May 31, 2009

Kebenaran akan terungkai 2 Jun ini - Waheeda

NADA suaranya kedengaran cukup ceria, tetapi adakalanya, penyanyi dan pelakon Waheeda ini jelas gagal menyembunyikan perasaan sedihnya berdepan dengan kontroversi yang amat hebat dalam dirinya ketika ini.

Benar kata penyanyi yang popular dengan lagu Wassini ini, bukan mudah untuk menjadi 'dirinya'...apa yang ditanggung selama ini cukup berat. Dikecam sebagai perampas suami orang serta pemusnah rumahtangga adalah label yang amat dahsyat diberikan sesetengah pihak yang belum tahu hujung pangkal kebenarannya.

Tetapi, luah wanita berusia 30 tahun ini, biarlah apa saja tanggapan yang singgah terhadap dirinya. Asalkan keluarga dan kenalan rapat mengetahui kisah sebenarnya, itu sudah cukup memadai buat Waheeda walaupun tohmahan buruk akan terus berselingkar di dalam dirinya.

Pendedahan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, iaitu Maizawati Zainal yang mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi itu juga nampaknya semakin 'panas' apatah lagi bila Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

"Saya sudah bosan. Tidak guna untuk saya terus berdakwah menerusi bidang ini jika orang akan pertikaikan kredibiliti saya."

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Dengan keadaan sekarang yang dilihat semakin 'berapi' ini, tutur Waheeda, biarlah dia terus bersabar dengan apa yang berlaku. Apapun, kesabaran itu tetap ada hadnya, cuma katanya, biarlah masa saja yang menentukan.

Namun, luah Waheeda, dia menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya amat tertekan dengan tindakan Maizawati itu yang terus-menerus mengeluarkan kenyataan. Malah, khabar angin itu turut mengatakan Waheeda juga turut kesal dengan tindakan Akhil yang masih terus mendiamkan diri.

Akibat terlalu tertekan dengan hal ini, Waheeda dikatakan menjerit-jerit seperti orang gila sehinggakan beberapa barang di rumahnya juga habis dihempaskan kerana terlalu geram.

"Tak mengapalah. Biar mereka (Akhil dan Maiza) selesaikan. Kita tunggu saja 2 Jun ini...kebenaran akan terungkai juga," luah Waheeda dalam nada perlahan, sambil enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Katanya, buat masa ini dia lebih memberikan perhatian kepada kesihatannya yang tidak begitu baik sejak kebelakangan ini.

"Sekarang ini saya tengah berubat...penyakit yang sudah lama sebenarnya saya alami. Cuma sekarang ini semakin teruk pula," ujarnya yang tidak mahu bercerita lanjut tentangnya.

Nekad tinggalkan dunia seni

Lebih setahun yang lalu, Waheeda pernah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan karier seninya sebagai penyanyi dan pelakon. Ketika itu, ramai yang merasakan keputusan tersebut dibuat oleh Waheeda gara-gara isu kononnya penyanyi ini telah berkahwin dengan Akhil.

Namun, Waheeda masih lagi dilihat terus aktif dengan aktiviti seninya sehingga hari ini. Katanya ketika itu, dia menunggu album terbarunya dikeluarkan terlebih dahulu sebelum terus berundur. Dan memandangkan pada waktu itu semakin banyak tawaran yang datang, dia tidak menolaknya sementara menantikan albumnya itu siap.

Tetapi, tegasnya, dia tetap menyimpan hasratnya untuk tinggalkan bidang seni satu masa nanti.

Namun, dengan kontroversi hebat yang melanda dirinya ketika ini, kata Waheeda, dia memang nekad untuk 'bersara' dan kemungkinan besar akan terus menghentikan projek penghasilan album terbarunya itu.

"Saya sudah bosan. Dari dulu sampai sekarang macam-macam orang bercakap tentang saya. Kontroversi seperti inilah sebenarnya yang membuatkan saya ingin berhenti ketika itu. Untuk apa saya terus berada di sini sedangkan reputasi dan kredibiliti saya sudah tiada.

"Mungkin dulu saya bercakap seperti ini juga, tetapi saya tetap terus berada di dalam industri. Tetapi kini, saya rasa cukuplah apa yang saya lalui. Saya nekad untuk berhenti terus.

"Tidak guna untuk saya terus berdakwah menerusi bidang ini jika orang akan pertikaikan kredibiliti saya. Ibubapa saya juga menyarankan perkara yang sama kerana mereka tak sanggup melihat saya terus dilanda benda-benda macam ni.

"Sekarang ini saya tengah tunggu untuk selesaikan dulu projek-projek lakonan termasuklah program Cafe Akhil Hayy," kata Waheeda.

Walaupun sedar tindakannya itu tidak bermaksud akan mengakhirkan segala kontroversi yang melanda, namun kata Waheeda, 'at least' kehidupannya selepas ini mungkin akan lebih 'tenang'.

"Saya masih ada banyak benda yang boleh dibuat. Saya ingin terus lakukan kerja-kerja kebajikan. Ketika ini pun saya bertugas sebagai 'facilitator' di Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID).

"Mungkin jika saya ingin siapkan juga album tersebut, saya akan buat 'senyap-senyap' saja tanpa sebarang publisiti. Siapa yang nampak album saya itu di pasaran, itu sajalah...tidak akan ada majlis pelancaran atau sebagainya," kata Waheeda yang akui dia telah merakamkan semua lagu dalam album terbarunya itu.

May 30, 2009

Hadiah hari lahir bermakna buat Darling

Aktres dan produser, Nasreen Ngasri, 26, yang mesra dengan panggilan Darling akhirnya sah bergelar isteri kepada kekasih hatinya, Nur Azlin Rahmat, 34 - foto UTUSAN

KUALA LUMPUR: Aktres dan produser, Nasreen Ngasri, 26, yang mesra dengan panggilan Darling akhirnya sah bergelar isteri kepada kekasih hatinya, Nur Azlin Rahmat, 34, pada majlis pernikahan mereka yang berlangsung di rumah keluarga Darling bertempat di Taman Batu Permai, Jalan Ipoh, di sini, hari ini.

Hanya dengan sekali lafaz, pasangan yang dinikahkan sendiri oleh bapa Darling, Ngasri Sain ini melahirkan rasa bersyukur kerana berjaya menyatukan cinta mereka meskipun hubungan yang terjalin belum pun mencecah setahun.

Lebih bermakna lagi, majlis bersejarah pasangan itu juga secara kebetulan menjadi 'hadiah' istimewa buat Darling yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-26 pada 2 Jun ini manakala hari lahir bapanya juga jatuh pada hari esok (31 Mei).

"Memang kami merancang untuk adakan majlis ini pada musim cuti persekolahan. Secara kebetulan pula tarikh yang dipilih ini berdekatan dengan hari lahir saya dan bapa. Malah, saya rasa gembira sangat dinikahkan sendiri oleh bapa.

"Apapun, saya bersyukur majlis hari ini berjalan dengan lancar. Dan sekarang nampaknya saya sudah bergelar isteri. Mungkin ada sesetengah pihak yang merasakan kami kahwin terlalu cepat, tapi saya lebih senang katakan ini adalah jodoh.

"Kami dapat rasa keserasian antara kami. Malah, Azlin pun rasa dengan usianya sekarang memang dia sudah bersedia untuk berkahwin.

"Cuma sekarang saya akui, tanggungjawab yang perlu saya pikul lebih besar. Mungkin akan mengambil masa sedikit untuk saya dan suami sesuaikan diri dengan hidup baru ini," kata Darling yang ditemui sejurus berakhirnya majlis tersebut.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Darling menerima mas kahwin RM80, wang hantaran sebanyak RM22,222.22 serta sembilan dulang hantaran berbalas 11 daripada pihaknya.

Majlis bersejarah pasangan itu juga secara kebetulan menjadi 'hadiah' istimewa buat Darling yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-26 pada 2 Jun ini

Detik manis itu juga disaksikan oleh ahli keluarga, saudara-mara terdekat dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Darling dan jejaka yang bertugas sebagai pegawai pemasaran itu telah mengikat tali pertunangan pada pertengahan Mac lalu setelah berkenalan pada bulan Ogos tahun lalu.

Bercerita tentang perkenalan singkat yang akhirnya membuahkan perasaan cinta itu, dalam nada ceria Darling berkata, di peringkat awal dulu, Nur Azlin tidak tahu dirinya adalah seorang artis.

"Kami diperkenalkan oleh seorang kawan. Memang dia tidak kenal saya ni artis, lagipun tugasnya yang banyak memerlukan dia 'travel' membuatkan dia tidak terlalu mengikuti tentang industri ini.

"Selepas itu, dia banyak buat 'research' tentang saya di media dan internet. Dari situ dia tahu macam-macam tentang saya termasuklah cerita-cerita 'panas'. Tetapi Alhamdulillah, dia dapat menerima saya walaupun dengan macam-macam cerita tentang saya.

"Bagi dia, semua orang akan ada sejarah masing-masing dan begitu juga dengannya. Dia sangat rasional," kata Darling sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Nur Azlin berkata, ciri-ciri yang ada pada Darling berjaya menambat hatinya untuk melamar gadis itu sebagai isteri.

"Dia ni baik, memahami dan tidak mudah melenting. Darling juga seorang yang amat mengambil berat.

"Tetapi saya akui, pada awalnya saya tidak perasan dia adalah seorang artis. Saya kenal adiknya saja, Anne, sebab pernah menonton lakonannya di dalam drama Dunia Baru, tetapi saya memang tidak tahu Darling adalah pelakon.

"Itu pun sepupu saya yang beritahu dia adalah seorang artis," ujarnya yang menambah, mereka hanya sering berbalas SMS di awal perkenalan dulu sebelum hubungan itu bertambah serius.

Pasangan ini akan mengadakan majlis persandingan esok di Taman Metropolitan Batu, Jalan Ipoh, dengan bertemakan 'garden wedding', manakala resepsi di sebelah lelaki pula akan diadakan di Bukit Katil, Melaka pada 7 Jun depan.

May 26, 2009

Suami Zakiah Anas muflis tahun 2003


ZAKIAH ANAS


SHAH ALAM - Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili suami kepada personaliti TV3, Zakiah Anas terkejut apabila dimaklumkan anak guamnya seorang bankrap pada prosiding kes perceraian pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Status Mohamed Yusof Mohamed Taib, 47, itu dimaklumkan peguam syarie, Rubiah Jaffar yang mewakili Zakiah, 43, di hadapan Hakim Syarie Kamarulzaman Ali.

Fakhrul memberitahu, beliau terkejut kerana baru mengetahui status itu dan akan mendapatkan kepastian sama ada anak guamnya masih bankrap atau tidak.

"Mengikut peguam plaintif, rekod semakan terakhir mengenai kebankrapan adalah pada 15 April lalu dan saya terpaksa rujuk dengan anak guam saya sekiranya ada apa-apa tindakan telah dibuat tentang perkara itu.

"Jadi saya mohon mahkamah tetapkan tarikh sebutan lain untuk menyelesaikan perkara ini," katanya ketika prosiding semalam.

Terdahulu, Rubiah berkata, pihaknya dimaklumkan defendan adalah seorang yang telah diisytiharkan bankrap sejak 5 Mac 2003 dan kekal dengan status itu sehingga tarikh carian rasmi terkini Jabatan Insolvensi pada 15 April lepas.

"Mengikut Seksyen 38 Akta Kebankrapan 1967 orang yang bankrap perlu dapatkan kebenaran daripada pegawai pemegang harta iaitu Pengarah Insolvensi sebelum boleh dia disaman dan menyaman," ujarnya.

Rubiah juga memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan lain bagi mengetahui akta tersebut terpakai atau tidak dalam perjalanan kes berkenaan.

Menangis kenang perkahwinan singkat


NASH selepas menceraikan Sosilawati di Mahkamah Rendah Gombak Timur semalam.


KUALA LUMPUR - Babak bersalam-salaman dan berpelukan di dalam mahkamah beberapa detik sebelum bercerai, bukan 'adegan lakonan' yang sengaja dibuat-buat.

Sebaliknya itu adalah aksi spontan penyanyi Nash dan bekas isterinya, Sosilawati Lawiya yang larut dalam kesedihan, beberapa detik sebelum mereka secara rasmi bercerai.

Menurut Sosilawati, dia sendiri membuat permohonan kepada pihak mahkamah supaya diberi peluang untuk memohon maaf terhadap Nash sebelum penyanyi itu menjatuhkan talak terhadapnya secara rasmi semalam.

"Sebagai isteri, saya tahu ada dosa-dosa yang telah saya lakukan terhadap dia sebagai suami sebab itu saya sendiri memohon kepada pihak mahkamah untuk membuat permohonan maaf kepada Nash," katanya.

Tanpa disangka adegan bersalam kemudian menyaksikan pasangan itu saling berpelukan erat dan Sosilawati sendiri menangis teresak-esak, tidak mampu menahan sedih.

"Walaupun perkahwinan kami hanya dalam tempoh 10 bulan, singkat sangat, saya merasakan ada rasa kasih sayang wujud, terutama dalam diri anak-anak saya terhadap Nash.

"Saya harap sangat supaya Nash akan terus menganggap anak-anak saya sebagai anak dia sendiri," katanya yang ketika bercakap dengan Kosmo! masih dalam nada sebak dan tersekat-sekat.

Ketika ditanya mengapa dia perlu bersedih, sedangkan dia sendiri mahukan perpisahan itu, wanita itu berkata, dia tidak menyangka perkahwinan keduanya akan berakhir sesingkat itu.

May 24, 2009

Keretakan rumahtangga Akhil: Waheeda enggan komen

Waheeda dikatakan turut menjadi punca keretakan rumahtangga Akhil (kanan)

PETALING JAYA: "Saya tidak mahu komen apa-apa," luah penyanyi popular Waheeda berikutan kenyataan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, Maizawati Zainal yang membuat pengakuan bahawa dia dan suaminya memang akan berpisah seperti mana khabar angin yang sedang bertiup kencang ketika ini.

Sejak kebelakangan ini, kisah Akhil dan isterinya itu yang dikatakan akan bercerai cukup hangat diperkatakan di internet. Dan Waheeda telah dikaitkan menjadi salah satu sebab utama keretakan rumahtangga pasangan suami isteri itu.

Menurut kenyataan Maizawati di dalam sebuah akhbar hari ini, dia merasakan perpisahan itu adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Maizawati juga akui, dia sentiasa berfikiran positif apabila berdepan dengan kontroversi yang melanda suaminya dan Waheeda.

Malah, dia percaya bahawa Akhil dan Waheeda tidak berkahwin, seperti mana yang digembar-gemburkan.

Namun begitu, Waheeda yang dihubungi hari ini enggan mengeluarkan sebarang komen.

Hampir dua tahun kisah 'panas' antara Waheeda dan Akhil begitu hebat menjadi bualan ramai. Dalam tempoh itu, banyak juga kenyataan yang dikeluarkan oleh Waheeda dan Akhil sendiri berikutan isu mereka dikatakan telah berkahwin dan Waheeda menjadi isteri kedua Akhil.

Puas mereka menafikan dan menegaskan mereka hanya berkawan baik, namun isu tersebut masih belum reda apatah lagi bila kedua-duanya muncul membawakan watak sebagai suami isteri di dalam program Cafe Akhil Hayy musim kedua yang sedang ditayangkan di Astro Oasis.

Cerita 'hubungan' mereka ini terus berlarutan apabila kecoh pula isu gambar 'mesra' Waheeda dan Akhil di sebuah pantai bersama dua kenalan mereka, termasuklah pelakon baru, Ramona dan seorang lelaki, yang telah tersebar luas di internet.

Aksi 'gembira' Waheeda dan Akhil dalam gambar-gambar tersebut telah membuatkan ramai beranggapan bahawa mereka sebenarnya memang mempunyai hubungan 'istimewa', tetapi masih ingin terus berahsia.

Waheeda, ketika dihubungi mStar Online ketika itu mengakui gambar tersebut dirakamkan beberapa bulan lalu ketika dia, Akhil dan beberapa rakan pergi ke Port Dickson untuk menikmati juadah ikan bakar di sebuah restoran di sana.

Namun, ujar penyanyi itu, dia tidak dapat menghalang jika masih ada pihak yang ingin meletakkan persepsi negatif terhadap gambar-gambar tersebut.

May 23, 2009

Majlis berinai Emelda-Adlin meriah

BAGAI PINANG DIBELAH DUA: Emelda dan Adlin. - foto MSTAR oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

BERMULA selepas waktu Maghrib, orang ramai mula bertandang di majlis berinai pasangan mempelai aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid dan pelakon Adlin Aman Ramlie, semalam.

Kebanyakan tetamu yang hadir ke rumah keluarga Emelda di Kampung Melayu, Batu 8 itu terdiri dari kalangan sanak saudara dan jiran tetangga bagi meraikan mempelai selepas sah bergelar suami isteri.

Kira-kira pukul 8 hingga 9 malam, majlis bermula dengan Marhaban daripada sekumpulan wanita diikuti dengan sesi karaoke.

Selepas pukul 9 malam, dianggarkan lebih 300 tetamu yang hadir lebih memeriahkan majlis itu.

Tidak sampai seminit Emelda keluar dari bilik pengantin ke pelamin indah rekaan Butik Pengantin Nasha, para tetamu sudah mula menyerbunya untuk melihat lebih dekat dan mengambil gambar kenangan.

JELITAWAN: Emelda menggayakan baju pengantin berkonsepkan kontemporari dari Butik Pengantin Nasha dengan solekan oleh Baby Elle. - foto MSTAR oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Warna busana merah dari Butik Pengantin Nasha itu menyerlahkan lagi kecantikan Emelda yang mempunyai kulit putih melepak.

Walaupun suasana agak hiruk-pikuk dan sukar untuk dikawal, tetapi tetamu ada yang memberikan kerjasama untuk memberi ruang kepada jurugambar bertugas merakamkan gambar Emelda sementara menanti kehadiran Adlin.

Dalam keriuhan itu, suasana menjadi meriah diselang-seli dengan hiburan daripada lagu-lagu karaoke yang didendangkan oleh jiran terdekat dan keluarga mempelai.

Tepat pukul 10 malam, barulah kelibat Adlin yang kacak dengan pakaian pengantin warna senada dengan Emelda yang turut didatangkan dari butik yang sama.

Selain majlis berinai, keluarga kedua belah pengantin diberi peluang untuk menepung tawar pengantin.

Tetamu terpaksa diminta duduk bagi memberi ruang kepada pengantin dan orang yang menepung tawar.

RUPAWAN: Adlin menjadi fokus tetamu yang hadir. - foto MSTAR oleh SITI AZIRA AB. AZIZ

Waktu itu, tetamu semakin ramai masuk ke dalam rumah yang menempatkan pelamin dan mempelai namun keadaan yang bertambah gamat itu berjaya ditenangkan semula selepas kakak Emelda, Emylia Rosnaida bertindak mengawal tetamu dan meminta mereka duduk.

Selepas upacara menepung tawar selesai, ahli keluarga, sanak saudara dan tetamu diberi peluang untuk bergambar dengan mempelai.

Mereka bukan sahaja tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Emelda dan Adlin, malah Emylia dan suaminya, AC Mizal serta penyanyi dan pelakon Aqasha yang menjadi pengapit Adlin turut menarik perhatian mereka yang mahu bergambar.

Kemeriahan majlis itu terus berlangsung sehingga lewat pagi walaupun tetamu sedikit demi sedikit beransur pulang ke rumah masing-masing.

Cinta Adlin-Emelda ke jinjang pelamin


ADLIN ceria bersama Emelda Rosmila selepas mereka diijabkabulkan di Ulu Kinta, Perak semalam.


IPOH – Dengan sekali lafaz, pengkritik tetap Akademi Fantasia (AF7), Adlin Aman Ramli, 36, sah menjadi suami kepada pelakon, Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29, pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid An-Nur, Batu 8, Ulu Kinta dekat sini semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Pegawai Nikah, Cerai dan Rujuk Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Zainudin Abdul Arshad dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak iaitu sehari sebelum ulang tahun kelahiran Adlin ke-37 hari ini.

Elmelda Rosmila yang juga adik ipar kepada pengacara AF7, AC Mizal, menerima wang hantaran RM30,000 beserta mas kahwin RM1,001 dan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh.

Turut hadir ibu Adlin, pelakon veteran, Ruminah Sidek, kakak Emelda, pelakon Emylia Rosnaida, AC Mizal, pelakon, Akashah dan penerbit filem, Raja Azmi.

Adlin dan Emelda yang mengenakan persalinan putih lega kerana impian mereka untuk berumahtangga selepas empat tahun bercinta termakbul.