SERI wajah pengantin anak Chef Wan, Serina Redzuawan jelas terpancar di saat-saat akhir sebelum bergelar pengantin esok hari.
Dengan gaya lemah-lembut dan penuh sopan-santun, tidak sangka aktres jelita yang didandan bak puteri itu adalah Serina yang terkenal dengan gaya lasak dan selambanya.
Keayuan anak gadis tunggal chef selebriti itu dengan baju kebaya moden tona merah jambu muda rekaan Ashley membuatkan ramai mata yang tertumpu kepadanya saat dipanggil dalam majlis merisik dan bertunang yang telah disempurnakan pada tengahari tadi di The Royale Chulan.
Pelamin indah yang dihias dengan beberapa buah pasu bunga orkid berwarna putih, krim dan merah jambu lebih menampakkan kelainan dalam majlis yang bertemakan ‘taman orkid mini Serina’ itu.
Menurut perunding majlis itu, Kem Salleh dari Kapas Couture, kira-kira 100 pasu orkid berwarna putih, krim dan merah jambu yang ditempah dari Johor dan Belanda.
Dalam majlis merisik yang penuh istiadat Melayu itu, Serina dengan sekelip mata saja sudah bergelar tunangan jejaka Irish berasal dari London, England, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar.
Majlis merisik itu diserikan dengan sesi berbalas pantun yang menceriakan lagi majlis itu.
Bakal pengantin perempuan diwakili oleh datuknya, Ismail Mohd Nor manakala pasangannya diwakili oleh Rahim Hashim.
Antara perkara yang mencuit hati, apabila datuk kepada Serina iaitu Ismail Mohd Nor membuka mulut.
“Zaman sekarang, kita kena tanya, tengok dan teliti dahulu apa yang patut kerana tidak mahu menyesal di kemudian hari,” ujar Ismail yang dalam riak bersahaja meminta kebenaran untuk melihat cincin pertunangan Serina yang diberikan oleh Gavin.
Dalam nada bergurau, Ismail berkata, “Saya nak tengok cincin dahulu sama ada berlian atau tidak..”
Hasil perbincangan kedua-dua belah pihak, akhirnya pihak pengantin perempuan menetapkan wang hantaran sebanyak RM30,000, sebentuk cincin serba satu.
Selesai sudah kedua-dua majlis yang turut mendapat liputan dari Asian Food Channel (AFC) itu, kedua-dua belah pihak bertukar dulang-dulang hantaran sebagai tanda Serina dan Gavin telah selamat bertunang.
Liputan lima resepsi perkahwinan Serina termasuk majlis berinai kecil, akad nikah, berinai besar dan persandingan akan disiarkan menerusi rancangan The Making of Chef Wan’s Daughters Wedding di AFC pada Februari depan.
Serina menerima lima dulang hantaran berupa kek cawan, persalinan sutera Thai, tepak sirih, cincin solitaire jenama Tiffany & Co., set wangian dan membalas Gavin dengan tujuh hantaran iaitu kek, tepak sirih, persalinan songket, set wangian, bunga rampai dan halwa betik.
Seramai hampir 200 tetamu yang hadir dalam majlis itu termasuk ahli keluarga kedua-dua belah pihak, sanak saudara dan rakan-rakan terdekat Chef Wan seperti Chef Florence Tan, Chef Zaidah dan Chef Liza.
Kira-kira 10 orang ahli keluarga Gavin yang terdiri dari ibu dan bapa Gavin iaitu Brian O'luanaigh dan Christine O'luanaigh diterbangkan dari London, England untuk menyaksikan majlis merisik dan bertunang mengikut adat budaya Melayu.
Chef Wan berkata dia juga sempat menjemput 50 orang rakannya dari Paris, Islamabad, London, Sweden dan Amerika Syarikat.
Chef Wan berkata, dia sepatutnya menjemput 200 tetamu namun disebabkan terikat dengan penggambaran bersama AFC, jadi dia tidak sempat menghubungi semua tetamu termasuk saudara-maranya.
Sementara itu, Chef Wan mengesahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan merupakan antara VIP yang dijemput untuk majlis persandingan Serina dan Gavin pada 2 Januari ini.
“Saya minta maaf kerana tidak dapat menjemput semua orang. Jadi, saya berharap sesiapa yang tidak dijemput dalam majlis perkahwinan Serina di Kuala Lumpur dapat hadir semasa majlis persandingan Serina di Sungai Koyan, Pahang pada hujung Januari ini atau awal Februari depan.
Selain Kem dari Kapas Couture, tiga perunding perkahwinan Serina termasuk Datuk Faridah Hashim, Datuk Linda Rahim dan Mahathir dari Butik Pengantin Nasha, Ipoh.
No comments:
Post a Comment