|
KUALA LUMPUR - Pelakon popular, Norman Hakim menafikan khabar angin yang mendakwa beliau bakal bernikah dengan pelakon baru, Memey Suhaiza, 20, sehari sebelum Aidiladha ini.
"Mana ada? Itu hanya fitnah. Mana dapat cerita ni?'' tanya Norman kepada wartawan di lokasi penggambaran drama Gerak Khas di Wangsa Maju, semalam.
Menurut Norman, buat masa sekarang dia tidak pernah terfikir soal berkahwin lagi memandangkan kes khalwat yang dihadapinya belum dibicarakan.
Selain itu, Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon tidak mahu cerita kurang berasas menambah masalah kepada rumah tangganya bersama Abby Abadi.
"Soal hendak kahwin tu, saya tak mahu komen. Sebab kita tidak tahu apa yang akan berlaku di kemudian hari,'' katanya yang kelihatan sedikit susut berbanding sebelum ini.
Pada 30 Oktober lalu, kira-kira pukul 3 pagi, Norman dan Memey ditangkap atas tuduhan berkhalwat di sebuah pejabat di Ukay Perdana. Pasangan itu akan dibicarakan awal Januari depan.
Menyentuh mengenai kehadiran keluarganya ke rumah keluarga Memey di Mersing, pada 22 November lalu, Norman memberitahu, ia hanya untuk merapatkan tali silaturrahim.
"Masa itu kami bertandang ke rumah sepupu di Batu Pahat dan menziarah kubur arwah kakak saya di Kampung Bukit Cermai. Kebetulan pula keluarga Memey di Tenggaroh ada membuat sedikit majlis, jadi mereka menjemput.
"Memandangkan kes kami (khalwat), saya dan keluarga merasakan perlu bersemuka dengan keluarganya untuk meminta maaf,'' katanya lagi.
No comments:
Post a Comment