May 23, 2009

Majlis berinai Emelda-Adlin meriah

BAGAI PINANG DIBELAH DUA: Emelda dan Adlin. - foto MSTAR oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

BERMULA selepas waktu Maghrib, orang ramai mula bertandang di majlis berinai pasangan mempelai aktres Emelda Rosmila Abdul Hamid dan pelakon Adlin Aman Ramlie, semalam.

Kebanyakan tetamu yang hadir ke rumah keluarga Emelda di Kampung Melayu, Batu 8 itu terdiri dari kalangan sanak saudara dan jiran tetangga bagi meraikan mempelai selepas sah bergelar suami isteri.

Kira-kira pukul 8 hingga 9 malam, majlis bermula dengan Marhaban daripada sekumpulan wanita diikuti dengan sesi karaoke.

Selepas pukul 9 malam, dianggarkan lebih 300 tetamu yang hadir lebih memeriahkan majlis itu.

Tidak sampai seminit Emelda keluar dari bilik pengantin ke pelamin indah rekaan Butik Pengantin Nasha, para tetamu sudah mula menyerbunya untuk melihat lebih dekat dan mengambil gambar kenangan.

JELITAWAN: Emelda menggayakan baju pengantin berkonsepkan kontemporari dari Butik Pengantin Nasha dengan solekan oleh Baby Elle. - foto MSTAR oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Warna busana merah dari Butik Pengantin Nasha itu menyerlahkan lagi kecantikan Emelda yang mempunyai kulit putih melepak.

Walaupun suasana agak hiruk-pikuk dan sukar untuk dikawal, tetapi tetamu ada yang memberikan kerjasama untuk memberi ruang kepada jurugambar bertugas merakamkan gambar Emelda sementara menanti kehadiran Adlin.

Dalam keriuhan itu, suasana menjadi meriah diselang-seli dengan hiburan daripada lagu-lagu karaoke yang didendangkan oleh jiran terdekat dan keluarga mempelai.

Tepat pukul 10 malam, barulah kelibat Adlin yang kacak dengan pakaian pengantin warna senada dengan Emelda yang turut didatangkan dari butik yang sama.

Selain majlis berinai, keluarga kedua belah pengantin diberi peluang untuk menepung tawar pengantin.

Tetamu terpaksa diminta duduk bagi memberi ruang kepada pengantin dan orang yang menepung tawar.

RUPAWAN: Adlin menjadi fokus tetamu yang hadir. - foto MSTAR oleh SITI AZIRA AB. AZIZ

Waktu itu, tetamu semakin ramai masuk ke dalam rumah yang menempatkan pelamin dan mempelai namun keadaan yang bertambah gamat itu berjaya ditenangkan semula selepas kakak Emelda, Emylia Rosnaida bertindak mengawal tetamu dan meminta mereka duduk.

Selepas upacara menepung tawar selesai, ahli keluarga, sanak saudara dan tetamu diberi peluang untuk bergambar dengan mempelai.

Mereka bukan sahaja tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Emelda dan Adlin, malah Emylia dan suaminya, AC Mizal serta penyanyi dan pelakon Aqasha yang menjadi pengapit Adlin turut menarik perhatian mereka yang mahu bergambar.

Kemeriahan majlis itu terus berlangsung sehingga lewat pagi walaupun tetamu sedikit demi sedikit beransur pulang ke rumah masing-masing.

No comments: