Dec 31, 2009

Kerdipan Habib Jewels RM2.5 Juta Penyeri Majlis Kahwin Serina

Perkahwinan Serina mandapat tajaan daripada Habib Jewels bernilai RM 2.5 juta.-Foto THE STAR Oleh YAP CHEE HONG

PERKAHWINAN gilang-gemilang Serina Ridzuawan bersama Gavin Edward O'luanaigh atau nama islamnya Salahudin Ghafar yang mendapat liputan media luar negara pastinya menarik perhatian penaja untuk memperkenalkan barangan mereka.

Kerlipan barangan perhiasan indah tajaan Habib Jewels bakal menaikkan lagi seri kedua-dua mempelai pada hari istimewa mereka.

Habib Jewels bukan saja menaja barangan kemas untuk acara akad nikah malah turut melengkapi persalinan bersanding dan acara potong kek dengan nilai keseluruhan RM2.5 juta.

Menurut Pengurus Pemasaran Habib Jewels, Yasheedah Yashaiya, kesemua koleksi yang bakal digayakan Serina adalah koleksi terbaru Habib.

"Serina bakal mengayakan koleksi terbaru yang mana rekaan-rekaan tersebut adalah koleksi tahun baru dan ia sangat bertepatan dengan majlis perkahwinan Serina yang dilangsungkan sempena pembukaan tahun 2010.

"Kami memilih perkahwinan Serina memandangkan Serina merupakan pelakon terkenal dan anak kepada selebriti dunia, Chef Wan, selain perkahwinan mereka juga mendapat liputan media luar negara.

"Selain Serina, Gavin dan Chef Wan turut ditaja pada majlis yang sama, Gavin bakal mengenakan butang pada baju melayu dan rantai, manakala Chef Wan akan mengayakan butang dan cincin rekaan terbaru," kata Yasheeda.

Sementara itu Serina yang ditemui di sejurus selepas memilih aksesori perkahwiann di Habib Jewels berkata, dia sangat teruja untuk mengayakan koleksi Habib pada dua majlis perkahwiannya.

"Habib Jewels merupakan antara nama terkemuka dalam perhiasan barang kemas. Banyak pilihan terbaik disini dan kualiti Habib setanding dengan nama-nama produk barang kemas dari luar negara.

"Saya sangat bertuah kerana berpeluang mengayakan aksesori bernilai RM 2.5 juta itu," kata Serina.

Manakala Chef Wan menyifatkan pemilihan Habib sebagai penaja hari bahagia anak perempuannya itu adalah yang terbaik berikutan ia adalah syarikat kepunyaan orang melayu dan patut diperkenalkan di seluruh dunia.

Selain Habib Jewels, mereka turut menerima tajaan dari Euromoda untuk baju Melayu dan baju kebaya bagi majlis pertunangan, nikah dan persandingan, manakala Tailor (sut Gavin, Chef Wan dan Chef Riz yang dipakai semasa majlis persandingan).

Serina dan Gavin akan bernikah pada 1 Januari ini di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mas kahwin RM1,000.

Pihak perempuan akan menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran sebanyak RM30,000 manakala pihak lelaki akan dibalas dengan sembilan dulang hantaran.

Serina Berseri Bagaikan Puteri Di Majlis Merisik Dan Bertunang

Wajah Serina berseri-seri di pelamin majlis bertunangnya. -foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH

SERI wajah pengantin anak Chef Wan, Serina Redzuawan jelas terpancar di saat-saat akhir sebelum bergelar pengantin esok hari.

Dengan gaya lemah-lembut dan penuh sopan-santun, tidak sangka aktres jelita yang didandan bak puteri itu adalah Serina yang terkenal dengan gaya lasak dan selambanya.

Keayuan anak gadis tunggal chef selebriti itu dengan baju kebaya moden tona merah jambu muda rekaan Ashley membuatkan ramai mata yang tertumpu kepadanya saat dipanggil dalam majlis merisik dan bertunang yang telah disempurnakan pada tengahari tadi di The Royale Chulan.

Pelamin indah yang dihias dengan beberapa buah pasu bunga orkid berwarna putih, krim dan merah jambu lebih menampakkan kelainan dalam majlis yang bertemakan ‘taman orkid mini Serina’ itu.

Ibu Gavin, Christine O'luanaigh menyarungkan cincin kepada Serina sambil diperhatikan oleh Chef Wan dan bekas isterinya.

Menurut perunding majlis itu, Kem Salleh dari Kapas Couture, kira-kira 100 pasu orkid berwarna putih, krim dan merah jambu yang ditempah dari Johor dan Belanda.

Dalam majlis merisik yang penuh istiadat Melayu itu, Serina dengan sekelip mata saja sudah bergelar tunangan jejaka Irish berasal dari London, England, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar.

Majlis merisik itu diserikan dengan sesi berbalas pantun yang menceriakan lagi majlis itu.

Bakal pengantin perempuan diwakili oleh datuknya, Ismail Mohd Nor manakala pasangannya diwakili oleh Rahim Hashim.

Antara perkara yang mencuit hati, apabila datuk kepada Serina iaitu Ismail Mohd Nor membuka mulut.

“Zaman sekarang, kita kena tanya, tengok dan teliti dahulu apa yang patut kerana tidak mahu menyesal di kemudian hari,” ujar Ismail yang dalam riak bersahaja meminta kebenaran untuk melihat cincin pertunangan Serina yang diberikan oleh Gavin.

Dalam nada bergurau, Ismail berkata, “Saya nak tengok cincin dahulu sama ada berlian atau tidak..”

Hasil perbincangan kedua-dua belah pihak, akhirnya pihak pengantin perempuan menetapkan wang hantaran sebanyak RM30,000, sebentuk cincin serba satu.

Selesai sudah kedua-dua majlis yang turut mendapat liputan dari Asian Food Channel (AFC) itu, kedua-dua belah pihak bertukar dulang-dulang hantaran sebagai tanda Serina dan Gavin telah selamat bertunang.

Liputan lima resepsi perkahwinan Serina termasuk majlis berinai kecil, akad nikah, berinai besar dan persandingan akan disiarkan menerusi rancangan The Making of Chef Wan’s Daughters Wedding di AFC pada Februari depan.

Serina menerima lima dulang hantaran berupa kek cawan, persalinan sutera Thai, tepak sirih, cincin solitaire jenama Tiffany & Co., set wangian dan membalas Gavin dengan tujuh hantaran iaitu kek, tepak sirih, persalinan songket, set wangian, bunga rampai dan halwa betik.

Seramai hampir 200 tetamu yang hadir dalam majlis itu termasuk ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sanak saudara dan rakan-rakan terdekat Chef Wan seperti Chef Florence Tan, Chef Zaidah dan Chef Liza.

Kira-kira 10 orang ahli keluarga Gavin yang terdiri dari ibu dan bapa Gavin iaitu Brian O'luanaigh dan Christine O'luanaigh diterbangkan dari London, England untuk menyaksikan majlis merisik dan bertunang mengikut adat budaya Melayu.

Chef Wan berkata dia juga sempat menjemput 50 orang rakannya dari Paris, Islamabad, London, Sweden dan Amerika Syarikat.

Chef Wan berkata, dia sepatutnya menjemput 200 tetamu namun disebabkan terikat dengan penggambaran bersama AFC, jadi dia tidak sempat menghubungi semua tetamu termasuk saudara-maranya.

Sementara itu, Chef Wan mengesahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan merupakan antara VIP yang dijemput untuk majlis persandingan Serina dan Gavin pada 2 Januari ini.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat menjemput semua orang. Jadi, saya berharap sesiapa yang tidak dijemput dalam majlis perkahwinan Serina di Kuala Lumpur dapat hadir semasa majlis persandingan Serina di Sungai Koyan, Pahang pada hujung Januari ini atau awal Februari depan.

Selain Kem dari Kapas Couture, tiga perunding perkahwinan Serina termasuk Datuk Faridah Hashim, Datuk Linda Rahim dan Mahathir dari Butik Pengantin Nasha, Ipoh.

Dec 30, 2009

Nora Danish Akui Bukan Mudah Bawa Status Janda

STIGMA terhadap janda sudah lama berlaku. Entah kenapa sejak dari dahulu hingga sekarang, janda sering sahaja dikaitkan dengan cerita-cerita yang kurang enak didengar.

Kontroversi dunia hiburan tidak sah jika tidak terpalit kisah janda daripada aktres jelita Rozita Che Wan, Natasha Hudson hingga ke Nora Danish bagaikan ada sahaja yang boleh dijadikan isu sensasi.

Pelakon yang sinonim dengan watak Puteri, Nora Danish mengakui bahawa bukan mudah membawa status janda kerana banyak mata-mata yang memerhati setiap tingkah laku mereka.

"Saya sedar segelintir masyarakat memandang negatif kepada status janda ini, tidak boleh berpakaian seksi, keluar dengan lelaki, pergi clubbing dan sebagainya.

"Mereka jangka apabila berstatus janda kami perlu jadi lebih baik dan ‘suci’ dan alim sedangkan kami hanya manusia biasa, sama sahaja dengan perempuan lain yang belum berkahwin," kata bekas isteri Rizal Ashram.

Jelas Nora lagi, "Mereka sering melabel janda sebagai perempuan yang jahat dan perampas. Seharusnya mereka lebih kasihan sebab kami mangsa keadaan dan hormat kepada golongan janda," ujar Nora yang ingin mengikis persepsi buruk masyarakat terhadap golongan janda.

Dia turut mengakui bahawa tidak semua janda berperangai buruk seperti yang digembar-gemburkan. Malah kata Nora, ada juga perempuan yang belum berkahwin berperangai lebih teruk dari itu.

Nora juga tidak setuju dengan segelintir artis yang melibatkan anak-anak dalam kontroversi rumah tangga selepas berlaku penceraian.

"Saya sudah bagi tahu Jejai (Rizal Ashram) awal-awal, jika berlaku apa-apa kontroversi selepas bercerai jangan sekali-kali melibatkan anak. Saya tidak mahu anak menjadi mangsa keadaan," ujar ibu kepada Putera Raiqal Ramli.

Dalam pada itu juga Nora mengakui bahawa hatinya masih lagi terasa sakit tentang perkara-perkara yang dilalui dahulu walaupun sudah memaafkan.

"Saya tidak berdendam dengan siapa-siapa malah sudahpun memaafkan segalanya namun hati saya masih lagi tidak boleh melupakan perkara-perkara yang pernah berlaku," keluh Nora yang bakal mengacarakan program I-Glam di TV9 Januari depan.

Dia berharap tahun 2010 yang bakal menjelma akan memberi kehidupan baru yang lebih bermakna buat diri dan anaknya.

Dec 27, 2009

Zamzarina Tiada Hak Penjagaan, Tidak Boleh Pindah Sekolah Anak

PETALING JAYA: Pengacara rancangan Apa Kata Wanita terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zamzarina Zambri, 36, tidak berhak memindahkan anak-anaknya ke sekolah lain sebelum mendapatkan hak penjagaan daripada mahkamah.

Bekas suami, Adnan Derahman, 37, memberitahu bahawa Zamzarina telah mengisi borang hak penjagaan menggunakan butiran palsu kepada pihak sekolah bagi membolehkannya melakukan pemindahan ketiga-tiga anak mereka iaitu Adriana, 14, Adam, 10 dan Alif, 7.

"Pihak sekolah tidak benarkan untuk memindahkan anak-anak ke sekolah lain selagi mahkamah belum menentukan hak penjagaan.

"Tapi pada 23 Disember lalu, dia telah ambil kesempatan semasa saya berada di luar negara untuk mengisi borang hak penjagaan dan membuat pengakuan palsu bahawa saya tidak tidak dapat dihubungi.

"Dia faham akan perkara ini, dia tidak perlu buat dengan cara menipu untuk ambil anak-anak. Saya tidak mahu mereka dipindahkan memandangkan Adraina bakal mengambil PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan bimbang pembelajaranya terganggu," ujar Adnan kepada mStar Online di sini semalam.

Tambah Adnan, selepas berpisah dua tahun lepas dia dan Zamzarina bergilir-gilir menjaga anak-anak mereka.

"Pagi tadi (semalam) saya ambil anak-anak di rumah barunya di ibu negara, dan pulangkan pada jam 6 petang tadi.

"Selama ini memang tiada masalah sebab dia juga tinggal di Shah Alam tapi sejak berpindah ke Kuala Lumpur dia bawa sekali mereka dan pindahkan luar pengetahuan saya.

"Apa yang penting adalah adab untuk ambil anak-anak, saya boleh bagi kerjasama dengan baik kalau dia boleh bertolak-ansur," kata Adnan yang selama ini bertanggungjawab menjaga anak-anaknya.

Ekoran itu menurut Adnan, dia dalam proses menfailkan saman terhadap Zamzarina dalam masa terdekat ini.

"Tengoklah dalam masa terdekat ini saya akan failkan saman atas beberapa sebab tertentu dan saya akan berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut," katanya.

Terdahulu, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 30 November setelah Zamzarina didakwa membawa keluar Adraina, Adam dan Alif dari rumah Adnan dan laporan kedua di Seksyen 6 pada 23 Disember kerana cubaan menukar ketiga-tiga anaknya itu ke sekolah lain.

Dalam pada itu, usaha untuk menghubungi personaliti RTM itu gagal, namun melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar, dia tidak mahu memberi sebarang komen atas nasihat peguamnya.

Menurut Zamzarina tiada isu yang perlu dibangkitkan tentang perkara ini dan anak-anak masih lagi berjumpa bekas suaminya.

Semalam, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata daripada aspek perundangan syarie, Zamzarina tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana mahkamah sendiri belum memutuskan siapa yang ada hak di atas penjagaan anak-anak mereka.

Namun begitu mereka disarankan untuk mengemukakan tuntutan penjagaan anak ke mahkamah bagi menyelesaikan kemelut ini.

Dec 25, 2009

Seri Bayu Beri Syarat Lepaskan Erema

JANDA atau tidak, sehingga hari ini penyanyi Erema masih lagi menantikan status itu setelah 'digantung tak bertali' sejak setahun lalu.

Namun begitu, bukan mudah dia mencapai keinginannya itu kerana pemilik nama Dayang Zaira Erema Awang Moshdad ini perlu melepasi beberapa syarat yang dikenakan oleh suaminya, penulis lirik Seri Bayu.

Setahun lalu, Seri Bayu, 41, berkata dia enggan melepaskan isterinya atas alasan masih sayangkan wanita berusia 26 tahun itu dan mahu dia ‘pulang ke pangkal jalan’.

Kali ini, mungkin dia sudah berlembut hati untuk melepaskan isteri yang dinikahinya tiga tahun lalu.

“Saya boleh lepaskan dia dengan syarat dia perlu meminta maaf daripada saya kerana dia sudah banyak mengaibkan dan menampar saya,” katanya yang sukar bertutur dengan jelas.

Ini kerana pada 25 November 2008, Seri Bayu mendakwa dia dikasari dan dibiarkan di dalam tandas lebih dua jam oleh Erema.

Sukarkah Erema untuk memohon maaf daripada insan yang sedang menderita penyakit saraf ini?

Jika sudah memohon maaf sekalipun, Seri Bayu atau Jamaludin Sulik berkata, tidak semudah itu untuk dia melepaskan Erema.

Kata Seri Bayu yang tinggal bersama keluarga angkatnya, ‘Selepas memohon maaf, ada syarat lain yang dia perlu lakukan..’.

Tiga hari lalu, kes cerai fasakh yang dituntut oleh Erema terhadap Seri Bayu mula dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.

Dalam perbicaraan itu, mahkamah ada membenarkan Seri Bayu meminta Maybank cawangan Sungai Besi untuk mengeluarkan penyata bank mulai Januari 2007 sehingga Disember 2008 milik isterinya itu.

Erema didakwa telah memasukkan wang royalti lagu ciptaan Seri Bayu ke dalam akaun miliknya.

Namun begitu, penyanyi lagu Pelita Di bawah Purnama itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia telah memasukkan royalti Seri Bayu yang dianggarkan tidak melebihi RM8,000 itu ke dalam akaun EON Bank milik suaminya.

Perselisihan fakta antara kedua-duanya menimbulkan tanda tanya. Seri Bayu juga berkata di luar mahkamah bahawa kebanyakan jawapan yang diberikan oleh Erema dalam mahkamah adalah tidak benar.

“Sebenarnya royalti yang saya terima sangat banyak dan melebihi daripada RM8,000. Banyak juga duit saya yang masuk dalam akaun Erema,” ujarnya ringkas sambil duduk di atas kerusi rodanya.

Seri Bayu juga menafikan mereka mempunyai dua buah rumah iaitu di Puncak Jaya dan Danau Murni ketika masih tinggal bersama seperti yang didakwa oleh Erema.

Masalah rumah tangga mereka mula timbul apabila Erema dikatakan curang terhadap suaminya dan mahu menghantar suaminya ke rumah kebajikan apabila mereka bercerai nanti.

Namun, Erema menafikan dakwaan itu lantas mengaku inginkan perpisahan kerana sudah tiada kasih sayang kepada suaminya melainkan rasa simpati.

Baru-baru ini, Erema juga memberitahu mahkamah yang dia ingin bercerai kerana suaminya tidak memberikan nafkah zahir dan batin, memberikan tekanan emosi terhadapnya dan tiada persefahaman dengan suaminya lagi sejak 2007.

Hakim Syarie Ghazalie Ahmad memutuskan perbicaraan kes cerai fasakh ini ditangguhkan pada 1 Mac depan di mahkamah yang sama.

Erema memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 pada awal Disember tahun lalu.

Pasangan ini bernikah pada 19 Disember 2006 ketika Seri Bayu menderita penyakit saraf.

Chef Wan-Serina Bertegang Leher Pasal Jemputan Kahwin

Chef Wan lebih stres dengan tetamu jemputan yang bakal hadir ke majlis-majlis itu sehingga bertegang leher dengan anak gadis tunggalnya itu.

JIKA anaknya, Serina stres memikirkan enam resepsi perkahwinan yang akan dilakukan pada awal Januari ini, Chef Wan merasai dua kali ganda daripada itu.

Chef selebriti terkenal ini berkata dia lebih stres dengan tetamu jemputan yang bakal hadir ke majlis-majlis itu sehingga bertegang leher dengan anak gadis tunggalnya itu.

“Saya risau pasal tetamu sebab pada saat-saat akhir Serina memberitahu hendak mengajak ramai kawan-kawannya dalam 150 orang.

“Bukan apa, saya dah tetapkan senarai tetamu yang akan datang ke majlis perkahwinan Serina nanti.

“Keluarga dan saudara mara saya sudah ramai…itu belum kira dengan 150 orang kawan saya dari luar negara dan beberapa tetamu VIP.

Chef Wan disamping Serina bakal menantu, Gavin; anak lelaki, Chef Riz dan bekas isteri, Norhayati.

“Setakat ini tetamu VIP yang akan datang adalah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi,” kata Chef Wan ketika sesi fitting baju untuk dipakai semasa majlis persandingan Serina dan bakal menantunya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar.

Sehubungan itu, Chef Wan berkata dia akan membuat satu majlis keraian mempelai di Sungai Koyan, Pahang bagi meraikan orang kampung yang tidak dapat hadir ke majlis di Kuala Lumpur pada hujung Januari nanti.

“Saya akan membuat sebuah majlis resepsi secara besar-besaran untuk orang-orang kampung dan sesiapa yang tidak dijemput dalam majlis di Kuala Lumpur,” ujar pelakon dan pengacara ini.

Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail berkata dia mengambil masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lima resepsi penting di Kuala Lumpur iaitu majlis merisik, bertunang, berinai kecil, akad nikah, berinai besar dan persandingan pada 31 Disember, 1 Januari dan 2 Januari ini.

“Saya stres juga apabila fikirkan tentang persiapan perkahwinan Serina seperti hiasan, makanan dan banyak lagi.

“Semuanya tak boleh dibuat cincai dan perlu memenuhi tujuh darah keturunan yang diwarisi oleh keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang berdarah Jawa, Cina dan Jepun sementara bekas isterinya, Norhayati berketurunan Pakistan.

Sementara bakal menantunya yang merupakan Pengarah Eksekutif Football Focus Sdn Bhd itu berketurunan Irish dari England.

Ditanya mengenai jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Chef Selebriti Terbaik Dunia di World Gourmand Cookbook and Media Awards 2009 ini, dia bagaimanapun tidak mahu menghebahnya.

“Saya banyak juga mengeluarkan wang tapi alhamdulillah, saya mendapat diskaun daripada kawan-kawan untuk menghasilkan majlis yang sederhana ini.

“Bukan senang untuk mendapatkan pereka-pereka pakaian dan pelamin yang berbakat besar,” kata lelaki berusia 52 tahun ini.

Chef Wan juga berkata, dia tidak akan membiarkan majlis Serina sewenang-wenangnya mewah dengan tajaan.

Walaupun begitu, dia ada menerima tajaan dari Euromoda untuk baju Melayu dan baju kebaya bagi majlis pertunangan, nikah dan persandingan; barang kemas Habib Jewels untuk digayakan oleh Serina sepanjang resepsi-resepsi itu termasuk Lord’s Tailor (sut Gavin, Chef Wan dan Chef Riz yang dipakai semasa majlis persandingan).

“Sebab itu saya menolak apabila pereka Jovian Mandagie hendak sponsor baju pengantin berjumlah setengah juta ringgit.

“Saya juga menolak hak eksklusif daripada stesen televisyen seperti Astro yang berminat untuk menyiarkan majlis perkahwinan Serina.

“Tetapi rancangan Wanita Hari Ini akan menyiarkan secara langsung untuk majlis pernikahan dari Masjid Wilayah Persekutuan,” ujarnya yang bercakap dengan pantas seperti keretapi ekspres.

Ramai yang menjangkakan majlis perkahwinan Serina dan Gavin bakal dinobatkan sebagai wedding of the year.

Namun, bapa kepada Chef Nazri ini juga tidak pernah memikirkan tentang gelaran itu asalkan majlis itu dilangsungkan dengan jayanya.

“Saya hanya buat yang terbaik untuk anak saya dan keluarga saya yang besar. Jadi saya tidak tahu sama ada majlis perkahwinan Serina ini akan menjadi wedding of the year atau tidak,” ulasnya.

Serina dan Gavin akan bernikah pada 1 Januari ini di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mas kahwin RM1,000.

Pihak perempuan akan menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran sebanyak RM30,000 manakala pihak lelaki akan dibalas dengan sembilan dulang hantaran.

Bekas suami Lydiawati kena notis tunjuk sebab


Lydiawati ditemani Nuranisah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam membenarkan permohonan pelakon Lydiawati agar notis tunjuk sebab dikeluarkan terhadap bekas suaminya, Azhar Mohd. Zar yang didakwa gagal memulangkan barangan perkahwinan serta membayar nafkah idah dan mutaah yang kesemuanya berjumlah RM103,000.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad.

Dalam permohonan secara exparte (sebelah pihak), Lydiawati atau nama sebenarnya Zalina Zaimon, 44, mendakwa Azhar, 34, telah gagal menjelaskan nafkah idah serta mutaah berjumlah RM30,000 dan tunggakan nafkah sebanyak RM6,000.

Ahli perniagaan itu juga dikatakan gagal memulangkan barangan perkahwinan yang nilai kesemuanya berjumlah RM67,000 sebagaimana diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada 5 Mei lalu.

Dakwa pelakon utama filem Suami, Isteri dan... itu lagi, kegagalan Azhar untuk mematuhi perintah tersebut menunjukkan responden telah secara berterusan menganiaya dirinya daripada mendapatkan hak di sisi hukum syarak dan undang-undang.

Dapatkan berita selanjutnya dalam akhbar Kosmo!.

Dec 21, 2009

33 pasangan kahwin serentak


MERIAH. Seramai 33 pasangan pengantin baru bergambar kenangan selepas majlis Pernikahan Beramai-ramai Peringkat Negeri Johor di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Sebanyak 33 pasangan pengantin baru diraikan pada majlis Pernikahan Beramai-ramai Peringkat Negeri Johor 2009 di Pusat Islam Iskandar di sini semalam.

Majlis anjuran Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) itu merupakan salah satu program bersempena sambutan Maal Hijrah 1431.

Pengarah JAIJ, A. Rahman Jaffar berkata, majlis tersebut adalah untuk membantu memudahkan urusan dan mengurangkan kos perkahwinan.

"Selain itu, program ini diharap dapat mengeratkan silaturahim di antara keluarga pasangan.

"Ini merupakan tahun kedua penganjuran seumpama ini dilakukan dan kami bercadang untuk jadikan program tahunan," katanya.

Menurut A. Rahman, daripada jumlah keseluruhan pasangan tersebut, 13 daripadanya merupakan masyarakat Orang Asli dan saudara baru.

Dec 12, 2009

Sekali Lafaz, Aien Kembar Ekin Kini Bergelar Datin

Aien kini bergelar isteri kepada seorang Datuk. -foto The Star

SHAH ALAM: Dengan sekali lafaz, kembar Ekin, pelakon Aien atau Nora'Ain Rahmat, 30, kini selamat bergelar 'Datin' sebagai isteri kepada Datuk Arif Ambrose Leonard Ng.

Datuk Arif Ambrose, 41, seorang ahli perniagaan keturunan Cina, dan Aien, selamat diijabkabulkan pada pukul 12.30 tengah hari tadi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Pasangan mempelai bergambar dengan keluarga pengantin perempuan.

Kedua mempelai dinikahkan oleh Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Rujuk dari Pejabat Agama Daerah Petaling, Muhamad Sujak Mohd Dasuki berwalikan bapa Aien, Rahmat Mohamad, 50.

Pengantin perempuan menerima wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya, mas kahwin RM300 beserta sembilan hantaran daripada pengantin lelaki seperti alat solek, sirih junjung, al-Quran, kek dan tas tangan.

Sementara Aien membalas 11 dulang hantaran kepada Arif. Antaranya adalah persalinan, al-Quran, coklat, set minyak wangi dan telefon bimbit.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan lega kerana semuanya berjalan dengan lancar. Tetapi saya berasa agak terkilan apabila berlaku sedikit kekecohan tadi," luah Aien selepas selamat diijabkabulkan.

Difahamkan, semasa majlis nikah sedang berlangsung, sedikit kekecohan berlaku apabila terdapat beberapa rakan media yang dihalang daripada memasuki ruang nikah dalam masjid itu.

Namun, setelah wartawan dan jurugambar menunggu seketika sebelum berbincang dengan pihak keluarga pengantin perempuan, barulah keadaan beransur pulih.

Aien juga menjelaskan sebab dia memilih Shah Alam sebagai lokasi pernikahan.

"Shah Alam merupakan lokasi yang strategik kerana ia berada di tengah-tengah antara tempat tinggal saya dan suami," ulasnya yang belum merancang destinasi bulan madu mereka.

Pelakon drama bersiri Kawan ini berkata dia memilih Arif kerana lelaki itu seorang yang kelakar, memahami dan menyintai Islam melebihi dirinya.

Majlis tersebut dihadiri oleh keluarga mempelai perempuan, saudara-mara dan kawan-kawan terdekat.

Namun, abang ipar Aien, Mawi tidak kelihatan di majlis itu kerana mempunyai urusan kerja bersama Marrybrown di Pulau Pinang.

Arif merupakan seorang duda beranak tiga dan memeluk Islam sejak Jun lalu.

Pasangan ini tidak pernah bertunang dan akan melangsungkan majlis resepsi pada tahun hadapan.

Dec 4, 2009

Kes cerai Mamat Exist tangguh


MARSHILA


KUALA LUMPUR - Isteri penyanyi Mamat Exist mengakui kehadiran orang ketiga menjadi salah satu punca keretakan rumah tangga mereka sehingga perkataan cerai terkeluar daripada mulut artis berkenaan pada 28 Oktober lalu.

Marshila Mustapa, 29, yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam mendakwa, Mamat atau nama sebenarnya Mohd. Ali Kamarudin, 31, yang popular dengan lagu Untukmu Ibu menceraikannya dengan talak satu di rumah mereka dengan disaksikan tiga orang anak mereka.

Hakim Syarie, Mohd. Suhaily Rosdi bagaimanapun terpaksa menangguhkan kes tersebut kepada 24 Februari 2010 setelah penyanyi itu tidak hadir.

Terdahulu, Marshila yang tidak diwakili peguam berkata, dia telah menghubungi Mamat dan memaklumkan mengenai sebutan kes tersebut pagi semalam namun diberitahu tidak dapat hadir.

"Kehadiran defendan penting bagi mengesahkan berlakunya lafaz cerai seperti yang didakwa plaintif (Marshila)," katanya.

Norman Gagal Tunjuk Kad Pengenalan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gobambak Timur diberitahu hari ini bahawa pelakon Norman Hakim gagal menunjukan kad pengenalan diri ketika diminta berbuat demikian sewaktu serbuan dibuat.

Pegawai Penguatkuasa Agama, Kyairol Nizam Khairuddin yang tampil memberi keterangan kali kedua dalam prosiding khalwat Norman dan pelakon baru, Memey Suhaiza, berkata, keadaan sewaktu serbuan dibuat adalah mencurigakan apabila dompet dan kad pengenalan Norman berada di tingkat bawah (iaitu di bilik Memey).

Norman Hakim atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 33, dan Memey atau nama sebenamya Suhaiza Suhaimi, 21, masing-masing dituduh melakukan kesalahan berkhalwat di pejabat beralamat di 4-1A Jalan UP1/2 Taman Ukay Perdana, jam 3 pagi pada 30 Oktober 2008.

Dalam prosiding hari ini, peguam bela yang mewakili kedua-dua tertuduh, Fakhrul Azman Abu Hassan mempersoalkan pertuduhan ke atas pasangan Norman-Memey.

Norman dan Memey berjalan keluar meninggalkan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur. Prosiding khalwat mereka bersambung 15 Januari 2010.

Bagaimanapun, Fakhrul ketika menolak kenyataan saksi berkata bahawa kad pengenalan bukanlah satu bukti atau perkara yang tertulis di bawah seksyen 29 (a), yang boleh menuduh suspek atas tuduhan khalwat. Fakhrul: Setuju atau tidak saya katakan, apa yang perlu dibuktikan di mana IC (kad pengenalan) itu berada bukanlah ramuan dibawah 29 (a).

Kyairol: Tidak setuju.

Fakhrul: Awak mengesyaki seolah-olah suspek lelaki berada di bawah?

Kyairol: Ya.

Fakhrul: Adakah hanya berdasarkan syak wasangka atau didapati lelaki dan perempuan berada bersama, perasaan syak wasangka tidak boleh dibuktikan. Adakah "tuduh" atau "didapati" maksud yang sama?

Kyairol: Beza

Fakhrul: Dalam laporan awak, apa yang dinyatakan adalah tidak tepat.

Fakhrul memberitahu mahkamah bahawa Kyairol hanya "mengesyaki" dan bukan "mendapati" mereka berkhalwat.

Selain itu Fakhrul turut mendakwa laporan polis yang dibuat oleh Kyairol mengelirukan seolah-olah mereka (suspek) berada di alamat yang sama iaitu di 4-1A Jalan UP1/2 Taman Ukay Perdana, sedangkan Norman berada di tingkat atas dan alamat yang berlainan.

Fakhrol: Setuju atau tidak saya katakan, oleh kerana kesilapan awak telah menyebabkan pendakwa melakukan pertuduhan.

Kyairol: Tidak.

Fakhrul: Setuju atau tidak, awak tidak menyatakan alamat di tingkat atas dan saya katakan laporan polis awak tidak benar.

Kyairol: Setuju.

Fakhrul memberitahu mahkamah, laporan polis yang dibuat adalah sekadar berdasarkan syak wasangka bukan bukti yang ditemui.

Prosiding kes ini bersambung pada 15 Januari 2010.

Norman ketika ditemui wartawan di luar mahkamah memberitahu bahawa perbincangan belum selesai dan mereka tidak boleh memberi apa-apa kenyataan tentang perjalanan perbicaraan ini.

"Saya ikut prosedur mahkamah dan sentiasa memberikan kerjasama yang baik. Setakat ini saya tidak dibenarkan menceritakan kepada umum. Itu yang paling baik.

"Ini merupakan satu pengalaman baru bagi saya, saya perlu berhadapan dengan situasi ini. Memandangkan kami artis, saya sentiasa bersedia dan berfikiran positif," katanya yang berkot coklat dan bersongkok.

Sementara itu, Memey yang bertudung merah jambu memberitahu dia sentiasa bersedia menerima apa juga prosedur yang telah ditetapkan.

"Siapa juga yang berada di tempat saya pasti tidak berasa selesa dengan keadaan seperti ini, saya hanya berfikiran positif dan melaluinya dengan redha," ujar Memey yang kelihatan tenang.

Bagi kesalahan itu, mereka mendakwa di bawah Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No.9 Tahun 1995, bagi Norman Hakim sementara Memey didakwa mengikut Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor No 9 Tahun 1995.

Jika sabit kesalahan, Memey dan Norman Hakim boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dec 2, 2009

Lambat: Waran tangkap Radhi OAG dilanjutkan

"aziha@kosmo.com.my"
RADHI (kiri) dan SHAZLIN.


PETALING JAYA – Malang menimpa vokalis kumpulan OAG, Mohd. Radhi Razali apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam melanjutkan waran tangkap terhadap penyanyi itu berikutan terlewat lima minit bagi prosiding permohonan pengesahan lafaz cerai talak tiga oleh isterinya.

Hakim Syarie, Ghazali Ahmad membenarkan permohonan peguam syarie, Rubiah Jaafar yang mewakili Shazlin Shariff (gambar kecil) supaya melanjutkan waran tangkap kerana mereka enggan menunggu Radhi yang dikatakan masih dalam perjalanan ke mahkamah.

Ghazali kemudian membenarkan permohonan tersebut dan menangguhkan kes pada 18 Januari depan.

Shazlin, 30, yang hadir bersama kakaknya enggan melayani pertanyaan media dan hanya berkata, “ Dia (Radhi) tak datang,” sambil terus masuk ke dalam kereta dan beredar.

Bagaimanapun, selang lima minit kemudian, media dikejutkan dengan kehadiran Radhi dalam keadaan tidak terurus, berpakaian santai dan membawa songkok.

Pelakon filem Antoo Fighter itu yang kelihatan terpinga-pinga mendakwa tersekat dalam kesesakan kerana rumahnya di Kota Damansara jauh dari mahkamah selain baru pulang dari studio pada pukul 7 pagi bagi menyiapkan rakaman album baru.