Aug 7, 2010

Maizawati nikah lusa

KUALA LUMPUR: “Saya terlalu merindui anak-anak dan berharap mereka dapat menghadiri majlis pernikahan ini,” luah Maizawati Zainal, 33, bekas isteri penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy.

BAHAGIA...Maizawati mendukung anak bongsu, Muhd Shatiri Hidayahtullah bersama empat  lagi anaknya ketika perbicaraan tahun lalu.
BAHAGIA...Maizawati mendukung anak bongsu, Muhd Shatiri Hidayahtullah bersama empat lagi anaknya ketika perbicaraan tahun lalu.
Menurutnya, sudah lebih setahun dia tidak berhubung dengan Akhil dan berharap bekas suaminya memberi keizinan kepada kedua-dua anaknya menghadiri majlis itu di Taman Utama, Bercham, Ipoh, Isnin ini.

“Saya baru dapat bercakap dengan mereka, kelmarin. Saya sudah beritahu majlis itu dan kedua-duanya begitu teruja untuk menghadirinya.

“Akhil juga dijemput, itupun jika dia sudi hadir. Tapi, saya tak dapat menjemputnya secara peribadi kerana saya akui kami tidak pernah berhubung lebih setahun lalu sejak kontroversi tercetus.

“Malah, nombor telefon bimbitnya juga tiada dalam simpanan saya. Hanya melalui media sajalah saya mampu menjemputnya dan berharap dia sudi hadir ke majlis pernikahan saya,” katanya.

Ketika dihubungi semalam, Maizawati berkata, dia dan keluarganya kini sibuk dengan persiapan terakhir untuk majlis pernikahannya sebelum bergelar isteri kepada pemuda pilihan hati yang ingin dikenali sebagai Mohd, 23.
“Yang sudah berlalu, biarlah berlalu kerana antara saya dengannya (Akhil) memang sudah tiada jodoh. Saya sedikitpun tidak menyimpan dendam atas apa yang berlaku terhadap kami,” katanya.

Ketika ditanya mengenai majlis pernikahannya, Maizawati berkata, persiapannya kini hampir 80 peratus siap dan segala-galanya berjalan lancar.

“Sokongan keluarga dua-dua pihak terutama ibu bapa kami amat mengharukan, malah merekalah tulang belakang untuk menyempurnakan majlis ini.

“Merekalah yang menggalakkan kami mempercepatkan pernikahan kerana bimbang keselamatan saya yang terpaksa ke sana ke mari seorang diri menguruskan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, mengikut perancangan dia dan bakal suami sepatutnya bernikah penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

Namun, katanya, keluarga terpaksa menukar tarikh kerana mereka lebih senang melihat dia ditemani suami.

Perkahwinan pasangan itu sepatutnya dijadualkan Mei lalu, namun terpaksa ditangguh berikutan keadaan kesihatan orang tua kedua-dua pihak tidak mengizinkan.

“Bagaimanapun, benarlah kata orang apabila sudah sampai jodoh, kita memang tidak dapat menolaknya.

“Saya harap pernikahan ini dapat membahagiakan kami, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kisah hidup saya dan menutup mulut individu yang menabur fitnah terhadap kami,” katanya.

Sementara itu, Akhil ketika dihubungi berkata, dia tiada masalah membenarkan anak-anaknya menghadiri pernikahan ibu mereka, cuma tarikh dipilih tidak begitu sesuai.

“Ana (saya) izinkan anak-anak pergi, tapi tengoklah macam mana. Jika mereka mahu pergi, ana usahakan menghantar mereka ke sana,” katanya.

Mengenai pernikahan bekas isterinya itu, Akhil berharap Maiza dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik.

“Baguslah dia kahwin, lagipun sebelum ini dia pernah mengatakan kepada ana mahu mendapat suami yang lebih baik, semoga impiannya tercapai,” katanya.

Mohd pula ketika dihubungi berkata, walaupun dia hampir hilang kekuatan akibat tohmahan dan hinaan segelintir individu yang mempertikaikan perkahwinannya dengan Maiza, namun sokongan keluarga membuatkan dia tetap mahu memulakan hidup bersama insan tercinta.

“Biarlah orang nak kata apa saja mengenai kami kerana bukan mereka yang mahu hidup bersama Maiza, tapi saya sendiri. Umur hanya sekadar angka. Biarlah kami meneruskan hidup dengan bahagia,” katanya.

Apr 22, 2010

Keputusan Lafaz Cerai Sha'arin-Ida 1 Julai

Ida Narina tampil di mahkamah bagi mendengar keputusan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerainya dengan bekas pemuzik Blackrose, Sha'arin Mohd Razali. foto THE STAR. Oleh SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 1 Julai ini untuk membuat keputusan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai pelakon terkenal, Ida Nerina dan suaminya, bekas pemuzik Blackrose, Sha'arin Mohd Razali.

Hakim Mohd Yunus Mohamad Zin turut mengarahkan pihak plaintif (Sha'arin) dan defendan (Ida) untuk mengemukakan penggulungan hujah pada 21 Mei dan 21 Jun ini.

Pasangan itu hadir di mahkamah hari ini. Ida menggunakan kerusi roda sambil ditemani saudara-mara serta artis kenalan seperti Atilia dan Susan Lancaster.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah meminta pihak plaintif membuat pindaan terhadap hujahan awalnya ekoran fakta baru yang ditimbulkan Sha'arin.

Semasa menjawab soalan peguam, Akbarden Abdul Kader yang mewakili Ida, plaintif memberitahu bahawa dia melafazkan cerai dalam bahasa Malaysia dan diikuti bahasa Inggeris.

Lafaz cerai itu berbunyi, "Baiklah, saya ceraikan kamu" dan "Okay, I'll divorce you".

Sebelum ini, Sha'arin dalam pengakuan bersumpahnya berkata, dia hanya melafazkan cerai dalam bahasa Malaysia.

Ekoran itu, Mohd Yunus mengarahkan peguam, Mahyuddin Md Zahari yang mewakili Sha'arin membuat pindaan terhadap fakta kes.

Jelas beliau, ini kerana fakta baru itu mempengaruhi bilangan talak yang dijatuhkan.

Pada 12 Oktober tahun lalu, Sha'arin memfailkan permohonan pengesahan cerai selepas mendakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada September lalu.

Kedua-dua mereka berkahwin pada 2 Jun2006.

Ayu OIAM Kahwini Duda Beranak Dua

Ayu memilih duda sebagai pasangan hidupnya sejak setahun lalu. Foto THE STAR. Oleh IBRAHIM MOHTAR

KUALA LUMPUR: Juara One In A Million (OIAM) kedua, Norayu Damit atau lebih dikenali sebagai Ayu, 21, mengaku telah berkahwin dengan seorang duda berusia 23 tahun pada awal tahun lalu dan kini telah dikurniakan seorang cahaya mata.

Dia mengakui kehilangannya hampir setahun dari industri hiburan tanah air adalah untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan bayinya.

"Ya, saya menghilang selama ini kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga dan anak yang masih kecil. Saya minta maaf kerana tidak memberitahu tentang perkahwinan saya pada Januari tahun lalu atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Kini saya bahagia bersama suami iaitu Syed Fauzi Syed Baharuddin bersama anak kami, Syed Nashrul Haikal. Saya juga sudah bersedia untuk kembali aktif sebagai penyanyi," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Sri Pentas, semalam.

Dalam pada itu, Ayu turut menafikan spekulasi berhubung isu hamil sebelum berkahwin sehingga menyebabkan dia bersembunyi dari perhatian media.

"Spekulasi tentang saya hamil sebelum berkahwin itu tidak benar, saya telah berkahwin dahulu sebelum melahirkan anak. Kami berkahwin secara sederhana di Kuala Kangsar. Ketika majlis tersebut saya turut ditemani oleh bapa saya.

"Mulut orang kita tidak boleh tutup, jika orang masih ingin berkata tentang saya, biarlah. Saya hanya ingin minta maaf kepada peminta dan pihak pengurusan kerana menghilang selama ini," ujar anak kelahiran Putatan, Sabah ini.

Ketika ditanya tentang suaminya, Ayu memberitahu suaminya seorang yang penyayang dan sentiasa memberi sokongan kepadanya. Dia juga mengakui khabar angin tentang suaminya seorang duda juga adalah benar.

"Saya kenal dia selepas saya menjadi artis, bagi saya dia seorang yang baik, penyanyang, bertanggungjawab dan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya saya.

"Saya akui suami saya duda dan mempunyai dua orang anak yang berusia empat dan dua tahun, kini kami tinggal bersama dan saya telah menganggap mereka seperti anak-anak saya juga," ujarnya yang kini tinggal di ibu kota bersama-sama keluarganya.

Ayu yang bakal membuat kemunculan pertamanya pada Anugerah Industri Muzik (AIM) akan datang berjanji akan menumpukan perhatian kepada keriernya semula.

"Saya akan kembali menyanyi semula, namun kini saya sudah berkeluarga, saya perlu bijak membahagi-bahagikan masa antara kerjaya dan keluarga," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata peluang kedua harus diberikan kepada Ayu kerana percaya kepada bakat yang ada pada penyanyi itu.

"Saya percaya bakat yang ada pada Ayu masih belum digilap sepenuhnya dan sebelum ini dia tidak pernah melanggar sebarang kontrak dengan kami. Dia perlu mulakan semua dari awal seperti dahulu," jelasnya.

Apr 20, 2010

Bung Moktar, Zizie Mengaku Berpoligami Tanpa Izin

Bung Moktar dan Zizie Izette ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini. - Foto Utusan

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan isteri keduanya, Zizie Ezette mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini kerana berpoligami tanpa izin mahkamah.

Bung Moktar, 51, dituduh berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan Zizie, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Dis tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Zizie juga dituduh berkahwin dengan Bung Moktar tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di alamat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, Zizie didakwa bersubahat dalam kes Bung Moktar berpoligami tanpa kebenaran mahkamah manakala Bung Moktar dituduh bersubahat dengan pasangannya berkahwin tanpa kebenaran.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudiannya melepaskan pasangan itu dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan bagi Peguam Amli Embong yang mewakili pasangan itu mengemukakan rayuan bertulis.

Sementara itu di mahkamah yang sama, dua abang dan adik Zizie Izette serta dua yang lain mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam kes berpoligami itu.

Ahmad Shahazmi Abdul Samad, 48, Samzy Fuzette Abdul Samad, 34, Shaheizy Sam Abdul Samad, 27, dan dua rakan anggota Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ahmad Shahazmi turut menghadapi pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 40 (1) (a) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy didakwa mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.

Kesemua mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu dilepaskan dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Hakim Mahyuddin turut menetapkan 18 Mei depan bagi Peguam Amli Embong mengemukakan rayuan bertulis.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor Shafezan Rusli dan Zusyarafain Yusof.

Kedua-dua mereka mencetuskan kontroversi Disember lalu apabila menafikan berita pernikahan mereka tetapi akhirnya terpaksa membuat pengakuan terbuka selepas dihidu oleh media.

Pada 21 Disember lalu, Bung dan Zizie, 31, akhirnya mengakui bahawa mereka telahpun selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri tetapi enggan menyatakan lokasi pernikahan tersebut berlangsung.

Bung yang ketika itu berada di luar negara telah menjawab melalui kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bahawa beliau telah menikahi Zizie.

"Jika Datuk (Bung) kata benar, maka jawabnya benarlah kami dah berkahwin," kata Zizie ketika mengulas mengenai pengakuan suaminya itu.

Ketika ditanya oleh mStar Online dan The Star Zizie memberitahu, jika benar sekalipun mereka berkahwin, mereka tidak bersalah di sisi Allah walaupun mungkin bersalah pada sisi undang-undang dan peraturan buatan manusia.

Beberapa minggu kemudian, gambar Bung dan Zizie yang baru pulang dari luar negara berjaya dirakam media sebaik keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Apr 10, 2010

Memey dakwa pejabat cuba dipecah


Norman dan Memey hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam bagi mendengar perbicaraan kes khalwat mereka.


KUALA LUMPUR - Abang kepada pelakon Norman Hakim, Mohamed Saufi Zaidon datang ke pejabat adiknya pada pukul 2.30 pagi 30 Oktober lalu atas permintaan Memey yang memberitahu ada orang hendak memecah masuk ke premis itu.

Saufi, 46, selaku saksi keempat pendakwaan berkata, Memey menghubunginya ketika dia tidur di rumahnya di Apartmen Sri Raya yang terletak berdekatan dengan premis berkenaan.

Saksi itu memberi keterangan dalam perbicaraan kes khalwat Norman dan Memey di hadapan Hakim Syarie, Salehan Yatim di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam.

Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey Suhaiza Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di antara pukul 1.45 pagi dan pukul 3 pagi 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini.

Terdahulu, Saufi yang disoal Pegawai Pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhammad Nazri Basrawi berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama Norman, Memey, Aminuddin Razak (Ketua Pegawai Eksekutif syarikat) dan Natalie mengadakan mesyuarat di tingkat bawah pejabat terbabit.

"Kami bermesyuarat sehingga pukul 12.30 pagi sebelum saya pulang untuk tidur. Semasa meninggalkan pejabat, ada Norman, Memey, Amiruddin dan Natalie," kata ahli perniagaan itu.

Mar 21, 2010

Persandingan Zizan Sederhana Tapi Meriah

MAJLIS persandingan pasangan pengantin baru pelakon Zizan Nin, 37, dan Fazilah Hani Harun, 30, berlangsung secara sederhana namun meriah di Dewan Perdana Felda, di sini, malam tadi.

Pasangan mempelai yang tiba tepat pada pukul 9 malam disambut dengan paluan kompang dan persembahan pancaragam mengiringi pengantin sehingga menjejakkan kaki ke gerbang pelamin.

Majlis yang berkonsepkan perkahwinan dalam taman dengan menggunakan gabungan warna putih suci dan merah jambu dihiasi denganbunga-bungaan yang menceriakan lagi majlis.

Acara dimulakan dengan bacaan doa sebelum upacara merenjis dan menepung tawar mempelai menyusul. Ia didahului oleh ibu bapa saudara pengantin perempuan diikuti ibu bapanya dan bapa kepada pengantin lelaki.

Sepanjang majlis berlangsung, tetamu turut dihiburkan dengan nyanyian penyanyi undangan dan persembahan nyanyian buat julung kalinya daripada rakan baik Zizan, pelakon Tony Eusoff.

Kira-kira 1000 tetamu yang hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada saudara mara dan rakan taulan kedua-dua belah pihak pengantin.

Selain itu beberapa rakan artis seperti Aqasha, Tony Eusof, Korie serta rakan-rakan sekerja Fazilah dari stesen ntv7 turut memeriahkan majlis.

Pasangan Zizan dan Fazilah Hani selamat diijabkabulkan pada 19 Mac lalu di Masjid Negara, Kuala Lumpur dengan hanya sekali lafaz.

Mar 20, 2010

Zizan Sah Bergelar Suami Fazilah Hani

Zizan mengucup dahi isterinya selepas selamat diijabkabulkan. Foto The Star. Oleh MOHD SAHAR MISNI

KUALA LUMPUR: Setelah tiga bulan mengikat tali pertunangan pelakon Zizan Nin, 37, sah bergelar suami kepada pembaca berita ntv7, Fazilah Hani Harun, 30, tepat jam 9.40 malam tadi di Masjid Negara, di sini.

Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim berwalikan bapa pengantin perempuan Datuk Harun Hashim dengan mas kahwin sebanyak RM 651.

Dengan hanya sekali lafaz, Zizan yang kini memikul tanggungjawab sebagai suami menzahirkan rasa syukur kerana majlis yang dirancang sejak beberapa bulan lalu berjalan dengan lancar.

"Perasaan saya ketika ini macam tidak percaya sudah jadi suami orang. Perancangan selepas ini kami sekeluarga akan mengerjakan umrah pada 31 Mac selama 10 hari.

"Selepas itu saya akan balik menyambung tugas penggambaran drama di Korea selama dua minggu dan selepas itu baru kami pergi berbulan madu,"katanya.

Sementara itu, Fazilah Hani mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah sebentar tadi. Katanya, dia sangat gembira terharu dan menganggap sudah suratan dan jodohnya dengan pelakon itu.

"Bagi saya Zizan seorang lelaki yang baik, kelakar dan dia seorang yang pandai masak. Saya senang bersama dengannya.

"Kami harap hubungan ini sampai ke akhir hayat," jelasnya.

Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, Zizan memberitahu bahawa dia tidak merancang tetapi menyerahkan segalanya kepada Allah, namun dia berharap akan mendapat cahaya mata secepat yang mungkin bagi mewarnai kehidupan rumah tangganya.

Pada majlis itu, Hani menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM20,000 dan membalas kepada Zizan dengan sembilan dulang hantaran.

Antara barang hantaran yang diberi pihak Zizan kepada Hani terdiri dari Sirih junjung, kain telekung, beg tangan, Kasut, Mas kahwin bernilai RM 651, cek bernilai RM20,000, dan barangan mekap.

bergambar bersama keluarga kedua-dua belah pihak

Manakala Zizan pula menerima Al-Quran, Manisan, tali pinggang, set penjagaan kuilit, minyak wangi, kasut, kemeja, minyak wangi dan sirih junjung.

Pasangan pengantin ini akan diraikan dalam majlis resepsi pada malam esok di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.