Jan 16, 2009

Que persiap mental untuk bergelar suami dan bapa

RAMAI menjangkakan pelakon Que Haidar, 30, tidak layak untuk bergelar suami kepada jurutari profesional Linda Jasmine, 37, disebabkan faktor usia dan karektornya yang kurang matang. Namun, di pihak yang lain, ramai juga bersetuju dengan keputusan Que.

Secara analoginya, tuan empunya badan sendiri sudah memberikan alasan yang dia tidak mengambil kisah tentang usia dan menerima Linda seadanya termasuk dengan statusnya sebagai ibu tunggal kepada seorang anak, Qalif Khan.

Tanpa mengira apa jua kutukan orang, pasangan ini tetap akan mendirikan rumah tangga dan telah menetapkan tarikh 14 Februari depan untuk diijabkabulkan.

Mereka memilih Restoran Bora Ombak, Ampang sebagai lokasi pernikahan yang bakal disaksikan oleh keluarga dan teman rapat masing-masing.

Tinggal lebih kurang sebulan sahaja lagi, masakan masing-masing tidak berdebar menanti hari bahagia dan dalam masa yang sama sibuk menyediakan persiapan perkahwinan.

Kata Que atau nama sebenarnya Tengku Ishkan Shah Tengku Haidar, kebanyakan urusan bermula daripada pakaian pengantin sehinggalah majlis kenduri nanti, sebahagiannya diserahkan kepada bakal isterinya itu kerana lebih arif dan mengenali teman-teman yang mempunyai profesion perunding perkahwinan dan pereka fesyen terkenal.

Bagi diri Que sendiri, dia memikul sebahagian tanggungjawab lain dan selebihnya melakukan persediaan untuk bergelar seorang suami dan bapa.

“Bagi saya, persediaan mental dan persefahaman antara saya dan Linda perlu kuat. Saya tak boleh pentingkan diri-sendiri. Kadangkala, saya perlu juga bertolak ansur dengannya.

“Selain itu, sikap sabar juga penting untuk menempuh alam perkahwinan nanti. Saya perlu sentiasa mengingatkan diri-sendiri bahawa saya akan bergelar seorang suami dan bapa,” jawab Que yang kini semakin dikenali kerana bakat lakonannya.

Que berharap orang lain akan mendoakan kebahagiaannya dan Linda kelak. -foto The Star oleh SAMUEL ONG

Sehebat mana pun lakonan Que, dia juga perlu melunaskan tanggungjawab membimbing seorang isteri kelak.

Tegas Que, dia akui tanggungjawab tersebut amat berat untuk dipikul oleh sesiapa sahaja yang bergelar suami.

“Diikutkan, saya ni jenis seorang yang berfikiran terbuka tetapi saya akan cuba membimbingnya kelak.

“Saya akan cuba lakukannya demi kebahagiaan kami sekeluarga. Kebahagiaan itu penting dalam rumah tangga,” ulas Que yang turut mengambil contoh pengalaman ibu dan arwah bapanya menguruskan rumah tangga.

Tambah Que, dia kagumi sikap ibunya yang sangat menyayangi arwah bapanya sehingga tidak mahu berkahwin lagi.

Que juga mengambil contoh kedua bakal mertuanya yang hingga kini setia meniti kehidupan bersama.

“Saya berharap orang lain akan mendoakan kebahagiaan kami berkekalan seperti kedua ibu bapa kami,” luah Que yang enggan memberikan komen tentang isu pakaian seksi Linda ketika majlis pratonton filem Maut baru-baru ini.

Ujar Que : “Biarlah apa orang nak kata. Orang ada mata tengok, ada mulut cakap.”

Selepas Maut, Merempuh Karma pula

Que memegang watak JJ di dalam filem Maut yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang mulai semalam, 15 Januari.

Siapa tidak kenal dengan kehebatan lakonan Que di dalam filem bergenrekan thriller dan bermesejkan keislaman, Maut.

Filem ini sedang ditayangkan di pawagam mulai semalam, 15 Januari.

Begitu juga dengan filem terbaru, Merempuh Karma yang bakal dilakonkan oleh Que mulai 18 Mac depan.

Filem terbitan Secondlife Pictures Sdn. Bhd. itu merupakan sebuah filem bergenre aksi, memaparkan realiti kumpulan kongsi gelap dan kegiatan ala 'Mafia' di Malaysia sendiri.

Jika melihat kejayaan Que membawakan watak JJ di dalam filem Maut, maka tidak hairanlah jika dia bakal mengulangi kejayaan lakonannya melalui filem Merempuh Karma yang bakal ditayangkan mulai awal tahun depan.

Ditambah pula, Que juga turut bekerjasama dengan otai-otai dalam bidang lakonan seperti Ahmad Yatim, Sidi Oraza, Fauziah Nawi dan Rosyam Nor.

"Saya rasa bertuah kerana terpilih untuk berlakon dengan pelakon-pelakon hebat seperti Fauziah Nawi, Faizal Hussein, Ahmad Yatim, Sidi Oraza dan Rosyam Nor.

"Siapalah saya untuk berlakon sebaris dengan mereka. Jadi, peluang ini merupakan penghargaan untuk saya.

"Bodohlah saya kalau menolak tawaran untuk berlakon filem ini," ujar Que yang memegang watak Abban iaitu salah seorang watak utama dalam filem Merempuh Karma.

Menurut Que, dia belum selesai membaca skrip filem tersebut. Oleh itu, dia belum dapat memberikan gambaran sebenar tentang perwatakan Abban.

Filem menelan belanja sekitar RM1.8 juta ini bakal menjalani pengambaran selama 60 hari di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan London.

Filem arahan Azhar Yunus ini turut dilakonkan oleh Hasnol Rahmat, Raja Farah, Liyana Jasmay, Kamal Adli dan beberapa pendatang baru.

Jan 13, 2009

Permohonan bekas isteri penjarakan AC Mizal ditolak


SHAFNIE



NORISH


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menolak permohonan bekas isteri AC Mizal, Shafnie Zainuddin, 34, untuk menghantar bekas suaminya itu atau nama sebenarnya, Mizal Zaini, 38, ke penjara.

Shafnie memfailkan permohonan itu pada 10 September lalu bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah semalam ketika keputusan itu dibacakan oleh Hakim Abu Zaky Mohamad.

Dalam keputusannya, Abu Zaky membenarkan bantahan awal pengacara terkenal itu untuk mengetepikan permohonan Shafnie yang memohon supaya satu perintah menghina mahkamah dikeluarkan bagi menghantar AC Mizal ke penjara.

Permohonan itu dibuat kerana wanita itu mendakwa bekas suaminya gagal menjelaskan tunggakan nafkah dua anak lelaki mereka berjumlah RM50,000.

Bagaimanapun, hakim meminta Shafnie memfailkan permohonan itu di mahkamah yang ada bidang kuasa dengan kes tersebut, dengan kos ditanggung oleh kedua-dua pihak.

Terdahulu, di mahkamah yang sama, AC Mizal yang diwakili peguam Siti Aishah Din turut memohon tarikh baru untuk mengubah kes hak jagaan anak yang difailkan pada September 2008

Jan 12, 2009

Erema terima mesej berbaur ugutan oleh Seri Bayu

PETALING JAYA: Sehari sebelum kes penceraian penyanyi Erema dan suaminya, penulis lirik Seri Bayu dibicarakan, dia telah menerima mesej berbaur ugutan oleh suaminya itu semalam.

Menurut Erema, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) itu berkata: “Awak tengoklah esok (hari ini), siapa yang fitnah siapa.”

Erema atau nama sebenarnya Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 26, hadir di mahkamah bersama rakannya, penyanyi Sharifah Azizah Syed Zain atau Rifa kira-kira pukul 9 pagi tadi manakala Seri Bayu atau Jamaludin Sulik gagal menghadirkan diri kerana masalah kesihatan.

Walaupun penulis lirik berusia 44 tahun itu masih berdegil dan enggan melepaskan isterinya, Erema bagaimanapun nekad dan berharap agar kes penceraian mereka akan menemui titik noktah dalam masa terdekat ini.

“Saya berharap supaya kes penceraian ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini kerana tidak mahu hal ini berlarutan sehingga semua perkara diketahui oleh orang ramai,” luah Erema ketika ditemui selepas perbicaraan kes tersebut di luar mahkamah, di sini, hari ini.

Namun, pihak Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini memutuskan untuk membawa kes penceraian Seri Bayu dan Erema pada 11 Mac depan, pukul 2 petang.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad membenarkan permohonan peguam syarie Halipah Abdul Manaf yang mewakili Erema untuk memasukkan penyata pindaan bagi memastikan tuntutan penceraian lengkap dan menguatkan tuntutan permohonan.

Sementara itu, peguam syarie Noorafizah Abdul Aziz yang mewakili Seri Bayu pula menyatakan beliau tidak mempunyai bantahan untuk plaintif (Erema) mengemukakan hujahan itu. Pihak mereka akan menyatakan penyataan pembelaan pada tarikh tersebut.

Apabila ditanya sama ada dia mengetahui tentang keadaan dan kesihatan suaminya sebelum ini, Erema berkata dia ada mendengar berita tentang kesihatan suaminya itu melalui keluarganya.

“Keluarga saya ada memberitahu saya yang Abang Seri Bayu beransur sihat dan sudah boleh bergerak sedikit demi sedikit dengan sendiri. Alhamdulillah..,” kata Erema.

Erema menambah, kini dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan suaminya kerana suaminya dijaga oleh keluarga angkat.

Namun, Erema berkata kadangkala mereka ada juga berhubung melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

“Abang Seri Bayu ada juga menghantar SMS kepada saya seperti bertanya khabar dan ucapan Selamat Tahun Baru baru-baru ini.

“Saya juga menghantar mesej meminta dia lepaskan saya dengan cara yang baik kerana dia akan memfitnah saya yang bukan-bukan apabila terlalu sakit hati dan tertekan.

“Saya faham sangat dengan perangai dia tetapi tak boleh cakap apa-apa,” kata Erema.

Erema memfailkan kes cerai tersebut pada awal bulan November tahun lalu.Seri Bayu bernikah dengan Erema, yang berasal dari Kuching Sarawak pada 19 Disember 2006 di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa, Kuala Lumpur.

Ia perkahwinan kedua buat Seri Bayu selepas bercerai dengan isteri pertamanya pada 2002. Hasil perkahwinan pertama, Seri Bayu dikurniakan lima anak berusia antara 7 hingga 15 tahun iaitu Muhamad Akmal, 13, Muhamad Aiman, 12, Muhamad Aizam , 9, Ally Farjana, 7, dan Muhamad Adham, 5.

Jan 11, 2009

Status Aziz 8 Februari - Sanggup terima Nor Radhiah jika perkahwinan lalu sah


WAJAH Nor Radhiah di luar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menetapkan 8 Februari ini untuk menentukan status perkahwinan pengarah dan pelakon, Aziz M. Osman, 47 dan Nor Radhiah Ramli, 23.

Keputusan itu dicapai selepas kedua-dua pihak mengemukakan afidavit tambahan di hadapan Ketua Hakim Syarie, Datuk Ismail Yahya yang dibicarakan secara tertutup.

Pasangan tersebut yang memakai pakaian sedondon berwarna kuning dilihat hadir ke mahkamah kira-kira pukul 9 pagi dan dipanggil masuk ke bilik Sulh (bilik perbicaraan secara tertutup) kira-kira 10 minit kemudian.

Nor Radhiah yang diwakili peguam, Mukhtar Abdullah hadir ditemani bapanya, Ramli Yusof, 53, ibu tirinya, Sakinah Lop Ahmad, 51, abang Nor Radhiah, Mohd. Ridhuanizam, 29, dan kakak iparnya, Mariana Ibrahim, 25.

Aziz yang diwakili peguam Che Amli Embong ditemani anak lelakinya, Putra Mohd. Aiman, 13.

Nor Radhiah yang ditemui di luar kamar bicara memberitahu, perbicaraan secara tertutup itu dipohon kedua-dua belah pihak supaya kes tersebut dapat diselesaikan dengan lebih cepat.

"Apa juga keputusannya saya serah pada kebijaksanaan hakim.

"Masa depan perkahwinan ini sama ada ia sah atau tidak, saya serah pada Aziz,'' kata guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) itu yang berharap kes tersebut dapat diselesaikan segera.

Bagaimanapun, Nor Radhiah memberitahu, Aziz tidak menghubunginya sejak kes tersebut mula dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah pada 23 November tahun lalu.

Isu perkahwinan pasangan itu tercetus apabila ibu Aziz, Afida Es mengatakan perkahwinan anaknya itu tidak sah kerana Nor Radhiah berkahwin dengan Aziz dalam tempoh edah selepas bercerai dengan suaminya sebelum ini.

Memey tidak tolak jodoh dengan Norman

DUA bulan 'bersembunyi' sejak kes dirinya ditangkap berkhalwat dengan aktor popular Norman Hakim pada akhir Oktober lalu, Suhaiza Suhaimi yang mesra disapa Memey ini akhirnya enggan 'melarikan diri' lagi daripada pihak media.

Bagi pelakon muda berusia 20 tahun ini, cukuplah tohmahan yang dilempar masyarakat terhadap dirinya ketika dia cuba berdiam diri daripada membuat sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.

Meskipun gelaran 'perampas' dan 'pemusnah' rumahtangga orang dilabelkan kepada dirinya, Memey sudah tidak mahu lagi memikirkan tentang tanggapan negatif pihak-pihak tertentu buat dirinya.

Cukuplah dua bulan masa yang diambilnya untuk menenangkan diri daripada segala kekecohan yang berlaku. Bukan cuba melarikan diri, tetapi kata tuan empunya diri, dia terpaksa berbuat demikian untuk meredakan keadaan yang cukup 'hangat' pada ketika itu.

Memey sudah bersedia berdepan dengan media setelah dua bulan 'bersembunyi'

Di dalam hati pelakon kelahiran Kota Tinggi, Johor ini, memang terbuku perasaan bersalah bila melihat keruntuhan rumahtangga Norman dan isterinya, Abby Abadi yang berkecai gara-gara kes tersebut, tetapi bagi Memey, dia sendiri tidak sekejam itu untuk memusnahkan kebahagiaan orang.

Cuma, akui Memey, dia tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan masyarakat dan menjelaskan hal yang sebenar memandangkan ketika itu dirinya dianggap sebagai 'orang jahat' di dalam kes rumahtangga Norman dan Abby yang berakhir dengan perceraian bulan lalu.

Namun, setelah merasakan diri cukup kuat untuk kembali berdepan dengan pihak media, Memey akhirnya nekad untuk memulakan hidup baru sempena dengan tahun baru 2009 ini.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak. Saya tahu, ramai yang mempertikaikan langkah saya berdiam diri ketika kes tersebut hangatdiperkatakan.

"Saya tidak pernah menyembunyikan diri atau 'lari' ke mana-mana, cuma saya ketika itu tidak bersedia untuk menjelaskan segala-galanya di depan pihak media. Atas nasihat keluarga juga, saya akhirnya ambil langkah untuk diam dulu sehinggalah keadaan kembali reda.

"Saya tahu, tidak guna untuk larikan diri kerana lambat-laun, saya perlu juga berdepan dengan pihak media. Tetapi, saya harap semua mengerti keadaan saya yang cukup tertekan ketika itu.

"Sekarang, saya rasa diri ini sudah cukup kuat. Memang ini masa yang tepat untuk saya buka buku baru. Saya ingin bersihkan nama saya kerana sekarang ini orang sudah menghukum saya atas apa yang terjadi.

"Saya ingin perkara ini selesai dengan cara yang baik. Saya sedar, ramai orang yang marahkan saya. Saya manusia biasa dan tidak terlepas dari membuat kesilapan," ujar Memey ketika dihubungi.

Memey akui Norman seorang yang 'istimewa'

Kata pelakon yang popular dengan drama Farah Syakirah ini, sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika dua bulan 'bersembunyi', apatah lagi bila membaca kutukan ramai terhadap dirinya menerusi akhbar, majalah dan Internet.

Namun, kekuatan diri yang dikumpul selain sokongan padu keluarga terhadap dirinya, Memey cuba 'menelan' kutukan yang dilemparkan meskipun cukup pahit untuk diterimanya.

Perasaan bersalah memang menyelubungi dirinya, tetapi Memey tidak mahu dirinya terus dilabel sebagai punca utama keretakan rumahtangga pasangan selebriti itu.

"Kalau dikatakan sayalah punca utamanya...entahlah, saya sendiri tak tahu macam mana untuk jelaskan. Sudah tentu saya tidak mahu dianggap sebegitu. Tetapi saya akui, apa yang berlaku pada mereka (Norman dan Abby) memang membuatkan saya rasa bersalah.

"Saya tidak marahkan Kak Abby dengan kenyataan yang pernah dikeluarkannya sebelum ini. Saya terima semua itu kerana saya tahu dia sedang marah. Saya minta maaf sangat dengan apa yang terjadi.

"Saya sanggup berdepan dengan dia bila masa mengizinkan kelak. Tetapi bukan sekarang. Saya tidak bersedia lagi kerana saya tahu dia juga masih marahkan saya.

"Saya hanya berdoa agar perkara ini dapat berakhir dengan cara yang baik," tutur anak ketiga daripada enam beradik ini.

Dalam nada tenang, Memey akui banyak pengajaran yang diperolehnya berikutan kes tersebut. Namun begitu, aktres ini enggan lagi menoleh ke belakang.

Seboleh mungkin, dia tidak mahu lagi membuka mulut tentang insiden hitam yang berlaku terhadap dirinya ketika ditangkap berkhalwat dengan Norman oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat pelakon lelaki itu di Ukay Perdana, Ampang, Selangor.

Untuk menjernihkan namanya, Memey sanggup memberikan kerjasama yang baik dengan pihak JAIS dan bersedia untuk menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 20 Januari depan untuk perbicaraan kes khalwatnya itu.

"Memang gementar untuk berdepan dengan kes itu, tetapi inilah yang perlu saya lalui. Apapun, saya sudah bersedia. Dan saya memang tidak sabar untuk selesaikan perkara ini dengan segera," tutur Memey.

Rela terima Norman sebagai suami jika ada jodoh

Gosip dirinya mempunyai hubungan dengan Norman sebenarnya telah tercetus sebelum mereka ditangkap berkhalwat lagi. Khabar angin hubungannya dengan aktor drama Gerak Khas itu mula bertiup awal tahun lalu apabila mereka dikatakan mula rapat setelah membintangi drama bersiri Pasrah.

Malah, mereka juga dikatakan sudah bernikah secara rahsia di sempadan Malaysia-Thailand, namun, kedua-duanya menafikan hal tersebut.

Berikutan itu, rumahtangga Norman dan Abby dikatakan bergolak apatah lagi Abby kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa dia seolah-olah tidak dipedulikan oleh Norman lagi, yang lama tidak pulang ke rumah sejak Ramadan tahun lalu.

Namun, aktor berusia 32 tahun itu menafikan hal tersebut ketika hadir pada majlis cukur jambul anak bongsunya selepas Hari Raya Aidilfitri dan menegaskan bahawa dia tidak pulang ke rumah kerana sibuk di lokasi penggambaran, tetapi masih pulang beraya bersama keluarga pada Hari Raya pertama sebelum balik semula ke lokasi pada hari raya kedua.

Namun, kes khalwat yang membabitkan Norman dan Memey telah mengeruhkan keadaan apabila Abby nekad untuk menuntut cerai daripada suaminya itu.

Ketika diajukan tentang sejauhmana hubungannya dengan Norman, Memey tidak lagi dilihat 'berdolak-dalih' seperti mana yang dilakukannya sebelum ini.

Akui dia masih lagi "bersahabat" dengan Norman, kata Memey, meskipun mereka berdepan dengan masalah besar ketika ini, dia akui sehingga kini dia masih lagi berhubung baik dengan Norman.

Malah, khabar angin yang mengatakan Norman dan keluarganya pernah berkunjung ke rumah keluarga Memey di Johor baru-baru ini dan kelibat Memey yang dilihat turut berada di rumah keluarga Norman di Kuantan selepas itu juga tidak dinafikan oleh pelakon muda ini.

"Perkara itu memang benar. Tetapi kunjungan itu bukanlah atas dasar untuk berbincang tentang perkahwinan, seperti mana yang dilaporkan oleh banyak pihak. Kami menganggap kunjungan itu lebih kepada untuk mengeratkan silaturrahim, setelah apa yang berlaku dulu.

"Rasanya perkara itu tidak salah. Malah, hubungan saya dan Norman tidak terjejas meskipun kami berhadapan dengan kes besar itu. Dia banyak juga memberikan nasihat kepada saya sewaktu di awal kes itu dulu.

"Terpulanglah kepada penilaian masyarakat sendiri," kata Memey yang akui masih lagi bekerja dengan Norman di syarikat aktor itu, MDH Trading & Services.

Ditanya apakah dirinya merasakan Norman seorang yang cukup istimewa di hatinya ketika ini, apatah lagi aktor itu dulu pernah membuat kenyataan sedemikian mengenai Memey, sambil ketawa kecil Memey menjawab:

"Sepanjang mengenali Norman, saya akui dia seorang lelaki yang baik. Tetapi, banyak hati yang perlu saya jaga. Saya tidak mahu apa yang saya katakan ini akan mencetuskan hal lain pula.

"Tetapi, saya akui, saya selesa berkawan dengan dia. Memang dia seorang yang istimewa kerana dia bijak, matang dan yang penting sekali, saya banyak mengutip ilmu baru daripadanya.

"Saya tidak menolak jika satu hari nanti ditakdirkan dia adalah jodoh saya. Lagipun, perkara itu Tuhan yang tentukan," kata Memey sambil cuba mengalih kepada topik kariernya pula.

Ingin kembali aktif dalam lakonan

Sebaik terjebak dengan kes khalwat itu, nasib Memey di dalam dunia lakonan dikatakan akan turut 'terjejas'. Meskipun Memey dilihat sebagai antara bintang baru yang cukup menyerlah, namun begitu episod hitam itu ternyata memberi 'kesan' negatif buat karier seninya.

Gara-gara kes tersebut, nama Memey pernah digugurkan daripada sebuah produksi dan digantikan dengan pelakon lain untuk sebuah drama. Namun begitu, kata Memey, dalam tempoh dua bulan mendiamkan diri, masih ada penerbit drama yang terus percaya akan bakatnya dan menawarkannya untuk membintangi drama-drama terbitan mereka.

Tetapi, Memey sendiri menolak semua tawaran tersebut untuk 'berehat' seketika memandangkan keadaan ketika itu cukup 'tegang'.

"Masih ada yang menawarkan saya untuk berlakon beberapa buah drama ketika itu, tetapi saya sendiri terpaksa menolak dengan baik. Tetapi ketika itu tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk terus berhenti dari bidang seni.

"Saya akui, saya 'tergelincir' ketika sedang berusaha untuk memajukan karier saya. Dan inilah masanya untuk saya kembali dengan impian saya selama ini.

"Saya sudah bersedia untuk kembali 'all-out' dalam bidang lakonan. Bulan depan saya akan terlibat dengan penggambaran drama bersiri terbitan Skop Productions berjudul Roda-Roda Kuala Lumpur.

"Biarlah apa yang berlaku ini saya anggap sebagai satu pengajaran yang cukup bermakna buat saya," kata Memey.

Jan 2, 2009

Lembaran baru Fareez


FAREEZ dan Mazlin.


DUA tahun hidup keseorangan selepas bercerai dengan penyanyi Noraniza Idris, Mohd. Fauzi Tajudin, 45, atau Fareez, akhirnya menamatkan zaman duda apabila melangsungkan perkahwinan bersama Mazlin Abdul Samad, 24.

Bertarikh 19 Disember lalu di Masjid al-Amaniah, Kepong, Kuala Lumpur, dua hati ini disatukan dengan ikatan pernikahan yang membawa sinar baru kepada Fareez dan juga Mazlin.

Kali kedua mendaki tangga pelamin, Fareez bersyukur kerana perkahwinannya dengan Mazlin mendapat restu dua anak teruna hasil perkongsian hidupnya bersama Noraniza iaitu Mohd. Alif Haikal, 19, dan Mohd. Alfeq Haikal, 15.

Di majlis pernikahan, Mazlin menerima wang hantaran sebanyak RM12,000 serta RM80 untuk mas kahwin.

Pada majlis itu, Mazlin membalas 11 dulang hantaran selepas menerima tujuh dulang hantaran daripada pihak Fareez.

“Orang pertama yang saya ajukan persoalan mengenai hasrat untuk mengahwini Mazlin adalah Alif dan Alfeq.

“Mereka telah saya bawa bertemu Mazlin terlebih dahulu. Maklum balas anak-anak cukup baik dan mereka memanggil Mazlin dengan panggilan ummi,’’ jelas Fareez ketika ditemui pada majlis persandingan pihak lelaki yang diadakan di kediaman Fareez di Bandar Tun Razak, Cheras, minggu lalu.

Berlangsung penuh ringkas, kedua mempelai begitu anggun dengan busana pengantin berwarna putih.

Mazlin merupakan anak seorang anggota polis dan kini bertugas di salah sebuah firma guaman di ibu negara.

Fareez pula merupakan bekas penyanyi yang cukup popular dalam rancangan hiburan Mekar Sejambak era 1980-an.

Artis popular itu bercerai dengan Noraniza pada 2006 selepas mengharungi hidup bersama 18 tahun.

Kedua-dua mereka bernikah pada 31 Mac 1988 dan dikurniakan dua cahaya mata, Alif dan Alfeq.

Menurut Fareez, kisah pertemuan antara dirinya dan Mazlin bermula sekitar 2007.

Ketika itu, jelasnya, dia sedang menunggu untuk bertemu dengan seorang rakannya di KLCC.

“Tanpa disangka, kawan saya turut membawa sekali Mazlin. Maka bermulalah perkenalan antara saya dan dia (Mazlin). Ambil masa jugalah hendak mengenali hatinya.

“Mula-mula dia memang tidak mahu berkawan dengan saya,’’ katanya sambil ketawa besar.

Ujar Fareez, keseriusan dirinya untuk melamar Mazlin bermula apabila dia bertindak menemui ibu bapa wanita pujaan hatinya itu.

“Bila anak-anak setuju dan memberi sokongan, Alhamdulillah, kami bernikah jua akhirnya,’’ jelasnya.

Ditanya mengenai bulan madu, Fareez berkata, semuanya masih dalam perancangan.

“Buat masa ini, saya pun sibuk dengan bisnes dan urusan persekolahan Alfeq. Tunggulah nanti,’’ katanya.

Sementara itu, kepada satu persoalan sama ada Noraniza diundang ke majlis perkahwinannya, Fareez dengan ringkas berkata : “Barang yang lepas, usahlah dikenang, sudah menjadi hak orang lain.’’

Dec 24, 2008

Lafaz cerai sebab marah - Mazidul


MAZIDUL berbincang dengan Khairul Fazlin di luar Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - "Kalau dia orang datang, I ceraikan you".
Demikian lafaz yang diungkapkan wartawan penyiaran TV3 yang juga pengacara rancangan 360, Mazidul Akmal Sidek terhadap isterinya, Khairul Fazlin Kamarudin, pukul 11.30 malam, 13 Oktober lalu di rumah mereka di Damansara.

Lafaz itu diakui oleh Mazidul, 41, ketika dia hadir bagi memberi keterangan ringkas dalam perbicaraan permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan isterinya, Khairul Fazlin, 38, di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Bagaimanapun personaliti yang tenang itu memberitahu di hadapan Hakim Syarie Ghazali Ahmad bahawa lafaz itu dibuatnya dalam keadaan dia marah.

Mazidul memberitahu mahkamah, 'dia orang' yang dimaksudkan dalam lafaz tersebut merujuk kepada ibu dan bapa mentuanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang datang ke rumahnya pada malam kejadian ialah ibu dan dua orang adik iparnya.

Tambahnya lagi, sehingga kini, ibu dan bapa mentuanya itu belum lagi datang ke rumahnya selepas insiden tersebut.

Terdahulu, Ghazali bertanya kepada Khairul Fazlin sama ada berlaku pergaduhan yang menyebabkan lafaz tersebut diungkapkan.

Khairul Fazlin menjawab: "Ada berlaku sedikit pertengkaran dan kemudian saya menelefon ibu saya supaya datang."

Tindakan itu katanya, menyebabkan Mazidul melafazkan "Kalau dia orang datang, I ceraikan you" kerana dia mahu menyelesaikan masalah itu bersama isterinya tanpa melibatkan ibu bapa mentuanya.