Jan 4, 2010

Zizan Nin Tunggu Masa Umum Tarikh Perkahwinan

KISAH perkahwinan pelakon kacak, Zizan Nin, 36, yang dikatakan bakal dilangsungkan tahun ini masih lagi menjadi tanda-tanya ramai.

Berpegang kepada pendirian untuk tidak mahu terlalu menghebohkan kisah peribadinya kepada media, Zizan berkata, dia masih menunggu masa yang sesuai sebelum berbicara lanjut tentang majlis perkahwinannya itu.

“Saya bukan tidak mahu memberi maklumat tentang perkahwinan saya tapi saya dan keluarga pihak perempuan masih lagi mencari tarikh yang sesuai.

“Apa yang pasti majlis tersebut akan berlangsung pada tahun ini sebelum hari jadi saya pada bulan Mei. Sekarang ni masih tengah buat persiapan,” ujar Zizan yang ditemui pada majlis persandingan Serina dan Gavin kelmarin.

Bercerita tentang majlis perkahwinanan yang diimpikan, Zizan berkata dia lebih suka majlis yang berkonsepkan perkahwinan dalam taman.

“Majlis saya sederhana sahaja, tidak sehebat majlis ini (Serina). Tapi saya suka konsep dalam taman, kalau boleh saya lebih suka ia dilakukan di kawasan lapang bukan di dalam dewan.

“Tapi kalau masih lagi bercuaca seperti sekarang yang sentiasa hujan, terpaksa jugalah buat di dalam dewan,” ujarnya yang menambah, majlis itu akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Pelakon drama Disebalik Tirai Besi ini juga memberitahu, ketika ini, dia sudah menyiapkan senarai tetamu jemputan yang bakal menghadiri majlis perkahwinannya nanti.

“Saya sudah menyiapkan senarai jemputan, para wartawan juga tidak terkecuali. Saya akan menyiapkan kenyataan media untuk majlis tersebut bagi memudahkan wartawan,’ kata Zizan yang akan mengumumkan tarikh perkahwinannya dalam masa terdekat ini.

Mengulas lanjut tentang perkahwinannya, Zizan berkata dia mungkin melakukan acara pertunangan pada majlis yang sama, namun itu masih lagi diperingkat perbincangan.

“Sekarang ramai yang tidak bertunang lama-lama, ada juga yang bertunang beberapa jam sebelum bernikah. Saya masih lagi dalam perancangan untuk bertunang, mungkin akan bertunang dalam masa yang singkat sahaja,” katanya.

Ketika ini, ramai yang ingin mengetahui gerangan gadis bertuah yang berjaya mencuri hati pelakon popular ini.

Biarpun masih merahsiakannya, namun menurut Zizan, teman wanitanya itu merupakan wanita yang cukup bersederhana.

“Dia bukan dari golongan artis atau bekerja dalam industri hiburan. Namun janganlah tulis dia orang biasa, saya tidak mahu keluarga dia berkata apa pula, golongan artis pun bukanlah orang luar biasa pun.

“Cukuplah saya katakan dia bekerja di pejabat, selebihnya biar jadi surprise pada hari perkahwinan nanti,” ujar Zizan

Sementara itu, Zizan yang baru sahaja habis penggambaran drama Siong untuk slot Lagenda TV3 mengakui jadual untuk tahun baru ini semakin padat.

“Tahun 2010 saya banyak juga tawaran berlakon telefilem. Setakat ini jadual saya padat sehingga bulan Jun, nak susun jadual pun saya masih pening lagi. Tapi, saya perlu fokus untuk buat persiapan perkahwinan dulu,” ujarnya yang bakal mengunakan khidmat perunding perkahwinan bagi melancarkan perjalanan majlis perkahwinannya nanti.

No comments: