Dec 3, 2008

Bicara kes AC Februari, Mac depan




KAJANG - Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam menetapkan perbicaraan kes tuntutan nafkah anak bekas isteri kepada pengacara Akademi Fantasia, AC Mizal, Shafnie Zainudin pada 19 Februari dan 4 Mac tahun depan.

Hakim Syarie Abdul Malik Soleh memutuskan demikian bagi membolehkan pihak plaintif, Shafnie yang diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong menyediakan tuntutan balas penyata pembelaan dalam masa 14 hari.

AC Mizal selaku defendan yang diwakili oleh peguam syarie, Siti Aishah Din semalam telah memfailkan penyata pembelaan dan tuntutan balas terhadap tuntutan bekas isterinya sebelum ini.

Terdahulu, plaintif melalui afidavit yang diikrarkan pada 4 Ogos lalu menyatakan beliau mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Muhammad Shafiq Iman, 12, dan Muhammad Shabil Iman, 9 tahun, hasil perkongsian hidup dengan defendan.

Beliau bagaimanapun telah bercerai talak satu pada 17 Oktober 2001 dan Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat telah memerintahkan supaya defendan membayar nafkah kepada anak-anak sebanyak RM2,000 sebulan sehingga anak-anak mereka mencapai usia 18 tahun.

No comments: