PERSONALITI berusia 45 tahun ini pernah mendapat jolokan 'Perempuan Melayu Tercantik' dan gelaran itu masih kekal sehingga kini.
Bukan sahaja dirinya kelihatan cantik pada mata kasar malah dia juga bijak berkata-kata.
Itulah dia hos terkenal, Datin Seri Normala Samsudin yang kembali muncul dalam dunia pengacaraan baru-baru ini.
Selepas hampir tujuh tahun meninggalkan bidang ini, Normala melakukan kemunculan semula menerusi program berbentuk majalah iaitu Bersama Normala Samsudin di RTM1.
Jelasnya, idea untuk melahirkan program itu hasil daripada perbincangan dengan rakan perniagannya dan penerbit.
Antara slot menarik yang dihidangkan adalah petua nenek yang memberikan kelainan berbanding program wanita lain.
Namun, niatnya untuk kembali bukanlah untuk mengecap dunia glamour tetapi lebih kepada minat yang mendalam terhadap bidang penulisan dan pengacaraan.
“Saya dah lalui zaman glamour dulu. Jadi sekarang ni cukup-cukuplah nak kejar glamor,” kata Normala yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Kak Mala.
Normala juga berasa zamannya sekarang sudah tidak sama seperti zaman dulu yang penuh bersemangat.
“Saya rasa bersyukur sebab masa saya dengan Wan Zaleha dan rakan-rakan pengacara yang lain, saya rasakan seperti suatu persaingan yang hebat.
“Masa itu, kami bersiaran dengan penuh semangat tetapi dewasa ini sudah tidak nampak lagi.
“Ketika itu ramai ikon wanita yang lahir untuk berentap hebat,” jelas Normala.
Normala berkata biarlah anak-anaknya pula yang mewarisi dan mengikut jejak langkahnya dalam industri ini.
“Sekarang, saya nak latih anak-anak pula menjadi pengacara. Saya lihat salah seorang anak perempuan saya begitu meminati bidang ini.
“Biar dia belajar dunia ini kerana untuk memasuki bidang ini kita kena belajar banyak perkara.
“Bagi saya, tak semua orang boleh menjadi wartawan dan menulis dengan baik,” beritahu ibu kepada tiga orang anak ini.
Mereka adalah Ashraf, 21, yang kini menuntut di Australia dalam bidang kejuruteraan permotoran, Ruhila, 17, dan Rubila,15 masing-masing belajar di sekolah berasrama penuh.
Jika dulu, dia hanya mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan dan pengacaraan tetapi kali ini Normala bertindak selaku penerbit.
“Saya menjadi penerbit eksekutif dan pengacara dalam program Bersama Normala Samsudin ini.
“Bagi saya, melakukan dua kerja ini bukannya mudah. Mujurlah team produksi banyak membantu. Insya-Allah, jika ada kekurangan kami akan membuat sesuatu,” ulas Normala mengenai program yang telah siap dirakam sebanyak 90 peratus itu.
Lama dia memendam perasaan untuk kembali aktif dalam industri seni ini namun Normala berkata waktu itu masa tidak mengizinkan.
“Sekarang saya baru tergerak hati untuk membuat program ini setelah lama merancang.
“Saya rasa tak berapa manis untuk bekerja masa suami masih di dalam kabinet. Saya menceburi bidang ini bukan untuk mencari keuntungan tetapi untuk memeriahkan industri ini.
“Lagipun, saya rasa ramai krew-krew yang mahukan kerja dalam keadaan ekonomi meleset sekarang ini.
“Mungkin juga cara saya yang suka berfikir untuk berkarya. Jadi, cara saya adalah meluahkan melalui siaran,” cerita isteri kepada bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid.
Mereka bernikah pada 25 Ogos 2005 dan kini bahagia melayari bahtera perkahwinan bersama tiga orang anak hasil perkahwinan pertama Normala.
Hasil buku biografi
Selain mengacara dan menerbit, minatnya dalam bidang penulisan membuatkan Normala sedang berkira-kira untuk menghasilkan sebuah buku biografi mengenai dirinya berdasarkan pengalaman yang ditimba selama menjadi pengacara sebelum ini.
“Sekarang, saya telah banyak menyimpan manuskrip yang akan dibukukan tidak lama lagi.
“Buku itu akan menceritakan tentang kisah manis dan pahit saya dan berkongsikan kisah wanita lain sepanjang saya berkecimpung dalam bidang ini,” ujarnya yang turut pernah menulis beberapa skrip drama berkaitan kisah hidup wanita untuk RTM.
Saksikan program Bersama Normala Samsudin pada setiap Ahad, pukul 3 petang di RTM1.
No comments:
Post a Comment