Mar 3, 2009

Hukuman kes khalwat Ako diputuskan 21 April

Hukuman kes khalwat Ako Mustapha dengan seorang wanita, Anang Sagunting akan diputuskan 21 April depan

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menetapkan tarikh 21 April depan untuk menentukan hukuman terhadap pelakon Ako Mustapha berhubung kes khalwatnya dengan seorang wanita, Anang Sagunting.

Ako yang diwakili oleh Peguam Syarie, Zuri Zabuddin Budiman telah memohon kepada pihak mahkamah untuk meringankan hukuman yang bakal dijatuhkan kelak, setelah dia mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Ako ketika keluar dari mahkamah bersama Peguam Syarie, Zuri Zabuddin Budiman. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

“Kita tunggu pada tarikh akan datang untuk mengetahui hukuman yang dijatuhkan kepada Ako.

“Hari ini, kita telah membuat rayuan untuk meringan hukumannya. Jadi, kita sedang menyediakan dokumen untuk tender ke dalam mahkamah di mana kita akan berikan kepada mahkamah dan pendakwa untuk meringankan hukuman denda maksimum sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun,” kata peguam syarie Zuri.

Dimaklumkan jumlah denda itu akan ditetapkan oleh Hakim Syarie.

Ako boleh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang keadaannya dalam menghadapi kes ini, Ako hanya berkata ringkas: “Biasalah..”

Ako dilihat hadir di mahkamah pagi tadi seorang diri.

Diaju persoalan kenapa isterinya, Kartina Shuaib Abdullah tidak hadir bersama, Ako berkata dia sendiri yang tidak mahu Kartina datang menemaninya.

“Saya tak tahu..saya tak mahu dia dilibatkan oleh media dalam kes ini,” jelas Ako apabila ditanya sebab dia tidak mahu Kartina hadir bersamanya.

Selepas itu, terus Zuri mencelah dengan berkata: “Kes ini suatu proses biasa di mana insiden itu telah lama berlaku iaitu bulan Jun 2007 tetapi tahun ini baru dijalankan pendakwaan. Disebabkan kes itu adalah kes lama, jadi kita tidak mahu tunggu lagi.

“Mengenai waran tangkap itu, rasanya kami telah jelaskan di mana kebetulan tarikh perbicaraan sebelum ini sama dengan tarikh pernikahannya. Jadi, sebab itu dia tidak dapat hadir.

“Oleh itu, waran tangkap itu telah dibatalkan. Di samping itu, dua tiga hari selepas tarikh itu, Ako datang sendiri ke mahkamah dan membuat pembatalan waran tangkap itu.

“Jadi, bukan kata dia nak mengelak atau apa malah cuba menyenangkan proses mahkamah dengan bekerjasama dengan semua arahan pihak mahkamah mahupun pihak pendakwaan.”

Ako, 37, yang berkahwin dengan Kartina, 29, pada 17 Januari lalu dituduh berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, di Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa di sini, sekitar jam 1.20 pagi, pada 27 Jun 2007.

Januari lalu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad telah membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Ako setelah empat kali dia gagal hadir ke mahkamah, dan menetapkan tarikh hari ini untuk sebutan semula kes.

No comments: