Mar 17, 2009

Beego cerai Intan elak aib


Intan Shahira diceraikan Beego di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Setelah hampir setahun bertelagah kerana kes tuntutan fasakh dan nusyuz (ingkar) mereka, pelakon sitcom Puteri, Beego akhirnya rela melepaskan isterinya dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

“Saya tidak mahu mengaibkan sesiapa lagi. Setakat ini sahaja, saya reda dengan apa yang Allah telah tentukan ke atas saya,” ulas Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszarul Nizam Abdullah, 29, ketika ditemui selepas kes cerai mereka selesai.

Lafaz yang dibuat Beego pukul 2.57 petang itu menamatkan percintaan selama sembilan tahun dengan Intan Shahira Mohd. Shahru sekali gus meleraikan ikatan perkahwinan yang dibina pada 28 Disember 2007 di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

Beego yang cuba berlagak tenang ketika melafazkan cerai gagal menyembunyikan kesedihannya apabila dia dilihat beberapa kali mengesat air mata selepas itu.

Bekas isterinya, Intan Shahira Mohd. Shahru, 28, dengan mata yang merah terpaksa dipujuk ibunya.

Terdahulu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai setelah mereka mencapai kata sepakat dan menandatangani perjanjian bersama.

Mengikut perjanjian itu, selepas diceraikan, Intan Shahira tidak akan menuntut apa-apa daripada bekas suaminya sama ada hutang-hutang terdahulu ataupun hak-hak selepas perceraian.

Bagaimanapun, pakar perunding sumber manusia di sebuah syarikat swasta itu memulangkan cincin bertunang berharga RM13,000 seperti dituntut Beego.

Mar 16, 2009

Nasreen Ngasri bertunang


NASREEN bersama tunangnya, Nor Azlin.


KUALA LUMPUR - Buat pertama kali, pelakon dan penerbit Nasreen Ngasri, 26, 'menayangkan' kekasihnya dalam majlis pertunangannya yang berlangsung di kediaman keluarganya di Jalan Ipoh di sini semalam.

Jejaka yang bertuah itu, Nur Azlin Rahmat, 34, ialah seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Penampilan Nur Azlin sekali gus menolak desas-desus kononnya tunang Nasreen ialah seorang ahli perniagaan bertaraf jutawan.

Nasreen yang lebih dikenali sebagai Darling bersyukur majlis pertunangannya berjalan lancar dan berharap berita pertunangannya itu akan melenyapkan semua kontroversi yang pernah tercetus sebelum ini.

"Dia orang biasa, bukannya orang kaya atau jutawan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Saya suka dia kerana dia amat memahami dan menerima saya seadanya.

"Malah, pada awal perkenalan kami, dia tidak tahu yang saya ini seorang pelakon, kerana itu dia kenal saya sebagai Nasreen Ngasri bukannya Darling seorang pelakon," ujarnya.

Menceritakan detik perkenalan mereka, Nur Azlin memberitahu, ia terjadi pada tahun lalu apabila mereka diperkenalkan oleh seorang rakan dan setelah itu mereka menjadi rapat.

Mar 9, 2009

Liena Hangat temui jejaka idaman hati


LIENA HANGAT bersama
suami, Mohd. Zaipul selepas mereka diijabkabulkan
di Masjid Negara semalam.


KUALA LUMPUR - Setelah empat tahun bersendirian, Liena Hangat atau nama sebenarnya, Norazlina Abdul Rahman, 37, akhirnya menemui cintanya dengan seorang jejaka yang membawa mereka ke jinjang pelamin.

Dengan sekali lafaz, Mohd. Zaipul Bahri Ghazali, 35, seorang kakitangan kerajaan, sah menjadi suami Liena yang menerima mas kahwin RM404 berserta wang hantaran RM22,000 berbentuk Sijil Simpanan Premium, Bank Simpanan Nasional (BSN) di Masjid Negara semalam.

Pasangan pengantin itu kelihatan secocok dengan mengenakan pakaian berwarna putih ketika upacara akad nikah yang disempurnakan oleh Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim, berwalikan bapa Leina, Abd. Rahman Ahmad, 65.

Pada majlis itu, pengantin perempuan menerima sembilan dulang hantaran antaranya ialah mas kahwin, beg dan kasut jenama Louis Vuitton, produk SKII, rantai dan minyak wangi Gucci dan dibalas sebelas dulang kepada pihak pengantin lelaki.

Sementara itu, Zaipul berkata, beliau tidak akan menyekat minat isterinya untuk melibatkan diri dalam bidang nyanyian dan lakonan, malah akan sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Mar 7, 2009

Syarul-Shahirah Raja Bahrin selamat diijabkabul

KUALA TERENGGANU: Anak kedua arkitek terkenal, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Raja Shahirah Aishah, 24, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, vokalis kumpulan Love Me Butch, Syarul Reza Abdul Aziz, 30, di Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini malam tadi.
Raja Shahirah Aishah dan Syarul Reza Abdul Aziz merakamkan gambar selepas selamat dinikahkan. -foto The Star oleh M.AZHAR ARIF

Majlis akad nikah pasangan tersebut diadakan tepat pukul 9.30 malam tadi dengan dihadiri oleh 100 orang tetamu yang terdiri daripada sahabat handai dan saudara mara dari kedua-dua belah pengantin.

Pasangan ini menyulam cinta hampir lima tahun sebelum disatukan.

Majlis dimulakan dengan Jurunikah Negeri M Rozi Bidin membacakan khutbah nikah sebelum dituruti dengan majlis akad nikah yang dilakukan sendiri oleh bapa pengantin perempuan Raja Kamarul Bahrin.

Syarul ketika menyarungkan cincin ke jari manis Shahirah.

Sebelum memulakan majlis akad nikah tersebut Raja Kamarul Bahrin kelihatan memeluk dan mencium anak perempuan tunggalnya itu hasil perkongsian hidup dengan warga Australia Jacqueline Pascarl-Gillespie.

Syarul Reza yang memakai baju Melayu serta samping songket serba putih sah menjadi suami Raja Shahirah selepas tiga kali lafaz.

Majlis bersanding kedua-dua pengantin dijadualkan berlangsung di Ariani Resort Merang petang nanti.

Pengantin lelaki berasal dari Seksyen 8 Bandar Puncak Alam Selangor manakala pengantin perempuan dari Jalan Sultan Mahmud di sini.

Bercerita tentang perkenalan awal mereka, pasangan yang bercinta hampir lima tahun ini diperkenalkan oleh seorang rakan sebelum mereka bersama-sama menubuhkan kumpulan muzik Lab Rat dan menyertai sebuah pertandingan yang mana mereka berjaya mewakili negara untuk 'The Global Battle of the Bands Challenge 2008' yang berlangsung di London akhir tahun lalu.

Selain Syarul dan Shahirah, kumpulan itu turut dianggotai oleh dua orang adik-beradik Syarul iaitu Syaril Zizi Abdul Aziz, 30 dan Syaiful Nazri Abdul Aziz, 25, serta seorang lagi ahli kumpulannya, Azwan “Kecik” Hadi, 29.

Mar 3, 2009

Memey panggil ibu Norman 'mak', nafi ada 'udang sebalik batu.'

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Melihat perlakuan antara aktres Memey Suhaiza dengan ibu aktor Norman Hakim, Kamariah Kamat ketika menghadirkan diri di Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini, hari ini, kedua-duanya tampak mesra antara satu sama lain.

Kemesraan mereka jelas kelihatan ketika di dalam dewan perbicaraan bilamana mereka sempat berbisik sesuatu sambil tersenyum sipu.

Sebelum Kamariah pulang, Memey yang sedang ditemubual sempat mendapatkan Kamariah lalu menyapa ibu berusia 66 tahun itu dengan panggilan ‘mak’.

Memey kelihatan ceria ketika hadir bersama ibu saudaranya di Mahkamah Syariah Gombak Timur pagi tadi. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Sejurus selepas itu, Memey terus bersalam dan mencium tangan ibu aktor yang baru bercerai dengan aktres Abby Abadi itu.

Lantas ketika diajukan tentang panggilan ‘mak’, Memey berkata dia telah biasa membahasakan Kamariah sebagai ‘mak’ sejak mereka rapat pada tahun lepas.

Walau bagaimanapun, ketika ditanya, Memey nafi ada 'udang sebalik batu' mengenai hubungan mesranya dengan ibu Norman.

Wajah tenang dan ceria sentiasa dipamerkan oleh Memey sewaktu hadir di mahkamah.

“Saya lupa bila saya mula panggil dia ‘mak’. Semasa mula-mula saya berjumpa dengannya, hubungan kami biasa sahaja dan saya belum memanggilnya ‘mak’.

"Tetapi apabila dah rapat dan boleh ‘keep in touch’ tu, terus saya panggil dia dengan gelaran ‘mak’.

“Saya tiada masalah dengan gelaran itu untuk orang tua yang rapat dengan saya. Bagi saya, tak salah kalau nak panggil dia ‘mak’ sekurang-kurangnya lebih mengeratkan hubungan silaturrahim antara kami,” beritahu Memey ketika menghadiri perbicaraan kedua kes khalwatnya dengan Norman Hakim di mahkamah, di sini, hari ini.

Ibu Norman, Kamariah Kamat,duduk disebelah anaknya turut hadir memberi sokongan.

Menurut Memey, hubungan akrab antaranya dengan ibu Norman itu bukan sahaja tercetus melalui panggilan mesra sahaja malah mereka juga tidak putus menghubungi antara satu sama lain.

“Saya memang ‘baik’ dengan mak Abang Norman. Sejak kami rapat tahun lalu, kami sentiasa berhubung setiap hari menerusi telefon.

“Saya juga menganggapnya seperti mak sendiri. Kadangkala, dia memberi nasihat kepada saya dan ada juga dia mengajak saya bercerita.

“Apabila dia datang ke Kuala Lumpur, kami ada juga berjumpa,” ulas Memey.

Terbaru, Memey ada mengeluarkan kenyataan di mana dia tidak kisah jika dijodohkan dengan suami orang atau lelaki duda menerusi sebuah majalah.

Kenyataan tersebut seolah-olah menguatkan spekulasi Memey memang mempunyai hubungan dengan Norman lalu merancang untuk berkahwin tidak lama lagi.

“Wallahualam, sebab kenyataan itu dikeluarkan apabila saya ditanya soalan umum yang mengaitkan spekulasi hubungan saya dengan Abang Norman.

“Jadi, saya menjawab yang saya tidak kisah siapa pun jodoh saya termasuk menerima andai ditakdirkan dengan suami orang atau duda.

“Tetapi, kenyataan itu bukanlah fokus sebenar saya. Bagaimanapun, saya tidak kisah kalau suami orang atau duda adalah jodoh saya asalkan kami berdua, keluarga saya dan keluarganya saling mengenali.

“Keluarga saya pun tidak kisah dan tiada masalah dengan hubungan antara saya dan Abang Norman. Dia pun selalu ‘keep in touch’ dengan keluarga saya.

“Keluarga saya juga selalu menghubungi keluarga Abang Norman,” jawab Memey lancar.

Bagaimanapun, Memey menafikan yang kedua-dua belah keluarga masing-masing mengeluarkan hajat untuk menyatukan dia dan Norman.

Memey mengakui yang usia perkenalannya dengan Norman sudah mencecah hampir setahun.

Sambil tergelak kecil, Memey berkata hubungan mereka ‘belum ada apa-apa’ dan berlangsung dalam keadaan baik sahaja.

Apabila diusik, adakah maksudnya mereka tidak bercinta?.

Memey menjawab dalam nada riang: “Tiada, wallahualam..”

Dalam pada itu, Norman ketika ditemubual turut berkata yang dia dan Memey belum mempunyai perancangan untuk berkahwin.

"Saya terima seadanya jika sampai seru saya berkahwin dengan Memey nanti," komen Norman apabila disoal tentang kahwin.

Norman hadir ke mahkamah sambil ditemani oleh ibu, abang dan abang iparnya manakala Memey hadir ke mahkamah sambil ditemani oleh ibu saudaranya.

Apabila ditanya kenapa keluarga Memey terutama ibu dan bapanya tidak hadir sama, Memey berkata dia sengaja tidak membenarkan mereka hadir.

"Ibu dan keluarga saya memang hendak datang tetapi apabila melihat keadaan sekarang, saya hanya panggil ibu saudara untuk temankan," ujar Memey.

Kes khalwat ditunda, Norman-Memey lantik peguam sama wakili mereka

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini memutuskan kes khalwat di antara Memey Suhaiza dan Norman Hakim dibawa ke 7 April untuk memberi peluang kepada pendakwa syarie untuk mengkaji representasi kedua-dua tertuduh ini.

Memey dan Norman diwakili oleh peguam syarie yang sama iaitu, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Pasangan Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan pelakon baru Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi pada 30 Oktober 2008.

Pertuduhan terhadap Norman-Memey difailkan pada bulan Januari, tahun ini.

Memey dan Norman ketika ditemubual oleh pemberita sejurus selepas mendengar keputusan Mahkamah Syariah Gombak Timur hari ini. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Hakim Wan Mahyuddin membenarkan Memey dan Norman, masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin kakitangan awam dan menetapkan hari ini untuk perbicaraan kes.

Kedua-dua mereka tetap dengan keputusan menafikan yang mereka bersalah terhadap pertuduhan itu.

Namun, pada bulan lepas ketika kes ini diperingkat penyelenggaraan, pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi memberitahu mahkamah beliau akan membawa enam saksi pada perbicaraan hari ini untuk membuktikan Norman dan Memey sebenarnya bersalah.

Norman ketika ditemui berkata mereka mempunyai alasan tersendiri kenapa melantik peguam yang sama mewakili mereka.

"Disebabkan kami selebriti jadi kes ini sudah jadi 'high-profile' dan saya yakin dari sudut pihak pendakwaan mereka akan merundingkan perkara ini," kata Norman.

Hadir ke perbicaraan kedua..Dari kiri: Abang Norman, Norman, ibu Norman, abang ipar Norman, Memey dan ibu saudara Memey.

Tambah beliau lagi, "Kami melantik peguam yang sama kerana kami menghadapi pertuduhan yang sama dan senang untuk mengendalikan kes ini.

"Kiranya sekarang ini peringkat representasi. Peguam kami telah membawa kes ini kepada pihak pendakwa syarie dan mereka pula akan membawa kes ini untuk didengar pada 7 April nanti."

Jelas Norman, "Antara representasi yang kami baru terima tadi adalah dari sudut kamidicaj di bawah Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama maksudnya berdua-duaan dalam satu tempat dalam keadaan mencurigakan tetapi sebenarnya apa yang berlaku ada seorang di tingkat 1 dan ada seorang lagi di tingkat 2."

Seementara itu, Memey pula berkata, "Saya hanya menunggu kes ini diselesaikan oleh pihak peguam.

"Memang saya harapkan kes ini cepat selesai. kes ini ada pro dan kontranya sebab itu kami melantik peguam yang sama. Saya rasa kita perlu beri masa untuk membuat satu-satu keputusan.

"Apa-apa pandangan yang baik, kami akan ikut. Apapun kami harap kes ini cepat selesai kerana ia melibatkan karier kami," jelas Memey yang sedang menjalani pengambaran filem 'Dimensi Cinta' dan drama 'Roda-roda Kuala Lumpur.'

Memey dan Norman dilihat datang ke mahkamah secara berasingan seawal pukul 9.05 pagi.

Memey ditemani oleh ibu saudaranya manakala Norman hadir bersama ibu, abang dan abang iparnya.

Hukuman kes khalwat Ako diputuskan 21 April

Hukuman kes khalwat Ako Mustapha dengan seorang wanita, Anang Sagunting akan diputuskan 21 April depan

[SEMASA] KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini menetapkan tarikh 21 April depan untuk menentukan hukuman terhadap pelakon Ako Mustapha berhubung kes khalwatnya dengan seorang wanita, Anang Sagunting.

Ako yang diwakili oleh Peguam Syarie, Zuri Zabuddin Budiman telah memohon kepada pihak mahkamah untuk meringankan hukuman yang bakal dijatuhkan kelak, setelah dia mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Ako ketika keluar dari mahkamah bersama Peguam Syarie, Zuri Zabuddin Budiman. -foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

“Kita tunggu pada tarikh akan datang untuk mengetahui hukuman yang dijatuhkan kepada Ako.

“Hari ini, kita telah membuat rayuan untuk meringan hukumannya. Jadi, kita sedang menyediakan dokumen untuk tender ke dalam mahkamah di mana kita akan berikan kepada mahkamah dan pendakwa untuk meringankan hukuman denda maksimum sebanyak RM3,000 atau penjara dua tahun,” kata peguam syarie Zuri.

Dimaklumkan jumlah denda itu akan ditetapkan oleh Hakim Syarie.

Ako boleh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang keadaannya dalam menghadapi kes ini, Ako hanya berkata ringkas: “Biasalah..”

Ako dilihat hadir di mahkamah pagi tadi seorang diri.

Diaju persoalan kenapa isterinya, Kartina Shuaib Abdullah tidak hadir bersama, Ako berkata dia sendiri yang tidak mahu Kartina datang menemaninya.

“Saya tak tahu..saya tak mahu dia dilibatkan oleh media dalam kes ini,” jelas Ako apabila ditanya sebab dia tidak mahu Kartina hadir bersamanya.

Selepas itu, terus Zuri mencelah dengan berkata: “Kes ini suatu proses biasa di mana insiden itu telah lama berlaku iaitu bulan Jun 2007 tetapi tahun ini baru dijalankan pendakwaan. Disebabkan kes itu adalah kes lama, jadi kita tidak mahu tunggu lagi.

“Mengenai waran tangkap itu, rasanya kami telah jelaskan di mana kebetulan tarikh perbicaraan sebelum ini sama dengan tarikh pernikahannya. Jadi, sebab itu dia tidak dapat hadir.

“Oleh itu, waran tangkap itu telah dibatalkan. Di samping itu, dua tiga hari selepas tarikh itu, Ako datang sendiri ke mahkamah dan membuat pembatalan waran tangkap itu.

“Jadi, bukan kata dia nak mengelak atau apa malah cuba menyenangkan proses mahkamah dengan bekerjasama dengan semua arahan pihak mahkamah mahupun pihak pendakwaan.”

Ako, 37, yang berkahwin dengan Kartina, 29, pada 17 Januari lalu dituduh berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, di Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa di sini, sekitar jam 1.20 pagi, pada 27 Jun 2007.

Januari lalu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad telah membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Ako setelah empat kali dia gagal hadir ke mahkamah, dan menetapkan tarikh hari ini untuk sebutan semula kes.