Aug 7, 2010

Maizawati nikah lusa

KUALA LUMPUR: “Saya terlalu merindui anak-anak dan berharap mereka dapat menghadiri majlis pernikahan ini,” luah Maizawati Zainal, 33, bekas isteri penyanyi dan penceramah bebas, Akhil Hayy.

BAHAGIA...Maizawati mendukung anak bongsu, Muhd Shatiri Hidayahtullah bersama empat  lagi anaknya ketika perbicaraan tahun lalu.
BAHAGIA...Maizawati mendukung anak bongsu, Muhd Shatiri Hidayahtullah bersama empat lagi anaknya ketika perbicaraan tahun lalu.
Menurutnya, sudah lebih setahun dia tidak berhubung dengan Akhil dan berharap bekas suaminya memberi keizinan kepada kedua-dua anaknya menghadiri majlis itu di Taman Utama, Bercham, Ipoh, Isnin ini.

“Saya baru dapat bercakap dengan mereka, kelmarin. Saya sudah beritahu majlis itu dan kedua-duanya begitu teruja untuk menghadirinya.

“Akhil juga dijemput, itupun jika dia sudi hadir. Tapi, saya tak dapat menjemputnya secara peribadi kerana saya akui kami tidak pernah berhubung lebih setahun lalu sejak kontroversi tercetus.

“Malah, nombor telefon bimbitnya juga tiada dalam simpanan saya. Hanya melalui media sajalah saya mampu menjemputnya dan berharap dia sudi hadir ke majlis pernikahan saya,” katanya.

Ketika dihubungi semalam, Maizawati berkata, dia dan keluarganya kini sibuk dengan persiapan terakhir untuk majlis pernikahannya sebelum bergelar isteri kepada pemuda pilihan hati yang ingin dikenali sebagai Mohd, 23.
“Yang sudah berlalu, biarlah berlalu kerana antara saya dengannya (Akhil) memang sudah tiada jodoh. Saya sedikitpun tidak menyimpan dendam atas apa yang berlaku terhadap kami,” katanya.

Ketika ditanya mengenai majlis pernikahannya, Maizawati berkata, persiapannya kini hampir 80 peratus siap dan segala-galanya berjalan lancar.

“Sokongan keluarga dua-dua pihak terutama ibu bapa kami amat mengharukan, malah merekalah tulang belakang untuk menyempurnakan majlis ini.

“Merekalah yang menggalakkan kami mempercepatkan pernikahan kerana bimbang keselamatan saya yang terpaksa ke sana ke mari seorang diri menguruskan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, mengikut perancangan dia dan bakal suami sepatutnya bernikah penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

Namun, katanya, keluarga terpaksa menukar tarikh kerana mereka lebih senang melihat dia ditemani suami.

Perkahwinan pasangan itu sepatutnya dijadualkan Mei lalu, namun terpaksa ditangguh berikutan keadaan kesihatan orang tua kedua-dua pihak tidak mengizinkan.

“Bagaimanapun, benarlah kata orang apabila sudah sampai jodoh, kita memang tidak dapat menolaknya.

“Saya harap pernikahan ini dapat membahagiakan kami, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kisah hidup saya dan menutup mulut individu yang menabur fitnah terhadap kami,” katanya.

Sementara itu, Akhil ketika dihubungi berkata, dia tiada masalah membenarkan anak-anaknya menghadiri pernikahan ibu mereka, cuma tarikh dipilih tidak begitu sesuai.

“Ana (saya) izinkan anak-anak pergi, tapi tengoklah macam mana. Jika mereka mahu pergi, ana usahakan menghantar mereka ke sana,” katanya.

Mengenai pernikahan bekas isterinya itu, Akhil berharap Maiza dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik.

“Baguslah dia kahwin, lagipun sebelum ini dia pernah mengatakan kepada ana mahu mendapat suami yang lebih baik, semoga impiannya tercapai,” katanya.

Mohd pula ketika dihubungi berkata, walaupun dia hampir hilang kekuatan akibat tohmahan dan hinaan segelintir individu yang mempertikaikan perkahwinannya dengan Maiza, namun sokongan keluarga membuatkan dia tetap mahu memulakan hidup bersama insan tercinta.

“Biarlah orang nak kata apa saja mengenai kami kerana bukan mereka yang mahu hidup bersama Maiza, tapi saya sendiri. Umur hanya sekadar angka. Biarlah kami meneruskan hidup dengan bahagia,” katanya.

Apr 22, 2010

Keputusan Lafaz Cerai Sha'arin-Ida 1 Julai

Ida Narina tampil di mahkamah bagi mendengar keputusan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerainya dengan bekas pemuzik Blackrose, Sha'arin Mohd Razali. foto THE STAR. Oleh SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 1 Julai ini untuk membuat keputusan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai pelakon terkenal, Ida Nerina dan suaminya, bekas pemuzik Blackrose, Sha'arin Mohd Razali.

Hakim Mohd Yunus Mohamad Zin turut mengarahkan pihak plaintif (Sha'arin) dan defendan (Ida) untuk mengemukakan penggulungan hujah pada 21 Mei dan 21 Jun ini.

Pasangan itu hadir di mahkamah hari ini. Ida menggunakan kerusi roda sambil ditemani saudara-mara serta artis kenalan seperti Atilia dan Susan Lancaster.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah meminta pihak plaintif membuat pindaan terhadap hujahan awalnya ekoran fakta baru yang ditimbulkan Sha'arin.

Semasa menjawab soalan peguam, Akbarden Abdul Kader yang mewakili Ida, plaintif memberitahu bahawa dia melafazkan cerai dalam bahasa Malaysia dan diikuti bahasa Inggeris.

Lafaz cerai itu berbunyi, "Baiklah, saya ceraikan kamu" dan "Okay, I'll divorce you".

Sebelum ini, Sha'arin dalam pengakuan bersumpahnya berkata, dia hanya melafazkan cerai dalam bahasa Malaysia.

Ekoran itu, Mohd Yunus mengarahkan peguam, Mahyuddin Md Zahari yang mewakili Sha'arin membuat pindaan terhadap fakta kes.

Jelas beliau, ini kerana fakta baru itu mempengaruhi bilangan talak yang dijatuhkan.

Pada 12 Oktober tahun lalu, Sha'arin memfailkan permohonan pengesahan cerai selepas mendakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada September lalu.

Kedua-dua mereka berkahwin pada 2 Jun2006.

Ayu OIAM Kahwini Duda Beranak Dua

Ayu memilih duda sebagai pasangan hidupnya sejak setahun lalu. Foto THE STAR. Oleh IBRAHIM MOHTAR

KUALA LUMPUR: Juara One In A Million (OIAM) kedua, Norayu Damit atau lebih dikenali sebagai Ayu, 21, mengaku telah berkahwin dengan seorang duda berusia 23 tahun pada awal tahun lalu dan kini telah dikurniakan seorang cahaya mata.

Dia mengakui kehilangannya hampir setahun dari industri hiburan tanah air adalah untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga dan bayinya.

"Ya, saya menghilang selama ini kerana ingin menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga dan anak yang masih kecil. Saya minta maaf kerana tidak memberitahu tentang perkahwinan saya pada Januari tahun lalu atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.

"Kini saya bahagia bersama suami iaitu Syed Fauzi Syed Baharuddin bersama anak kami, Syed Nashrul Haikal. Saya juga sudah bersedia untuk kembali aktif sebagai penyanyi," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Sri Pentas, semalam.

Dalam pada itu, Ayu turut menafikan spekulasi berhubung isu hamil sebelum berkahwin sehingga menyebabkan dia bersembunyi dari perhatian media.

"Spekulasi tentang saya hamil sebelum berkahwin itu tidak benar, saya telah berkahwin dahulu sebelum melahirkan anak. Kami berkahwin secara sederhana di Kuala Kangsar. Ketika majlis tersebut saya turut ditemani oleh bapa saya.

"Mulut orang kita tidak boleh tutup, jika orang masih ingin berkata tentang saya, biarlah. Saya hanya ingin minta maaf kepada peminta dan pihak pengurusan kerana menghilang selama ini," ujar anak kelahiran Putatan, Sabah ini.

Ketika ditanya tentang suaminya, Ayu memberitahu suaminya seorang yang penyayang dan sentiasa memberi sokongan kepadanya. Dia juga mengakui khabar angin tentang suaminya seorang duda juga adalah benar.

"Saya kenal dia selepas saya menjadi artis, bagi saya dia seorang yang baik, penyanyang, bertanggungjawab dan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya saya.

"Saya akui suami saya duda dan mempunyai dua orang anak yang berusia empat dan dua tahun, kini kami tinggal bersama dan saya telah menganggap mereka seperti anak-anak saya juga," ujarnya yang kini tinggal di ibu kota bersama-sama keluarganya.

Ayu yang bakal membuat kemunculan pertamanya pada Anugerah Industri Muzik (AIM) akan datang berjanji akan menumpukan perhatian kepada keriernya semula.

"Saya akan kembali menyanyi semula, namun kini saya sudah berkeluarga, saya perlu bijak membahagi-bahagikan masa antara kerjaya dan keluarga," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata peluang kedua harus diberikan kepada Ayu kerana percaya kepada bakat yang ada pada penyanyi itu.

"Saya percaya bakat yang ada pada Ayu masih belum digilap sepenuhnya dan sebelum ini dia tidak pernah melanggar sebarang kontrak dengan kami. Dia perlu mulakan semua dari awal seperti dahulu," jelasnya.

Apr 20, 2010

Bung Moktar, Zizie Mengaku Berpoligami Tanpa Izin

Bung Moktar dan Zizie Izette ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hari ini. - Foto Utusan

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin dan isteri keduanya, Zizie Ezette mengaku bersalah di Mahkamah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini kerana berpoligami tanpa izin mahkamah.

Bung Moktar, 51, dituduh berpoligami tanpa kebenaran mahkamah dengan Zizie, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Dis tahun lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Zizie juga dituduh berkahwin dengan Bung Moktar tanpa kebenaran Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di alamat, waktu dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 40 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, Zizie didakwa bersubahat dalam kes Bung Moktar berpoligami tanpa kebenaran mahkamah manakala Bung Moktar dituduh bersubahat dengan pasangannya berkahwin tanpa kebenaran.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad kemudiannya melepaskan pasangan itu dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan bagi Peguam Amli Embong yang mewakili pasangan itu mengemukakan rayuan bertulis.

Sementara itu di mahkamah yang sama, dua abang dan adik Zizie Izette serta dua yang lain mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam kes berpoligami itu.

Ahmad Shahazmi Abdul Samad, 48, Samzy Fuzette Abdul Samad, 34, Shaheizy Sam Abdul Samad, 27, dan dua rakan anggota Parlimen Kinabatangan itu, Sahari Ahmad, 54, dan Titing Putang, 56, didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 134 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Ahmad Shahazmi turut menghadapi pertuduhan lain iaitu mengakadnikahkan adiknya, Zizie dengan Bung Moktar tanpa mendapat kebenaran berkahwin daripada pendaftar nikah daerah Gombak Timur.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 40 (1) (a) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) No.2 Tahun 2003 yang boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Selain itu, kedua-dua adiknya, Samzy dan Shaheizy didakwa mengambil bahagian sebagai saksi dalam pernikahan Zizie dan Bung Moktar tanpa kebenaran pendaftar.

Kesemua mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu dilepaskan dengan bon jaminan lisan RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Hakim Mahyuddin turut menetapkan 18 Mei depan bagi Peguam Amli Embong mengemukakan rayuan bertulis.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Syariah Bahagian Selangor Shafezan Rusli dan Zusyarafain Yusof.

Kedua-dua mereka mencetuskan kontroversi Disember lalu apabila menafikan berita pernikahan mereka tetapi akhirnya terpaksa membuat pengakuan terbuka selepas dihidu oleh media.

Pada 21 Disember lalu, Bung dan Zizie, 31, akhirnya mengakui bahawa mereka telahpun selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri tetapi enggan menyatakan lokasi pernikahan tersebut berlangsung.

Bung yang ketika itu berada di luar negara telah menjawab melalui kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bahawa beliau telah menikahi Zizie.

"Jika Datuk (Bung) kata benar, maka jawabnya benarlah kami dah berkahwin," kata Zizie ketika mengulas mengenai pengakuan suaminya itu.

Ketika ditanya oleh mStar Online dan The Star Zizie memberitahu, jika benar sekalipun mereka berkahwin, mereka tidak bersalah di sisi Allah walaupun mungkin bersalah pada sisi undang-undang dan peraturan buatan manusia.

Beberapa minggu kemudian, gambar Bung dan Zizie yang baru pulang dari luar negara berjaya dirakam media sebaik keluar dari Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Apr 10, 2010

Memey dakwa pejabat cuba dipecah


Norman dan Memey hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur semalam bagi mendengar perbicaraan kes khalwat mereka.


KUALA LUMPUR - Abang kepada pelakon Norman Hakim, Mohamed Saufi Zaidon datang ke pejabat adiknya pada pukul 2.30 pagi 30 Oktober lalu atas permintaan Memey yang memberitahu ada orang hendak memecah masuk ke premis itu.

Saufi, 46, selaku saksi keempat pendakwaan berkata, Memey menghubunginya ketika dia tidur di rumahnya di Apartmen Sri Raya yang terletak berdekatan dengan premis berkenaan.

Saksi itu memberi keterangan dalam perbicaraan kes khalwat Norman dan Memey di hadapan Hakim Syarie, Salehan Yatim di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam.

Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey Suhaiza Suhaimi, 21, didakwa berkhalwat di antara pukul 1.45 pagi dan pukul 3 pagi 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini.

Terdahulu, Saufi yang disoal Pegawai Pendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Muhammad Nazri Basrawi berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama Norman, Memey, Aminuddin Razak (Ketua Pegawai Eksekutif syarikat) dan Natalie mengadakan mesyuarat di tingkat bawah pejabat terbabit.

"Kami bermesyuarat sehingga pukul 12.30 pagi sebelum saya pulang untuk tidur. Semasa meninggalkan pejabat, ada Norman, Memey, Amiruddin dan Natalie," kata ahli perniagaan itu.

Mar 21, 2010

Persandingan Zizan Sederhana Tapi Meriah

MAJLIS persandingan pasangan pengantin baru pelakon Zizan Nin, 37, dan Fazilah Hani Harun, 30, berlangsung secara sederhana namun meriah di Dewan Perdana Felda, di sini, malam tadi.

Pasangan mempelai yang tiba tepat pada pukul 9 malam disambut dengan paluan kompang dan persembahan pancaragam mengiringi pengantin sehingga menjejakkan kaki ke gerbang pelamin.

Majlis yang berkonsepkan perkahwinan dalam taman dengan menggunakan gabungan warna putih suci dan merah jambu dihiasi denganbunga-bungaan yang menceriakan lagi majlis.

Acara dimulakan dengan bacaan doa sebelum upacara merenjis dan menepung tawar mempelai menyusul. Ia didahului oleh ibu bapa saudara pengantin perempuan diikuti ibu bapanya dan bapa kepada pengantin lelaki.

Sepanjang majlis berlangsung, tetamu turut dihiburkan dengan nyanyian penyanyi undangan dan persembahan nyanyian buat julung kalinya daripada rakan baik Zizan, pelakon Tony Eusoff.

Kira-kira 1000 tetamu yang hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada saudara mara dan rakan taulan kedua-dua belah pihak pengantin.

Selain itu beberapa rakan artis seperti Aqasha, Tony Eusof, Korie serta rakan-rakan sekerja Fazilah dari stesen ntv7 turut memeriahkan majlis.

Pasangan Zizan dan Fazilah Hani selamat diijabkabulkan pada 19 Mac lalu di Masjid Negara, Kuala Lumpur dengan hanya sekali lafaz.

Mar 20, 2010

Zizan Sah Bergelar Suami Fazilah Hani

Zizan mengucup dahi isterinya selepas selamat diijabkabulkan. Foto The Star. Oleh MOHD SAHAR MISNI

KUALA LUMPUR: Setelah tiga bulan mengikat tali pertunangan pelakon Zizan Nin, 37, sah bergelar suami kepada pembaca berita ntv7, Fazilah Hani Harun, 30, tepat jam 9.40 malam tadi di Masjid Negara, di sini.

Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim berwalikan bapa pengantin perempuan Datuk Harun Hashim dengan mas kahwin sebanyak RM 651.

Dengan hanya sekali lafaz, Zizan yang kini memikul tanggungjawab sebagai suami menzahirkan rasa syukur kerana majlis yang dirancang sejak beberapa bulan lalu berjalan dengan lancar.

"Perasaan saya ketika ini macam tidak percaya sudah jadi suami orang. Perancangan selepas ini kami sekeluarga akan mengerjakan umrah pada 31 Mac selama 10 hari.

"Selepas itu saya akan balik menyambung tugas penggambaran drama di Korea selama dua minggu dan selepas itu baru kami pergi berbulan madu,"katanya.

Sementara itu, Fazilah Hani mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah sebentar tadi. Katanya, dia sangat gembira terharu dan menganggap sudah suratan dan jodohnya dengan pelakon itu.

"Bagi saya Zizan seorang lelaki yang baik, kelakar dan dia seorang yang pandai masak. Saya senang bersama dengannya.

"Kami harap hubungan ini sampai ke akhir hayat," jelasnya.

Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, Zizan memberitahu bahawa dia tidak merancang tetapi menyerahkan segalanya kepada Allah, namun dia berharap akan mendapat cahaya mata secepat yang mungkin bagi mewarnai kehidupan rumah tangganya.

Pada majlis itu, Hani menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM20,000 dan membalas kepada Zizan dengan sembilan dulang hantaran.

Antara barang hantaran yang diberi pihak Zizan kepada Hani terdiri dari Sirih junjung, kain telekung, beg tangan, Kasut, Mas kahwin bernilai RM 651, cek bernilai RM20,000, dan barangan mekap.

bergambar bersama keluarga kedua-dua belah pihak

Manakala Zizan pula menerima Al-Quran, Manisan, tali pinggang, set penjagaan kuilit, minyak wangi, kasut, kemeja, minyak wangi dan sirih junjung.

Pasangan pengantin ini akan diraikan dalam majlis resepsi pada malam esok di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Feb 18, 2010

Tuntutan RM1.38j: Nash Diarah Fail Pembelaan 25 Mac

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 25 Mac ini untuk penyanyi rock, Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias, 50, memfailkan pembelaan terhadap tuntutan harta bernilai RM1.38 juta oleh bekas isterinya Datuk Sosilawati Lawiya.

Hakim Abu Zaky Mohamed menetapkan tarikh tersebut pagi ini yang turut dihadiri Nash bersama peguamnya Almi Embong manakala Sosilawati pula diwakili peguamnya Datuk Zaidi Zain.

Kedua-dua mereka berpakaian warna sedondon hitam tetapi dilihat tidak bertegur sapa antara satu sama lain.

Pada 12 Januari lalu, bekas pasangan suami isteri terbabit gagal mencapai kata sepakat berhubung tuntutan RM1.38 juta pada sesi sulh di mahkamah yang sama.

Sesi sulh (perbincangan secara baik) yang berlangsung selama kira-kira 20 minit itu menyaksikan kedua-dua pihak tidak bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik, sebaliknya mereka mahu meneruskan kes secara prosiding di mahkamah.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan kes bagi membolehkan Nash selaku defendan memfailkan pembelaan terhadap tuntutan yang difailkan oleh bekas isterinya itu.

Sosilawati selaku plaintif pada 20 November tahun lalu memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini supaya Nash mengembalikan modal dan wang yang kesemuanya dengan nilai tersebut.

Tuntutan tersebut melibatkan modal pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW 2020) yang kesemuanya berjumlah RM200,000 serta Public Mutual Berhad sebanyak RM500,000.

Nash juga dituntut mengembalikan wang berjumlah RM480,000 yang dikeluarkan oleh Sosilawati untuk menyelesaikan pinjaman bank dan bayaran berkaitan sebuah rumah di Seksyen 7 di sini.

Sosilawati turut memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah supaya harta yang membabitkan ASB, ASW 2020, Saham Public Mutual Berhad dan rumah di Seksyen 7 itu diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

Sosilawati dan Nash berkahwin pada 16 November 2006 di Batu Pahat, Johor namun bercerai talak satu di depan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Mohammad di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada 26 Mei tahun lalu.

Feb 8, 2010

Memey: Keluarga Sudah Beri Restu, Cuma Tunggu Masa…

Hanya masa yang akan menyaksikan pasangan kontroversi, Memey dan Norman (kanan) disatukan.

BIARPUN belum mengakui secara rasmi yang mereka sedang bercinta, pasangan pelakon Memey Suhaiza dan Norman Hakim tidak menyembunyikan keintiman mereka.

Misalnya, gambar-gambar yang dirakamkan bersama seperti yang tersebar di Internet jelas menunjukkan pasangan ini sedang dilamun cinta.

Malah pasangan bahagia ini juga semakin berani muncul berdua-duaan di khalayak ramai.

Baru-baru ini, Memey dan Norman dilihat datang menaiki kereta yang sama ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi prosiding kes khalwat mereka.

Diusik kepada pasangan ini, Norman menjawab ini bukan pertama kali mereka menaiki sebuah kereta.

“Memang kami sudah banyak kali datang bersama,” ujar Norman sambil berlalu keluar dari mahkamah.

Dalam keadaan tergesa-gesa, Norman meminta izin untuk pulang kerana mahu menghantar anaknya ke sekolah pada pukul 1 petang itu.

Ramai yang tertanya-tanya bilakah pasangan kontroversi ini bakal menamatkan hubungan mereka ke jinjang pelamin.

Sementara itu, menurut peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan, tidak menjadi masalah untuk Norman dan Memey bernikah walaupun kes khalwat mereka masih berjalan.

Namun begitu, katanya lagi, tidak bermakna kes itu akan berakhir setelah mereka berkahwin kerana ia sudah didakwa di mahkamah.

Dalam nada gurau, di hadapan pasangan itu, Fakhrul berkata Memey dan Norman akan berkahwin selepas kes mereka selesai dan pastinya perkahwinan mereka akan menjadi wedding of the year.

Lantas, Norman menambah: “Buat apa wedding of the year, nanti perkahwinan itu tidak kekal lama… saya lebih suka melihat perkahwinan Norman KRU, dia hanya buat ringkas sahaja.”

Mendengar jawapan itu, adakah mereka sudah merancang untuk mendirikan rumah tangga?

“Kami belum merancang untuk berkahwin. Itu hanya contoh sahaja,” jelas Norman sambil tersenyum.

Dalam pada itu, Memey yang ditemui tidak menafikan perancangan untuk berkahwin memang sudah ada tetapi biar masa yang menentukan.

“Sekarang kami belum merancang untuk berkahwin tetapi kalau perancangan ke arah itu memang ada. Saya masih muda dan perlu stabilkan karier saya terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, keluarga masing-masing dah kenal antara satu sama lain dan memberi restu. Cuma tunggu masa sahaja dan semuanya berbalik kepada soal jodoh,” luahnya yang tidak kisah seandainya dia tidak bertemu jodoh dengan Norman.

Memey juga berkata sebab itu dia tidak mahu terlalu awal untuk membuat keputusan dan bercerita tentang perkahwinan.

Serina 'Bunting Pelamin', Chef Wan Teruja Dapat Gelaran 'Datuk' Lagi

AYAH mana yang tidak gembira bila mendengar berita yang anak perempuan kesayangannya hamil, hanya beberapa hari setelah dikurniakan gelaran 'Datuk'.

Tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail @ Chef Wan sukar hendak menggambarkan perasaannya dengan kata-kata setelah berita gembira itu disampaikan oleh Serina sebaik saja dia pulang dari berjumpa doktor petang tadi.

Chef Wan yang menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Serina sekitar jam 5 petang tadi hanya mampu memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana sememang itulah yang diinginkan olehnya.

Serina yang 'bunting pelamin' telah diijab kabulkan dengan Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar pada 1 Januari 2010 di Masjid Wilayah Persekutuan. Pasangan yang sama cantik dan sama padan itu telah diraikan dalam enam resepsi.

Kemuncak segala majlis resepsi Serina Redzuawan dan suami tercinta berlangsung dengan penuh tradisi dalam satu majlis yang berkonsepkan persandingan dalam taman di mana Serina dan suami mengenakan pakaian rekaan Radzuan Radziwill berwarna lavender dan aktres rupawan itu didandan bak Puteri Rania, di The Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada 3 Januari.

"Saya tidak sangka Allah kabulkan permintaan saya secepat ini. Alhamdulillah saya begitu gembira sampai terbayang-bayang gambar sikenit tu," jelas Chef Wan yang kini berada di Macau.

Jelasnya lagi, "Sejurus selepas saya mendapat berita itu ketika saya sibuk di penggambaran St Paul Ruins, Macau, hati saya melonjak kegembiraan. Tuhan selalu memberi apa yang saya hendak.

"Saya memang suka kanak-kanak. Merekalah anugerah yang tidak ternilai oleh Allah. Anak-anak adalah amanah dan amanah itu mesti dijaga dengan baik. Terus saya terbayang, saya akan masak dengan tiga generasi Chef.

"Chef 3, si kecik ni yang akan melihat macam mana Tok Wan dia menceceh depan TV memasak. Alangkah bahagianya kalau perkara itu terjadi... insya Allah," kata chef berusia 53 tahun itu.

Chef Wan tidak lupa menitipkan pesan dan nasihat untuk Serina agar menjaga kandungan baik-baik.

"Saya pesan pada Serina agar jangan lasak-lasak dan cuba berehat, makan makanan yang berzat dan jangan tinggal sembahyang serta bersyukur pemberian yang terlalu istimewa ini.

"Saya juga akan mencarikan Serina buku parenting dr Spock tu supaya dia boleh membaca dan mengambil tips dari situ. Malah ketika bekas isteri saya mengandungkan Nazri (Chef Riz), itu pun bunting pelamin juga....," kata Chef Wan yang juga menghubungi menantu kesayangannya Salahauddin untuk mengucapkan tahniah.

Katanya lagi, "Saya juga menasihatkan Salahuddin agar jaga Serina baik-baik. Saya sudah terbayang wajah comel cucu saya. Saya juga sudah tawarkan diri pada Salahuddin untuk jadi babysitter bila dah ada baby nanti."

Dan memandangkan keadaan Serina yang kini berbadan dua, resepsi perkahwinan yang dirancang diadakan di Sg Koyan terpaksa dibatalkan dan kemungkinan diganti dengan acara majlis cukur jambul kata Chef Wan.

"Saya pernah bersenda dengan Serina dan Salahuddin tentang resepsi di Sg Koyan. Saya ckapa jangan lambat-lambat nanti bunting pelamin pula. Tak sangka masin pula cakap saya.

"Malah Salahuddin juga pernah melawak katanya dia akan beri saya hadiah 'Chef 3' selepas Chef Wan dan Chef Riz. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat segala limpah kurniaNya," kata Chef Wan separuh sebak. Sebelum mengakhiri perbualan, Chef Wan dengan nada riang berkata, "Siapa sangka ye, saya akan dapat dua title 'Datuk' tahun ini. Inilah keajaiban."

Jan 31, 2010

Awas suami curang

Tuntutan fasakh oleh isteri kini selesai lebih cepat.




MASTURA BAKAR, 24, sah bergelar janda pada 28 Januari lalu setelah tuntutan fasakh terhadap suaminya, seorang ahli politik yang juga tokoh perniagaan berusia 54 tahun, diluluskan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Ibu kepada tiga puteri yang berumur antara dua hingga lima tahun itu sekadar tersenyum hambar ketika keputusan itu dibacakan Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin. Mastura memfailkan tuntutan fasakh pada April tahun lalu.

Kes Mastura mendapat perhatian ramai kerana bekas madu penyanyi Noraniza Idris itu mendakwa suaminya seorang yang gila seks dan tidak bertanggungjawab.

Mengikut fakta kes, Mastura mendakwa beliau hanya mengetahui dirinya isteri keempat kepada suaminya itu hanya selepas melahirkan anak sulung. Suaminya itu kemudian mengaku bahawa dia telah berkahwin dengan Noraniza dan dua wanita lain.




Lelaki itu juga didakwa gemar berfoya-foya dan pernah memiliki lebih 10 orang teman wanita yang ditiduri dalam satu-satu masa walaupun telah beristeri empat.

Kahwin muda

Bertubuh kecil dan berkulit putih gebu, Mastura mengakui beliau tidak dapat menjangka bagaimana rasanya hidup sebagai seorang ibu tunggal.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang patut saya rasa. Saya berasa amat penat. Lagipun sekarang saya sudah kembali bekerja,” balasnya yang kini bertugas di bahagian pentadbiran sebuah firma seni bina di Cheras, Kuala Lumpur.

Anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu kelihatan lesu ketika ditemui di sebuah restoran di Kuala Lumpur Jumaat lalu. Menatap wajahnya, terasa ada kecamuk dalam fikirannya.

“Sekarang fikiran saya ialah tentang meneruskan hidup bersama anak-anak. Tetapi disebabkan pengalaman daripada perkahwinan itu, saya berasa keadaan masih tidak selamat untuk kami.

“Dia pernah melarikan anak kami satu ketika dulu dalam satu pergaduhan besar, melanggar saya dengan kereta dan saya ada menerima pesanan ringkas (SMS) yang berbaur ugutan susulan daripada tuntutan fasakh ini. Saya masih belum berani hendak membawa anak-anak bermain di taman permainan,” luah Mastura.

Jika ada yang berpendapat Mastura menerima padah atas silapnya sendiri menikahi lelaki berusia yang berpangkat dan berharta, nampaknya pemikiran itu jauh tersasar.

“Kami berkahwin bukan atas dasar cinta. Ia lebih kepada pilihan ibu dan ayah saya. Kami berkenalan tidak lama, iaitu kira-kira enam bulan.

“Itu pun melalui teman-teman. Kali pertama ibu melihatnya bersolat dan mengaji al-Quran di rumah di kampung, ibu menangis kegembiraan.

“Setelah dia berjumpa ibu dan ayah buat kali kedua, dia terus masuk meminang dan lamaran itu diterima. Kami bernikah pada 3 Jun 2005 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak.

“Pada waktu itu saya baru berumur 18 tahun. Ketika kami berkahwin, dia masih belum bergelar Datuk,” kongsinya.

Segalanya, kata Mastura, berlaku terlalu pantas. Perasaan sayang kepada suaminya hanya wujud selepas mereka berkahwin.

“Pada awalnya dia sering mengajak saya solat berjemaah, mengaji al-Quran dan melakukan kerja rumah bersama. Dia juga baik terhadap saya.

“Tetapi semua itu sekejap saja. Lama-kelamaan dia lebih banyak membiarkan saya solat dan melakukan segala-galanya bersendirian,” dedahnya.

Mastura mengakui bekas suaminya itu mempunyai ilmu agama yang baik.


KES tuntutan cerai Aida Melly Tan Mutalib pada tahun 2002 yang berlarutan selama tujuh tahun menyebabkan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap mahkamah syariah.


“Pengetahuan agamanya agak tinggi. Mungkin kerana latar belakang dan kerjaya keluarganya yang sememangnya menjurus ke arah keagamaan.

“Entah di mana silapnya, dia menjadi seorang lelaki yang gemar berfoya-foya,” kata Mastura.

Sebenarnya, ujar Mastura, beliau dan suami tidak banyak masalah. Cuma lelaki itu dikatakan banyak helah.

Kes Aida Melly

“Sebelum ini saya sudah dua kali hendak membuat tuntutan fasakh. Kali pertama saya batalkan kerana sedang hamil anak kedua. Kali kedua, Noraniza sendiri memujuk saya dan meminta saya memikirkan masa depan anak-anak. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, kami tidak ada masalah.

“Tentang dakwaan bahawa dia mahu menyaman saya, saya percaya ia tidak akan berlaku kerana saya percaya dia membuat kenyataan itu kerana tertekan,” ujarnya.

Selepas melalui kehidupan berumah tangga yang banyak onarnya, justeru perceraian menerusi kaedah fasakh itu umpama satu titik perubahan yang besar dalam hidup Mastura.

“Saya mendapat sokongan yang kukuh daripada madu dan bekas madu yang lain selain memiliki bahan-bahan rakaman yang berkaitan dengan kecurangan dan aktiviti berfoya-foyanya.

“Mungkin itu banyak membantu mempercepatkan kes ini. Lagipun bekas suami tidak pernah datang ke mahkamah untuk membuat sebarang bantahan,” jelas Mastura tentang kesnya yang dapat diselesaikan agak cepat.

Kes tuntutan perceraian oleh isteri seperti fasakh yang berlarutan lama pernah menjadi polemik pada awal abad ini. Pasti ramai yang masih ingat kes Aida Melly Tan Mutalib pada tahun 2002 yang terpaksa menderita selama tujuh tahun untuk bebas daripada ‘gantungan yang tak bertali’: Sudah berpisah atau masih isteri yang sah?

Meraih liputan meluas media seiring hujanan kritikan, kes itu juga bagai menjadi titik tolak kepada perubahan landskap pentadbiran mahkamah syariah berhubung isu perceraian khasnya.

Jika sebelum itu banyak rungutan oleh para isteri mengenai kes permohonan cerai atau fasakh mereka yang lambat diputuskan, namun tahun demi tahun kemudian, rungutan dan keluhan seumpamanya makin kurang kedengaran.

Kes terbaru Mastura itu, misalnya, dapat diselesaikan dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Dahulu memang ketara kelewatannya. Secara umumnya, boleh dikatakan, kes-kes permohonan cerai oleh isteri seperti fasakh dan rayuan kini telah dapat diselesaikan dengan cepat.

“Berdasarkan pengalaman saya, kes fasakh lazim dapat diselesaikan antara enam bulan hingga setahun. Paling cepat, hanya dalam tempoh sebulan.

“Proses yang mengambil masa dua tahun pun sudah dianggap sebagai tempoh yang lama,” kata peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain ketika ditemu bual Jurnal baru-baru ini.


MEMILIKI bukti kukuh ialah antara punca kes fasakh Mastura dapat diselesaikan dengan segera.


Katanya, ini banyak disumbangkan oleh beberapa pindaan pada enakmen-enakmen undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri bermula pada tahun 2003.

“Antaranya ialah penyeragaman peruntukan mengenai fasakh antara negeri-negeri dan membenarkan memulakan tuntutan fasakh di mahkamah yang lebih tinggi bagi mengurangkan tempoh penangguhan sekiranya pihak menentang, lazimnya suami, mahu melakukan rayuan dan sebagainya,” katanya.

Tertangguh

Tidak dinafikan memang masih kedapatan kes tuntutan fasakh yang berlarutan lama selepas tahun 2002, tetapi ia hanyalah kes terpencil.

Zaidi menerangkan, sesuatu proses permohonan fasakh itu dapat dipercepatkan jika plaintif atau isteri yang mengemukakan tuntutan itu mempunyai persediaan yang lengkap.

“Dalam kes fasakh, beban pembuktian adalah terletak pada pihak plaintif iaitu isteri yang memohon. Kukuhnya bukti yang dikemukakan akan mempercepatkan pihak mahkamah membuat keputusan. Air mata sahaja tidak boleh menjadi bukti,” katanya.

Jika dahulu, kelewatan atau penangguhan banyak disumbangkan kerana suami yang tidak muncul-muncul ke mahkamah, kini, mahkamah syariah mengambil sikap meneruskan prosiding dan boleh mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa kehadiran suami seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Kes Mastura ialah salah satu kes yang menunjukkan prosiding tanpa kehadiran suami atau prosiding sebelah pihak sudah boleh diterima.

“Jika mahkamah berpuas hati bahawa saman telah disampaikan dengan sempurna kepada pihak suami, namun mereka masih tidak muncul, mahkamah boleh meneruskannya dan mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa persetujuan suami.

“Lagipun fasakh itu sendiri ialah tuntutan cerai tanpa lafaz talak diperlukan. Kuasa fasakh ialah kuasa hakim.

“Prosiding sebelah pihak biasanya lebih cepat berbanding suami hadir dan mengemukakan pembelaannya,” katanya sambil menjelaskan perbicaraan akan diteruskan setelah dua kali sebutan kes.

Azizulhasni kini sudah sah bergelar suami


AZIZULHASNI menghadiahkan pingat emas yang dimenanginya dalam acara keirin pada Piala Dunia Klasik di Beijing kepada Athiah Ilyana pada majlis pernikahan mereka di Ipoh semalam.


JAGUH lumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang, 22, selamat diijabkabul dengan pasangannya, Athiah Ilyana Abd. Samat, 24, di kediaman pengantin perempuan di Meru Height, Ipoh semalam.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Al-Muttaqin, Taman Meru, Zaini Bakri dengan disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak pada kira-kira 11.30 pagi.

Terdahulu, majlis pertunangan dilangsungkan pada pukul 11 pagi tadi.

Azizulhasni sah bergelar suami selepas lafaz akad yang ketiga dengan membawa 11 dulang hantaran termasuk pingat emas yang dimenanginya pada Kejohanan Piala Dunia Klasik di Beijing, China minggu lepas manakala pengantin perempuan membalas dengan 13 dulang hantaran.

Athiah Ilyana turut menerima wang hantaran RM8,000 dan mas kahwin RM2,000 beserta seutas rantai emas.

“Pernikahan ini telah menyemarakkan lagi semangat saya untuk merangkul lebih banyak kejayaan termasuk kejohanan terdekat, Piala Dunia di Copenhagen, Denmark, Mac depan.

“Saya akan pulang semula ke Melbourne, Australia pada 7 Februari ini bagi menjalani persiapan akhir untuk menyertai kejohanan tersebut,” kata Azizulhasni.

Azizulhasni berkata, dia mengenali isterinya menerusi laman web rangkaian sosial, Friendster sebelum mereka menjalin hubungan serius selepas Sukan SEA di Korat, Thailand pada 2007.

Dia yang mendapat jolokan The Pocketrocket Man memberitahu semenjak itu, Athiah Ilyana telah menjadi sumber inspirasi baginya untuk meraih kejayaan di pentas antarabangsa.

Menurutnya, majlis resepsi mereka akan diadakan pada Disember depan, iaitu selepas temasya Sukan Komanwel di New Delhi, India.

Ketika ini, Azizulhasni melanjutkan pengajian ijazah pertama dalam jurusan Perdagangan di Universiti Deakin, Melbourne manakala Athiah Ilyana pula menyambung pengajian peringkat sarjana jurusan Arkitek di Universiti Deakin, Geelong, Australia.

Jan 24, 2010

Along Raja Lawak ‘Berkabung’ Di Hari Bahagia

Dengan dua kali lafaz, pasangan yang bertunang selama setahun sebulan ini sah bergelar suami isteri. -Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

WALAUPUN bergelar raja sehari, pelakon filem Adnan Sempit Along Raja Lawak yang berasal dari Johor Baru, Johor tidak lupa untuk ‘berkabung’ ekoran kemangkatan Sultannya, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 27, mengenakan kain lilitan putih pada songkoknya semasa upacara pernikahan dengan pasangannya, penyanyi dan pelakon Nur Azilah Seeron, 21, (Zila AF4) di Masjid Felda Lui Selatan 1, Bandar Seri Jempol, semalam.

Dengan dua kali lafaz, pasangan yang bertunang selama setahun sebulan ini sah bergelar suami isteri dengan mas kahwin RM200 beserta tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM17,119.

Menurut Zila, nilai wang hantaran ditetapkan mengikut gabungan tarikh lahirnya dan Along di mana Along dilahirkan pada 19 Januari manakala Zila pada 17 November.

Dulang hantaran pengantin lelaki termasuk cincin jenama Habib Jewels, al-Quran, sejadah, telekung, sirih junjung, kasut dan beg tangan.

Sementara Zila membalas dengan sembilan hantaran seperti al-Quran, set dompet dan tali pinggang, sirih junjung, kemeja, kasut, sejadah, coklat Ferrero Roche dan cincin emas putih.

Dulang hantaran kedua-dua belah pengantin disediakan oleh isteri penyanyi Mawi, Ekin dari ME World Collection dengan konsep warna emas (Along) dan perak (Zila).

“Alhamdulillah, saya memang nervous kerana tidak percaya yang saya kini sudah bergelar isteri Along yang sah walaupun menempuhi pelbagai dugaan sebelum ini,” beritahu Zila yang tidak mampu menahan air matanya daripada mengalir di tubir mata sejurus selepas selamat dinikahkan.

Selepas sehari bergelar suami isteri, Zila berkata dia akan menemani suaminya pulang ke Kuala Lumpur hari ini kerana Along akan kembali sibuk dengan kerjanya.

Disebabkan itu, mereka terpaksa menangguhkan rancangan untuk berbulan madu dalam masa terdekat ini.

“Kami belum rancang tempat dan waktu untuk berbulan madu kerana selepas nikah dan bersanding hari ini, Along akan sibuk dengan penggambaran,” katanya ketika dihubungi.

Disoal mengenai anak, tanpa berselindung Zila memberitahu dia dan suaminya belum membuat apa-apa perbincangan berhubung soal anak sebaliknya menyerahkan kepada izin Allah.

Kedua mempelai memilih pakaian serba putih tajaan Ezlynnz Collection untuk majlis pernikahan mereka.

Lebih 100 tetamu yang hadir terdiri daripada kaum keluarga dan sanak-saudara terdekat kedua-dua mempelai.

Majlis persandingan sebelah pengantin perempuan dilangsungkan semalam di kediaman keluarganya dengan pelamin ditaja oleh Ezlynnz Collection dengan warna tema hitam dan hijau.

Sementara, majlis persandingan sebelah lelaki bertemakan moden Inggeris yang ditaja oleh Adli Bridal yang pernah membuat pelamin semasa perkahwinan Mawi dan Ekin dan LC Catering akan diadakan di Dewan Serbaguna, Johor Jaya pada 14 Februari, pukul 8 malam yang jatuh pada sambutan Hari Kekasih serta Tahun Baru Cina.

Sementara pada 27 Februari, resepsi mereka akan diadakan di Plaza Angsana, Johor Baru bersempena Wedding Festival yang pernah dijayakan oleh pelakon Que Haidar dan koreografer Linda Jasmine pada tahun lalu.

Persandingan di Plaza Angsana itu akan ditaja sepenuhnya oleh Plaza Angsana dan Butik Juzzarith.

Jan 19, 2010

Sifat Dominan Umie Aida Pikat Hati Datuk Khairuddin

Datuk Khairuddin Abu Hassan mengakui Umie seorang wanita yang berdikari dan penyanyang. Foto THE STAR. Oleh SHAARI CHEMAT

PASANGAN kekasih yang mengikat tali pertunangan pada September lalu iaitu aktres jelita Umie Aida dan ahli perniagaan Datuk Khairuddin Abu Hassan masih lagi menunggu tarikh untuk diijab kabulkan.

Apa yang pasti akad nikah pasangan ini akan dilakukan di luar negara dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga sahaja.

"Persiapan sudah hampir siap cuma tarikh perkahwinan masih lagi belum ada. Apa yang boleh saya katakan ialah ia akan berlangsung dalam jangka masa terdekat ini.

"Saya hanya tunggu surat pengesahan dan surat-surat penting siap sahaja, insya-Allah ia akan berlangsung secepat mungkin," ujar Umie ketika di temui di majlis doa selamat sempena hari lahir ke-37 tahun kelmarin.

Sementara itu, Datuk Khairuddin atau lebih mesra dengan sapaan 'Abang K' yang pertama kali diperkenalkan kepada media menyambut baik permintaan Umie untuk bernikah di luar negara itu.

"Mungkin itu hajat dia, saya mengikut sahaja. Saya rasa bersyukur, gembira dan kemungkinan tujuan dia untuk bernikah di luar negara adalah untuk mendapat lebih keberkatan," ujarnya yang tidak menolak kemungkinan untuk bernikah di Mekah.

Dalam pada itu, menurut Datuk Khairuddin, persiapan majlis perkahwinan yang dirancang terganggu kerana tetamu kerhormat, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijemput tidak dapat hadir pada tarikh yang dirancang kerana ke luar negara.

"Majlis resepsi yang akan diadakan dua minggu selepas pernikahan itu mungkin terpaksa ditunda kerana tetamu kerhormat Tun Dr Mahathir akan keluar negara. Kita sudah pilih lokasi jadi mungkin terpaksa diaturkan semula majlis itu," katanya.

Dalam pada itu, sempena hari ulang tahun kelahirannya, Umie menerima hadiah istimewa daripada tunang tersayang iaitu rawatan kesihatan di sebuah hospital swasta di Mont Kiara.

Datuk Khairuddin turut menyifatkan hadiah tersebut sebagai unik dan terlalu peribadi baginya.

"Setelah berbincang dengan Umie, dia tidak mahu hadiah jenis barangan lagi, dia inginkan treatment kesihatan diri di sebuah pusat kesihatan antarabangsa.

"Lagipun hadiah ini untuk jangka masa panjang Umie juga, rawatan tersebut hanya setahun sekali sahaja," ujarnya.

Ketika ditanya tentang keistimewaan bakal isterinya itu, Datuk Khairuddin memberitahu bahawa Umie mempunyai keistimewanya tersendiri yang tidak ada pada wanita lain.

"Mungkin orang nampak Umie seorang yang agak kasar, namun jauh di sudut peribadinya dia seorang yang sangat lembut dan penyayang.

"Saya juga tidak pernah anggap dia seperti artis, saya tidak suka anggap seseorang itu mengikut taraf masing-masing, manusia sama sahaja, cuma mungkin kita di bidang yang berbeza.

Selain itu, Datuk Khairuddin turut mengakui sifat dominan pada kekasihnya itu juga merupakan salah satu keistimewaan Umie yang membuatkan dia terpikat, justeru mengambil keputusan mengahwini aktres tersebut.

Ketika ditanya tentang aktiviti lakonan Umie selapas bergelar isteri, dia berkata tiada yang berbeza, Umie akan terus dengan kariernya sebagai pelakon.

"Saya tidak akan menghalang untuk dia terus berlakon namun sebagai isteri dia tahu dan pandai menjaga batasannya. Bagi saya rumah tangga bukan diketuai oleh lelaki sahaja malah kedua belah pihak.

"Kita seharusnya saling tegur-menegur jika berlaku kesalahan," ujar Datuk Khairuddin yang kelihatan masih malu-malu ketika menjawab soalan dari media.

Jan 13, 2010

Nash-Sosilawati gagal capai kata sepakat berhubung tuntutan RM1.38 juta - Pilih mahkamah selesaikan masalah

SHAH ALAM - Pengasas produk kecantikan Nouvelles Visages, Datuk Sosilawati Lawiya gagal mencapai kata sepakat dengan bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan Lefthanded, Nash berhubung tuntutan RM1.38 juta pada sesi sulh di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.


SOSILAWATI


Sesi sulh (perbincangan secara baik) yang berlangsung selama kira-kira 20 minit itu menyaksikan kedua-dua pihak tidak bersetuju untuk menyelesaikan perkara tersebut secara baik, sebaliknya mereka mahu meneruskan kes secara prosiding di mahkamah.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 18 Februari ini sebagai tarikh sebutan kes bagi membolehkan Nash atau nama sebenarnya Jamaludin Elias selaku defendan memfailkan pembelaan terhadap tuntutan yang difailkan oleh bekas isterinya itu.

Jan 9, 2010

Nur Aliah tamat zaman janda


NUR ALIAH dan Mohammad Zekri pada majlis pernikahan mereka di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara semalam.


PETALING JAYA - Bekas isteri pengarah terkenal, Aziz M. Osman, Nur Aliah Lee Abdullah, 38, bertemu dengan pilihan hatinya apabila selamat diijabkabulkan dengan ahli perniagaan, Mohammad Zekri Ibrahim, 41, pada pukul 10.20 pagi semalam.

Majlis pernikahan tersebut diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri seramai 70 tetamu termasuk keluarga dan teman-teman rapat kedua-dua belah pihak di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara.

Aliah menerima mas kahwin RM300 dan sah menjadi isteri Zekri yang merupakan pemain sukan berkuda polo.

Pada majlis itu, Aliah menerima lima dulang hantaran iaitu RM10,110 sebagai wang hantaran, senaskhah al-Quran, set barangan kemas, tepak sirih dan telekung.

Jan 6, 2010

Bakal Suami Terima Maiza Seadanya, Ikut Sunnah Rasulullah

FAKTOR berbeza usia 10 tahun tidak menghalang bakal suami Maizawati Zainal untuk memilih wanita itu sebagai suri hidupnya pada Mei depan.

Pemuda yang mahu dikenali dengan nama ‘M’, 24, berkata dia tidak pernah terfikir tentang faktor itu. Namun, dia lebih senang melabelkan perkahwinannya dengan bekas isteri penyanyi dan penceramah bebas Akhil Hayy itu untuk mengikut sunnah Rasulullah.

“Saya tidak nafikan bahawa ramai remaja lebih selesa memilih pasangan yang lebih muda untuk dijadikan isteri.

“Namun, dengan kuasa Allah, saya tidak menyedari bagaimana saya boleh menyukainya. Pada mulanya timbul rasa kasihan kepadanya, namun lama-kelamaan saya mula sayangkan dia.

“Dia pandai menghiburkan hati saya yang kadangkala stres bekerja di dapur. Selepas bekerja, kami selalu berbual dan bertanya khabar.

“Walaupun jarang berjumpa, tetapi hubungan kami mudah serasi,” ujar M yang sudah dua tahun bekerja sebagai chef di sebuah restoran masakan Jepun di Singapura.

Bercerita mengenai pertemuannya dengan Maiza, dia yang berasal dari Likas, Sabah berkata, mereka terserempak di sebuah restoran di Bukit Bintang, Kuala Lumpur selama dua kali berturut-turut pada hari yang sama setahun lalu.

Ikutkan rancangan, pasangan ini menetapkan untuk berkahwin pada Februari ini namun akhirnya terpaksa menunda kepada Mei depan atas alasan ibu M sedang menjalani rawatan untuk mengubati Migrain.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga masing-masing, M berkata keluarganya mahupun Maiza tidak membantah niat perkahwinan mereka.

“Keluarga saya jarang berjumpa dengan Maiza. Itu pun semasa Hari Raya lalu. Saya juga telah berjumpa beberapa kali dengan keluarganya.

“Insya-Allah, saya juga sudah bersedia untuk bergelar bapa kepada anak-anak Maiza termasuk memikirkan tentang tanggungjawab kewangan dan sebagainya.

“Saya bukan jenis mengongkong malah kepercayaan saling menghormati antara satu sama lain amat penting dalam hubungan kami. Apa yang kurang dalam diri, saya akan cuba belajar daripadanya,” tutur anak kelima daripada tujuh beradik ini.

Walaupun tinggal empat bulan lagi untuk diijabkabulkan, M berkata mereka sudah mula melakukan sedikit persediaan.

Ini kerana pasangan ini akan menjalani dua resepsi iaitu majlis pertunangan dan pernikahan pada hari yang sama. Seterusnya bersanding pada keesokan harinya. Kedua-dua resepsi itu akan dilakukan di Ipoh, Perak. Sebuah lagi resepsi dijangka akan dilakukan di Sabah seminggu selepas itu.

Jan 5, 2010

Mawar Putih Pengikat Kasih Nash & Betty

Sekuntum mawar putih untuk Betty

KALAU hati sudah berkenan status duda bukan penghalang. Bila penyanyi hitam manis Nash Lefthanded mendapat dua kuntum mawar putih daripada penyanyi dan pelakon jelita, Betty Banafe di majlis perkahwinan anak saudara pelawak dan pelakon Zaibo di Bukit Damansara kelmarin, ia bagai merungkai bahasa hati antara kedua artis terkenal itu.

Betty, yang kelihatan anggun, berabaya hitam dengan sulaman kerawang berwarna unggu lembut baru saja pulang dari kelas agama hanya tersenyum manis ketika diusik tentang hubungan mesranya dengan Nash. Malah, ramai yang tidak sedar keserasian antara mereka sebenarnya sudah lama terjalin ketika di Persatuan Karyawan lagi.

Dan petang itu, tautan hati dua insan yang berstatus duda dan dara ini, sememangnya tidak mampu disembunyikan lagi. Di kalangan kawan-kawan, kemesraan Betty, 31, dan Nash, 50, bukan satu rahsia. Dan petang itu bersaksikan hadirin yang meraikan pasangan 'Nabila Datuk Abdul Halim dan Azlan Muhammad', ketika Nash menyampaikan lagu 'Doa Buat Kekasih' di atas pentas, Betty menghadiahkan dua kuntum mawar putih kepada Nash.

Keluarga bahagia....Betty, Syamir Nasha dan Nash

Aksi spontan Betty yang begitu teruja mendengar bait-bait lagu romantis itu mengundang senyuman dan beberapa persoalan. Kenapa dua kuntum bunga mawar? "Ia simbolik dan ada maksud tersirat. Hanya abang Nash yang tahu...," ujar aktres jelita yang terkenal dengan sifat peramahnya itu.

Seusai menerima kuntuman mawar itu, Nash langsung memberitahu hadirin yang hadir, "Saya akan simpan bunga ini sampai kering." Walaupun dalam nada seloroh, Nash kelihatan cukup gembira petang itu.

Ketika turun dari pentas, giliran Nash pula memetik sekuntum mawar dalam jambangan berhampiran dan memberikannya kepada Betty sebagai balasan. Turut sama menyaksikan kebahagiaan Nash dan Betty petang itu adalah satu-satunya anak lelaki Nash, Syamir Nasha yang ralit melihat gelagat ayah dan teman barunya itu.

Ketika ditanya pendapatnya tentang Betty, Syamir hanya tersenyum sambil berkata, "Kak Betty cantik dan peramah. Saya suka kak Betty." Jawapan itu seperti tanda isyarat lampu hijau pada ayahnya untuk mencari suri baru menghias rumah mereka.

Syamir Nasha sangat rapat dengan Betty

"Saya suka tengok ayah happy...." kata pelajar tingkatan 3 ini. Nash hanya ketawa mendengar jawapan spontan anaknya. Namun, jauh di sudut hati, di sebalik keceriaan yang terlakar di wajah Nash, sukar hendak meneka riak hati duda beranak tiga ini.

Tambahan pula peristiwa kecundang kali kedua melayari bahtera rumahtangga, sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Nash. Penyanyi yang popular dengan lagu 'Tiada Lagi Kidungmu' dan 'Pada Syurga Di Wajahmu' itu tidak menafikan yang dia selesa bertemankan Betty, anak gadis kacukan Arab-Indonesia ini.

Nash, Zaibo, kedua mempelai dan Betty

"You cari lah jawapannya sendiri. Kalau sudah bunga berbalas bunga, itu tanda apa?," kata Nash cuba berteka-teki. Tambahnya lagi, "Saya tak nafi yang saya sayang Betty sebagai seorang adik, sahabat dan rakan artis. Yang selebihnya, saya tak berani nak cakap. Masa akan menentukan segalanya. Soal jodoh sukar untuk kita ramal."

Betty yang sibuk melayan Syamir ketika itu sempat mencelah, "Sebenarnya kami dah lama rapat, sejak dari persatuan Karyawan lagi. Nash seorang ayah yang penyayang, abang yang caring dan teman yang setia." Jelas Betty lagi, "Kalau tengok kemesraan kami bila bersama, memang senang disalahertikan. Tapi kami sangat rapat. Abang Nash pernah suap Bet makan dengan tangannya sendiri kat Karyawan dulu. Dari situ Bet tahu, abang Nash memang seorang yang caring."

Malah Bet mengakui Nash mempunyai ciri-ciri yang dia inginkan dalam seorang lelaki. "Abang Nash ada pegangan agama yang kuat dan boleh membimbing ke arah kebaikan. Itu ciri yang paling penting dalam rumahtangga. Mungkin abang Nash belum bernasib baik ketemu wanita yang benar-benar memahaminya. Bet pun macam abang Nash juga, selalu tak bernasib baik dalam soal cinta. Insya Allah, saya selalu doakan yang terbaik untuk abang Nash," kata Betty sambil menjeling ke arah Nash. '

Bagi Betty setiap insan berhak untuk bahagia. "Kita tidak boleh kecewa dengan kegagalan kerana di sebalik kegagalan itu ada hikmahnya," kata Betty menitipkan nasihat pada Nash. Aktres bermata bundar ini juga mengaku cukup meminati lagu 'Pada Syurga Di Wajahmu' nyanyian Nash. "Bertuah betul wanita yang berjaya mencuri hati abang Nash," kata Betty.

Zaibo yang kebetulan mendengar perbualan Nash dan Betty langsung mencelah,"Tak payah cakap berlapik-lapik. Eloklah tu....kalau dah suka sama suka. Aku anytime boleh jadi MC majlis kau berdua...", langsung disambut deraian ketawa sahabat bertiga itu.

‘Bukti dia suami baru’




KUALA LUMPUR - Usahawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mendakwa lelaki yang ditahan bersamanya dalam serbuan maksiat di Petaling Jaya pada malam tahun baru lalu sehingga dia dituduh berkhalwat sebenarnya adalah suami yang baru dinikahinya lebih sebulan lalu.

Beliau mendakwa mereka telah bernikah di Songkhla, Thailand pada November lalu tetapi belum lagi mendaftarkan perkahwinan itu di negara ini.

"Saya tak bawa surat nikah pada malam itu, lagipun mereka (penguat kuasa agama) tak tanya, jadi saya diamkan dirilah,'' kata bekas isteri penyanyi kumpulan Lefthanded, Jamaluddin Elias atau Nash itu pada sidang akhbar di sini semalam.

Bekas Madu Noraniza Idris Dakwa Suami Pernah Tiduri Lebih 10 Wanita

Mastura ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Bekas madu kepada penyanyi etnik kreatif Noraniza Idris hari ini mendakwa suaminya, Datuk Muhamad Mustafa Idrus, 54, pernah meniduri lebih 10 wanita sepanjang perkahwinan mereka.

Mastura Bakar, 24, ketika memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini berkata, suaminya itu tidak adil dalam berpoligami selain banyak berfoya-foya.

"Dalam berpoligami memang dia tidak adil dan banyak berfoya-foya dengan lebih 10 wanita di hotel kerana saya mengenali dan menghubungi setiap wanita yang pernah tidur dengannya,” katanya hari ini ketika menjawab soalan peguam syarie Roslizam Rahim yang mewakilinya dalam semasa prosiding tuntutan cerai fasakh.

Dalam pada itu, Mastura mendakwa Muhamad Mustafa yang juga ahli jawatan kuasa Umno Tasek Gelugor itu pernah melakukan hubungan seks luar tabii setelah dia enggan tidur bersama.

“Dia (suami) suka paksa saya untuk tidur dengannya dan apabila saya enggan berbuat demikian.

“Jadi, sebab itu saya tertekan dan ingin memohon cerai fasakh dengannya. Bukan itu sahaja, dia juga pernah memukul, menampar dan menendang saya sebanyak tujuh hingga lapan kali apabila mempunyai masalah dan apabila saya bertanya tentang hubungannya dengan wanita lain.

“Apabila saya melarikan diri dari rumah, dia akan pecahkan barang-barang dan pernah melanggar saya dengan kereta sekali,” katanya pada perbicaraan kes tuntutan cerai fasakh terhadap suaminya itu.

Mastura juga memberitahu Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin bahawa dia merupakan isteri keempat ketika mereka bernikah pada 3 Jun 2006.

Namun, dia hanya mengetahui tentang statusnya itu semasa mahu melahirkan anak sulung mereka.

“Ketika bernikah dengannya, saya langsung tidak mengetahui yang saya merupakan isterinya yang keempat. Saya hanya mengetahui yang dia pernah berkahwin dan mempunyai anak-anak.

“Apabila saya nak bersalin anak pertama, baru saya tahu yang saya merupakan isteri keempat," ujarnya.

Beliau berkata, selepas itu suaminya berkahwin dengan tiga wanita termasuk Noraniza.

“Dia sendiri mengaku telah berkahwin dengan ketiga-tiga wanita itu kepada saya setelah saya mengemukakan bukti-buktinya.

Selepas dua tahun berkahwin, tambahnya, Muhamad Mustafa mula jarang pulang ke rumah apabila selepas dia mengetahui suaminya mempunyai isteri lain.

“Kadangkala, seminggu dia tidak pulang ke rumah. Sekitar Mei 2008, dia hanya pulang sekejap dan tidak bermalam di rumah. Saya rasa seperti tempat persinggahannya.

Menurut Mastura, dia bukan sahaja tertekan sehingga trauma untuk tinggal bersama malah lelaki itu juga didakwa tidak memberikan nafkah kepadanya dan anak-anak sejak Disember 2008.

“Sejak Disember 2008, semuanya (pakaian, makanan dan rumah sewa) saya tanggung sendiri dan mendapat bantuan keluarga,” ujarnya lagi yang kini menganggur.

Sebelum ini, Mastura menanggung keperluannya dan anak-anak menerusi pendapatannya bekerja sebagai pembantu jualan di kedai barang kemas My Diamond di The Curve, Damansara termasuk berkerja di pusat rawatan spa Mustika Ratu.

Mastura dan Muhamad Mustaffa bernikah pada 3 Jun 2006 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak dan dikurniakan tiga anak berusia dua hingga lima tahun.

Muhamad Mustafa tidak hadir ke mahkamah dan diwakili oleh peguam syarie Zaidi Ibrahim.

Kes itu ditangguh pada esok, 6, 12, dan 13 Januari di mahkamah yang sama.

Jan 4, 2010

Zizan Nin Tunggu Masa Umum Tarikh Perkahwinan

KISAH perkahwinan pelakon kacak, Zizan Nin, 36, yang dikatakan bakal dilangsungkan tahun ini masih lagi menjadi tanda-tanya ramai.

Berpegang kepada pendirian untuk tidak mahu terlalu menghebohkan kisah peribadinya kepada media, Zizan berkata, dia masih menunggu masa yang sesuai sebelum berbicara lanjut tentang majlis perkahwinannya itu.

“Saya bukan tidak mahu memberi maklumat tentang perkahwinan saya tapi saya dan keluarga pihak perempuan masih lagi mencari tarikh yang sesuai.

“Apa yang pasti majlis tersebut akan berlangsung pada tahun ini sebelum hari jadi saya pada bulan Mei. Sekarang ni masih tengah buat persiapan,” ujar Zizan yang ditemui pada majlis persandingan Serina dan Gavin kelmarin.

Bercerita tentang majlis perkahwinanan yang diimpikan, Zizan berkata dia lebih suka majlis yang berkonsepkan perkahwinan dalam taman.

“Majlis saya sederhana sahaja, tidak sehebat majlis ini (Serina). Tapi saya suka konsep dalam taman, kalau boleh saya lebih suka ia dilakukan di kawasan lapang bukan di dalam dewan.

“Tapi kalau masih lagi bercuaca seperti sekarang yang sentiasa hujan, terpaksa jugalah buat di dalam dewan,” ujarnya yang menambah, majlis itu akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Pelakon drama Disebalik Tirai Besi ini juga memberitahu, ketika ini, dia sudah menyiapkan senarai tetamu jemputan yang bakal menghadiri majlis perkahwinannya nanti.

“Saya sudah menyiapkan senarai jemputan, para wartawan juga tidak terkecuali. Saya akan menyiapkan kenyataan media untuk majlis tersebut bagi memudahkan wartawan,’ kata Zizan yang akan mengumumkan tarikh perkahwinannya dalam masa terdekat ini.

Mengulas lanjut tentang perkahwinannya, Zizan berkata dia mungkin melakukan acara pertunangan pada majlis yang sama, namun itu masih lagi diperingkat perbincangan.

“Sekarang ramai yang tidak bertunang lama-lama, ada juga yang bertunang beberapa jam sebelum bernikah. Saya masih lagi dalam perancangan untuk bertunang, mungkin akan bertunang dalam masa yang singkat sahaja,” katanya.

Ketika ini, ramai yang ingin mengetahui gerangan gadis bertuah yang berjaya mencuri hati pelakon popular ini.

Biarpun masih merahsiakannya, namun menurut Zizan, teman wanitanya itu merupakan wanita yang cukup bersederhana.

“Dia bukan dari golongan artis atau bekerja dalam industri hiburan. Namun janganlah tulis dia orang biasa, saya tidak mahu keluarga dia berkata apa pula, golongan artis pun bukanlah orang luar biasa pun.

“Cukuplah saya katakan dia bekerja di pejabat, selebihnya biar jadi surprise pada hari perkahwinan nanti,” ujar Zizan

Sementara itu, Zizan yang baru sahaja habis penggambaran drama Siong untuk slot Lagenda TV3 mengakui jadual untuk tahun baru ini semakin padat.

“Tahun 2010 saya banyak juga tawaran berlakon telefilem. Setakat ini jadual saya padat sehingga bulan Jun, nak susun jadual pun saya masih pening lagi. Tapi, saya perlu fokus untuk buat persiapan perkahwinan dulu,” ujarnya yang bakal mengunakan khidmat perunding perkahwinan bagi melancarkan perjalanan majlis perkahwinannya nanti.

Jan 3, 2010

Aliah Lee 'Kunci Mulut' Tentang Majlis Perkahwinan

Vee dan pasangan semasa menghadiri majlis pernikahan anak Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (Tok Mat) iaitu Nur Jazlin dan Liza Mydin semalam - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

KISAH pertunangan pelakon dan penerbit, Nur Aliah Lee atau Vee rancak diperkatakan sejak bulan November lalu lagi. Di internet ketika itu, tersebar gambar-gambar Vee dan pasangannya yang diambil pada majlis pertunangan mereka.

Vee bagaimanapun terus mengunci mulut tentang pertunangan rahsianya dengan lelaki yang dikatakan adalah seorang ahli perniagaan itu. Cerita terbaru pula mengatakan pasangan ini akan melangsungkan pernikahan mereka pada 8 Januari ini.

Berpeluang bertemu Vee dan pasangannya itu pada majlis perkahwinan anak lelaki Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (Tok Mat) iaitu Nur Jasni dan pasangannya Liza Mydin di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Shah, Petaling Jaya, semalam, wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun tetap mengelak daripada membicarakan tentang hal tersebut.

Hadir dengan berpakaian sedondon berwarna ungu, pasangannya juga dilihat terus bangun meninggalkan meja makan itu setelah melihat penulis menghampiri Vee.

Ditanya tentang pertunangan rahsianya itu, sambil tersenyum Vee yang sudah dua tahun hidup menjanda ini hanya menjawab:

"Susah nak cakap...itu kena tanya dia (pasangannya). Kalau dia ok, saya bolehlah cakap."

Vee juga enggan mengulas lanjut tentang pasangannya itu serta tarikh sebenar majlis perkahwinannya.

"No comment. Nanti, lepas selesai semuanya, saya akan bagi kenyataan. Saya faham tugas wartawan kerana saya juga berada di dalam industri ini.

"Tapi saya perlu menghormati kehendak dia (pasangan) dan saya harap semua pihak memahami," kata Vee dalam nada perlahan.

Vee pernah mendirikan rumahtangga dengan pengarah terkenal, Aziz M. Osman yang bertahan selama 15 tahun dan mempunyai lima orang anak.

Kemuncak Majlis Perkahwinan Serina Meriah

Foto THE STAR oleh SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Malam kemuncak majlis resepsi keenam bagi meraikan pasangan pengantin baru, Serina Redzuawan dan suami tercinta Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar berlangsung dengan penuh tradisi dan meriah di The Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi.

Pasangan mempelai tiba kira-kira pukul 8.50 malam diikuti dengan persembahan silat.

Di majlis yang berkonsepkan persandingan dalam taman itu, Serina kelihatan anggun dengan pakaian rekaan Radzuan Radziwill berwarna ‘lavender’ (ungu muda) dan didandan bak Puteri Rania.

Acara kemudiannya dimulakan dengan bacaan doa sebelum upacara merenjis mempelai menyusul. Ia didahului oleh nenda Serina, Noraini Abdullah diikuti dengan ibubapa Gavin dan ibubapa Serina.

Sepanjang berlangsungnya majlis yang dikendalikan oleh hos Datuk Mahadzir Lokman itu, pasangan pengantin dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan daripada penyanyi-penyanyi seperti Yusni Hamid dan Nasseir Wahab.

Bagi acara potong kek pula, Serina mengenakan gaun pengantin rekaan Jovian Mandagie manakala pasangannya memakai sut ‘tail coat’ bertemakan klasik yang ditaja oleh Lord’s Tailor.

Serina turut disaluti dengan aksesori barangan kemas daripada Habib Jewels bernilai RM2.5 juta.

Kira-kira 700 orang hadir dalam majlis gilang gemilang itu termasuk keluarga dan sahabat-handai kedua-dua belah pihak serta rakan-rakan artis seperti Umie Aida, Azwan Ali, Betty Banafe, Memey, Lisa Surihani, Nora Danish, Nurul, Zed Zaidi, Zizan Nin, Lisdawati dan Fauzi Nawawi.

Satu lagi resepsi atau majlis keraian akan diadakan berkemungkinan pada hujung Januari depan bagi meraikan mempelai di kampung halaman Chef Wan di Sungai Koyan, Pahang.

Terdahulu, Serina dan Gavin sah bergelar suami isteri pada 1 Januari lepas setelah diijabkabulkan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Jan 2, 2010

Air Mata Chef Wan Iringi Pernikahan Serina

Chef Wan sebak disaat menyerahkan Serina kepada suaminya Gavin. Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

AIR mata seorang ayah tidak mampu ditahan tatkala melepaskan tanggungjawab yang dipikulnya selama ini kepada menantu.

Bapa kepada mempelai, Mohd Redzuawan Ismail atau Chef Wan tidak dapat menyembunyikan perasaannya selepas Serina sah menjadi isteri kepada Gavin.

Chef Wan akur dengan kenyataan bahawa anak gadisnya, Serina, 25, kini dimiliki oleh Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar, 32.

"Saya sangat sedih untuk melepaskan dia (Serina)... saya teringat zaman-zaman dahulu susah payah membesarkan dia, kadang-kadang saya terlalu sibuk sehingga terpaksa meninggalkan dia.

"Ketika dia mula-mula nak jadi artis dan kisah dia bersama arwah Hani Mohsin, semua itu saya terkenang dan kini dia sudah pun dimiliki Gavin.

"Kini tanggungjawab saya telah diserahkan kepada suaminya Gavin. Saya harap Gavin dapat menjaga Serina dengan baik dan saya masih lagi di belakang mereka sebagai bapa," ujar Chef Wan yang menghadiahkan percutian bulan madu ke Pulau Santorini, Greece.

Dalam pada itu, beliau terharu dan bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dapat melangsungkan perkahwinan anak perempuan tunggal kesayangannya itu.

Serina memeluk erat ayahnya selepas sah bergelar isteri kepada Gavin.

"Saya sedar tidak semua ibu bapa berpeluang melangsungkan perkahwinan anak mereka, saya sangat bertuah kerana Allah memberi peluang kepada saya untuk menjalankan majlis perkahwinan ini," ujarnya.

Selebriti masakan itu turut menasihatkan Serina agar dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baik terutamanya membimbing suami mendalami Islam.

"Nasihat saya kepada Serina agar sentiasa menjaga rukun rumah tangga dengan baik dan paling penting hormat kepada suami dan sebagai orang Islam Serina harus menjadi contoh yang baik kepada suami," katanya yang bakal melangsungkan majlis perkahwinan anaknya di kampung halamannya Sungai Koyan, Pahang pada akhir bulan ini.