KAJANG 2 Dis. - 'Bekas isteri' kepada vokalis kumpulan Pearl yang dijadualkan bernikah dengan bakal suaminya pada 27 Disember ini berhadapan dengan kesulitan apabila perkahwinan dengan penyanyi terbabit diragui dari segi prosedur.
Emylia Amer Hamzah, 28, selaku plaintif mengemukakan permohonan faraq supaya Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini memisahkan pernikahannya dengan Mohd. Amir Mohd. Esa, 36. Walhal mereka yang bernikah 10 tahun lalu mendakwa sudah pun bercerai pada 14 April 2006.
Dalam prosiding itu, Emylia yang tidak diwakili peguam telah disoal bertubi-tubi oleh hakim syarie, Abdul Malik Soleh berhubung tujuan sebenar plaintif mengemukakan permohonan tersebut.
Setelah diasak dengan pelbagai soalan, Emylia memberitahu, dia sebenarnya hendak berkahwin dengan lelaki lain dan pernikahan dijadualkan berlangsung pada 27 Disember ini.
Abdul Malik yang tidak faham dengan jawapan tersebut bertanya: ''Kalau kamu hendak bernikah dengan lelaki lain sekalipun mengapa kamu mengemukakan permohonan faraq nikah dengan defendan.''
Plaintif kemudiannya menyatakan, pernikahannya dengan Mohd. Amir sebenarnya tidak didaftarkan meskipun dia berkahwin di Gombak, Selangor.
''Yang Arif, saya dinikahkan oleh juru nikah, Ibrahim Tahir yang diiktiraf Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan bapa sebagai wali saya. Dua saksi pernikahan ialah bapa saudara saya.
Tetapi beberapa bulan selepas bernikah, saya ada terbaca berita dalam surat khabar bahawa pentauliahan JAIS ke atas juru nikah terbabit telah ditarik balik,'' cerita plaintif.
Tambahan pula, defendan juga menurut plaintif telah menceraikannya pada 14 April 2006. Namun perceraian tidak dapat didaftarkan kerana masalah dokumentasi ekoran pernikahan tidak didaftarkan.
Plaintif sehubungan itu, mahukan pengesahan mahkamah sama ada dia boleh bernikah dengan pasangan barunya.
Abdul Malik menyoal plaintif, adakah dia betul-betul pasti majlis tersebut diwalikan ayahnya, bapa saudara pula menjadi saksi, mas kahwin, ijab dan kabul. Cuma yang menjadi isu sekarang orang yang mengakad nikah.
Selepas Emylia, giliran Mohd. Amir pula disoal hakim. Defendan yang bersetuju dengan keterangan 'bekas' isterinya memberitahu mahkamah bahawa mereka telah bernikah pada 5 November 1998.
''Ketika bernikah, kami beranggapan pernikahan itu sah. Tetapi beberapa bulan kemudian barulah saya tahu pentauliahan juru nikah terbabit ditarik balik,'' kata Mohd. Amir dengan tenang.
Abdul Malik: ''Persoalannya mengapa baru sekarang hendak membuat faraq nikah?''
Mohd. Amir: ''Kerana masa itu saya berhadapan dengan masalah ekonomi dan bimbang akan dikenakan denda sekiranya membawa kes ke mahkamah.''
Selepas mendengar penjelasan kedua belah pihak, Abdul Malik menangguhkan sehingga 22 Disember ini bagi sebutan semula kes. Tarikh tersebut adalah lima hari sebelum plaintif dijadualkan bernikah dengan bakal suami barunya. Ini bagi membolehkan hakim mendapatkan laporan dan meneliti siasatan yang dijalankan oleh pejabat agama berhubung pernikahan pasangan itu.
Dalam permohonan tersebut, plaintif di samping memohon faraq pernikahan turut mengemukakan permohonan status anak, Helmi Fardhuqa Mohd. Amir, sembilan tahun. Kanak-kanak itu kini di bawah jagaan Mohd. Amir. Vokalis kumpulan Pearl itu dikenali dengan lagu nyanyiannya, Aku Tak Bersalah. Pearl juga popular dengan album kedua mereka berjudul Jika Kau Merasa Sakitnya.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Mohd. Amir memberitahu, dia merasa simpati dengan 'bekas isterinya' itu yang menghadapi kesulitan untuk berkahwin baru.
''Jadi saya datang hari ini untuk memberikan keterangan mengenai pernikahan kami dulu,'' kata Mohd. Amir yang masih lagi menyanyi.
No comments:
Post a Comment