Dec 4, 2008

Norman sekeluarga kunjungi rumah Memey


PERBALAHAN yang berlaku di lokasi penggambaran Gerak Khas adalah kali terakhir pasangan ini berjumpa.

Bukan merisik tetapi sekadar mahu mengeratkan silaturahim

BENAR bagai kami jangka, satu lagi penafian dibuat pelakon Norman Hakim. Andai sebelum ini dia menafikan tuduhan khalwat bersama pelakon baru Memey Suhaiza pada 30 Oktober lalu. Kali ini, pelakon yang juga suami kepada Abby Abadi itu menafikan berita perkahwinannya dengan Memey yang dijangka berlangsung sehari sebelum umat Islam meraikan Aidiladha.

Namun dalam penafian itu semacam ada sinar bahagia. Kemerah-kemerahan wajah Norman menahan malu bagaikan si teruna yang baru belajar bercinta.

Soal jodoh, ujar Norman diserahkan kepada takdir. Bukan hal kahwin yang menjadi sasarannya ketika ini, sebaliknya pelakon yang ditemui ketika sedang menjalani penggambaran Gerak Khas di Wangsa Maju berkata, fokusnya adalah untuk menyelesaikan kes khalwat yang bakal diketahui keputusannya 20 Januari depan.

"Inisiatif saya sekarang adalah untuk menyelesaikan kes khalwat dulu. Apa yang penting sekarang, saya perlu selesaikan masalah saya satu persatu," katanya.

Dijolok pertanyaan mengenai dakwaan penduduk Felda Tenggaroh Selatan 1 yang melihat Norman berada di kediaman wanita yang dikaitkan dengannya itu. Norman mengaku dia ke sana, namun tidak lebih hanya untuk mengeratkan silaturahim bukan merisik seperti yang didakwa.
TIGA permata hati yang bisa membuatkan hati Norman luluh.

"Memang saya ke sana, tetapi ia hanyalah secara kebetulan. Saya, abang dan ibu menziarah saudara di daerah Batu Pahat. Kami kemudian ke Bukit Cermai menziarah kubur arwah kakak, kebetulan berada di sana, saya pun mengambil keputusan untuk menziarah keluarga Memey.

"Kebetulan juga ada majlis di rumahnya tetapi hanyalah majlis hari jadi adiknya. Mungkin disebabkan majlis itu, orang menyangka kami datang merisik. Jika benar saya hendak berkahwin dan ada acara merisik, saya akan beritahu. Saya sudah belajar dari kesilapan lalu, saya lupa ketika itu bahawa saya milik masyarakat," katanya tenang.

Ditanya mengenai masalah rumah tangganya yang sehingga kini masih belum ada sebarang penyelesaian seakan tiada usaha ke arah itu. Kata Norman, dia dan Abby kini sedang dalam tempoh bertenang.

Katanya, dia dan Abby memerlukan masa untuk memikirkan masak-masak masalah rumah tangga mereka sebelum masing-masing bersedia untuk bertemu. Lagipun kata Norman, tiada guna mereka bertemu seandainya ia hanya akan menambahkan lagi kekusutan mereka.

WANITA yang kononnya kini bertakhta di hati Norman.

Kali terakhir mereka bertemu pun kata Normah adalah pada hari Abby menyerangnya di lokasi Gerak Khas tempoh hari. Sejak itu, dia langsung tidak berpeluang bertemu isterinya. Hanya SMS menjadi penghubung sekali pun Abby tidak pernah membalasnya.

Norman mengakui masih sayangkan isterinya dan juga anak-anak hasil perkongsian hidup selama enam tahun dengan Abby. Berat hatinya untuk melepaskan isterinya itu, walaupun itu yang dimahukan Abby saat ini. Katanya, perpisahan yang pernah dilalui dua tahun lalu, walaupun sekejap namun amat memeritkan. Justeru, dia enggan melalui semua itu sekali lagi.

Biarpun Abby tidak memberikan sebarang isyarat kepadanya. Norman tidak jemu memujuk. Tanggal 1 Disember iaitu hari ulang tahun ke-31 isterinya itu, dia tidak lupa menitipkan SMS buat isterinya antaranya berbunyi: "Selamat menyambut ulang tahun ke-31. Semoga dipanjangkan umur, murah rezeki, cantik dan ceria selalu semasa bekerja dan semoga gembira di samping anak-anak. Ingatlah apabila kita terlalu membenci seseorang, fikirkan kembali kenangan manis sewaktu bersama insan disayangi. Dan apabila kita terlalu sukakan seseorang, ingatlah pula kenangan pahit yang pernah dilalui".

Meminta komennya mengenai isterinya itu yang kini dikaitkan dengan seorang pelakon baru, Norman tidak mahu mengulas lanjut. Katanya, biarlah kesalahan diletakkan di bahunya dan dia tidak mahu masyarakat memandang serong kepada isterinya.

Berbalik kepada soal Memey yang masih terus berdiam diri, kata Norman, bukan dia yang meminta gadis itu berbuat demikian sebalikny, ia adalah permintaan keluarga Memey sendiri yang tidak mahu membesar-besarkan isu khalwat mereka.

Biarpun dihambat gosip yang maha besar tetapi kata Norman, perkara itu tidak pernah menjejaskan karier seninya. Sehingga kini dia masih lagi menerima tawaran berlakon.

Bagaimanapun, diminta mengulas mengenai wataknya sebagai Inspektor Haris yang dihentikan kata Norman, perkara itu adalah tidak benar, sebaliknya dia hanya direhatkan selama tiga bulan.

No comments: