Nada sebak Amy yang kedengaran di corong pembesar suara menyentuh hati tetamu
ENTAH kenapa sejak puteri sulungnya menyatakan hasrat untuk membina mahligai cintanya Mei lalu, hati legenda rock, Amy Search mudah benar tersentuh. Makin diingati, makin sukar dibendung perasaan sedihnya itu.
Bimbang sukar mengawal kesedihan pada hari puteri sulungnya, Nabila Huda, 24, disatukan dengan pilihan hatinya Zaidy Zailani, 27, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi A Rahman pada mulanya enggan menikahkan sendiri anaknya kerana bimbang air mata akan laju berguguran.
Bagaimanapun, apabila tarikh 2 Disember tiba, iaitu dua hari selepas majlis khatam Quran, Amy berubah fikiran dan dia sendiri melunaskan tanggungjawab untuk menikahkan anak sulungnya itu.
Benar bagai yang dibimbangi Amy, air mata pilu tidak mampu dikawalnya. Nada esak yang kedengaran di corong pembesar suara yang diletakkan di hujung Dewan Nikah, Masjid Wilayah menyentuh hati tetamu yang hadir.
Menyelami hati seorang bapa, kata Amy, berat hatinya untuk melepaskan puteri yang selama ini menjadi tanggungjawabnya kepada orang lain.
Bagaimanapun sebagai bapa, dia gembira apabila Nabila bertemu jodoh dengan insan dicintai. Kekayaan serta darjat bukanlah kriteria Amy dalam mencari menantu, hanya satu yang diharap agar puteri kesayangannya itu menemukan kebahagiaan dalam melayari hidup berumahtangga.
“Doa saya pada Tuhan semoga Nabila lalui kehidupan yang lebih baik daripada apa yang saya lalui. Saya percaya setiap bapa tentu mempunyai perasaan sama seperti saya. Sejak dia menyatakan hasrat hatinya untuk berkahwin, saya menjadi mudah tersentuh. Jika diingati saya pasti sedih hingga ada kalanya menangis.
“Saya sedih memikirkan akan melepaskan dia. Kini dia tidak lagi berada di depan mata saya dan sedih melepaskan dia melayari hidup sendiri. Saya hanya mampu mendoakan kesejahteraan hidupnya dan berharap dia melalui kehidupan yang sempurna,” kata Amy.
MEMPELAI bergambar bersama keluarga. |
Tepat jam 11.45 pagi, Selasa lalu, Nabila akhirnya sah menjadi milik insan yang dikenali lebih enam tahun lalu hanya dengan sekali lafaz.
Diapit ibu kandung, Farida Fadzil dan ibu tiri, Norhasniza Hassan, kelihatan cukup sebak tatkala insan yang dicintai melafazkan ijab kabul.
Melihat wajah dua ibu serta bapanya, hati gadis itu dicengkam kesedihan yang amat sangat. Sejak majlis khatam Quran lagi, Nabila sudah diburu kesedihan hingga beberapa kali bacaannya tersekat-sekat kerana menyeka air mata.
Tidak hanya Nabila, suaminya juga mengalami perasaan sama. Tanggungjawab berat yang akan dipikul sepanjang hayatnya membuatkan jejaka itu tidak mampu mengawal getar suaranya kala membacakan lafaz taklik.
Tidak terhenti setakat itu, upacara pembatalan air sembahyang juga diselubungi adegan air mata menyebabkan suasana pernikahan pagi itu berlangsung cukup syahdu.
“Syukur Alhamdulillah, persahabatan yang terjalin selama enam tahun tidak sia-sia apabila ia diakhiri dengan pernikahan. Kami tidak pernah merancang apabila hendak menamatkan zaman bujang. Sepanjang enam tahun berkawan, kami hanya mula membincangkan hal perkahwinan secara serius pada Mei lalu iaitu ketika saya menunaikan umrah.
“Dia menghubungi dan menyatakan hasrat hatinya untuk memperisterikan saya. Apabila keluarga bersetuju, saya menghubunginya semula dan sekembali daripada mengerjakan umrah, Zaidy datang bertemu papa.
“Bagaimanapun, pada pertemuan itu dia kelu untuk menyatakan hasratnya dan akhirnya saya sendiri yang memberitahu papa tujuannya,” kata Nabila.
Ditanya mengenai keistimewaan jejaka itu di matanya, kata Nabila, sikap Zaidy yang pandai mengambil hati, kelakar dan suka bercakap membuatkan Nabila tertarik kepadanya.
Sementara sikap Nabila yang pandai mengambil hati orang yang lebih tua serta pandai bergaul menarik perhatian Zaidy untuk serius dengan anak rockers terkenal itu.
Namun kata Zaidy, dia memperisterikan Nabila bukan kerana dia anak kepada Amy Search. Malah, dari awal perkenalan mereka, dia tidak mengetahui gadis yang dicintai itu ialah anak seorang penyanyi terkenal.
Hanya selepas beberapa bulan menjalinkan persahabatan baru dia mengetahui Nabila ialah anak dara penyanyi popular.
Menyentuh soal cahaya mata, kata Nabila dia sudah bersedia untuk bergelar ibu dan tidak merancang berapa cahaya mata yang diinginkan. Jika dikurniakan ramai anak dia menerimanya dengan besar hati kerana keluarganya kecil.
Mengenai destinasi berbulan madu pula, setakat ini Nabila dan suaminya masih belum merancang destinasi yang akan mereka tujui.
Bagaimanapun, kata Nabila, perkara itu tidak mungkin berlaku pada tahun ini disebabkan masih banyak perkara lain yang terpaksa mereka selesaikan.
Hanya pada tahun depan, baru mereka berdua akan memikirkan soal berbulan madu. Namun, kata Nabila, detik indah mereka itu tidak akan sama seperti pasangan lain yang baru mendirikan rumah tangga.
Katanya, dia merancang membawa ibu bapa serta adik beradiknya untuk bercuti bersama memandangkan sebelum ini mereka tidak mempunyai banyak kesempatan bertemu atas kesibukan masing-masing.
“Tiada salahnya membawa keluarga bersama ketika kami berbulan madu. Pada saya ia akan menjadi satu percutian yang menarik dan meriah kerana ramai turut serta pada bulan madu saya,” katanya.
Semarak cinta Nabila, Zaidy
SEBELAH malam, berlokasikan Pusat Komuniti Bukit Damansara, Kuala Lumpur, pasangan pengantin baru itu diraikan pada majlis persandingan ringkas namun cukup bermakna buat kedua mempelai.
Dewan yang dilatari rona putih dan merah jambu melambangkan kesucian hati dua insan yang tulus meraikan cinta mereka menerusi ikatan pernikahan dihias indah oleh perunding perkahwinan, Pak Abu.
Nabila yang anggun menggayakan kurung moden putih rekaan Puri Pesona, sesekali menjeling manja Zaidy di sisi yang turut memilih rona sama pada majlis persandingan itu.
Tepat jam 9 malam, diiringi alunan selawat oleh kumpulan nasyid popular, Rabbani yang diketuai Ustaz Asri Ibrahim bergema memenuhi ruang dewan, membungakan harapan agar perjalanan baru Nabila dan Zaidy sentiasa ditemani rahmat dan naungan Ilahi.
Doa ringkas juga dipanjatkan kepada Allah semoga alam rumah tangga yang baru dilalui itu akan sentiasa dicurahkan kebahagiaan dan rasa cinta mendalam.
Selesai acara merenjis oleh barisan tetamu kenamaan dan ahli keluarga terdekat, pasangan mempelai seterusnya dibawa ke meja santapan untuk acara makan beradab ditemani alunan lagu romantis oleh penyanyi jemputan, Izwan Pilus.
Usik mengusik antara pengacara, Sharifah Shahirah dan Ahmad Fedtri Yahya melatari suasana persandingan, menceriakan alam baru Nabila dan Zaidy sebelum mereka berdua kembali untuk acara memotong kek menggayakan persalinan ilham Syaiful Bahrim dan Albert King.
Nada ceria yang melatari suasana bertukar hening, lantas menerbitkan semula untaian air mata Nabila tatkala ayahanda tercinta memberikan ucapan sekali gus merestui perjalanan baru yang kini ditempuhinya.
Gerbang perkahwinan banyak dugaan dan harapan Amy, moga perjalanan rumah tangga anaknya akan menemui warna indah dilandaskan cinta berpanjangan antara mereka berdua.
No comments:
Post a Comment