Nov 24, 2009

Bibit cinta di kedai telefon

feride.hikmet@kosmo.com.my


TIADA apa yang membahagiakan buat pembaca berita TV3 jelita, Azwaliza Azman atau Wawa, selain hatinya berjaya dicuri oleh jejaka bernama Abdul Kadir Abdul Rashid.

Selepas kata sepakat dicapai, pasangan itu nekad untuk sehidup semati bersama dan untuk permulaan, mereka mengikat tali pertunangan pada Ahad lalu di Restoren Puteri, Taman Tun Doktor Ismail. Langkah seterusnya, perkahwinan merpati dua sejoli itu akan berlangsung pula pada pertengahan 2010.

Pada malam pertunangan itu, masing-masing anggun mengenakan persalinan berwarna merah dengan pihak perempuan menyerahkan sembilan dulang hantaran iaitu sebentuk cincin, sirih junjung, jam tangan, telefon bimbit, kamera, sepersalinan baju, minyak wangi buah-buahan dan kek.

Pihak lelaki pula membalas tujuh dulang iaitu cincin, sirih junjung, jam tangan, komputer riba, kek, kosmetik dan buah-buahan.

Mengimbas semula kenangan pertemuan kali pertama pasangan tersebut, Wawa dan Kadir mula berkenalan di sebuah kedai telefon bimbit sekitar Bangsar pada empat tahun lalu.

Menurut Wawa, mereka kemudiannya tidak berhubung selama setahun. "Tiba-tiba kami terjumpa semula pada perhimpunan UMNO tiga tahun lalu. Waktu itu saya buat lintas langsung di sana.

"Sejak hari itu kami mula berkawan rapat dan selama tiga tahun bercinta, cukup sekadar kami berjumpa pada waktu makan tengah hari ataupun makan malam.

"Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerjaya. Jadi masa untuk bersama terlalu terhad. Bibit cinta mula timbul bila saya melihat sikap gentleman Kadir serta rasa hormat yang tinggi pada wanita menyebabkan saya tertarik kepada peribadinya.


PASANGAN ini mengharapkan majlis pernikahan mereka kelak berlangsung dengan baik.


"Saya bersyukur kerana ditemukan dengan seorang lelaki yang berperibadi mulia sepertinya. Alhamdulillah, sekarang ini kami sudah menjalinkan ikatan pertunangan dan apa yang penting, kami diterima dengan restu keluarga masing-masing.

"Kadir juga begitu akrab dengan keluarga saya dan berjaya mengambil hati mak, terutamanya ayah yang agak garang," kata gadis berusia 29 tahun itu sambil tersenyum gembira.

Bagi Kadir pula, pertama kali bertemu Wawa di Bangsar, dia tidak tahu bahawa Wawa merupakan seorang pembaca berita di TV3 kerana ketika itu Wawa hadir tanpa solekan tebal.

Apa yang membuatkan Kadir tertarik pada wanita itu adalah sikapnya yang begitu menghormati orang tua.

"Ketika di Perhimpunan Agung UMNO, dia begitu menghormati ibu saya walaupun pertama kali berjumpa. Bagaimanapun, saya akui sepanjang setahun tidak berjumpa dengan Wawa, saya ada teringatkan dia dan waktu itu saya lihat dia sedang membaca berita di TV.

"Memandangkan kami terlalu mementingkan karier masing-masing, ia membuatkan kami sedikit lewat untuk membuat keputusan mendirikan rumah tangga bersama.

"Kalau nak tahu, pertunangan ini adalah antara anak yang sulung iaitu saya dan bongsu (Wawa) tau," seloroh Kadir, 31.

Anggaran lagi tujuh bulan dari sekarang personaliti TV3 itu dan Kadir bakal bergelar suami isteri.

Bagaimanapun, buat masa ini, mereka belum menetapkan sebarang persiapan dalam melangkah ke dunia baru itu.


PERSONALITI dan warga kerja TV3 tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama pasangan yang baru bertunangan ini.


"Kalau nak ikutkan hati, memang kami nak kahwin cepat-cepat. Senang. Tetapi, memandangkan macam-macam persiapan dan faktor yang perlu dilakukan, membuatkan majlis perkahwinan kami dilewatkan sedikit.

"Lagipun, rasanya masa pertunangan kami tidaklah terlalu lama, ia sesuai dengan adat Melayu kita. Apa-apa pun sebarang konsep berkahwinan serta hantaran belum lagi diperbincangkan.

"Jangan ingat kami tak nak beritahu tetapi kami tak rancang apa-apa lagi. Apa-apapun untuk hantaran, mak dan ayah tak kisah berapa pihak Kadir mahu beri. Yang penting, dia mesti berikan senaskhah al-Quran," ujar Wawa yang dirisik pada 20 Disember tahun lalu.

Majlis pertunangan Wawa dan Kadir yang berkonsepkan merah dan putih telah dihadiri lebih daripada 200 orang tetamu.

Menariknya, pada majlis itu, ia kelihatan seperti sebuah majlis pertunangan satu Malaysia dengan kehadiran keluarga pasangan itu yang terdiri daripada pelbagai bangsa.




Keluarga Wawa yang berkacukan Cina, Melayu dan India membuatkan majlis tampak lebih meriah. Malah, sewaktu Wawa disarungkan cincin oleh bakal ibu mertuanya, Ailleen Jamaludin, Wawa telah diberikan manisan gula yang menjadi amalan dalam masyarakat India untuk sebarang acara kekeluargaan.

"Saya gembira kerana majoriti keluarga saya dan Kadir hadir di majlis pertunangan kami. Apa pun, saya rasa bersyukur, majlis yangs sederhana ini berjalan dengan lancar.

"Saya harap untuk majlis perkahwinan nanti, ia turut berjalan dengan lancar seperti hari ini juga," kata Wawa pada majlis yang turut dihadiri Datuk Siti Nurhaliza dan suami serta personaliti TV lain seperti Nurfarahin Jamsari, Datin Norazlina Ridzuan serta ramai lagi.

Suami Ida Nerina mengaku lafaz cerai

zulsham@kosmo.com.my
SHA'ARIN (kiri) berjalan keluar bersama peguamnya di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Selepas insiden terjatuh di kediamannya sehingga cedera tulang belakang, aktres Ida Nerina dan suaminya, Sha'arin Mohammed Razali kini dikatakan sudah bercerai dan tidak tinggal sebumbung sejak September lalu.

Sha'arin, 40, bekas ahli kumpulan Blackrose juga memberitahu dia telah meninggalkan heroin filem Anak dan Susuk itu yang kini tinggal bersama dengan pembantu rumah di rumah kelamin mereka di Kosmopolitan Damansara Perdana.

Pemuzik itu berkata demikian semasa sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan menerusi peguam syarie, Mahyuddin Md. Zahari di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Permohonan pengesahan lafaz cerai tersebut dibuat mengikut Seksyen 55(a) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Sha'arin selaku plaintif memfailkan permohonan tersebut pada 29 Oktober lalu terhadap Ida Nerina Hussein, 45, (defendan) kerana didakwa sudah melafazkan cerai pada Hari Raya Aidilfitri kedua pada September lalu.

Terdahulu, ketika ditanya Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamed Zin berhubung ketidakhadiran defendan, plaintif memaklumkan bahawa dia telah menghubungi Ida Nerina melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung perkara itu namun tidak dijawab.

Plaintif kemudian menjelaskan bahawa dia sudah tidak tinggal bersama dengan defendan sejak September lalu iaitu selepas dia melafazkan cerai terhadap Ida Nerina di rumah kelamin mereka di Kosmopolitan Damansara Perdana.

Nov 20, 2009

KEJUTAN DI ATAS PESAWAT MH724 DARI JAKARTA KE KLIA

GM Tariq Khan (tengah) dan isterinya Khadijah atau Azroo telah menggemparkan kakitangan kabin pesawat MAS MH724 apabila mengumumkan bahawa mereka hendak melangsungkan perkahwinan secara unik iaitu dalam kapal terbang. -Foto THE STAR oleh SA’ODAH ELIAS

KUALA LUMPUR: Pasangan dari Pakistan, GM Tariq Khan, 38, dan isterinya Khadijah atau Azroo, 26, telah menggemparkan kakitangan kabin pesawat MAS MH724 yang dalam perjalanan dari Jakarta ke KLIA apabila mengumumkan bahawa mereka hendak melangsungkan perkahwinan secara unik iaitu dalam kapal terbang - tanpa terlebih dahulu memberitahu pihak pengurusan Penerbangan Malaysia (MAS).

Namun mereka bernasib baik apabila permintaan mereka dikabulkan kapten pesawat itu asalkan ia tidak diadakan di dalam kokpit.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Jakarta Soekarno Hatta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.40 malam tadi.

Kedua-dua mempelai yang dihiasi dengan pakaian perkahwianan diijabkabulkan oleh ayah pengantin perempuan, Lia Quat Khan sejurus selepas pesawat berlepas.

Manakala dua orang imam dari Masjid Jamek Kebun Jeruk, Jakarta menjadi saksi untuk perkahwinan ini dan turut membacakan doa.

Sebelum upacara akad nikah, kesemua ‘tetamu’ dihidangkan dengan nasi putih berserta kari ayam atau ikan yang dimasak bersama cili, kueh nagasari, coklat bersama kacang hazel. Wain merah dan putih juga turut dihidangkan kepada tetamu bukan Islam.

Enam orang ahli keluarga pasangan berkenaan datang bersedia untuk perkahwinan itu.

Pengantin lelaki, Tariq memakai tunik panjang berwarna krim, seluar panjang dan serban yang bersesuaian.

Dan pasangannya, Azroo pula memakai gaun merah labuh yang berlabuci berserta skirt dengan tudung. Mereka juga membawa hadiah-hadiah untuk diberikan kepada para tetamu.

Selepas sesi foto dan video, pasangan pengantin itu dibantu oleh pramugara dan pramugari, menyampaikan cenderamata kenang-kenangan berupa kipas kecil untuk perempuan dan pen untuk lelaki kepada semua penumpang dalam pesawat tersebut.

Hadiah-hadiah tersebut tertera nama, tarikh perkahwinan dan nombor penerbangan.

Tariq telah merancang perkahwinan ini untuk beberapa ketika.

"Saya ialah ejen pelancongan. Berada di dalam kapal terbang ialah kehidupan saya. Tambahan pula, saya ingin perkahwinan saya menjadi satu memori yang indah," kata Tariq yang berasal dari Karachi kepada wartawan The Star yang kebetulan berada dalam penerbangan yang sama.

Sementara itu, ketua pramugara yang hanya mahu dikenali sebagai Mahmood berkata, kapten dan staf kabin (anak-anak kapal) terkejut apabila Tariq meluahkan hasratnya untuk berkahwin di atas kapal ketika mereka sudah pun berlepas ke udara.

"Saya memaklumkan kapten Kamarul Anwar dan dia membenarkannya. Bagaimanapun, beliau tidak membenarkan perkahwinan ini berlangsung di dalam kokpit.

“Ini pengalaman baru untuk saya dan saya rasa ini adalah hari bertuah saya," kata Mahmood.

Tariq dan Azroo akan berbulan madu di Kuala Lumpur sebelum pulang ke Karachi.

Selepas pulang, pasangan ini bercadang untuk mengadakan resepsi untuk ahli-ahli keluarga dan kawan-kawan.

Nov 10, 2009

Fazura gagal tuntut ganti rugi

Pelakon Nur Fazura Sharifudin (kanan), bersama peguamnya Fakhrul Azman Abu Hasan (dua, kanan) berjalan keluar dari Mahkamah Tinggi selepas gagal dalam tuntutan samannya terhadap syarikat penerbitan akhbar tabloid 'Mingguan Warta Perdana' dan seorang wartawan setelah Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolaknya dengan kos. Hakim Datuk Balia Yusof Wahi membuat keputusan itu setelah mendapati Fazura gagal membuktikan wujudnya perkataan memfitnah dalam artikel bertajuk "Fazura Rela Dipenjara", yang disiarkan 29 mei 2005. -Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak tuntutan saman ganti rugi pelakon dan pengacara Nor Fazura Sharifudin dengan kos setelah mahkamah mendapati beliau gagal membuktikan kenyataan dalam akhbar Mingguan Warta Perdana yang didakwa telah memburukkannya adalah satu fitnah.

Tuntutan saman itu dibuat oleh Fazura, 26, ekoran artikel bertajuk "Fazura Rela Dipenjara" yang tersiar di Mingguan Warta Perdana pada 29 Mei 2005.

Isi kandungan artikel itu turut memetik pelakon filem 'Pisau Cukur' ini sebagai berkata, "Saya tidak takut dengan hukuman sekiranya saya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut."

Hakim Datuk Balia Yusof Wahi berpendapat, tajuk artikel dan isi kandung artikel itu sebenarnya membuatkan Fazura tabah, cekal dan berani untuk menghadapi semua kemungkinan.

"Inilah effect (kesan) artikel yang dikeluarkan pada 29 Mei 2005 itu. Pihak plaintif telah gagal membuktikan kenyataan tersebut adalah fitnah.

"Oleh kerana kesalahan fitnah tidak berjaya dibuktikan, isu exemplary damages atau 'gantirugi kecederaan dan teladan' tidak berbangkit dalam kes ini. Oleh itu Mahkamah memutuskan tuntutan plaintif ditolak dengan kos," katanya dalam prosiding petang tadi.

Beliau berkata demikian dalam kes perbicaraan Fazura dalam tuntutan kes saman Fazura terhadap syarikat Perdana Production House Sdn Bhd, yang menerbitkan akhbar Mingguan Warta Perdana, yang dinamakan sebagai defendan pertama, dan pemberita Haslinda Hashim, 31, sebagai defendan kedua.

Peguam Fakhrul Azman Abu Hassan mewakili Fazura sementara peguam Shaari Nor ialah peguam cara untuk defendan. Pada sebelah pagi, mereka membuat penghujahan untuk kes tersebut.

Fazura menuntut RM500,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai dan faedah empat peratus setahun terhadap ganti rugi am dari tarikh pemfailan saman sehingga tarikh penghakiman.

Turut dituntut, faedah 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh, permohonan maaf defendan-defendan secara terbuka, kos atas dasar peguamcara dan anak guam, kos tindakan ini, ganti rugi kecederaan dan teladan serta apa-apa relif yang mahkamah fikirkan sesuai.

Mengulas lanjut, Balia berkata, memang tidak dapat dinafikan terdapat dua kriteria untuk mengklasifikasikan fitnah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak plaintif dan defendan iaitu terdapatnya penerbitan dan ia berkaitan dengan plaintif.

"Kriteria utama lain adalah untuk membuktikan kesalahan fitnah itu. Salah satu kriteria yang penting dalam Tort Libel ialah kenyataan yang dikeluarkan atau dicetak adalah memalukan, mengaibkan atau fitnah plaintif.

"Saya telah berkesempatan merujuk kepada Kamus Dewan edisi 4 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Perkataan 'redha' bermaksud bersedia dengan ikhlas hati untuk buat sesuatu.

"Mahkamah berpendapat 'redha' dan 'rela' adalah hampir sama. Oleh itu, fakta yang paling penting (untuk membuktikan fitnah) tidak dapat dibuktikan oleh plaintif," katanya.

Sebelum membacakan keputusan itu, Balia menasihatkan akhbar seharusnya lebih bertanggungjawab dan bukannya memikirkan tentang keuntungan semata-mata.

Ini kerana dalam keterangan bersumpah, pihak defendan ada menyatakan tajuk artikel dibuat untuk menghasilkan 'faktor wow' bagi menarik minat pembaca.

Katanya, akhbar haruslah melaporkan berita berlandaskan etika kewartawanan. "Akhbar sewajarnya adalah pembuka minda yang melaporkan perkara benar dan tidak mensensasikan sesuatu isu," katanya.

Ketika ditemuramah selepas prosiding selesai, Fazura berkata dia perlu berbincang dengan peguamnya sama ada untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

"Saya cuma terkilan kerana 'kunci utama' kes ini ialah takrifan 'rela' dan 'redha'. Saya katakan 'redha' kerana mengikut fahaman saya, 'redha' ialah apabila saya terima ketentuan Allah.

" 'Rela' pula bila kita sesuatu dengan kebenaran atau dengan kesanggupan kita. 'Redha' adalah di luar kuasa kita. Kerana itulah saya berada di sini untuk mendapatkan keadilan," katanya.

Fazura menegaskan dia agak terkilan dengan interpretasi 'rela' dan 'redha' dan bukan dengan keputusan mahkamah.

Semalam, Fazura memberitahu mahkamah dia gagal mendapatkan kontrak bernilai lebih RM1 juta ekoran tersiarnya satu artikel dalam sebuah akhbar tabloid yang didakwa memburukkannya.

Ekoran itu, katanya, dia kehilangan kontrak bernilai lebih RM100,000 yang telah ditandatangani dengan syarikat kosmetik, Olay.

"Pada masa itu saya juga sedang berbincang dengan syarikat Maybelline, Loreal, Bonia, Clarins, Biotherm, Brands, Celcom dan Hotlink di mana perbincangan langsung tidak diteruskan lagi. Kesemuanya bernilai lebih sejuta," katanya.

Fazura berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes samannya terhadap syarikat Perdana Production House Sdn Bhd, yang menerbit Mingguan Warta Perdana, yang dinamakan sebagai defendan pertama, dan pemberita Haslinda Hashim, 31, sebagai defendan kedua.

Artikel itu didakwa berkaitan dengan kesnya yang dituduh menyerang surirumah Gerardine Mariana Wong di sebuah disko di Jalan Kia Peng di sini. Dalam kes itu, Fazura dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret di sini pada 22 September 2008.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Datuk Balia Yusof Wahi.

Dalam prosiding semalam juga, Fazura telah memberitahu mahkamah bahawa isi kandungan akhbar berkenaan turut mendorong penerbit filem 'Cinta' menolaknya daripada berlakon dalam filem tersebut sedangkan pada awalnya mereka telah bersetuju.

"Penerbit merasakan kehadiran saya berlakon boleh menolak penonton untuk menonton sesuatu drama atau filem," katanya.

Sehubungan itu, Fazura menuntut RM500,000 atau apa-apa jumlah yang mahkamah fikirkan sesuai dan faedah empat peratus setahun terhadap ganti rugi am dari tarikh pemfailan saman sehingga tarikh penghakiman.

"Faedah 8 peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh, permohonan maaf defendan-defendan secara terbuka, kos atas dasar peguamcara dan anak guam, kos tindakan ini, ganti rugi kecederaan dan teladan serta apa-apa relif yang mahkamah fikirkan sesuai," katanya lagi.

Sambil menegaskan dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut, Fazura dalam sesi soal jawab oleh peguamnya Fakhrul Azman Abu Hassan berkata, dia hanya menyebut "Itu semua kuasa Allah dan saya hanya bertawakkal dan redha."

Tegasnya, dia amat terkejut dengan kenyataan artikel itu kerana dia tidak pernah mengeluarkan perkataan "saya tidak takut dengan hukuman sekiranya saya didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut."

Nov 8, 2009

Lebih 1,000 hadiri majlis perkahwinan Tam Spider-Aida

Pasangan pengantin baru, Tam dan Aida pada majlis persandingan mereka, siang tadi - foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN EMBONG

PONTIAN: Lebih 1,000 tetamu menghadiri majlis perkahwinan vokalis kumpulan Spider, Rustam Mustafah atau Tam dan isterinya, Aida Mustafa yang berlangsung di Dewan Komuniti di Pekan Nanas, di sini, hari ini.

Berkonsepkan tradisional dan moden, majlis bersejarah penyanyi itu dihadiri oleh ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan kedua-dua belah pihak termasuklah anggota-anggota kumpulan Spider dan komposer serta penyanyi terkenal, M.Nasir.

Anak lelaki Tam, Aliff, 15, yang merupakan hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya, Norleen Isa, turut hadir pada majlis tersebut. Ini merupakan perkahwinan kedua Tam setelah 11 tahun menduda.

Lebih 1,000 tetamu hadir memeriahkan majlis bersejarah Tam dan isterinya

Sebelum itu, Tam dan Aida selamat dinikahkan di sebelah paginya di Masjid Jamek Pekan Nanas.

Tam yang ditemui sejurus berakhirnya majlis tersebut melahirkan rasa bersyukur dengan perkahwinan tersebut.

"Saya akan menjalani hidup dengan isteri tercinta dan tetap akan meneruskan bidang nyanyian saya atas sokongan isteri," kata vokalis kumpulan yang popular dengan lagu Relaku Pujuk.

Sementara itu, Aida turut berharap peminat-peminat Tam mampu mendoakan yang terbaik untuk rumahtangga mereka.

"Saya harap peminat-peminat Tam dapat menerima saya sebagai isterinya. Insya-allah, saya akan terus memberikan sokongan terhadap karier seninya di samping menjaga rumahtangga kami," kata Aida yang bertugas sebagai pengarah urusan sebuah syarikat pengurusan acara.

Ibu pengantin perempuan, Heliana Zulianti juga mengharapkan perkahwinan anaknya itu kekal hingga ke akhir hayat.

"Saya gembira kerana dia akhirnya bertemu dengan lelaki impiannya," ujarnya.

M.Nasir menepung tawar pasangan pengantin

Anak lelaki Tam, Aliff juga turut berkongsi perasaan gembira dengan perkahwinan bapanya itu.

"Saya tiada masalah apabila ayah membuat keputusan untuk berkahwin lagi kerana dia berhak untuk gembira. Malah, hubungan kami bertiga memang baik," katanya.

M.Nasir yang banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan Spider juga mengucapkan tahniah buat pasangan tersebut.

"Perkahwinan adalah perkara yang terindah dalam hidup dan saya gembira untuk Tam. Hari ini adalah hari bersejarah untuknya," katanya.

Tam dan Aida mula berkenalan hampir lima tahun lalu, tetapi hubungan mereka hanya benar-benar serius sejak setahun lalu.

Pasangan ini telah bertunang pada 15 Ogos lepas

Nov 4, 2009

700 anak luar nikah di Kelantan Labels: isu hangat

Tahniah kepada skuad bola Kelantan yang masuk ke akhir. Tahniah juga kepada penyokongnya cuma jangan terlalu fanatik sangat. Biasalah, kalau sebut Kelantan jer ramai juga yang bersifat pesimis dan suka kalau ada isu hangat negatif negeri Kelantan.

KOTA BHARU 26 Okt. - Seramai 700 anak luar nikah atau tidak sah taraf didaftarkan di Kelantan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar.

Beliau berkata, keadaan tersebut membimbangkan dan kerajaan negeri telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut kerana pihaknya percaya masih ramai lagi anak luar nikah yang tidak didaftarkan.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui seminar, forum dan ceramah sentiasa menekankan kepada ibu bapa dan keluarga kepentingan pendidikan anak-anak dan bahaya gejala sosial di sekeliling mereka.

''Menerusi kursus bina insan dan kecemerlangan solat yang dianjurkan, kerajaan berharap para remaja dapat menjaga maruah diri masing-masing.

''Pengaruh dari kawan, cakera padat video (VCD) lucah, media amat kuat lebih-lebih lagi capaian kepada Internet yang semakin mudah menyebabkan kita sukar menyekat perkara yang tidak elok sampai kepada remaja.

''Namun demikian kita sentiasa berusaha dan bekerjasama dengan NGO dan agensi kerajaan untuk mengatasi masalah ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Ubaidah berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan masalah anak luar nikah di negeri ini adalah yang terendah berbanding negeri lain tetapi kerajaan negeri tetap memandang serius dan merancang untuk membina sebuah pusat pelindungan sementara bagi golongan terbabit.

Jika dibaca perenggan yang saya boldkan di atas, walau pun seramai 700 orang anak luar nikah di Kelantan tetapi masih yang terendah dari negeri-negeri lain. Berapa agaknya statistik anak luar nikah di Johor, KL dan sebagainya agaknya. Takutnya... dunia sudah akhir zaman.

sumber:/isuhangat.blospt.com

Nov 2, 2009

Bau badan dan pakaian malam yang membosankan punca keretakan rumahtangga di Terengganu

BERITA

Bau badan dan pakaian malam yang membosankan punca keretakan rumahtangga di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Memang sukar untuk dipercayai tetapi kini percayalah - bau badan (body odour), adegan seks dan baju tidur yang membosankan (boring pyjamas) telah dikenalpasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri ini.

Untuk itu, Kerajaan Negeri Terengganu sedang merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin di antara suami-isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin.

Paling utama dalam senarai inisiatif baru ini ialah untuk menjemput syarikat-syarikat kosmetik untuk memperkenalkan bau-bauan yang eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah.

Malah kerajaan negeri juga ingin mencadangkan supaya pasangan suami-isteri lebih kerap bermandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra mereka.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri Terengganu, Muhammad Ramli Nuh percaya, langkah ini akan mampu mengurangkan kadar perceraian di kalangan masyarakat Islam di negeri ini khususnya di kalangan pasangan muda.

Bercakap kepada akhbar The Star semalam, beliau mendedahkan bahawa apa yang membimbangkan sekarang ialah setiap tiga dari 10 perkahwinan di negeri ini berakhir dengan perceraian.

Beliau menambah, perpisahan kini menjadi satu trend yang sangat ketara di kalangan pasangan yang berusia di antara 25 hingga 30 tahun.

Muhammad Ramli berkata, apa yang mengejutkannya ialah apabila beliau mendapati, pasangan yang telah berkahwin di bawah lima tahun dan kini berada diambang perceraian menyatakan bahawa perlakuan seks yang rutin dan bau badan yang keterlaluan adalah punca utama mengapa mereka hendak bercerai.

Malah beliau juga terkejut apabila dimaklumkan oleh para kaunselor nikah kahwin, yang terdapat juga suami-isteri yang mengadu mereka jemu melihat cara pasangan mereka mengenakan baju tidur yang tidak memberansangkan malah pada kebanyakan masa hanya mengenakan kain sarung dan kemeja t sehingga menjemukan sehingga membawa kepada hilangnya keghairahan untuk mengadakan hubungan kelamin.

“Saya tahu satu kes itu pasangan berkenaan bercerai hanya kerana salah seorang daripadanya mempunyai bau badan seperti keropok ikan,” katanya.

Oleh yang demikian, katanya, kerajaan negeri melalui Lembaga Pembangunan Keluarga Negeri akan meminta bantuan syarikat-syarikat kosmetik untuk memperkenalkan pewangi khas untuk pasangan-pasangan yang bermasalah ini dengan harapan ini akan membantu mengekalkan perkahwinan mereka.

“Saya juga ingin menggalakkan pasangan yang baru bernikah ini supaya mengamalkan mandi bersama kerana saya pernah bertemu dengan satu pasangan dari Kelantan yang masih lagi mandi bersama walaupun mereka telah menjadi datuk dan nenek dan perkahwinan mereka kekal bahagia sehingga ke hari ini,” ujarnya.

Mungkin, katanya, semua pengalaman ini patut dijadikan satu daripada kurikulum yang perlu diperkenalkan kepada pasangan yang akan menghadiri kursus perkahwinan di Negeri Terengganu.

Muhammad Ramli turut menambah bahawa pihaknya juga sedang mencari konsultan yang dapat memberi tunjuk ajar kepada pasangan yang telah berkahwin mahupun yang akan berkahwin bagaimana hendak menghias diri agar kelihatan menarik dan segar mata memandang.