Mar 20, 2010

Zizan Sah Bergelar Suami Fazilah Hani

Zizan mengucup dahi isterinya selepas selamat diijabkabulkan. Foto The Star. Oleh MOHD SAHAR MISNI

KUALA LUMPUR: Setelah tiga bulan mengikat tali pertunangan pelakon Zizan Nin, 37, sah bergelar suami kepada pembaca berita ntv7, Fazilah Hani Harun, 30, tepat jam 9.40 malam tadi di Masjid Negara, di sini.

Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim berwalikan bapa pengantin perempuan Datuk Harun Hashim dengan mas kahwin sebanyak RM 651.

Dengan hanya sekali lafaz, Zizan yang kini memikul tanggungjawab sebagai suami menzahirkan rasa syukur kerana majlis yang dirancang sejak beberapa bulan lalu berjalan dengan lancar.

"Perasaan saya ketika ini macam tidak percaya sudah jadi suami orang. Perancangan selepas ini kami sekeluarga akan mengerjakan umrah pada 31 Mac selama 10 hari.

"Selepas itu saya akan balik menyambung tugas penggambaran drama di Korea selama dua minggu dan selepas itu baru kami pergi berbulan madu,"katanya.

Sementara itu, Fazilah Hani mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah sebentar tadi. Katanya, dia sangat gembira terharu dan menganggap sudah suratan dan jodohnya dengan pelakon itu.

"Bagi saya Zizan seorang lelaki yang baik, kelakar dan dia seorang yang pandai masak. Saya senang bersama dengannya.

"Kami harap hubungan ini sampai ke akhir hayat," jelasnya.

Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, Zizan memberitahu bahawa dia tidak merancang tetapi menyerahkan segalanya kepada Allah, namun dia berharap akan mendapat cahaya mata secepat yang mungkin bagi mewarnai kehidupan rumah tangganya.

Pada majlis itu, Hani menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM20,000 dan membalas kepada Zizan dengan sembilan dulang hantaran.

Antara barang hantaran yang diberi pihak Zizan kepada Hani terdiri dari Sirih junjung, kain telekung, beg tangan, Kasut, Mas kahwin bernilai RM 651, cek bernilai RM20,000, dan barangan mekap.

bergambar bersama keluarga kedua-dua belah pihak

Manakala Zizan pula menerima Al-Quran, Manisan, tali pinggang, set penjagaan kuilit, minyak wangi, kasut, kemeja, minyak wangi dan sirih junjung.

Pasangan pengantin ini akan diraikan dalam majlis resepsi pada malam esok di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

No comments: