PENULIS lirik Seri Bayu, 43, semalam mendakwa dirinya ditampar, ditendang dan dikurung dalam bilik air selama dua jam oleh isterinya, penyanyi Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25.
Walaupun dirinya menderita diperlakukan sebegitu ditambah pula dengan keadaannya yang mengalami penyakit saraf, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin, enggan menceraikan isterinya.
Kata Seri Bayu, dia masih sayang dan mahu memberi pengajaran kepada Erema serta mahu isteri yang dikahwininya sejak 19 Disember 2006 pulang ke pangkal jalan.
Biar pun bibir mengucapkan perasaan sayang, dalam masa yang sama, Seri Bayu turut memberitahu dia akan membuat laporan polis terhadap Erema kerana kes dera tersebut.
"Saya akan buat laporan polis nanti.
“Erema tinggal saya seorang diri di rumah selepas keluar dari pukul 10 pagi hingga pulang pukul 6 pagi esoknya.
“Selepas beri makan, dia keluar dan biarkan saya.
“Dia bekerja di sebuah kelab malam di Seksyen 13, Shah Alam. Sepatutnya kerja dia habis pukul 12 tengah malam.
“Pada mulanya saya hanya benarkan dia bekerja sebulan sahaja masa bulan puasa untuk cari duit belanja raya.
“Selepas itu, apabila didesak berhenti kerja, dia tidak mahu dan berdegil untuk terus kerja.
“Saya banyak beri peluang dan bersabar dengannya. Bukan itu sahaja, saya dilempang dan ditendang,” kata Seri Bayu dalam sebutan yang kurang jelas kerana penyakit yang dialaminya.
Dia yang berkerusi roda berkata Erema mula ‘besar kepala’ sejak dua bulan lalu dan mengesyaki isterinya mempunyai lelaki lain yang didakwa sering menghantar dan mengambilnya dari tempat kerja.
“Saya tak tahu dia pergi ke mana selama ditinggalkan seorang diri. Yang saya tahu, dia ada lelaki lain.
“Kadangkala kalau dia balik, dia selalu bergayut telefon dan saya tak tahu dia bercakap dengan siapa.
“Dia juga degil dan tidak mahu mendengar cakap saya. Dia kata nak hantar saya ke rumah orang tua,” jelas Seri Bayu yang akan dijaga oleh keluarga angkatnya.
Seri Bayu juga tidak berpuas hati dengan Erema kerana selama ini dia mampu menanggung isterinya.
“Empat tahun dulu Erema tak bekerja, siapa yang tanggung? Saya mampu tanggung dia,” kata Seri Bayu yang sedang membuat lirik lagu Yang Terakhir.
Dalam pada itu, salah seorang rakan Seri Bayu, Omar Hamzah mendakwa Seri Bayu di tampar sekali lagi kelmarin.
Mereka juga menunjukkan bukti gambar Seri Bayu cedera di mukanya akibat dikasari oleh Erema pada 25 November lalu, pukul 3.50 pagi.
Malah, dalam kejadian tersebut, Seri Bayu turut dikurung selama dua jam dalam bilik air.
Semalam, kes penceraian mereka yang difailkan oleh Erema dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.Justeru, Hakim Syarie Ghazali Ahmad memutuskan supaya kes ini didengar 12 Januari depan.
Hakim Ghazali meminta Seri Bayu melantik peguam kerana dia tidak bersetuju dengan tuntutan penceraian tersebut.
Erema juga dinasihatkan melantik peguamnya.Seri Bayu yang ditemui selepas sidang perbicaraan berakhir berkata, dia enggan menuruti kehendak Erema kerana dia masih menyayangi Erema.
"Saya masih sayangkan dia walaupun saya tidak dilayan seperti seorang suami. Saya ingin beri peluang supaya dia berubah dan balik ke pangkal jalan.
"Jika dia tidak berubah, hanya Tuhan sahaja yang tahu," kata Seri Bayu dalam pertuturan yang kurang jelas dan duduk di atas kerusi roda kerana menghidapi penyakit saraf.
Dalam pada itu, Erema berkata, dia tetap akan memfailkan cerai dan meneruskan niatnya untuk berpisah dengan Seri Bayu.
"Abang dah berjanji untuk melepaskan saya dengan cara yang baik melalui SMS yang dia hantar kepada saya. Jadi, saya akan tetap memfailkan cerai dan lantik peguam untuk mengendali kes ini,” beritahu penyanyi lagu Pelita Di Bawah Purnama yang hadir bersama rakannya.
Sementara Seri Bayu hadir dengan ditemani tiga orang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai rakan dan ahli keluarga angkatnya.
Erema memfailkan tuntutan penceraian di mahkamah tersebut awal bulan lalu.
Pasangan ini bernikah pada 19 Disember 2006 ketika Seri Bayu menderita penyakit saraf.
No comments:
Post a Comment