Nov 24, 2009

Bibit cinta di kedai telefon

feride.hikmet@kosmo.com.my


TIADA apa yang membahagiakan buat pembaca berita TV3 jelita, Azwaliza Azman atau Wawa, selain hatinya berjaya dicuri oleh jejaka bernama Abdul Kadir Abdul Rashid.

Selepas kata sepakat dicapai, pasangan itu nekad untuk sehidup semati bersama dan untuk permulaan, mereka mengikat tali pertunangan pada Ahad lalu di Restoren Puteri, Taman Tun Doktor Ismail. Langkah seterusnya, perkahwinan merpati dua sejoli itu akan berlangsung pula pada pertengahan 2010.

Pada malam pertunangan itu, masing-masing anggun mengenakan persalinan berwarna merah dengan pihak perempuan menyerahkan sembilan dulang hantaran iaitu sebentuk cincin, sirih junjung, jam tangan, telefon bimbit, kamera, sepersalinan baju, minyak wangi buah-buahan dan kek.

Pihak lelaki pula membalas tujuh dulang iaitu cincin, sirih junjung, jam tangan, komputer riba, kek, kosmetik dan buah-buahan.

Mengimbas semula kenangan pertemuan kali pertama pasangan tersebut, Wawa dan Kadir mula berkenalan di sebuah kedai telefon bimbit sekitar Bangsar pada empat tahun lalu.

Menurut Wawa, mereka kemudiannya tidak berhubung selama setahun. "Tiba-tiba kami terjumpa semula pada perhimpunan UMNO tiga tahun lalu. Waktu itu saya buat lintas langsung di sana.

"Sejak hari itu kami mula berkawan rapat dan selama tiga tahun bercinta, cukup sekadar kami berjumpa pada waktu makan tengah hari ataupun makan malam.

"Maklumlah, masing-masing sibuk dengan kerjaya. Jadi masa untuk bersama terlalu terhad. Bibit cinta mula timbul bila saya melihat sikap gentleman Kadir serta rasa hormat yang tinggi pada wanita menyebabkan saya tertarik kepada peribadinya.


PASANGAN ini mengharapkan majlis pernikahan mereka kelak berlangsung dengan baik.


"Saya bersyukur kerana ditemukan dengan seorang lelaki yang berperibadi mulia sepertinya. Alhamdulillah, sekarang ini kami sudah menjalinkan ikatan pertunangan dan apa yang penting, kami diterima dengan restu keluarga masing-masing.

"Kadir juga begitu akrab dengan keluarga saya dan berjaya mengambil hati mak, terutamanya ayah yang agak garang," kata gadis berusia 29 tahun itu sambil tersenyum gembira.

Bagi Kadir pula, pertama kali bertemu Wawa di Bangsar, dia tidak tahu bahawa Wawa merupakan seorang pembaca berita di TV3 kerana ketika itu Wawa hadir tanpa solekan tebal.

Apa yang membuatkan Kadir tertarik pada wanita itu adalah sikapnya yang begitu menghormati orang tua.

"Ketika di Perhimpunan Agung UMNO, dia begitu menghormati ibu saya walaupun pertama kali berjumpa. Bagaimanapun, saya akui sepanjang setahun tidak berjumpa dengan Wawa, saya ada teringatkan dia dan waktu itu saya lihat dia sedang membaca berita di TV.

"Memandangkan kami terlalu mementingkan karier masing-masing, ia membuatkan kami sedikit lewat untuk membuat keputusan mendirikan rumah tangga bersama.

"Kalau nak tahu, pertunangan ini adalah antara anak yang sulung iaitu saya dan bongsu (Wawa) tau," seloroh Kadir, 31.

Anggaran lagi tujuh bulan dari sekarang personaliti TV3 itu dan Kadir bakal bergelar suami isteri.

Bagaimanapun, buat masa ini, mereka belum menetapkan sebarang persiapan dalam melangkah ke dunia baru itu.


PERSONALITI dan warga kerja TV3 tidak melepaskan peluang bergambar kenangan bersama pasangan yang baru bertunangan ini.


"Kalau nak ikutkan hati, memang kami nak kahwin cepat-cepat. Senang. Tetapi, memandangkan macam-macam persiapan dan faktor yang perlu dilakukan, membuatkan majlis perkahwinan kami dilewatkan sedikit.

"Lagipun, rasanya masa pertunangan kami tidaklah terlalu lama, ia sesuai dengan adat Melayu kita. Apa-apa pun sebarang konsep berkahwinan serta hantaran belum lagi diperbincangkan.

"Jangan ingat kami tak nak beritahu tetapi kami tak rancang apa-apa lagi. Apa-apapun untuk hantaran, mak dan ayah tak kisah berapa pihak Kadir mahu beri. Yang penting, dia mesti berikan senaskhah al-Quran," ujar Wawa yang dirisik pada 20 Disember tahun lalu.

Majlis pertunangan Wawa dan Kadir yang berkonsepkan merah dan putih telah dihadiri lebih daripada 200 orang tetamu.

Menariknya, pada majlis itu, ia kelihatan seperti sebuah majlis pertunangan satu Malaysia dengan kehadiran keluarga pasangan itu yang terdiri daripada pelbagai bangsa.




Keluarga Wawa yang berkacukan Cina, Melayu dan India membuatkan majlis tampak lebih meriah. Malah, sewaktu Wawa disarungkan cincin oleh bakal ibu mertuanya, Ailleen Jamaludin, Wawa telah diberikan manisan gula yang menjadi amalan dalam masyarakat India untuk sebarang acara kekeluargaan.

"Saya gembira kerana majoriti keluarga saya dan Kadir hadir di majlis pertunangan kami. Apa pun, saya rasa bersyukur, majlis yangs sederhana ini berjalan dengan lancar.

"Saya harap untuk majlis perkahwinan nanti, ia turut berjalan dengan lancar seperti hari ini juga," kata Wawa pada majlis yang turut dihadiri Datuk Siti Nurhaliza dan suami serta personaliti TV lain seperti Nurfarahin Jamsari, Datin Norazlina Ridzuan serta ramai lagi.

No comments: