HATINYA cukup tersentuh tatkala melihat kesungguhan si suami, Omar Shariff Christopher Layton Dalton yang dalam diam-diam telah menyediakan hadiah 'istimewa' buat dirinya sempena ulangtahun perkahwinan mereka yang pertama pada 31 Januari lalu.
Sebuah buku gambar yang mempamerkan detik-detik bahagia mereka sejak di awal perkenalan pasangan suami isteri ini di dalam bentuk kolaj nyata membuatkan Ning Baizura gagal menahan perasaan terharunya ketika hadiah itu diberikan kepadanya.
Hanya linangan air mata mengiringi penyanyi ini setelah melihat betapa kukuhnya cinta suami tersayang yang bertungkus-lumus menyiapkan hadiah indah itu di luar pengetahuannya, sedangkan dia sendiri terlupa untuk menyediakan hadiah buat Omar.
"Saya tidak pernah lupa tarikh 'anniversary' kami. Cuma memandangkan saya cukup sibuk, akhirnya saya terlupa untuk carikan hadiah buat Omar. Saya rasa bersalah sangat, memang saya betul-betul tidak mempunyai masa untuk sediakan hadiah untuk dia.
"Buku gambar kolaj itu memang cukup menarik. Saya tidak sangka dia dapat cari gambar ketika kami mula berkenalan di Bali ketika majlis perkahwinan seorang kenalan beberapa tahun lalu.
"Setiap gambar tersebut diselitkan dengan kata-kata menarik. Memang seronok dapat imbas semula detik-detik manis kami bersama.
"Omar memang benar-benar mengikut tradisi dia yang mana jika mengikut gaya barat, setiap ulangtahun perkahwinan yang pertama, sebarang hadiah yang ingin diberikan kepada pasangan mestilah berunsurkan kertas.
"Tetapi, saya ada juga belikan hadiah untuk Omar selepas itu. Ada beberapa barang yang saya berikan antaranya pakaian dan pakej spa," kata Ning yang ditemui baru-baru ini.
Menurut penyanyi berusia 33 tahun ini, sebenarnya mereka telah pun membuat perancangan dari awal lagi untuk bercuti bersama di Melaka pada hari ulangtahun perkahwinan mereka itu.
Disebabkan itu, tutur Ning, dia tidak sedar tentang perkara lain selain percutian yang telah diaturkan itu. "Apapun, saya dan Omar seronok sangat dapat raikan ulangtahun perkahwinan kami di Melaka. Sengaja kami pilih destinasi tersebut sebab Melaka cukup banyak tempat-tempat bersejarah yang saya sendiri belum sempat lawati.
"Walaupun hanya sehari di sana, tetapi ia satu percutian yang cukup menggembirakan buat kami. Saya juga ada menghubungi semula mereka yang banyak membantu ketika majlis perkahwinan kami tahun lalu seperti Datin Farida, Datuk Ibrahim Saad dan isterinya," kata anak kelahiran Kajang, Selangor ini.
Jelas Ning lagi, dia sendiri tidak sangka mahligai perkahwinan yang dibinanya bersama Omar sudah pun mencecah usia setahun.
"Kami selalu rasa macam masih 'dating' seperti dulu. Lagipun, ibubapa kami memang galakkan kami sentiasa berfikir seperti itu.
"Sudah tentu setiap pasangan akan ada masalah yang melanda, sebagai contoh saya dan Omar adakalanya menghadapi masalah komunikasi apatah lagi kami sering berjauhan. Tetapi kami tidak biarkan perkara itu menjadi satu masalah besar," tutur Ning.
Ditanya tentang cahaya mata pula, sambil tersenyum, Ning yang ditemani Omar di sampingnya ketika itu menjawab:
"Sudah tentu kami memang teringin untuk ada anak. Cuma buat masa ini, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Saya juga masih dalam usaha untuk mengukuhkan lagi syarikat saya, HappeNings Sdn. Bhd," kata Ning.
Nyanyian, lakonan dan jenama 'Stunning
Tahun 2009 ini nampaknya bakal menyaksikan penyanyi yang popular dengan lagu Awan Yang Terpilu ini terus sibuk mengukir nama di persada seni tanahair.
Selain giat sebagai guru vokal bagi peserta-peserta program One Ine A Million (OIAM) musim terbaru ini, Ning juga akan tampil dengan dua buah single terbaru iaitu Embunan Bersinar ciptaan Aylwin Santiago serta sebuah kolaborasi bersama kumpulan Ultimate untuk lagu berentak hip-hop berjudul Mimpi.
Di samping itu, Ning juga akan muncul di dalam filem muzikal terbitan KRU iaitu Magika yang mana penyanyi ini akan membawakan watak Puteri Gunung Ledang.
"Karektor ini amat menarik dan ia banyak menyaksikan saya berlakon di samping Ziana Zain yang membawakan watak nenek kebayan. Penggambarannya akan bermula tidak lama lagi, tetapi saya telah pun selesai merakamkan salah sebuah lagu yang akan dimuatkan dalam filem ini berjudul Asal Menjadi Cantik.
"Lagu ini juga cukup mendalam maksudnya dan buatkan saya lebih beremosi untuk karektor tersebut," kata Ning.
Dalam pada itu, Ning dan suaminya juga sedang merancang untuk menghasilkan jenama kemeja-t khusus untuk lelaki iaitu Stunning, yang disasarkan untuk golongan lelaki bersaiz besar.
"Suami saya cukup sukar untuk cari saiz bajunya dan sebab itu idea untuk keluar dengan label sendiri ini tercetus. Kami berdua yang akan cadangkan bentuk rekaan itu nanti dan apa yang pasti, kemeja-t Stunning ini hanya untuk mereka bersaiz L, XL dan XXL," tutur Ning dalam nada ceria.
No comments:
Post a Comment