Dec 17, 2008

Pernikahan rahsia Aidil-Rita tidak direstui keluarga?

PETALING JAYA: Selepas dikejutkan dengan berita perkahwinan rahsia aktor Cico Harahap, kini giliran aktres Rita Rudaini Mokhtar, 32, dan pemain bola sepak kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Radzak, 21, disahkan bernikah di Songkla, Thailand pada 25 Februari tahun ini.
Aidil (kiri) bersama kembarnya, Zaquan Adha.

Hampir 10 bulan Aidil menyembunyikan perkahwinannya dengan Rita daripada pengetahuan keluarganya sehingga bapanya, Abdul Radzak Salleh, 59, mengesahkan berita tersebut, semalam di sebuah akhbar tempatan.

Abdul Radzak Salleh, 59, (tengah) bapa kepada pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan menjawab pertanyaan pemberita sambil ditemani oleh isteri, Azizah Arshat, 56, dan kembar Aidil Zafuan, Mohd Zaquan Adha ketika sidang akhbar di rumahnya di sini, hari ini. -foto BERNAMA

Menurut bapanya, dia redha dengan apa yang berlaku tetapi dalam masa yang sama berasa kecewa dengan Aidil kerana membelakangkan keluarga dalam hal perkahwinan.

“Semua ini ketentuan Tuhan dan apa yang mereka sudah lakukan tidak boleh berpatah balik.

Rita Rudaini berkahwin kali kedua selepas bercerai dengan penyampai berita sukan TV3, Akbar Sahari.

“Saya tak dapat cakap sama ada merestui perbuatan mereka atau tidak kerana perkara itu telah berlaku. Namun, saya terima apa yang berlaku.

“Saya berharap orang lain akan memahami karier Aidil pada masa akan datang kerana pendapatannya merupakan periuk nasi kami sekeluarga,” luah Radzak kepada pemberita ketika melakukan sidang media di rumah anak sulungnya di Coral Heights Seremban, petang tadi.

SEBAK ... Azizah Arshat, 56, ibu kepada pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Radzak menahan sebak ketika ditanya mengenai perkahwinan anaknya itu dengan pelakon, Rita Rudaini Mohktar, 32, ketika sidang akhbar di rumahnya di sini, hari ini. Turut serta kakak Aidil Zafuan, Ruzithana, 37, (kanan).

Sidang media tersebut dilakukan oleh keluarga Radzak tanpa kehadiran Aidil mahupun Rita.

Ketika berita tersebut sampai ke telinganya melalui anak sulungnya, Ruzithana Razak Abdul Radzak, 37, tiga hari lalu, Radzak berkata Aidil ada datang berjumpa dengannya pada 13 Disember lalu.

“Aidil hanya datang jumpa saya untuk meminta pandangan tentang Rita tetapi dia tidak beritahu pula mengenai berita perkahwinannya. Malah, saya tak nampak dia macam sudah berkahwin kerana perangai dia macam biasa,” ujar Radzak.

Walaupun perkara yang dilakukan menyalahi undang-undang, Radzak berkata mereka sekeluarga akan menyokong dan mendoakan kebahagian Aidil serta menasihatkan Aidil supaya menyelesaikan masalah tersebut sendiri.

"Saya harap Aidil teruskan dengan apa yang dirancang demi kebahagiaannya.

"Kami sekeluarga hanya berdoa untuk Aidil dan tidak mahu kariernya terjejas," katanya.

Radzak berkata Aidil pernah menafikan bahawa dia dan Rita sedang bercinta dahulu sebaliknya berkata mereka sekadar kawan biasa.

Selepas mengetahui berita tersebut, dia ada meminta Aidil pulang berbincang dengan keluarga mengenai hal tersebut namun anaknya itu memberikan pelbagai alasan seolah-olah enggan berbuat demikian.

Dalam pada itu, kakak Aidil, Ruzithana berkata dia mendapat tahu berita tersebut pada hari yang sama sebelum Aidil datang bertemu dengan ayahnya.

“Aidil datang berjumpa dengan saya untuk memberitahu hal ini dan turut menunjukkan sijil pernikahannya sebagai bukti.

“Dia juga meminta saya memberitahu ayah tetapi saya enggan sebaliknya menyuruh dia memberitahu sendiri kerana masalah tersebut ditimbulkan olehnya,” kata Ruzithana.

Sementara itu, ibu Aidil, Azizah Arshad, 56, turut meluahkan rasa terkilannya.

"Saya rasa terkilan dengan Aidil, tetapi suka atau tidak, saya terpaksa terima kerana dia anak saya.

"Saya rasa seperti kehilangan Aidil dan hal ini mengambil masa yang lama untuk menenangkan hati saya semula," ujarnya yang turut melaporkan mereka sekeluarga tidak mempunyai perselisihan faham dengan Aidil sebelum ini.

Dalam sidang media tersebut, abang kembar Aidil, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, 21, turut memaklumkan yang adiknya tidak pernah memberitahu apa-apa tentang pernikahannya sebelum ini.

Pasangan Rita dan Aidil dikatakan mula akrab sejak Ogos 2006 dan kisah hubungan mereka mula menjadi bualan dua bulan selepas itu.

Spekulasi perkahwinan Rita, pelakon drama bersiri Bagai Aur Dan Tebing itu sudah lama tersebar namun dia menafikannya dan mendakwa berita tersebut sebagai khabar angin.

Ini merupakan perkahwinan kedua Rita selepas menjanda tujuh tahun dan pernah berkahwin dengan penyampai berita sukan TV3, Akbar Sahari tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

No comments: