Dec 16, 2008

Cerai Ritchie, Madonna bayar RM325 juta


[DIKEMAS KINI] LONDON: Bintang pop Amerika, Madonna telah bersetuju untuk membayar RM325 juta kepada bekas suaminya yang juga pengarah filem terkenal, Guy Ritchie bagi menyelesaikan urusan penceraian mereka.

Penyelesaian itu adalah dua kali ganda berbanding bayaran yang dibuat dalam urusan penceraian selebiriti Britain, Paul McCartney dan model Heather Mills.

Madonna dan Ritchie telah berkahwin sejak lapan tahun lalu.

Kali terakhir Madonna dilihat bersama suaminya itu adalah pada September lalu sewaktu meraikan hari ulang tahun Ritchie selepas konsert jelajahnya di sebuah kelab di London.

Pasangan ini memiliki dua anak iaitu Rocco, 8 tahun, dan david, 3 tahun.

Madonna juga mempunyai seorang anak perempuan, Lourdes, 12 tahun, dari hubungannya dengan penari Carlos Leon.

Jurucakap Madonna, Liz Rosenberg memberitahu Associated Press bahawa penyelesaian itu membabitkan bayaran sebanyak antara 50 juta hingga 60 juta pound sterling.

Bayaran itu termasuklah nilai rumah mereka, Ashcombe House di barat England yang akan dimiliki oleh Ritchie.

Rosenberg berkata, pub pasangan berkenaan di barat London iaitu Punchbowl juga akan dimiliki Ritchie.

Pasangan tersebut dikatakan mempunyai harta bernilai lebih RM1.5 bilion dengan kebanyakannya adalah milik Madonna.

Nilai kekayaan Ritchie dianggarkan lebih RM100 juta.

"Saya melihat ia sebagai salah satu bayaran paling besar dalam mana-mana penyelesaian kes cerai," kata Rosenberg. AP

No comments: