Jan 11, 2009

Memey tidak tolak jodoh dengan Norman

DUA bulan 'bersembunyi' sejak kes dirinya ditangkap berkhalwat dengan aktor popular Norman Hakim pada akhir Oktober lalu, Suhaiza Suhaimi yang mesra disapa Memey ini akhirnya enggan 'melarikan diri' lagi daripada pihak media.

Bagi pelakon muda berusia 20 tahun ini, cukuplah tohmahan yang dilempar masyarakat terhadap dirinya ketika dia cuba berdiam diri daripada membuat sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.

Meskipun gelaran 'perampas' dan 'pemusnah' rumahtangga orang dilabelkan kepada dirinya, Memey sudah tidak mahu lagi memikirkan tentang tanggapan negatif pihak-pihak tertentu buat dirinya.

Cukuplah dua bulan masa yang diambilnya untuk menenangkan diri daripada segala kekecohan yang berlaku. Bukan cuba melarikan diri, tetapi kata tuan empunya diri, dia terpaksa berbuat demikian untuk meredakan keadaan yang cukup 'hangat' pada ketika itu.

Memey sudah bersedia berdepan dengan media setelah dua bulan 'bersembunyi'

Di dalam hati pelakon kelahiran Kota Tinggi, Johor ini, memang terbuku perasaan bersalah bila melihat keruntuhan rumahtangga Norman dan isterinya, Abby Abadi yang berkecai gara-gara kes tersebut, tetapi bagi Memey, dia sendiri tidak sekejam itu untuk memusnahkan kebahagiaan orang.

Cuma, akui Memey, dia tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan masyarakat dan menjelaskan hal yang sebenar memandangkan ketika itu dirinya dianggap sebagai 'orang jahat' di dalam kes rumahtangga Norman dan Abby yang berakhir dengan perceraian bulan lalu.

Namun, setelah merasakan diri cukup kuat untuk kembali berdepan dengan pihak media, Memey akhirnya nekad untuk memulakan hidup baru sempena dengan tahun baru 2009 ini.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak. Saya tahu, ramai yang mempertikaikan langkah saya berdiam diri ketika kes tersebut hangatdiperkatakan.

"Saya tidak pernah menyembunyikan diri atau 'lari' ke mana-mana, cuma saya ketika itu tidak bersedia untuk menjelaskan segala-galanya di depan pihak media. Atas nasihat keluarga juga, saya akhirnya ambil langkah untuk diam dulu sehinggalah keadaan kembali reda.

"Saya tahu, tidak guna untuk larikan diri kerana lambat-laun, saya perlu juga berdepan dengan pihak media. Tetapi, saya harap semua mengerti keadaan saya yang cukup tertekan ketika itu.

"Sekarang, saya rasa diri ini sudah cukup kuat. Memang ini masa yang tepat untuk saya buka buku baru. Saya ingin bersihkan nama saya kerana sekarang ini orang sudah menghukum saya atas apa yang terjadi.

"Saya ingin perkara ini selesai dengan cara yang baik. Saya sedar, ramai orang yang marahkan saya. Saya manusia biasa dan tidak terlepas dari membuat kesilapan," ujar Memey ketika dihubungi.

Memey akui Norman seorang yang 'istimewa'

Kata pelakon yang popular dengan drama Farah Syakirah ini, sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika dua bulan 'bersembunyi', apatah lagi bila membaca kutukan ramai terhadap dirinya menerusi akhbar, majalah dan Internet.

Namun, kekuatan diri yang dikumpul selain sokongan padu keluarga terhadap dirinya, Memey cuba 'menelan' kutukan yang dilemparkan meskipun cukup pahit untuk diterimanya.

Perasaan bersalah memang menyelubungi dirinya, tetapi Memey tidak mahu dirinya terus dilabel sebagai punca utama keretakan rumahtangga pasangan selebriti itu.

"Kalau dikatakan sayalah punca utamanya...entahlah, saya sendiri tak tahu macam mana untuk jelaskan. Sudah tentu saya tidak mahu dianggap sebegitu. Tetapi saya akui, apa yang berlaku pada mereka (Norman dan Abby) memang membuatkan saya rasa bersalah.

"Saya tidak marahkan Kak Abby dengan kenyataan yang pernah dikeluarkannya sebelum ini. Saya terima semua itu kerana saya tahu dia sedang marah. Saya minta maaf sangat dengan apa yang terjadi.

"Saya sanggup berdepan dengan dia bila masa mengizinkan kelak. Tetapi bukan sekarang. Saya tidak bersedia lagi kerana saya tahu dia juga masih marahkan saya.

"Saya hanya berdoa agar perkara ini dapat berakhir dengan cara yang baik," tutur anak ketiga daripada enam beradik ini.

Dalam nada tenang, Memey akui banyak pengajaran yang diperolehnya berikutan kes tersebut. Namun begitu, aktres ini enggan lagi menoleh ke belakang.

Seboleh mungkin, dia tidak mahu lagi membuka mulut tentang insiden hitam yang berlaku terhadap dirinya ketika ditangkap berkhalwat dengan Norman oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat pelakon lelaki itu di Ukay Perdana, Ampang, Selangor.

Untuk menjernihkan namanya, Memey sanggup memberikan kerjasama yang baik dengan pihak JAIS dan bersedia untuk menghadirkan diri ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 20 Januari depan untuk perbicaraan kes khalwatnya itu.

"Memang gementar untuk berdepan dengan kes itu, tetapi inilah yang perlu saya lalui. Apapun, saya sudah bersedia. Dan saya memang tidak sabar untuk selesaikan perkara ini dengan segera," tutur Memey.

Rela terima Norman sebagai suami jika ada jodoh

Gosip dirinya mempunyai hubungan dengan Norman sebenarnya telah tercetus sebelum mereka ditangkap berkhalwat lagi. Khabar angin hubungannya dengan aktor drama Gerak Khas itu mula bertiup awal tahun lalu apabila mereka dikatakan mula rapat setelah membintangi drama bersiri Pasrah.

Malah, mereka juga dikatakan sudah bernikah secara rahsia di sempadan Malaysia-Thailand, namun, kedua-duanya menafikan hal tersebut.

Berikutan itu, rumahtangga Norman dan Abby dikatakan bergolak apatah lagi Abby kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa dia seolah-olah tidak dipedulikan oleh Norman lagi, yang lama tidak pulang ke rumah sejak Ramadan tahun lalu.

Namun, aktor berusia 32 tahun itu menafikan hal tersebut ketika hadir pada majlis cukur jambul anak bongsunya selepas Hari Raya Aidilfitri dan menegaskan bahawa dia tidak pulang ke rumah kerana sibuk di lokasi penggambaran, tetapi masih pulang beraya bersama keluarga pada Hari Raya pertama sebelum balik semula ke lokasi pada hari raya kedua.

Namun, kes khalwat yang membabitkan Norman dan Memey telah mengeruhkan keadaan apabila Abby nekad untuk menuntut cerai daripada suaminya itu.

Ketika diajukan tentang sejauhmana hubungannya dengan Norman, Memey tidak lagi dilihat 'berdolak-dalih' seperti mana yang dilakukannya sebelum ini.

Akui dia masih lagi "bersahabat" dengan Norman, kata Memey, meskipun mereka berdepan dengan masalah besar ketika ini, dia akui sehingga kini dia masih lagi berhubung baik dengan Norman.

Malah, khabar angin yang mengatakan Norman dan keluarganya pernah berkunjung ke rumah keluarga Memey di Johor baru-baru ini dan kelibat Memey yang dilihat turut berada di rumah keluarga Norman di Kuantan selepas itu juga tidak dinafikan oleh pelakon muda ini.

"Perkara itu memang benar. Tetapi kunjungan itu bukanlah atas dasar untuk berbincang tentang perkahwinan, seperti mana yang dilaporkan oleh banyak pihak. Kami menganggap kunjungan itu lebih kepada untuk mengeratkan silaturrahim, setelah apa yang berlaku dulu.

"Rasanya perkara itu tidak salah. Malah, hubungan saya dan Norman tidak terjejas meskipun kami berhadapan dengan kes besar itu. Dia banyak juga memberikan nasihat kepada saya sewaktu di awal kes itu dulu.

"Terpulanglah kepada penilaian masyarakat sendiri," kata Memey yang akui masih lagi bekerja dengan Norman di syarikat aktor itu, MDH Trading & Services.

Ditanya apakah dirinya merasakan Norman seorang yang cukup istimewa di hatinya ketika ini, apatah lagi aktor itu dulu pernah membuat kenyataan sedemikian mengenai Memey, sambil ketawa kecil Memey menjawab:

"Sepanjang mengenali Norman, saya akui dia seorang lelaki yang baik. Tetapi, banyak hati yang perlu saya jaga. Saya tidak mahu apa yang saya katakan ini akan mencetuskan hal lain pula.

"Tetapi, saya akui, saya selesa berkawan dengan dia. Memang dia seorang yang istimewa kerana dia bijak, matang dan yang penting sekali, saya banyak mengutip ilmu baru daripadanya.

"Saya tidak menolak jika satu hari nanti ditakdirkan dia adalah jodoh saya. Lagipun, perkara itu Tuhan yang tentukan," kata Memey sambil cuba mengalih kepada topik kariernya pula.

Ingin kembali aktif dalam lakonan

Sebaik terjebak dengan kes khalwat itu, nasib Memey di dalam dunia lakonan dikatakan akan turut 'terjejas'. Meskipun Memey dilihat sebagai antara bintang baru yang cukup menyerlah, namun begitu episod hitam itu ternyata memberi 'kesan' negatif buat karier seninya.

Gara-gara kes tersebut, nama Memey pernah digugurkan daripada sebuah produksi dan digantikan dengan pelakon lain untuk sebuah drama. Namun begitu, kata Memey, dalam tempoh dua bulan mendiamkan diri, masih ada penerbit drama yang terus percaya akan bakatnya dan menawarkannya untuk membintangi drama-drama terbitan mereka.

Tetapi, Memey sendiri menolak semua tawaran tersebut untuk 'berehat' seketika memandangkan keadaan ketika itu cukup 'tegang'.

"Masih ada yang menawarkan saya untuk berlakon beberapa buah drama ketika itu, tetapi saya sendiri terpaksa menolak dengan baik. Tetapi ketika itu tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk terus berhenti dari bidang seni.

"Saya akui, saya 'tergelincir' ketika sedang berusaha untuk memajukan karier saya. Dan inilah masanya untuk saya kembali dengan impian saya selama ini.

"Saya sudah bersedia untuk kembali 'all-out' dalam bidang lakonan. Bulan depan saya akan terlibat dengan penggambaran drama bersiri terbitan Skop Productions berjudul Roda-Roda Kuala Lumpur.

"Biarlah apa yang berlaku ini saya anggap sebagai satu pengajaran yang cukup bermakna buat saya," kata Memey.

No comments: