Mar 3, 2009

Memey panggil ibu Norman 'mak', nafi ada 'udang sebalik batu.'

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Melihat perlakuan antara aktres Memey Suhaiza dengan ibu aktor Norman Hakim, Kamariah Kamat ketika menghadirkan diri di Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini, hari ini, kedua-duanya tampak mesra antara satu sama lain.

Kemesraan mereka jelas kelihatan ketika di dalam dewan perbicaraan bilamana mereka sempat berbisik sesuatu sambil tersenyum sipu.

Sebelum Kamariah pulang, Memey yang sedang ditemubual sempat mendapatkan Kamariah lalu menyapa ibu berusia 66 tahun itu dengan panggilan ‘mak’.

Memey kelihatan ceria ketika hadir bersama ibu saudaranya di Mahkamah Syariah Gombak Timur pagi tadi. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Sejurus selepas itu, Memey terus bersalam dan mencium tangan ibu aktor yang baru bercerai dengan aktres Abby Abadi itu.

Lantas ketika diajukan tentang panggilan ‘mak’, Memey berkata dia telah biasa membahasakan Kamariah sebagai ‘mak’ sejak mereka rapat pada tahun lepas.

Walau bagaimanapun, ketika ditanya, Memey nafi ada 'udang sebalik batu' mengenai hubungan mesranya dengan ibu Norman.

Wajah tenang dan ceria sentiasa dipamerkan oleh Memey sewaktu hadir di mahkamah.

“Saya lupa bila saya mula panggil dia ‘mak’. Semasa mula-mula saya berjumpa dengannya, hubungan kami biasa sahaja dan saya belum memanggilnya ‘mak’.

"Tetapi apabila dah rapat dan boleh ‘keep in touch’ tu, terus saya panggil dia dengan gelaran ‘mak’.

“Saya tiada masalah dengan gelaran itu untuk orang tua yang rapat dengan saya. Bagi saya, tak salah kalau nak panggil dia ‘mak’ sekurang-kurangnya lebih mengeratkan hubungan silaturrahim antara kami,” beritahu Memey ketika menghadiri perbicaraan kedua kes khalwatnya dengan Norman Hakim di mahkamah, di sini, hari ini.

Ibu Norman, Kamariah Kamat,duduk disebelah anaknya turut hadir memberi sokongan.

Menurut Memey, hubungan akrab antaranya dengan ibu Norman itu bukan sahaja tercetus melalui panggilan mesra sahaja malah mereka juga tidak putus menghubungi antara satu sama lain.

“Saya memang ‘baik’ dengan mak Abang Norman. Sejak kami rapat tahun lalu, kami sentiasa berhubung setiap hari menerusi telefon.

“Saya juga menganggapnya seperti mak sendiri. Kadangkala, dia memberi nasihat kepada saya dan ada juga dia mengajak saya bercerita.

“Apabila dia datang ke Kuala Lumpur, kami ada juga berjumpa,” ulas Memey.

Terbaru, Memey ada mengeluarkan kenyataan di mana dia tidak kisah jika dijodohkan dengan suami orang atau lelaki duda menerusi sebuah majalah.

Kenyataan tersebut seolah-olah menguatkan spekulasi Memey memang mempunyai hubungan dengan Norman lalu merancang untuk berkahwin tidak lama lagi.

“Wallahualam, sebab kenyataan itu dikeluarkan apabila saya ditanya soalan umum yang mengaitkan spekulasi hubungan saya dengan Abang Norman.

“Jadi, saya menjawab yang saya tidak kisah siapa pun jodoh saya termasuk menerima andai ditakdirkan dengan suami orang atau duda.

“Tetapi, kenyataan itu bukanlah fokus sebenar saya. Bagaimanapun, saya tidak kisah kalau suami orang atau duda adalah jodoh saya asalkan kami berdua, keluarga saya dan keluarganya saling mengenali.

“Keluarga saya pun tidak kisah dan tiada masalah dengan hubungan antara saya dan Abang Norman. Dia pun selalu ‘keep in touch’ dengan keluarga saya.

“Keluarga saya juga selalu menghubungi keluarga Abang Norman,” jawab Memey lancar.

Bagaimanapun, Memey menafikan yang kedua-dua belah keluarga masing-masing mengeluarkan hajat untuk menyatukan dia dan Norman.

Memey mengakui yang usia perkenalannya dengan Norman sudah mencecah hampir setahun.

Sambil tergelak kecil, Memey berkata hubungan mereka ‘belum ada apa-apa’ dan berlangsung dalam keadaan baik sahaja.

Apabila diusik, adakah maksudnya mereka tidak bercinta?.

Memey menjawab dalam nada riang: “Tiada, wallahualam..”

Dalam pada itu, Norman ketika ditemubual turut berkata yang dia dan Memey belum mempunyai perancangan untuk berkahwin.

"Saya terima seadanya jika sampai seru saya berkahwin dengan Memey nanti," komen Norman apabila disoal tentang kahwin.

Norman hadir ke mahkamah sambil ditemani oleh ibu, abang dan abang iparnya manakala Memey hadir ke mahkamah sambil ditemani oleh ibu saudaranya.

Apabila ditanya kenapa keluarga Memey terutama ibu dan bapanya tidak hadir sama, Memey berkata dia sengaja tidak membenarkan mereka hadir.

"Ibu dan keluarga saya memang hendak datang tetapi apabila melihat keadaan sekarang, saya hanya panggil ibu saudara untuk temankan," ujar Memey.

No comments: