Dec 13, 2008

Kenduri kahwin dalam hutan

Yang menjadikan mereka unik adalah pilihan lokasi untuk mengadakan ‘kenduri kahwin’ khas untuk rakan-rakan penggemar aktiviti 4x4 sekali gus berbulan madu di dalam hutan.




TARIKH 3 Oktober 2008 pasti akan kekal dalam memori Mohd Ghazali Onn dan Nur Arfah Mohd Sharif sehingga ke hujung nyawa.

Tanggal tarikh keramat itu, pasangan kekasih yang berasal dari kampung yang sama, Felda Kota Gelanggi, Jerantut, Pahang, selamat diijabkabul sekali gus menjadi suami isteri yang kini bahagia melayari bahtera rumah tangga.

Apa uniknya pasangan ini? Mungkin majlis perkahwinan mereka biasa sahaja seperti mana yang pernah diadakan di rumah-rumah kenduri kahwin di kampung-kampung seluruh negara.

Namun yang menjadikan mereka unik adalah pilihan lokasi untuk mengadakan 'kenduri kahwin' khas untuk rakan-rakan penggemar aktiviti 4x4 sekali gus berbulan madu di dalam hutan.

Jika kebanyakan pengantin baru lebih gemar memilih pantai-pantai peranginan yang cantik di dalam mahupun luar negara, umpamanya pantai Cherating di Pahang atau pulau Langkawi di Kedah manakala Bali di Indonesia atau pulau Phuket, Thailand yang kerap dirujuk sebagai destinasi pengantin baru, lain pula halnya dengan Mohd Ghazali, 28, yang lebih mesra dipanggil Zali dan pasangannya, Nur Arfah, 21, atau Effa.

Mahukan suatu kelainan yang akan dikenang sepanjang hayat, pasangan yang sama cantik dan sama padan ini sepakat untuk menghayati keindahan hutan hujan tropika yang berusia jutaan tahun di tapak perkhemahan Ulu Salan, Jerantut, Pahang.


BERGAMBAR bersama Toyota Land Cruiser yang dipandu Zali untuk memenuhi minatnya dalam aktiviti memandu lasak 4x4.


Menurut Zali, tapak perkhemahan itu dipilih sebagai destinasi meraikan perkahwinan mereka kerana dia mahu memberi peluang kepada isteri tersayang merasai pengalaman berkhemah di dalam hutan yang masih belum tercemar dan terletak pula di tepi aliran sungai yang jernih dan dingin.

"Effa tak pernah pergi off road. Jadi, saya bawa dia masuk ke hutan untuk membolehkannya menikmati keindahan alam semula jadi yang tidak terdapat di tempat lain,'' katanya kepada Kosmo!.

Tapak perkhemahan Ulu Salan terletak di tepi Sungai Salan yang mengambil masa kira-kira dua jam memandu dari pekan Jerantut, Pahang.

Untuk sampai ke sana, seseorang perlu menyewa atau memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda (4x4) kerana kira-kira lima kilometer sebelum sampai ke tapak perkhemahan itu, laluan balak yang baru dirintis semula setelah 'tidur' selama kira-kira 30 tahun perlu ditempuhi dengan berhati-hati.

Penulis yang berpeluang mengikuti ekspedisi 4x4 ini bagi mengiringi pasangan pengantin baru yang mahu mengadakan majlis memotong kek di dalam hutan turut teruja melihat keindahan alam semula jadi.

Sebanyak dua jambatan balak yang cukup memuatkan tayar 4x4 perlu dilepasi, selain dua kawasan berselut yang menyebabkan beberapa jentera berat ini tersangkut di dalam lumpur sehingga memaksa winch digunakan untuk mengeluarkan 4x4 itu dari selut tersebut.

"Sambil merasai sendiri cabaran meredah hutan dengan 4x4, saya juga mahu Effa mengenali lebih dekat rakan-rakan saya yang mempunyai minat yang sama iaitu memandu lasak dengan pacuan empat roda di dalam hutan,'' ujarnya.

Memiliki Toyota Land Cruiser terpakai yang dibeli pada harga RM30,000 dan tambahan RM20,000 dihabiskan untuk mengubah suai jentera 4x4 itu bagi melayakkannya mampu meredah laluan sukar daripada kategori mudah, sederhana dan sukar, Zali berkata, soal wang tidak menjadi masalah kepada mereka yang meminati sukan lasak ini.

"Bila dah minat, saya tak kisah berhabis ratusan atau ribuan ringgit setiap kali keluar dari hutan,'' katanya sambil meminta saya dan rakan-rakan di dalam 4x4 yang dipandunya memegang kuat tempat pemegang di sisi bumbung pintu bagi membolehkannya memecut laju merempuh kawasan berlumpur.

"Untuk mengelakkan tersangkut di dalam lumpur, ada teknik tertentu yang perlu diketahui pemandu. Jika tersilap perkiraan, mungkin boleh tersangkut lebih dalam di dalam lumpur. Bila berlaku, terpaksalah pakai winch untuk tarik keluar,'' jelasnya panjang lebar bercerita mengenai salah satu teknik yang perlu diketahui oleh setiap pemandu 4x4 yang gemar memandu lasak di dalam hutan.

Effa yang sejak tadi hanya mendengar perbualan kami mencelah dengan berkata, beliau akan berusaha memahami minat suaminya dalam aktiviti lasak memandu 4x4.


BERSAMA rakan-rakan yang meraikan pengantin baru di tapak perkhemahan Ulu Salan, Jerantut, Pahang.


Katanya, sebagai isteri, beliau tidak akan menghalang suaminya mengikuti ekspedisi dan jika berkesempatan, beliau sendiri akan menemani suami menyertai semua ekspedisi berkenaan.

Mengulas pengalaman pertama berkhemah di dalam hutan, Effa berkata:

"Seronok juga. Terasa tenang mendengar kicauan burung dan aliran sungai yang mengalir deras di bawah sana."

Bagi meraikan pasangan pengantin baru ini, pihak penganjur Middle Earth menyajikan masakan istimewa yang disediakan oleh chef Eddy dan rakan-rakan iaitu kepak ayam bermadu, salad, nasi goreng cina, koktel, potongan buah limau, epal dan tembikai segar serta jagung bakar. Selaku pengurus acara, Middle Earth turut menawarkan perkhidmatan motel dan kafe di Jerantut, khidmat penunjuk arah, khidmat pengangkutan 4x4, menyediakan latihan memandu lasak, katering di hutan, meninjau laluan baru ke lokasi tertentu di dalam hutan, perkhemahan dan pengiklanan.

*** Mereka yang berminat, bolehlah menghubungi Pengarah Urusannya, Marodzuan Abd. Ghani di talian 012-9819145 atau 03-61889990 atau faks 03-61889950 atau layari laman web http//middle.earth.angelfire.com

No comments: