Feb 23, 2009

Kembali ke konti sehari selepas berkahwin

Tini dan Sol kini sah bergelar suami isteri - foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

TIDAK semua percintaan jarak jauh berakhir dengan kisah duka. Jika kuat menahan dugaan mendatang, pastinya hubungan cinta yang tersemai akan terus utuh. Begitulah juga kisah percintaan penyampai radio Hot FM, Kartini Kamalul Ariffin (Tini), 31, dan suaminya Nur Sulhi Jasmin atau Sol, 29, yang berjaya menyatukan hubungan suci mereka dengan ikatan perkahwinan.

Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur menjadi saksi penyatuan cinta mereka apabila pasangan yang bekerja di bawah satu bumbung ini akhirnya selamat dinikahkan, semalam, dalam suasana majlis yang cukup santai dan sederhana.

Dengan dua kali lafaz, Sol yang dinikahkan oleh bapa Tini sendiri, Datuk Kamalul Ariffin, sah bergelar suami kepada Tini yang mula dikenalinya sejak penyampai radio itu mula bertugas di Hot FM pada awal tahun 2006. Sol juga berkhidmat di tempat yang sama sebagai Pengurus Acara Hot FM.

Tanda cinta...Sol menyarungkan cincin di jari Tini

Pada majlis yang serba ringkas itu, Tini menerima mas kahwin RM80, wang hantaran sebanyak RM10,000 serta 11 dulang hantaran daripada pihak lelaki termasuklah sebentuk cincin, sejadah, telekung, jam tangan dan pewangi.

Pihak pengantin perempuan pula membalas sebanyak 13 dulang hantaran antaranya senaskhah Al-Quran, kasut, kek, pewangi, coklat dan kemeja.

Majlis bersejarah pasangan mempelai itu telah dihadiri oleh kira-kira 100 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Hanya lafaz syukur yang mampu diucapkan oleh Tini saat dirinya sah bergelar isteri kepada kekasih hatinya itu. Berkali-kali juga Tini akui tidak dapat menahan perasaan gementar sebelum acara ijabkabul dijalankan pagi itu.

"Saat melangkah ke tempat ini tadi, saya akui agak panik juga. Alhamdulillah, saya kini sudah sah bergelar isteri kepada Sol dan Insya-Allah, saya akan cuba menjadi isteri yang terbaik," kata Tini yang kelihatan anggun pada majlis itu.

Sama cantik, sama padan...Tini dan Sol mengadakan majlis persandingan di lokasi yang sama sejurus majlis pernikahan mereka

Mengakui cukup tertarik dengan sikap Sol yang menerima dirinya seadanya, kata Tini, dia bersyukur kerana ujian percintaan jarak jauh selama setahun setengah tidak lama dulu telah menguatkan lagi cinta antara mereka.

"Pada awal perkenalan kami, memang tidak timbul lagi perasaan cinta dalam hati saya. Kami hanya berkawan ketika itu. Tetapi sebulan sebelum saya menyambung pelajaran di United Kingdom pada September 2006 untuk mengikuti kursus Sarjana Kewartawanan Penyiaran di sana, barulah Sol ajak saya keluar dan kemudiannya meluahkan perasaannya pada saya.

"Ada hikmah juga saya ke sana. Entah-entah jika saya tidak ke UK, mungkin dia tidak luahkan perasaannya langsung," kata Tini tersenyum sambil memandang suaminya di sebelah.

Dalam pada itu, Sol akui dirinya memang sudah lama meminati Tini, sejak penyampai itu mula bertugas di stesen radio popular itu.

"Tetapi ia sekadar di situ saja, malah saya tidak pun ambil 'langkah' seterusnya. Apabila saya dapat tahu dia ingin ke UK, saya terus nekad untuk bercakap sendiri kepadanya tentang perasaan saya.

Tini akui cukup tertarik dengan sikap Sol yang menerima dirinya seadanya sehingga membuatkan gadis ini nekad untuk meneruskan hubungan mereka secara serius

"Bagi saya, kami berdua mempunyai banyak persamaan termasuklah dari segi hobi. Kami suka aktiviti 'outdoor'," kata Sol.

Ditanya destinasi bulan madu pilihannya, kata Tini, buat masa ini mereka belum dapat berbuat demikian kerana komitmen kerja masing-masing.

Malah, Tini juga kembali bertugas di konti pada hari ini, meskipun belum hilang penat mengadakan majlis perkahwinan semalam.

"Kami akan cuba cari masa yang sesuai nanti...mungkin pada bulan Mac. Jika ikut kepada perancangan, kami ingin berbulan madu di sebuah pulau di sini dan ingin mengambil lesen menyelam bersama," tutur Tini yang menambah, mereka tidak mahu terburu-buru berbicara soal cahayamata ketika ini.

Mahu mengabdikan sejarah cinta mereka itu dalam suasana yang sederhana, namun meriah, pasangan tersebut terus mengadakan majlis persandingan di tempat yang sama sekitar jam 1 tengah hari, sebaik dinikahkah kira-kira pada pukul 10.40 pagi.

Konsep tradisional menjadi pilihan Tini dan Sol untuk resesi yang dihadiri sekitar 1,000 tetamu itu. Mereka yang menggayakan busana rekaan Lubis House untuk kedua-dua acara tersebut telah mengenengahkan tema warna merah hati dan krim pada resepsi tersebut.

Faizal Ismail dan Rafidah Abdullah bertindak selaku pengacara pada resepsi tersebut selain dihiburkan oleh persembahan termasuklah oleh Dina Malaysian Idol.

Rakan-rakan penyampai radio Hot FM seperti Leya, Anne dan Kieran serta 'orang kuat' stesen tersebut, Seelan Paul turut hadir memeriahkan majlis bersejarah pasangan ini.

Tini dan Sol akan mengadakan sebuah lagi resepsi di sebelah pihak lelaki pada 28 Februari ini di Kota Tinggi, Johor.

No comments: