ADIK kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza ini tidak menyangka pengakuannya yang ingin mengakhiri zaman bujang pada Mei 2010 nampaknya tiba-tiba menjadi satu kisah 'panas'.
Ujar Siti Saerah, dia sendiri agak terkejut apabila ramai yang menganggap lelaki yang bakal menjadi suaminya itu nanti ialah penyanyi yang sering dikaitkan dengannya, Imran Ajmain.
"Apa yang digembar-gemburkan itu tidak benar. Bila saya cakap saya ingin berkahwin, bukan bermaksud saya akan berkahwin dengan Imran. Saya memang tidak ada yang istimewa lagi buat masa ini dan saya tidak tahu siapa jodoh saya.
"Kalau ditakdirkan dengan Imran, itu adalah jodoh. Tetapi tidaklah pula saya kata memang saya akan berkahwin dengannya. Kesian Imran, tak pasal-pasal dia dikaitkan dengan cerita saya ini.
"Kami hanya kawan baik, tidak lebih daripada itu. Tidak pernah pun kami berfikir atau berbincang tentang masa depan kami bersama," kata Saerah ketika dihubungi.
Menurut gadis berusia 26 tahun ini, dia tidak menafikan Imran adalah artis lelaki yang paling rapat dengan dirinya ketika ini dan sering ada di sampingnya jika dia mempunyai masalah.
Namun untuk mengakui wujudnya rasa cinta itu, kata Saerah, buat masa ini masing-masing sebenarnya amat selesa berkawan baik saja.
"Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada kita kelak kerana soal jodoh ini amat sukar kita ramalkan. Cuma apa yang pasti, saya selesa berkawan dengan Imran dan senang berkongsi cerita dengannya.
"Bila saya rasa 'down', dia akan ada beri semangat. Tentang cerita yang mengatakan bapanya juga suka kalau saya berkahwin dengan Imran, itu saya tidak mahu komenlah.
"Saya memang pernah bertemu dengan ibubapanya ketika menghadiri pelancaran album Imran di Singapura pada bulan Julai lalu. Sekali itu saja dan saya tidak sempat pun berbual dengan mereka ketika itu," kata pelantun lagu Hero Wayang ini.
Ditanya adakah dia berasa tertekan untuk mencari lelaki yang sesuai menjadi suaminya sebelum tiba bulan Mei depan, tutur Saerah, perasaan itu tidak pula timbul dalam dirinya.
"Saya sudah berjanji dengan mak dan arwah abah untuk berkahwin apabila berusia 27 tahun. Dan bulan Mei itu saya pilih kerana hari lahir saya jatuh pada bulan itu.
"Saya sedar, perkahwinan bukanlah perkara main-main. Sejujurnya, saya juga sudah bersedia untuk ke arah itu (berkahwin), cuma tidak ada 'calon' saja.
"Setakat kawan lelaki lain, memanglah ramai. Apapun, saya tetap ingin mengotakan janji saya itu. Jika tidak bertemu yang sesuai, saya akan minta ibu dan abang saja yang carikan jodoh untuk saya.
"Saya percaya pilihan ibu. Naluri ibu lebih mengetahui mana yang terbaik untuk anaknya," kata Saerah.
No comments:
Post a Comment