PASANGAN kekasih yang mengikat tali pertunangan pada September lalu iaitu aktres jelita Umie Aida dan ahli perniagaan Datuk Khairuddin Abu Hassan masih lagi menunggu tarikh untuk diijab kabulkan.
Apa yang pasti akad nikah pasangan ini akan dilakukan di luar negara dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga sahaja.
"Persiapan sudah hampir siap cuma tarikh perkahwinan masih lagi belum ada. Apa yang boleh saya katakan ialah ia akan berlangsung dalam jangka masa terdekat ini.
"Saya hanya tunggu surat pengesahan dan surat-surat penting siap sahaja, insya-Allah ia akan berlangsung secepat mungkin," ujar Umie ketika di temui di majlis doa selamat sempena hari lahir ke-37 tahun kelmarin.
Sementara itu, Datuk Khairuddin atau lebih mesra dengan sapaan 'Abang K' yang pertama kali diperkenalkan kepada media menyambut baik permintaan Umie untuk bernikah di luar negara itu.
"Mungkin itu hajat dia, saya mengikut sahaja. Saya rasa bersyukur, gembira dan kemungkinan tujuan dia untuk bernikah di luar negara adalah untuk mendapat lebih keberkatan," ujarnya yang tidak menolak kemungkinan untuk bernikah di Mekah.
Dalam pada itu, menurut Datuk Khairuddin, persiapan majlis perkahwinan yang dirancang terganggu kerana tetamu kerhormat, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijemput tidak dapat hadir pada tarikh yang dirancang kerana ke luar negara.
"Majlis resepsi yang akan diadakan dua minggu selepas pernikahan itu mungkin terpaksa ditunda kerana tetamu kerhormat Tun Dr Mahathir akan keluar negara. Kita sudah pilih lokasi jadi mungkin terpaksa diaturkan semula majlis itu," katanya.
Dalam pada itu, sempena hari ulang tahun kelahirannya, Umie menerima hadiah istimewa daripada tunang tersayang iaitu rawatan kesihatan di sebuah hospital swasta di Mont Kiara.
Datuk Khairuddin turut menyifatkan hadiah tersebut sebagai unik dan terlalu peribadi baginya.
"Setelah berbincang dengan Umie, dia tidak mahu hadiah jenis barangan lagi, dia inginkan treatment kesihatan diri di sebuah pusat kesihatan antarabangsa.
"Lagipun hadiah ini untuk jangka masa panjang Umie juga, rawatan tersebut hanya setahun sekali sahaja," ujarnya.
Ketika ditanya tentang keistimewaan bakal isterinya itu, Datuk Khairuddin memberitahu bahawa Umie mempunyai keistimewanya tersendiri yang tidak ada pada wanita lain.
"Mungkin orang nampak Umie seorang yang agak kasar, namun jauh di sudut peribadinya dia seorang yang sangat lembut dan penyayang.
"Saya juga tidak pernah anggap dia seperti artis, saya tidak suka anggap seseorang itu mengikut taraf masing-masing, manusia sama sahaja, cuma mungkin kita di bidang yang berbeza.
Selain itu, Datuk Khairuddin turut mengakui sifat dominan pada kekasihnya itu juga merupakan salah satu keistimewaan Umie yang membuatkan dia terpikat, justeru mengambil keputusan mengahwini aktres tersebut.
Ketika ditanya tentang aktiviti lakonan Umie selapas bergelar isteri, dia berkata tiada yang berbeza, Umie akan terus dengan kariernya sebagai pelakon.
"Saya tidak akan menghalang untuk dia terus berlakon namun sebagai isteri dia tahu dan pandai menjaga batasannya. Bagi saya rumah tangga bukan diketuai oleh lelaki sahaja malah kedua belah pihak.
"Kita seharusnya saling tegur-menegur jika berlaku kesalahan," ujar Datuk Khairuddin yang kelihatan masih malu-malu ketika menjawab soalan dari media.
No comments:
Post a Comment