Dec 3, 2008

Perunding perkahwinan melancarkan majlis


Kenangan terindah...Raja Rosly Mazlan (kiri) ketika mengendalikan majlis perkahwinan penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Jiwa di Kuala Lipis, Pahang.


BERBELANJA puluhan malah ratusan ribu ringgit untuk sebuah majlis perkahwinan semakin menjadi perkara biasa dalam masyarakat hari ini.

Mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran siap dengan tema tertentu dan menggunakan khidmat perunding perkahwinan menjadi ikutan bukan saja di kalangan golongan elit dan bangsawan, bahkan orang biasa.

Perbelanjaan bagi mereka bukan soal utama, asalkan majlis bersejarah berlangsung gilang-gemilang dan menjadi sebutan para tetamu.

Khidmat perunding digunakan kerana mereka sedar, membuat persiapan majlis perkahwinan bukan mudah. Banyak kerja remeh-temeh perlu diselesaikan yang menguji kesabaran, malah hingga kadangkala membawa perselisihan faham sesama ahli keluarga

Jadi, bagi memastikan majlis perkahwinan berjalan sempurna tanpa cacat cela, ia memerlukan pengurusan profesional dan tiada ruang untuk melakukan sebarang kesilapan.

Tugas ini lebih mudah jika diserahkan kepada mereka yang pakar dan tahu setiap inci tentang persiapan perkahwinan.

Antara khidmat perunding perkahwinan yang menjadi rebutan bakal pengantin sekarang ini sudah tentu daripada sentuhan Raja Rosly Mazlan, 48, atau lebih dikenali sebagai Pak Engku.

Berpengalaman menguruskan beberapa majlis perkahwinan 'mega' membabitkan orang kenamaan dan selebriti seperti penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza dan Ning Baizura, nama beliau meniti di bibir bakal pengantin bagi merealisasikan impian perkahwinan mereka.

Melalui Kuzie Catering & Wedding, Pak Engku berjaya membuktikan bahawa perunding perkahwinan memain peranan penting dalam menentukan meriah atau tidak majlis yang diadakan.

Beliau sendiri, percaya mengendalikan persiapan perkahwinan tidak harus dipandang ringan bagi memastikan majlis tidak menjadi kelam kabut.

Bakal pasangan pengantin juga perlu berhati-hati membuat persiapan agar segala perbelanjaan bagi menjayakan majlis berkenaan tidak melebihi bajet yang disediakan.

Persiapan seperti pengedaran kad, pemilihan tempat, gubahan hantaran, pelamin pakaian, menu dan sebagainya memerlukan kerja-kerja yang teliti dan terperinci.

"Semuanya akan jadi lebih mudah jika menggunakan khidmat perunding perkahwinan yang bertindak menguruskan segala-galanya dari mula hingga akhir," ujarnya.

Selain menjimatkan tenaga dan masa, kata Pak Engku, khidmat perunding dapat mengelakkan pasangan bakal pengantin daripada terpaksa berkejar ke sana sini bagi menguruskan perkahwinan.

"Dengan kesibukan kerja serta masa yang terhad, tentu ia memberi tekanan kepada bakal pengantin.

"Sedangkan pada masa yang sama, mereka mengimpikan persandingan meriah untuk dikenang sepanjang hayat," katanya.

Sebagai perunding perkahwinan, Pak Engku tidak menjadikan soal kewangan sebagai halangan besar bagi bakal pengantin mendapat majlis yang diingini.

"Lazimnya saya akan tanya dulu kepada pelanggan anggaran bajet mereka dan dari situ barulah saya boleh cadangkan apa yang mereka boleh dapat.

"Tidak semesti perlu mencecah ratusan ribu ringgit, bahkan dengan serendah RM80,000 contohnya mereka sudah memperoleh satu majlis yang besar daripada A hingga Z," katanya.

Dalam menguruskan sesebuah perkahwinan, apa yang penting bagi beliau ialah kepuasan pelanggan dan dirinya sendiri.

Beliau lebih gemar mengambil sikap tolak-ansur agar semua pihak boleh 'menang' dan tidak ada yang kecewa.

"Dalam perniagaan saya pegang tiga perkara iaitu tidak tamak, tanggungjawab dan kepuasan sama ada untuk pelanggan mahupun saya sendiri.

"Saya tidak terlalu memburu margin untung yang besar kerana saya mahu kekal lama dalam perniagaan ini.

"Kepuasan dan hubungan baik dengan pelanggan perlu dijaga. Saya tidak mahu kerana terlalu mengejar wang, kerja yang dibuat sekadar melepas batuk di tangga dan mengecewakan tuan rumah,"ujarnya.

Bercerita mengenai pembabitan awal di bidang tersebut Pak Engku berkata, segala-galanya bermula apabila beliau mengusahakan khidmat penyediaan makanan di bawah nama Kuzie Catering kira-kira 15 tahun lalu.

Sambil menguruskan menu makanan untuk majlis perkahwinan, beliau kerap ditanya oleh pelanggan sama ada turut menyediakan keperluan-keperluan lain untuk persandingan.

Beliau berusaha memenuhi sedikit demi sedikit permintaan pelanggan dan menerokai bidang perundingan perkahwinan secara serius sehingga tertubuhnya Kuzie Catering & Wedding.

Pakej perkahwinan yang dikendalinya merangkumi pakaian pengantin, pelamin, kanopi, katering, persembahan artis dan sebagainya. Beliau juga mempunyai dewan sendiri di Wisma PKPS, Shah Alam, yang boleh menampung lebih 700 orang.

No comments: