Dec 24, 2008

Kes cerai Radhi ditangguh lagi


RADHI tidak hadir ke mahkamah kerana urusan kerja di Kedah.



SHAZLIN di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA - Setelah tiga kali tertangguh, Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam sekali lagi menangguhkan kes permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan isteri vokalis dan gitaris OAG, Shazlin Sharif kepada 3 Februari 2009.

Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan demikian bagi membolehkan Mohd. Radhi Razali, 31, selaku defendan hadir ke mahkamah pada tarikh akan datang memandangkan semalam, dia gagal hadir kerana ada urusan kerja di Kedah.

Peguam Syarie, Noorafizah Abdul Azis yang mewakili Shazlin, 30, memaklumkan bahawa anak guamnya telah memfailkan afidavit penyampaian semalam (kelmarin).

"Sebelum ini, afidavit tersebut telah diserahkan sendiri kepada defendan pada 24 Oktober lalu tetapi defendan enggan menurunkan tandatangan pada akuan penerima.

"Namun, defendan telah tandatangan akuan penerima pada 15 Disember lalu dan hari ini (semalam), defendan tidak dapat hadir kerana ada urusan kerja. Oleh itu, saya mohon mahkamah mengeluarkan notis amaran terhadap defendan supaya dapat menghadirkan diri pada prosiding akan datang," katanya.

Terdahulu, Shazlin yang berpakaian kasual tiba di mahkamah pukul 9.40 pagi namun tiga minit kemudian, dia dilihat keluar dari kamar mahkamah untuk menukar pakaian.

No comments: