sulh (bilik perbicaraan secara tertutup) kira-kira 10 minit kemudian.

Nor Radhiah yang diwakili peguam, Mukhtar Abdullah hadir ditemani bapanya, Ramli Yusof, 53, ibu tirinya, Sakinah Lop Ahmad, 51, abang Nor Radhiah, Mohd. Ridhuanizam, 29, dan kakak iparnya, Mariana Ibrahim, 25.

Aziz yang diwakili peguam Che Amli Embong ditemani anak lelakinya, Putra Mohd. Aiman, 13.

Nor Radhiah yang ditemui di luar kamar bicara memberitahu, perbicaraan secara tertutup itu dipohon kedua-dua belah pihak supaya kes tersebut dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

"Apa juga keputusannya saya serah pada kebijaksanaan hakim.

"Masa depan perkahwinan ini sama ada ia sah atau tidak, saya serah pada Aziz,'' kata guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) itu yang berharap kes tersebut dapat diselesaikan segera.

Bagaimanapun, Nor Radhiah memberitahu, Aziz tidak menghubunginya sejak kes tersebut mula dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah pada 23 November tahun lalu.

Isu perkahwinan pasangan itu tercetus apabila ibu Aziz, Afida Es mengatakan perkahwinan anaknya itu tidak sah kerana Nor Radhiah berkahwin dengan Aziz dalam tempoh edah selepas bercerai dengan suaminya sebelum ini.

No comments: