GOSIP tentang penyanyi Datuk Siti Nurhaliza ‘bermadu’ kembali menghangatkan industri seni ini walaupun dia dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa puas menafikannya.
Baru-baru ini, penulis sekali lagi menerima berita suami Siti yang glamor dengan panggilan Datuk K ini telah menikah dengan aktres jelita Rozita Che Wan di Alor Setar, Kedah.
Ditanya kepada penyanyi bersuara lemak merdu ini, Siti berkata, ‘Sudah-sudah la buat dosa..hanya Allah taala yang dapat membalasnya.’
Begitulah jawapan Siti seolah-olah sudah ‘lemas’ untuk menjawab persoalan seperti ini.
Menyelami hati wanita berusia 30 tahun ini, dapat dilihat dia tidak selesa disoal sebegitu namun riak wajahnya tetap manis dan penuh dengan senyuman.
Diduga dengan persoalan adakah dia rela untuk dimadu, Siti menjawab dengan tenang:
“Nauzubillah...sebab saya tidak pernah terfikir pasal itu (bermadu). Samada saya rela atau tidak, tak payah fikir sebab kuasa Allah.
“Saya nasihatkan supaya orang jangan fikir sampai jatuh fitnah sebaliknya kena fikir balasan yang macam mana mereka akan terima nanti. Lainlah kalau ada bukti...”
Menurut Siti, dia dan Datuk K juga ada menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang bertanya tentang pernikahan suaminya itu.
“Saya terkejut apabila ada pihak yang menghubungi kami pada Ahad lalu. Waktu itu, saya, suami dan anak-anak sedang menonton wayang,” kata Siti sambil tergelak.
Sementara itu, Datuk K turut menjelaskan hal yang sama.
“Pada hari Ahad lalu, saya ada dua ‘event’ di Kuala Lumpur. Pada siangnya, saya menghabiskan masa dengan Siti, anak-anak dan kawan saya, Datuk Hamdan di Pavilion, Bukit Bintang sambil menonton wayang.
“Pada malamnya, saya menghadiri majlis perkahwinan yang dibuat oleh Lord’s Tailor.
“Pada pagi itu, semasa saya mendapat mesej (SMS) daripada wartawan, saya sedang menonton wayang dengan mereka. Lepas tengok wayang, saya dan anak yang kecil tu ‘shopping’ beli baju dia.
“Pada pukul 5.30 petang, saya menghantar anak saya pulang ke rumah dan kemudian pergi ke majlis perkahwinan itu. Mana ada saya pergi kahwin dengan sesiapa,” cerita Datuk K.
Ahli perniagaan ini juga mengakui dia tidak pernah mengenali dengan lebih rapat mahupun berhubung dengan Rozita.
“Saya tak pernah ada nombor telefon dia, saya tidak pernah menghubungi dia dan saya tak pernah ‘berdating’ dengan dia. Jadi, saya tak tahu macam mana gosip ini boleh keluar,” tegas Datuk K.
Selain itu, ramai juga yang tertanya-tanya sebab Datuk K tidak mengikuti Siti mengerjakan umrah baru-baru ini.
Jelas Datuk K, dia memang hendak mengikut isterinya namun terbatas dengan komitmen lain.
“Saya memang bercadang untuk pergi umrah pada Nisfu Syaaban iaitu tarikh 15 Syaaban kerana pada tarikh itu adalah baik untuk kita berdoa terutama untuk meminta rezeki.
“Pada masa Siti mengerjakan umrah baru-baru ini memang saya nak pergi tetapi saya ada kerja lain yang sangat penting sehingga menyebabkan saya berniat untuk pergi kemudian.
“Dan sebab yang ketiganya, Siti perlu diberi masa bersama-sama keluarganya terutama mak, abang dan kakaknya kerana waktu bersama keluarga adalah masa yang istimewa untuk beribadah seperti saya pernah mengerjakan umrah bersama-sama anak saya sebelum ini.
“Jadi, dia boleh tidur bersama mak dan kakaknya serta boleh membawa maknya ke mana-mana. Oleh itu, perhatian dia tidak perlu tertumpu kepada suaminya.
“Kualiti masa itu yang penting. Jadi, saya benarkan dia pergi bersama ibunya.
“Sejak kematian arwah bapanya, dia juga bersungguh-sungguh hendak buat umrah untuk bapanya. Jadi, Siti, abang, mak dan kakaknya sempat buat satu umrah untuk arwah bapanya.
“Jadi, saya rasa ada ketikanya saya perlu beri ruang untuk Siti dan keluarga. Biarlah dia bersama keluarganya di sana,” beritahu Datuk K lagi.
No comments:
Post a Comment