Feb 3, 2009

Tangisan Ning iringi setahun perkahwinan

HATINYA cukup tersentuh tatkala melihat kesungguhan si suami, Omar Shariff Christopher Layton Dalton yang dalam diam-diam telah menyediakan hadiah 'istimewa' buat dirinya sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama pada 31 Januari lalu.

Sebuah buku gambar yang mempamerkan detik-detik bahagia mereka sejak di awal perkenalan pasangan suami isteri ini di dalam bentuk kolaj nyata membuatkan Ning Baizura gagal menahan perasaan terharunya ketika hadiah itu diberikan kepadanya.

Hanya linangan air mata mengiringi penyanyi ini setelah melihat betapa kukuhnya cinta suami tersayang yang bertungkus-lumus menyiapkan hadiah indah itu di luar pengetahuannya, sedangkan dia sendiri terlupa untuk menyediakan hadiah buat Omar.

"Saya tidak pernah lupa tarikh 'anniversary' kami. Cuma memandangkan saya cukup sibuk, akhirnya saya terlupa untuk carikan hadiah buat Omar. Saya rasa bersalah sangat, memang saya betul-betul tidak mempunyai masa untuk sediakan hadiah untuk dia.

Ning dan Omar semakin bahagia melayari kehidupan sebagai suami isteri

"Buku gambar kolaj itu memang cukup menarik. Saya tidak sangka dia dapat cari gambar ketika kami mula berkenalan di Bali ketika majlis perkahwinan seorang kenalan beberapa tahun lalu.

"Setiap gambar tersebut diselitkan dengan kata-kata menarik. Memang seronok dapat imbas semula detik-detik manis kami bersama.

"Omar memang benar-benar mengikut tradisi dia yang mana jika mengikut gaya barat, setiap ulangtahun perkahwinan yang pertama, sebarang hadiah yang ingin diberikan kepada pasangan mestilah berunsurkan kertas.

"Tetapi, saya ada juga belikan hadiah untuk Omar selepas itu. Ada beberapa barang yang saya berikan antaranya pakaian dan pakej spa," kata Ning yang ditemui baru-baru ini.

Menurut penyanyi berusia 33 tahun ini, sebenarnya mereka telah pun membuat perancangan dari awal lagi untuk bercuti bersama di Melaka pada hari ulangtahun perkahwinan mereka itu.

Disebabkan itu, tutur Ning, dia tidak sedar tentang perkara lain selain percutian yang telah diaturkan itu. "Apapun, saya dan Omar seronok sangat dapat raikan ulangtahun perkahwinan kami di Melaka. Sengaja kami pilih destinasi tersebut sebab Melaka cukup banyak tempat-tempat bersejarah yang saya sendiri belum sempat lawati.

"Walaupun hanya sehari di sana, tetapi ia satu percutian yang cukup menggembirakan buat kami. Saya juga ada menghubungi semula mereka yang banyak membantu ketika majlis perkahwinan kami tahun lalu seperti Datin Farida, Datuk Ibrahim Saad dan isterinya," kata anak kelahiran Kajang, Selangor ini.

Jelas Ning lagi, dia sendiri tidak sangka mahligai perkahwinan yang dibinanya bersama Omar sudah pun mencecah usia setahun.

"Kami selalu rasa macam masih 'dating' seperti dulu. Lagipun, ibubapa kami memang galakkan kami sentiasa berfikir seperti itu.

"Sudah tentu setiap pasangan akan ada masalah yang melanda, sebagai contoh saya dan Omar adakalanya menghadapi masalah komunikasi apatah lagi kami sering berjauhan. Tetapi kami tidak biarkan perkara itu menjadi satu masalah besar," tutur Ning.

Ditanya tentang cahaya mata pula, sambil tersenyum, Ning yang ditemani Omar di sampingnya ketika itu menjawab:

"Sudah tentu kami memang teringin untuk ada anak. Cuma buat masa ini, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Saya juga masih dalam usaha untuk mengukuhkan lagi syarikat saya, HappeNings Sdn. Bhd," kata Ning.

Nyanyian, lakonan dan jenama 'Stunning

Tahun 2009 ini nampaknya bakal menyaksikan penyanyi yang popular dengan lagu Awan Yang Terpilu ini terus sibuk mengukir nama di persada seni tanahair.

Selain giat sebagai guru vokal bagi peserta-peserta program One Ine A Million (OIAM) musim terbaru ini, Ning juga akan tampil dengan dua buah single terbaru iaitu Embunan Bersinar ciptaan Aylwin Santiago serta sebuah kolaborasi bersama kumpulan Ultimate untuk lagu berentak hip-hop berjudul Mimpi.

Di samping itu, Ning juga akan muncul di dalam filem muzikal terbitan KRU iaitu Magika yang mana penyanyi ini akan membawakan watak Puteri Gunung Ledang.

"Karektor ini amat menarik dan ia banyak menyaksikan saya berlakon di samping Ziana Zain yang membawakan watak nenek kebayan. Penggambarannya akan bermula tidak lama lagi, tetapi saya telah pun selesai merakamkan salah sebuah lagu yang akan dimuatkan dalam filem ini berjudul Asal Menjadi Cantik.

"Lagu ini juga cukup mendalam maksudnya dan buatkan saya lebih beremosi untuk karektor tersebut," kata Ning.

Dalam pada itu, Ning dan suaminya juga sedang merancang untuk menghasilkan jenama kemeja-t khusus untuk lelaki iaitu Stunning, yang disasarkan untuk golongan lelaki bersaiz besar.

"Suami saya cukup sukar untuk cari saiz bajunya dan sebab itu idea untuk keluar dengan label sendiri ini tercetus. Kami berdua yang akan cadangkan bentuk rekaan itu nanti dan apa yang pasti, kemeja-t Stunning ini hanya untuk mereka bersaiz L, XL dan XXL," tutur Ning dalam nada ceria.

Jan 31, 2009

Jamil-Marzita ke jinjang pelamin


JAMIL dan Marzita selepas diijab kabul di Kangar kelmarin.


KANGAR - Walaupun sudah lama berkenalan, cinta tiga bulan sudah cukup untuk berakhir di jinjang pelamin kepada dua tokoh politik negeri ini yang masing-masing sebelum ini sudah kematian pasangan hidup.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan Perlis, Abdul Jamil Saad, 47, dan bekas Ketua Puteri UMNO Perlis, Marzita Mansor, 38, perkahwinan itu kelmarin bermakna mereka sudah ada keluarga besar.

Jamil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sena mempunyai tiga anak manakala Marzita pula lima orang hasil perkahwinan dengan bekas Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Allahyarham Azhar Othman serta menjaga dua anak perkahwinan terdahulu bekas suaminya itu.

"Keluarga besar ini diharap memberi rezeki yang melimpah-ruah kepada kami," kata Jamil kepada pemberita selepas majlis akad nikahnya.

Majlis pernikahan pasangan yang mengenakan pakaian sedondon warna putih itu berlangsung di rumah keluarga Marzita di Kampung Guru, di sini.

Upacara akad nikah dilakukan oleh bapa pengantin perempuan, Mansor Ibrahim dengan mas kahwin RM5,500.

Jan 29, 2009

"Sediakan air milo" - antara syarat suami untuk kembali bersama

WALAUPUN kemarau yang melanda rumah tangga aktres Wan Nor Azlin, 41, dan suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 39, saban hari belum menemui penghujungnya, beliau tetap nekad untuk membawa pulang Yazli dalam masa terdekat ini sehingga sanggup menerima segala syarat yang dikenakan oleh suaminya sebelum ini.

Menurut Azlin, beliau menantikan saat suaminya akan menunaikan janji untuk pulang ke rumah dengan berlandaskan tiga syarat terhadapnya yang turut dihebahkan menerusi sebuah akhbar tabloid baru-baru ini.

"Sehingga sekarang Yazli belum pulang tetapi di dalam akhbar tabloid itu dia kata nak balik bersama tiga syarat.

"Antara syaratnya adalah saya perlu menyambutnya dengan senyuman manis dan menyediakan minuman milo kepadanya," kata Azlin ketika ditemui semasa sebutan kedua kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak terhadap Yazli di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam.

Ditanya apakah reaksi Azlin apabila mendengar syarat tersebut, beliau berkata ringkas: "Saya akan terima."

Terpancar wajah ceria Wan Nor Azlin sewaktu sebelum sebutan kedua kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak terhadap suaminya, Mohd. Yazli Yaacob bermula di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Dalam masa yang sama, Azlin berasa kecewa kerana Yazli masih belum memunculkan diri di mahkamah untuk menghadapi perbicaraan kes tuntutan nafkahnya dan anak-anak yang perlu dilunaskan oleh suaminya sejak menghilangkan diri sejak 10 Julai lalu.

Yang membuatkan Azlin tertanya-tanya, mengapa suaminya itu sanggup datang ke pejabat akhbar tabloid itu sedangkan tidak boleh menjejakkan kaki ke mahkamah inikah lagi pulang ke rumah.

"Kes ini ‘pending’ terlalu lama seolah-olah suami saya hendak mengambil kesempatan terhadap peluang yang diberikan. Dia sepatutnya tahu tentang undang-undang (seorang peguam) dan apa yang patut dilakukan.

"Keluarganya juga masih mendiamkan diri. Sepatutnya mereka memberikan kata-kata nasihat kepada Yazli sebab sekarang ini anak-anak yang menjadi mangsa. Saya kecewa dengan sikapnya.

"Saya rasa dia memang tinggal dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana Datuk Ma’amor pernah memberitahu yang suami saya berada bersama mereka tetapi kenapa mereka tidak mahu memberitahu dan memujuk suami saya untuk hadir ke mahkamah.

"Kalau suami saya tiada duit, dia boleh balik ke rumah. Jika dia tak mampu, saya tak kisah kalau dia balik juga dan biar saya bekerja. Tetapi dia kena uruskan rumah tangga pula seperti mengemas rumah, memasak dan menjaga anak-anak seperti sembilan tahun saya lakukan dulu.

"Yazli perlu beranikan diri muncul...," luah Azlin dengan separuh mengharap.

Azlin pilih waran tangkap atas suami, mahkamah tidak benarkan

Dalam pada itu, mengenai perbicaraan kes semalam, Azlin memilih supaya waran tangkap terhadap suaminya dikeluarkan oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan untuk tidak membenarkan Azlin berbuat demikian disebabkan kegagalan mengecam alamat suaminya, Yazli berada sekarang.

Ketika sebutan kedua kes tersebut berjalan hari ini, Ghazali turut bersoal jawab dengan Azlin sehingga akhirnya mereka menemui kata sepakat untuk meneruskan perbicaraan kes tuntutan nafkah Azlin dan anak-anak terhadap suaminya pada 8 April depan, pukul 2 petang.

Azlin akur dengan keputusan tersebut walaupun pada mulanya beliau nekad mahu mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Yazli melalui Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Azlin: Saya yakin dia (Yazli) bersama PPIM. Jadi, mahkamah boleh sampaikan waran itu melalui Dr. Zaidi.

Hakim: Nak alamatkan ke mana? Waran tangkap perlu kepada dia sebab nak tangkap dia.

Azlin: Tetapi dia tak nak hadir.

Hakim: Lagi cepat jika bicara melalui sebelah pihak tetapi peluang tetap diberikan kepada dia. Bila-bila masa dia boleh hadir. Terpulang kepada dia nak hadir atau tidak, mahkamah akan putuskan sebelah pihak.

Dalam pada itu, menurut peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Azlin, iklan yang memerintahkan Yazli menghadiri perbicaraan tersebut semalam telah dikeluarkan pada 21 Januari lalu di mana iklan ditampal di papan notis dalam mahkamah dan dipaparkan di dalam ruangan iklan akhbar Utusan Malaysia.

Namun, Yazli masih gagal menampakkan diri untuk muncul di dalam perbicaraan tersebut.

Azlin dan peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan ketika ditemubual oleh pihak media di luar mahkamah selepas selesai sebutan kes tersebut.

"Kita perlu sentiasa mengikuti kes ini dan menunggu tindakan selanjutnya. Di akhir kes ini nanti, mahkamah akan mencapai kata putus di mana jika Yazli masih enggan menghadirkan diri, dia akan dimasukkan ke dalam penjara dan dia juga perlu melunaskan nafkah mengikut jumlah yang ditentukan oleh pihak mahkamah," jelas Fakhrul dengan panjang lebar mengenai perbicaraan kes tersebut.

Pada 15 Disember lalu, Azlin yang pernah menerima ugutan ‘ah long’ enggan melakukan proses Sulh semula seperti yang diminta oleh suaminya sebaliknya beliau ingin meneruskan perbicaraan mengenai kes tersebut.

Pada 12 Disember lalu, Yazli hadir ke mahkamah dengan mengemukakan surat permohonan tersebut.

Pada 18 November lalu, proses Sulh Azlin yang difailkan pada 29 Oktober lalu gagal dibicarakan kerana Yazli tidak hadir ke mahkamah.

Difahamkan, Azlin menuntut lebih daripada puluhan ribu kepada Yazli. Namun, Azlin bagaimanapun bersedia untuk mendengar berapa jumlah yang suaminya mahu berikan asalkan dia bertanggungjawab.

Sehingga kini Yazli belum pulang selepas meninggalkan rumah sejak 10 Julai lalu.

Pertama kali Azlin dan anak-anaknya ditinggalkan ialah pada tahun 2001 selama 40 hari, manakala pada tahun 2005 selama dua tahun.

Sebelum ini, pada 30 Julai lalu, rumah Azlin telah disimbah cat merah kerana suaminya gagal membayar hutang ‘ah long’.

Pada 14 Ogos lalu, suaminya yang merupakan seorang peguam tampil pada satu sidang akhbar menjelaskan tentang kehilangannya.

Yazli menjelaskan punca dia menghilangkan diri kerana terlalu tertekan akibat diburu 31 ‘ah long’ selepas gagal membayar tunggakan hutang mencecah RM1 juta.

Jan 23, 2009

'Wani' Wendy selamat diijabkabulkan dengan ahli perniagaan

KUALA LUMPUR: Setelah hampir dua bulan memeluk Islam, pelakon dan penerbit Wendy Wong atau nama Islamnya, Wani Wendy Wong Abdullah sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Yacob Chik, 58, di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, di sini, hari ini (Jumaat).

Hanya sekali lafaz, pasangan tersebut sah bergelar suami isteri setelah tiga tahun menyulam cinta. Mereka dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Wendy yang kini selesa disapa Wani menerima mas kahwin RM80 beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki antaranya sebentuk cincin dan senaskhah Al-Quran yang mempunyai terjemahan di dalam bahasa Mandarin.

Namun, tiada wang hantaran diberikan oleh pihak lelaki atas permintaan Wani.

Wani kini sah bergelar isteri kepada Yacob

Pihak pengantin pula perempuan pula membalas sebanyak tujuh dulang hantaran antaranya jam tangan, minyak wangi, dompet dan kerusi urut jenama Ogawa.

Majlis bersejarah pasangan mempelai itu telah dihadiri oleh kira-kira 300 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Antara rakan artis yang hadir ialah penulis lirik Habsah Hassan, Louisa Chong, Rubiah Suparman dan Ahmad Tarmimi Siregar.

Sebaik dinikahkah kira-kira pada pukul 3.45 petang, pasangan tersebut terus mengadakan majlis persandingan di tempat yang sama.

Ketika ditemui selepas majlis tersebut, Wani melahirkan rasa bersyukur setelah hubungan cinta mereka yang terjalin itu berakhir dengan ikatan perkahwinan.

Sambil mengakui dirinya tertarik dengan sifat prihatin Yacob, kata Wani, suaminya itu juga adalah salah seorang yang banyak mengajarnya tentang agama Islam.

"Dia melamar saya selepas Hari Raya tahun lalu. Pada awalnya, saya sendiri tidak tahu untuk buat keputusan apatah lagi ramai kawan mengatakan dia terlalu tua untuk saya.

"Tetapi, hati saya terbuka untuk dia kerana dia berjaya membuatkan hati saya cukup tersentuh di dalam banyak perkara. Tetapi, pada masa yang sama saya juga agak risau setelah memikirkan keturunan saya yang menghidap penyakit genetik kanser.

"Saya tanyakan padanya, adakah dia sanggup kahwin dengan saya jika saya juga disahkan menghidap penyakit kanser. Tetapi jawapannya cukup ikhlas dan dia beritahu saya semua itu ditentukan oleh Allah dan dia rela menjaga saya sampai bila-bila.

"Saya terus membuat pemeriksaan kesihatan selepas itu dan akhirnya laporan menunjukkan kesihatan saya cukup baik. Selepas itu baru saya yakin untuk menerima lamaran dia dan rancang untuk majlis perkahwinan kami," kata Wani yang gembira berjaya menamatkan zaman bujangnya meskipun sudah berusia 40an.

Ditanya destinasi bulan madu pilihannya, kata Wendy, dia dan suami akan ke Barcelona, Sepanyol untuk menaiki 'cruise' menjelajah beberapa perairan Eropah seperti Morocco dan akan berada di sana selama tiga minggu.

"Lepas pulang dari bulan madu, saya dan suami akan berangkat mengerjakan umrah pada 15 Mac depan," kata Wani.

Wani telah memeluk agama Islam pada 28 November lalu di rumah Habsah Hassan bertempat di Taman Tun Dr. Ismail

Dalam pada itu, 'tea ceremony', satu adat yang mengikut tradisi Cina akan turut dilakukan oleh pasangan ini esok secara tertutup.

Ini merupakan perkahwinan pertama Wani tetapi yang kedua buat Yacob setelah bercerai 10 tahun yang lalu. Yacob mempunyai tiga orang anak perempuan hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya.

Jan 20, 2009

Norman: Abby masih punya kepentingan di dalam MDH

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah sebulan bercerai, aktor Norman Hakim masih menganggap bekas isterinya, aktres Abby Abadi sebagai salah seorang yang mempunyai kepentingan di dalam syarikatnya, MDH Trading.

“Abby masih lagi mempunyai kepentingan dalam salah satu syarikat di bawah MDH tetapi saya tidak mengerakkan syarikat itu. Saya bergerak di bawah syarikat melibatkan ‘trading and services’ di mana kita ada banyak ‘vehicle’.

“Maknanya, setiap bisnes akan bergerak di dalam syarikat masing-masing,” kata Norman ketika menghadiri prosiding perbicaraan kes khalwatnya dengan aktres Memey Suhaiza di Mahkamah Syariah Gombak Timur, di sini, hari ini.

Norman Hakim ketika menghadiri prosiding kes khalwatnya dengan Memey Suhaiza di Mahkamah Syariah Gombak Timur, hari ini. -foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

Sebulan lalu, Abby mendakwa dia telah lama diketepikan walaupun sama-sama melabur dan mempunyai syer dalam syarikat itu.

Menurut duda yang turut dikaitkan dengan pelakon Memey Suhaiza ini, semasa Abby masih bergelar isterinya, mereka telah memasukkan beberapa syarikat di bawah MDH.

“Melalui salah satu syarikat itu, saya masukkan peratusan bahagiannya di dalam syarikat itu. Jadi, dalam empat ‘core’ yang terdapat di dalam syarikat itu, salah satu syarikat itu saya masukkan namanya sebagai pengerusi ‘non-eksekutif’.

“Saya tidak mengenepikan Abby dalam MDH tetapi mengalu-alukan sesiapa untuk memberikan sumbangan dalam syarikat.

“Kita tak kisah sesiapa yang boleh membawa masuk projek dan mencetuskan idea. Dalam momentum bekerja itu, kita semua sama sahaja walaupun masa itu kami bergelar suami dan isteri. Apa pun yang berlaku, kami masih lagi teman sekerja,” jelas Norman.

Bercerita mengenai penglibatan Memey di dalam syarikatnya, Norman berkata dia mengambil Memey bekerja kerana terpaksa.

“Kebetulan pada bulan Ogos lalu, salah seorang daripada staf saya telah mengambil keputusan untuk berhenti. Jadi, secara ‘spontan’ dan ‘urgent’, Memey membantu atas dasar keikhlasan tanpa mengambil kira apa yang tersirat dan tersurat.

“Memey bukan staf tetap tetapi khidmatnya mengikut tugasan yang ada. Jika ada apa-apa, abang saya akan panggil dia.

“Ingin saya tegaskan yang kami bukannya jabatan kerajaan. Jika melakukan sesuatu agenda syarikat selain daripada lakonan, ada transaksi atau komunikasi yang melibatkan negara Celenia yang berpengkalan di Itali.

“Terdapat percanggahan waktu ketika kami mengadakan rundingan. Kita yang ‘serve’, jadi kami perlu mengikut jadual ‘client’.

“Kita nak penjelasan satu-persatu dan kita pula bukan yang bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Kami bekerja lebih dari pukul 7 malam tetapi ada waktu rehatlah,” ujar Norman yang masih lagi melakukan urusan promosi dan periklanan

Kes khalwat: Norman - Memey berpakaian sedondon, mengaku tidak bersalah!

KUALA LUMPUR: Pelakon Norman Hakim dan bintang baru, Suhaiza Suhaimi atau Memey, hari ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat pada Oktober lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.

Hakim Syarie, Wan Mahyudin Wan Mohamad membenarkan kedua-dua aktor itu dilepaskan dengan jaminan bon jamin mahkamah RM3,000 secara tunai setiap seorang yang perlu dibayar hari ini.

"Kedua-dua tertuduh turut dilepaskan dengan syarat seorang penjamin dan mahkamah juga menetapkan seorang penjamin kedua-dua tertuduh hendaklah terdiri daripada kakitangan awam.

Norman dan Memey hadir ke Mahkamah Syariah Gombak Timur dalam pakaian berwarna sedondon iaitu hitam dan putih pada pagi ini. foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

"Ini bagi mengelakkan kedua-dua tertuduh menghilangkan diri semasa sesi perbicaraan nanti.

"Kedua-dua tertuduh ini dibebaskan dari mahkamah oleh seorang penjamin berdasarkan peruntukan Seksyen 22 (4)(5) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003.

"Perbicaraan ini ditangguhkan untuk sebutan semula pada 3 Mac depan, pukul 9 pagi untuk perbicaraan dalam kes ini," kata Wan Mahyudin.

Norman tidak menyembunyikan Keakraban hubungan antara keluarganya dan keluarga Memey. Dari kiri: Memey, ibu Norman, ibu saudara Memey, abang Norman dan Norman.

Norman dan Memey datang berpakaian putih dan hitam sedondon secara berasingan seawal pukul 9 pagi tadi.

Norman hadir bersama ibunya, Kamariah Kamat, 66, abang dan abang iparnya manakala Memey pula ditemani seorang ibu saudaranya.

Selepas dibicarakan, kedua-duanya berjalan seiringan keluar dari mahkamah dan masing-masing meluahkan rasa syukur dengan kelancaran proses prosiding pada hari ini.

Wajah Norman dan Memey sewaktu berjalan ke dalam mahkamah.

"Kita sudah melepasi sesi prosiding dan kami mengatakan tidak mengaku bersalah dan akan dibicarakan nanti. Kami berdua bekerjasama dan mengikut prosedur. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Insya-Allah, kita tengok keputusannya nanti," kata Norman.

Memey pula menambah: "Saya pun sama juga, Alhamdulillah kerana semuanya berjalan dengan lancar tetapi kes ini masih dalam siasatan. Jadi, kita tunggulah hari perbicaraan pada 3 Mac depan."

Pada tarikh 3 Mac nanti, apakah yang Norman akan lakukan untuk membela diri?

Gelagat Norman dan Memey yang tersipu-sipu malu apabila disoal tentang kahwin.

Norman: "Kami akan melantik peguam bagi pembelaan kerana masing-masing tidak mahir tentang prosedurnya dan meminta pandangan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pihak mahkamah. Kami berdua juga akan cuba buktikan yang kami tidak bersalah di dalam kes ini."

Tetapi pihak JAIS mendakwa mereka mempunyai bukti yang menunjukkan Norman dan Memey bersalah?

Norman: "Bukti adalah pendakwaan. Jadi, bagi pihak kami, kita perlu mempertahankan kerana kita tahu apa yang berlaku. Kami telah mengikut prosedur dan cuba mencari penyelesaian yang terbaik. Kita perlukan kerjasama kerana kami hendak menjernihkan sesuatu keadaan dan bukannya hendak menjadikan perkara ini lebih buruk."

Apa komen apabila ada yang berpendapat, mungkin Norman dan Memey akan mengambil tindakan untuk berkahwin pada masa akan datang.

Norman tersenyum ceria sewaktu mula-mula sampai di mahkamah.

Norman: "Buat masa ini kami memang tiada perancangan untuk berkahwin lagipun kita perlu selesaikan apa yang berlaku ini satu-persatu. Nanti, kalau suatu perkara itu belum selesai, kita cuba mencipta satu platform lain pula.

Walaupun Norman tidak mempunyai perancangan untuk berkahwin dengan Memey, tetapi masing-masing sedang mengenali hati budi.

Norman:"Sebagai senior, saya perlu mengepalai dalam situasi yang dihadapi sekarang dan kami sentiasa berbincang tentang apakah penyelesaian yang terbaik. Dalam masa yang sama, saya minta juga input daripada keluarga saya dan Memey.

"Secara tak langsung, apa yang berlaku ini telah mengeratkan silaturahim dan mengenali hati budi itu berlaku secara tak langsung."

Kenapa tidak kahwin sahaja untuk menyelesaikan kontroversi ini?

Norman ketawa. Memey mencelah dengan berkata: "Kahwin ini suatu keputusan yang penting dalam kehidupan. Tak bermakna kahwin adalah jalan terbaik untuk kita berhadapan dengan hal ini. Apa pun keputusan, kita perlu tunggu perbicaraan nanti. Soal kahwin itu, kita fikirkan kemudian hari. Kita tidak perlu membuat keputusan terburu-buru."

Norman pula menjawab: "Kita perlu lebih rasional dan seperti yang Memey katakan, kita tidak perlu terburu-buru dan pada saya perkahwinan itu merupakan suatu yang baik. Jangan risau, kalau ada jodoh kami, hal perkahwinan itu adalah suatu perkara yang tidak perlu disorok lagi."

Apabila diusik adakah mereka merancang untuk mengenakan pakaian berwarna sedondon pada hari ini, Norman yang ketawa dan tersipu-sipu malu di samping Memey mengakui idea tersebut dikeluarkan secara spontan kerana mereka sentiasa berkomunikasi dari berbagai aspek.

"Memang saya yang mencadangkan untuk memakai pakaian hitam dan putih tetapi tiada sebab yang spesifik kami memakai warna sedondon," ujar Norman sambil tersenyum ceria.

Norman berkata perasaan cerianya pada hari ini bertambah apabila mendapat semangat daripada keluarga dan merupakan cara untuk memberikan aura positif di dalam menghadapi masalah serta berhadapan dengan kenyataan.

Mereka ditangkap berkhalwat oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Norman, MDH Trading & Services di Ukay Perdana, Ampang, Selangor sekitar pukul 3 pagi pada 30 Oktober tahun lalu.

Ibu Norman Hakim restui andai jodoh anaknya dengan Memey

KUALA LUMPUR: "Jodoh, pertemuan dan maut terletak di tangan Tuhan dan itu semua merupakan kuasa Allah," luah ibu aktor Norman Hakim, Kamariah Kamat, 66, yang seolah-olah merestui andai anaknya ingin berkahwin dengan aktres Memey Suhaiza.

Kamariah menambah, dia akan bersetuju dengan siapapun pilihan anaknya mahupun anaknya itu memilih Memey sebagai isteri.

Ibu Norman, Kamariah Kamat akui menyukai Memey dan tidak menolak andai anaknya berjodoh dengan Memey. foto The Star oleh NORAFIFI EHSAN

"Saya suka semua orang termasuk Memey. Saya anggap dia seperti anak-anak saya..," jelas Kamariah.

Kamariah turut menjelaskan keakraban yang berlaku antaranya dengan Memey seolah-olah memberikan gambaran jelas yang dia benar-benar bersetuju hubungan antara anaknya dan Memey.

"Ini merupakan realiti kehidupan. Kita tak bolehlah ‘reject’ seseorang itu kerana saya sukakan semua orang dan begitu rapat dengan anak-anak," beritahu Kamariah dengan penuh berhati-hati.

Ketika ditanya tentang hubungannya dengan bekas menantunya, aktres Abby Abadi dan tiga orang cucunya, Kamariah mengakui hubungan mereka masih terjalin seperti dulu dan dia juga tidak lupa melawat mereka.

"Keakraban itu masih ada. Walaupun kami jauh, tetapi hubungan kami telah diserap dari awal dan saya sayangkan keluarga itu.

"Saya menganggap jodoh Abby dan Norman sudah tidak ada lagi, jadi sebab itu mereka mengambil langkah untuk berpisah," kata Kamariah yang menyatakan seluruh ahli keluarganya sentiasa menasihati Norman secara kolektif ketika anaknya itu dilanda masalah rumahtangga.