Dec 13, 2008

Kenduri kahwin dalam hutan

Yang menjadikan mereka unik adalah pilihan lokasi untuk mengadakan ‘kenduri kahwin’ khas untuk rakan-rakan penggemar aktiviti 4x4 sekali gus berbulan madu di dalam hutan.




TARIKH 3 Oktober 2008 pasti akan kekal dalam memori Mohd Ghazali Onn dan Nur Arfah Mohd Sharif sehingga ke hujung nyawa.

Tanggal tarikh keramat itu, pasangan kekasih yang berasal dari kampung yang sama, Felda Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang, selamat diijabkabul sekali gus menjadi suami isteri yang kini bahagia melayari bahtera rumah tangga.

Apa uniknya pasangan ini? Mungkin majlis perkahwinan mereka biasa sahaja seperti mana yang pernah diadakan di rumah-rumah kenduri kahwin di kampung-kampung seluruh negara.

Namun yang menjadikan mereka unik adalah pilihan lokasi untuk mengadakan 'kenduri kahwin' khas untuk rakan-rakan penggemar aktiviti 4x4 sekali gus berbulan madu di dalam hutan.

Jika kebanyakan pengantin baru lebih gemar memilih pantai-pantai peranginan yang cantik di dalam mahupun luar negara, umpamanya pantai Cherating di Pahang atau pulau Langkawi di Kedah manakala Bali di Indonesia atau pulau Phuket, Thailand yang kerap dirujuk sebagai destinasi pengantin baru, lain pula halnya dengan Mohd Ghazali, 28, yang lebih mesra dipanggil Zali dan pasangannya, Nur Arfah, 21, atau Effa.

Mahukan suatu kelainan yang akan dikenang sepanjang hayat, pasangan yang sama cantik dan sama padan ini sepakat untuk menghayati keindahan hutan hujan tropika yang berusia jutaan tahun di tapak perkhemahan Ulu Salan, Jerantut, Pahang.


BERGAMBAR bersama Toyota Land Cruiser yang dipandu Zali untuk memenuhi minatnya dalam aktiviti memandu lasak 4x4.


Menurut Zali, tapak perkhemahan itu dipilih sebagai destinasi meraikan perkahwinan mereka kerana dia mahu memberi peluang kepada isteri tersayang merasai pengalaman berkhemah di dalam hutan yang masih belum tercemar dan terletak pula di tepi aliran sungai yang jernih dan dingin.

"Effa tak pernah pergi off road. Jadi, saya bawa dia masuk ke hutan untuk membolehkannya menikmati keindahan alam semula jadi yang tidak terdapat di tempat lain,'' katanya kepada Kosmo!.

Tapak perkhemahan Ulu Salan terletak di tepi Sungai Salan yang mengambil masa kira-kira dua jam memandu dari pekan Jerantut, Pahang.

Untuk sampai ke sana, seseorang perlu menyewa atau memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda (4x4) kerana kira-kira lima kilometer sebelum sampai ke tapak perkhemahan itu, laluan balak yang baru dirintis semula setelah 'tidur' selama kira-kira 30 tahun perlu ditempuhi dengan berhati-hati.

Penulis yang berpeluang mengikuti ekspedisi 4x4 ini bagi mengiringi pasangan pengantin baru yang mahu mengadakan majlis memotong kek di dalam hutan turut teruja melihat keindahan alam semula jadi.

Sebanyak dua jambatan balak yang cukup memuatkan tayar 4x4 perlu dilepasi, selain dua kawasan berselut yang menyebabkan beberapa jentera berat ini tersangkut di dalam lumpur sehingga memaksa winch digunakan untuk mengeluarkan 4x4 itu dari selut tersebut.

"Sambil merasai sendiri cabaran meredah hutan dengan 4x4, saya juga mahu Effa mengenali lebih dekat rakan-rakan saya yang mempunyai minat yang sama iaitu memandu lasak dengan pacuan empat roda di dalam hutan,'' ujarnya.

Memiliki Toyota Land Cruiser terpakai yang dibeli pada harga RM30,000 dan tambahan RM20,000 dihabiskan untuk mengubah suai jentera 4x4 itu bagi melayakkannya mampu meredah laluan sukar daripada kategori mudah, sederhana dan sukar, Zali berkata, soal wang tidak menjadi masalah kepada mereka yang meminati sukan lasak ini.

"Bila dah minat, saya tak kisah berhabis ratusan atau ribuan ringgit setiap kali keluar dari hutan,'' katanya sambil meminta saya dan rakan-rakan di dalam 4x4 yang dipandunya memegang kuat tempat pemegang di sisi bumbung pintu bagi membolehkannya memecut laju merempuh kawasan berlumpur.

"Untuk mengelakkan tersangkut di dalam lumpur, ada teknik tertentu yang perlu diketahui pemandu. Jika tersilap perkiraan, mungkin boleh tersangkut lebih dalam di dalam lumpur. Bila berlaku, terpaksalah pakai winch untuk tarik keluar,'' jelasnya panjang lebar bercerita mengenai salah satu teknik yang perlu diketahui oleh setiap pemandu 4x4 yang gemar memandu lasak di dalam hutan.

Effa yang sejak tadi hanya mendengar perbualan kami mencelah dengan berkata, beliau akan berusaha memahami minat suaminya dalam aktiviti lasak memandu 4x4.


BERSAMA rakan-rakan yang meraikan pengantin baru di tapak perkhemahan Ulu Salan, Jerantut, Pahang.


Katanya, sebagai isteri, beliau tidak akan menghalang suaminya mengikuti ekspedisi dan jika berkesempatan, beliau sendiri akan menemani suami menyertai semua ekspedisi berkenaan.

Mengulas pengalaman pertama berkhemah di dalam hutan, Effa berkata:

"Seronok juga. Terasa tenang mendengar kicauan burung dan aliran sungai yang mengalir deras di bawah sana."

Bagi meraikan pasangan pengantin baru ini, pihak penganjur Middle Earth menyajikan masakan istimewa yang disediakan oleh chef Eddy dan rakan-rakan iaitu kepak ayam bermadu, salad, nasi goreng cina, koktel, potongan buah limau, epal dan tembikai segar serta jagung bakar. Selaku pengurus acara, Middle Earth turut menawarkan perkhidmatan motel dan kafe di Jerantut, khidmat penunjuk arah, khidmat pengangkutan 4x4, menyediakan latihan memandu lasak, katering di hutan, meninjau laluan baru ke lokasi tertentu di dalam hutan, perkhemahan dan pengiklanan.

*** Mereka yang berminat, bolehlah menghubungi Pengarah Urusannya, Marodzuan Abd. Ghani di talian 012-9819145 atau 03-61889990 atau faks 03-61889950 atau layari laman web http//middle.earth.angelfire.com

Dia penipu besar, saja nak simpati - Shamsul




KUALA LUMPUR - "Dia penipu besar!''
Demikian reaksi pengarah muda, Shamsul Datuk Yusof, 25, mengenai kenyataan Diana Danielle mengenai insiden pergaduhan mereka yang membawa kepada laporan polis baru-baru ini.

Kata Shamsul, apa yang diberitahu Diana kepada pihak media adalah keterlaluan dengan tujuan meraih simpati.

"Kalau betul saya tumbuk dia lima kali, mesti muka dia sudah lebam teruk,'' katanya kepada Kosmo! semalam.

Kenyataan itu adalah yang pertama dibuat Shamsul mengenai insiden pergaduhan tersebut.

"Dia ajak saya makan malam di rumah dia. Bila saya datang, saya tengok ada lelaki lain bersama dan saya tanya siapa lelaki itu, tetapi tiba-tiba dia naik angin.

"Kami mula bergaduh kecil dan masa itulah Diana minta hubungan kami diputuskan. Seperti biasa bila bergaduh, dia mula memukul muka dan mencakar-cakar badan saya.

Dec 12, 2008

Ina Naim jadi tetamu istimewa resepsi Mawi


Nordiana


KUALA LUMPUR - Bekas tunang Mawi, Nordiana Md. Naim atau Ina, 24, akan menjadi tetamu istimewa pada majlis perkahwinan penyanyi popular itu tidak lama lagi.

Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 28, dia akan menjemput Ina dan suaminya, Mohd. Suhaimi Saat bagi memeriahkan majlis resepsi pernikahan dengan Nor'Ashikin Rahmat atau Ikin di Hotel Palace of the Golden Horses pada 11 Januari depan.

"Nama dia memang ada dalam senarai. Cuma kad jemputan tu kami belum hantar lagi,'' kata Mawi yang ditemui di majlis anjuran Lord's Tailor di sini semalam.

Mawi mengakui dia tiada halangan untuk menjemput Ina memandangkan status bekas kekasihnya itu yang sudah bersuami dan mempunyai seorang anak.

"Apa yang sudah lepas itu, sudahlah. Dia sudahpun bahagia dengan kehidupan dia,'' ujar Mawi yang akan bercuti selama sebulan bermula 14 Disember ini untuk menguruskan perkahwinannya.

Mawi dan Ikin akan diijabkabulkan pada 20 Disember di Masjid Abu Bakar, Johor Bharu.

Kami bukan pasangan kekasih - Diana


SAAT mesra Diana dan Shamsul sebelum hubungan mereka retak disebabkan insiden pergaduhan pada 6 November lalu.


KUALA LUMPUR - Pelakon berdarah kacukan, Diana Danielle, 17, semalam buat pertama kalinya menafikan bahawa beliau pernah menjalin hubungan cinta dengan pengarah muda yang juga anak jutawan filem, Shamsul Datuk Yusof.

Katanya, selama ini mereka hanya 'berkawan' rapat tanpa hasrat menjalinkan hubungan serius, jauh sekali untuk mendirikan rumah tangga.

"Sebelum ini pun tidak pernah keluar daripada mulut saya sendiri yang kami ini bercinta. Saya masih muda dan saya tak fikir pun hendak kahwin dengan dia (Shamsul)," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik baru Lord's Tailor di Kuala Lumpur semalam.

Ini pertemuan pertama Diana dengan media sebaik kembali dari Jakarta selepas insiden beliau dikasari oleh Shamsul pada 6 November lalu.

Insiden itu membuatkan Diana cedera di pipi dan mendorongnya membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya.

Kenyataan Diana bahawa beliau tidak pernah berkasih dengan Shamsul diakui oleh ibunya, Norsiah Ramli yang turut berada pada majlis ini.

"Pernah ke keluar dari mulut anak saya yang mereka ini pasangan kekasih?'' tanya Norsiah.

Diana juga nekad dengan keputusannya untuk tidak menarik balik laporan polis terhadap Shamsul sekalipun ibu pengarah muda berkenaan, Datin Fatimah Ismail ada membuat rayuan.

Dec 9, 2008

Pasangan guru diijab kabul di katil hospital


HAFIZHOH mencium tangan suaminya, Mohd. Firdaus Kamaruddin selepas diijabkabulkan di Wad Ortopedik Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar semalam.


KANGAR - Hajat sepasang guru untuk melangsungkan perkahwinan secara meriah di Sungai Petani, Kedah terbantut seketika apabila pengantin lelaki, Mohd. Fir- daus Kamaruddin, 23, terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kuala Perlis kelmarin.

Bagaimanapun, hasrat mereka untuk bergelar suami isteri tercapai juga semalam apabila Mohd. Firdaus dan Hafizhoh Abu Hashim, 25, selamat diijabkabulkan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar di sini selepas waktu Zohor semalam.

Ketika ditemui pemberita di Wad Orthopedik hospital itu, Mohd. Firdaus bersyukur kerana majlis akad nikah tersebut berlangsung pada tarikh yang dijadualkan, meskipun di lokasi yang berbeza tanpa kehadiran ramai tetamu.

"Saya sedikit tersentuh kerana tidak menyangka majlis ini akan berlangsung di hospital dan tidak seperti yang dirancang," katanya yang berpakaian baju Melayu putih dan bersongkok itu.

Akad nikah yang dilakukan oleh bapa pengantin pe- rempuan, Abu Hashim Lateh berlangsung secara seder- hana di katil Wad Orthopedik HTF dan hanya disaksi- kan keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Mohd. Firdaus yang tinggal di Tanjung Bendahara, Alor Star, Kedah dan sedang bercuti sempena Aidiladha di rumah neneknya di Kuala Perlis terbabit dalam kemalangan jalan raya itu ketika hendak ke sebuah kedai berhampiran.

Beliau patah kaki kanannya apabila motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta dan terpaksa menerima rawatan di HTF.

Dec 5, 2008

Keputusan kes Najman 30 Januari depan


Norakma ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam berkaitan bantahan faraq oleh Najman.


KUALA LUMPUR - Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 30 Januari depan sebagai keputusan bantahan permohonan faraq penyampai radio terkenal, Najman atau nama sebenarnya, Najman Mohamed, 38, yang difail- kan oleh isterinya sebelum ini.

Isterinya, Norakma Azidin, 34, yang hadir di mahkamah berkenaan bagi mendengar keputu- san berhubung permohonannya tersebut terpaksa pulang selepas hakim yang sepatutnya mendengar kes itu bercuti sakit.

Permohonan faraq (pembubaran perkahwinan) yang difailkan oleh Norakma selaku plaintif dilakukan selepas mendakwa perkahwinannya dengan penyampai radio itu kira-kira setahun lalu diragui kerana tidak memenuhi hukum syarak.

Peguam syarie, Ahmad Nazib Johari yang mewakili Najman memberitahu, tarikh yang di- tetapkan mahkamah adalah untuk keputusan bantahan Najman terhadap permohonan faraq isterinya.

"Isu utama permohonan faraq belum dimulakan lagi, dan baru di peringkat bantahan permohonan sahaja. Najman telah memohon bantahan terhadap permohonan faraq itu, jadi, mahkamah perlu dengar bantahannya sebelum menyentuh berkaitan isu induk (permohonan faraq).

Abby failkan tuntutan cerai kali kedua


KUALA LUMPUR: Pelakon wanita popular, Abby Abadi, hari ini memfailkan buat kali kedua tuntutan perceraian ke atas suaminya, Norman Hakim, di Mahkamah Syariah Gombak Timur di sini.

Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 29, tidak hadir di mahkamah kerana menjalani penggambaran, memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Ahmad Nazib Johari, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 iaitu permohonan cerai secara baik kerana tiada persefahaman.

Pada 3 Nov lalu, Abby gagal memfailkan permohonan cerainya kerana dokumen penting tidak lengkap seperti alamat, kad pengenalan, salinan surat nikah dan rujuk ada pada Norman, 32, atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Ahmad Nazib berkata pihaknya turut menyerahkan surat saman terhadap Norman agar hadir ke mahkamah.

"Kita memohon perceraian ini mengikut Seksyen 47, jika Norman tidak bersetuju, kita akan memohon mengikut Seksyen 50 iaitu bercerai secara taklik atau menuntut fasakh mengikut Seksyen 53," jelasnya.

Pasangan itu bernikah pada 11 Jan 2002, pernah bercerai talak satu dan rujuk kembali pada 5 Mei 2006. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohd Danish Hakim, 5; Marisa Dania Hakim, 3; dan Maria Danisha Hakim, sebulan 18 hari.

Mahkamah menetapkan 18 Dis ini untuk sebutan semula kes itu. BERNAMA