NAMA Farah Asyikin akhir-akhir ini cukup hangat diperkatakan. Semuanya gara-gara satu e-mail yang dihantar oleh seseorang kepada pihak-pihak tertentu termasuklah wartawan yang mendakwa penyanyi ini bercinta dengan suami orang dan mereka turut dikatakan bercuti bersama di Hong Kong, baru-baru ini.
Farah sendiri telah pun membuat penjelasan tentang perkara tersebut dan menegaskan bahawa lelaki yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah seorang duda yang mana mereka mula mengenali diri masing-masing selepas lelaki itu bercerai dengan bekas isterinya.
Jelas Farah lagi, percutiannya di Hong Kong tempoh hari juga tidak langsung ditemani sesiapa, namun tidak menafikan ada bertemu kekasihnya itu di Macau kerana dia bekerja di sana.
Penyanyi itu juga turut menjelaskan, dia terpaksa membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada hubungan yang baru terjalin serius kira-kira empat bulan itu kerana enggan meruncingkan lagi keadaan.
Simpati dengan nasib yang melanda Farah, lelaki tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai M tampil membuat penjelasan sebenar tentang kisah itu. Kata lelaki berusia 35 tahun ini, dia tidak sangka Farah terpaksa berdepan dengan perkara itu sedangkan ia tidak langsung berkaitan dengan penyanyi itu.
“ Farah tiada kena-mengena dalam perceraian saya. Malah, ingin saya tegaskan di sini, saya sudah lama bercerai dengan bekas isteri saya sebelum kenal rapat dengan Farah beberapa bulan kemudiannya.
“Kali pertama bertemunya tidak lama dulu, saya awal-awal lagi sudah beritahu Farah yang saya baru saja bercerai. Dan sebenarnya ketika ini, saya dan bekas isteri sedang dalam proses untuk tuntutan tertentu.
“Apa yang berlaku tidak langsung ada berkaitan dengan Farah. Dia tidak bersalah. Saya simpati pada Farah, dia tidak sepatutnya berdepan dengan semua ini. Keluarganya juga turut terkena tempias dengan cerita ini.
“Kami sebenarnya memang sedang di dalam proses mengenali diri masing-masing dengan lebih mendalam. Malah, saya juga pernah bertemu keluarganya untuk lebih kenali mereka dengan rapat.
“Tapi tak sangka pula begini jadinya. Entahlah, mungkin juga saya bertemu dengannya pada masa yang tidak sesuai. Dan sekarang ini, memang kami tidak lagi ada hubungan apa-apa,” kata M yang ketika ini berada di Macau.
Menurut lelaki yang berasal dari Singapura ini, dia dapat merasakan e-mail yang dihantar oleh ‘seseorang’ itu sebenarnya adalah daripada bekas isterinya sendiri.
“Saya percaya, dia (bekas isteri) yang lakukannya. Bukan ingin sengaja menuduh, tetapi daripada apa yang saya baca dalam e-mail tersebut, saya dapat rasakan itu memang dia yang lakukan. Tetapi saya tidak tahu apa niatnya.
“ Tentang dakwaan yang mengatakan saya bercuti dengan Farah di Hong Kong, sebenarnya, Farah memang ke sana seorang diri saja. Tetapi saya ada meminta dia membawa makanan dari Malaysia kerana di Macau tidak banyak makanan halal.
“Sebab itulah Farah datang bertemu saya untuk serahkan makanan tersebut, sebelum meneruskan percutiannya di Hong Kong dan China.
“Dan ketika dia datang bertemu saya, secara kebetulan pula bekas isteri menghubungi saya ketika itu. Dia sempat berbual dengan Farah di telefon dan pada waktu itu, perbualan antara mereka berjalan dengan baik.
“Itulah kali pertama mereka bercakap antara satu sama lain. Tetapi bila Farah pulang ke Malaysia, tiba-tiba datang e-mail seperti itu. Bila saya baca e-mail tersebut, ia memang ketara itu adalah daripadanya.
“Saya tahu Farah tertekan gara-gara hal ini. Disebabkan itu saya tidak menyalahkannya apabila dia nekad untuk mengundurkan diri daripada hubungan ini walaupun keputusan itu tidak begitu menggembirakan saya,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat di Macau yang berkaitan dengan industri hiburan.
Kata duda anak satu ini lagi, dia pernah cuba ingin berbincang tentang perkara ini dengan bekas isterinya, tetapi nampaknya perkara itu agak sukar dibuat pada masa ini.
“Saya pernah cuba menghubunginya, tetapi dia tidak jawab panggilan saya. Bila dia menghantar SMS pada saya untuk beritahu perkembangan terkini anak lelaki saya, dia seolah-olah seperti tidak tahu apa yang sedang berlaku ketika ini.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk pertahankan Farah. Kalau saya tidak bertanggungjawab, saya pasti akan buat tak tahu saja tentang perkara ini kerana lagipun, saya berada di Macau dan orang tidak kenal saya.
“Tetapi saya tidak mahu lepas tangan kerana Farah seorang perempuan yang baik. Dia pula adalah seorang artis, jadi bagaimana dia nak berdepan dengan masyarakat terhadap perkara yang tidak sepatutnya dikaitkan dengan dirinya?,” kata M yang bercerai dengan bekas isterinya setelah tujuh tahun berkahwin.
Ditanya sama ada hubungannya dan Farah masih mempunyai ‘masa depan’ untuk kembali bertaut semula, kata M, buat masa ini dia menyerahkan semuanya kepada takdir.
“Perasaan cinta itu memang masih ada. Bukan setiap hari kita dapat bertemu perempuan yang baik. Sebenarnya, saya ambil keputusan untuk menerima tawaran bekerja di Macau setelah bercerai dan sepatutnya saya mula bertugas di Macau pada bulan April.
“Tetapi disebabkan hal tertentu, ia ditangguhkan dan saya baru mula bertugas sejak Ogos lalu. Dan tidak pula saya sangka, ketika cuba lalui hidup baru, saya berkenalan pula dengan seorang perempuan yang baik seperti Farah.
“Cuma saya agak kesal begini jadinya terhadap hubungan kami. Ketika ini, memang dia tidak lagi menghubungi saya. Kalau ada pun, hanya kiriman e-mail artikel-artikel tentang hal ini yang dihantarkan olehnya kepada saya.
“Dari situlah saya tahu yang perkara ini hangat diperkatakan ketika ini,” ujarnya yang mula mengenali Farah menerusi laman web Facebook.
No comments:
Post a Comment