PETALING JAYA: "Saya tidak mahu komen apa-apa," luah penyanyi popular Waheeda berikutan kenyataan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, Maizawati Zainal yang membuat pengakuan bahawa dia dan suaminya memang akan berpisah seperti mana khabar angin yang sedang bertiup kencang ketika ini.
Sejak kebelakangan ini, kisah Akhil dan isterinya itu yang dikatakan akan bercerai cukup hangat diperkatakan di internet. Dan Waheeda telah dikaitkan menjadi salah satu sebab utama keretakan rumahtangga pasangan suami isteri itu.
Menurut kenyataan Maizawati di dalam sebuah akhbar hari ini, dia merasakan perpisahan itu adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.
Maizawati juga akui, dia sentiasa berfikiran positif apabila berdepan dengan kontroversi yang melanda suaminya dan Waheeda.
Malah, dia percaya bahawa Akhil dan Waheeda tidak berkahwin, seperti mana yang digembar-gemburkan.
Namun begitu, Waheeda yang dihubungi hari ini enggan mengeluarkan sebarang komen.
Hampir dua tahun kisah 'panas' antara Waheeda dan Akhil begitu hebat menjadi bualan ramai. Dalam tempoh itu, banyak juga kenyataan yang dikeluarkan oleh Waheeda dan Akhil sendiri berikutan isu mereka dikatakan telah berkahwin dan Waheeda menjadi isteri kedua Akhil.
Puas mereka menafikan dan menegaskan mereka hanya berkawan baik, namun isu tersebut masih belum reda apatah lagi bila kedua-duanya muncul membawakan watak sebagai suami isteri di dalam program Cafe Akhil Hayy musim kedua yang sedang ditayangkan di Astro Oasis.
Cerita 'hubungan' mereka ini terus berlarutan apabila kecoh pula isu gambar 'mesra' Waheeda dan Akhil di sebuah pantai bersama dua kenalan mereka, termasuklah pelakon baru, Ramona dan seorang lelaki, yang telah tersebar luas di internet.
Aksi 'gembira' Waheeda dan Akhil dalam gambar-gambar tersebut telah membuatkan ramai beranggapan bahawa mereka sebenarnya memang mempunyai hubungan 'istimewa', tetapi masih ingin terus berahsia.
Waheeda, ketika dihubungi mStar Online ketika itu mengakui gambar tersebut dirakamkan beberapa bulan lalu ketika dia, Akhil dan beberapa rakan pergi ke Port Dickson untuk menikmati juadah ikan bakar di sebuah restoran di sana.
Namun, ujar penyanyi itu, dia tidak dapat menghalang jika masih ada pihak yang ingin meletakkan persepsi negatif terhadap gambar-gambar tersebut.
No comments:
Post a Comment